Setiap Muslim Perlu Memahami Maqasid Syariah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,Islam merupakan mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia dan di setiap zaman. Berteraskan wahyu melalui dua sumber utamanya iaitu al- Quran dan al-sunah. Islam tetap unggul dan bertahan sepanjang zaman semenjak dari zaman awal kemunculannya sehingga kini. Ini semua kembali kepada tabiat Islam itu sendiri yang bersifat dinamik dan mempunyai objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat.
Apakah maksud Maqasid Syariah?
Maqasid - matlamat, tujuan, objektif, maksud.
Syariah - syariat Islam atau syariat Allah SWT.
Oleh yang demikian, Maqasid Syariah bermaksud tujuan atau objektif mengapa Allah/Syariah Islam menurunkan sesuatu hukum.
Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu.Dalam konteks ini maqasid yang dimaksudkan ialah maqasid atau objektif yang diletakkan oleh syarak dalam mensyariatkan hukum. Antara istilah popular yang digunakan ialah Maqasid Syariah.
Di dalam Qanun Jinayah Syar'iyyah terdapat 4 jenis hukum iaitu hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:
1. Menjaga agama.
2. Menjaga nyawa.
3. Menjaga akal fikiran.
4. Menjaga keturunan.
5. Menjaga harta benda.
Huraiannya :
1. Menjaga agama:
Menjaga agama, iaitu menjaga akidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari akidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: "Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia." (Hadis Riwayat Bukhari)
2. Menjaga nyawa :
Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas atau diyat .
Firman Allah SWT. yang bermaksud: "Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 179)
3. Menjaga akal fikiran :
Menjaga akal fikiran iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana yang telah diriwayatkan .
Saaib bin Yazid r.a berkata : " Apabila peminum arak dibawakan kepada kami pada zaman Rasulullah SAW, zaman Pemerentahan Abu Bakar dan permulaan zaman Umar al-Khattab, kami memukulnya dengan tangan , kasut dan serban. Di akhir pemerentahan Umar, mereka dirotan sebanyak 40 kali. Sehinggalah perbuatan itu berlaku semakin menjadi-jadi dan melampaui batas, lalu mereka dirotan sebanyak 80 kali." (Hadis Riwayat Bukhari : 6281).
4. Menjaga keturunan :
Menjaga keturunan iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam.
Sabda Rasulullah SAW. dalam hadisnya yang diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud: "Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam." (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)
5. Menjaga harta benda.
Menjaga harta benda iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan.
Firman Allah SWT. yang bermaksud: "Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Maidah ayat 38)
Firman Allah SWT. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar."
(Surah Al-Maidah ayat 33)
Sahabat yang dihormati,
Kita perlu memahami maqasid syariah dengan kefahaman yang betul dan meyakini bahawa setiap hukum hakam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dimuka bumi adalah sebaik-baik peraturan. Tujuan Allah SWT menghalalkan sesuatu perkara dan mengharamkan sesuatu perkara adalah mengandungi sebab musabab yang munasabh dan sesuai dengan fikiran yang waras dan fitrah manusia.
Terlalu banyak penemuan sains dan kajian manusia di dapati bahawa setiap sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT mempunyai alasan yang konkrit dan bersesuaian dengan kesihatan dan jiwa manusia. Contoh daging khinzir diharamkan di sebabkan terdapat banyak keburukannya, penyelidikan barat menyatakan bahawa didalam daging Khinzir mengandungi cacing pita yang bahaya untuk diri manusia, hikmah pengharaman daging khinzir kerana adanya cacing pita.
Firman Allah SWT, dalam Al-Quran di antaranya:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang (yang ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah.” (Surah al-Baqarah ayat 173)
Firman-Nya:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ
Maksudnya : “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah.” (Surah al-Maa’idah ayat 3)
Sahabat yang dikasihi,
Masyarakat kita telah banyak dikelirukan oleh mereka yang anti hukum hudud dengan mendakwa bahawa hudud boleh menyebabkan masyarakat kehilangan pekerjaan , pelancung luar tidak datang kenegara kita, akan berlaku huru hara dan sebagainya.
Hakikat sebenarnya mereka yang befahaman sekular sosialis tidak pernah melihat kesan positif pelaksanaan hudud di Arab Saudi dimana kadar jenayah di Arab Saudi terlalu rendah berbanding dengan negara kita Malaysia yang mana kadar jenayah mencuri, pecah rumah, merompak, menyamun bersenjata, ragut berada diperingkat yang cukup serius dan amat membimbangkan.
Tidak ada siapa pun boleh selamat daripada jenayah rompak dan ragut samaada rakyat biasa atau pun pemimpin masyarakat kerana pencuri dan penyamun merasa tangannya selamat walaupun merompak berjuta-juta ringgit. Jika dipenjara sekali pun mereka akan dapat makan dan minum dengan percuma dan bila tamat temoh tahanan mereka boleh mengulagi lagi tabiat buruk mengambil harta orang lain. Oleh itu semua umat Islam perlu yakin terhadap undang-undang Allah SWT kerana ianya bersangkut paut dengan persoalan akidan dan kepercayaan kepada kitab suci al-Quran nul karim.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah S.W.T. mencipta sesuatu itu ada tujuan dan hikmahnya. Mustahil bagi Allah menjadikan suatu perkara itu tanpa arah tujuan dan matlamatnya.
Penciptaan Allah adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia. Untuk memahami hakikat ini, Allah S.W.T memerintahkan manusia agar bertadabbur dan bertafakur melihat hikmah di sebalik segala yang diciptakan.
Allah S.W.T mencipta manusia dengan tujuan menjadikan mereka sebagai khalifah di atas muka bumi. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya. (Surah Hud: 61)
Bagi membantu manusia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah, Allah S.W.T menurunkan syariatnya yang wajib dipatuhi.
Memang diakui di kalangan ulama bahawa terdapat tujuan di sebalik setiap pensyariatan.Dan seperti yang dinyatakan di atas ada yang dapat difahami secara jelas dan ada yang menjadi rahsia Allah. Tujuan atau matlamat ini disebut sebagai maqasid.
Maqasid syariah adalah tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam setiap hukum atau sebahagian besar daripadanya. Sesungguhnya Allah SWT apabila mensyariatkan hukum, sebenarnya adalah bertujuan untuk memelihara kemaslahatan manusia dengan membuka ruang-ruang manfaat kepada mereka dan mengangkat kemudaratan.
Islam adalah mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia dan di setiap zaman. Berteraskan wahyu melalui dua sumber utamanya iaitu al- Quran dan al-sunnah. Islam tetap unggul dan bertahan sepanjang zaman semenjak dari zaman awal kemunculannya sehingga kini. Ini semua kembali kepada tabiat islam itu sendiri yang bersifat dinamik dan mempunyai objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat.
Penelitian terhadap sumber-sumber syariat Islam telah mengesahkan bahawa maqasid utama syariat islam ialah untuk memberi kemaslahatan kepada manusia samada mendatangka manfaat ( maslahah) tersebut atau menolak keburukan (mudharat) daripada manusia.Oleh itu didapati semua hukum syara' bernaung di bawah konsep jaminan manfaat kepada manusia bukan sahaja di dunia malah menjangkaui alam akhirat.
Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu.Dalam konteks ini maqasid yang dimaksudkan ialah maqasid atau matlamat yang diletakkan oleh syara' dalam mensyariatkan hukum.
Sebagai contoh, dalam persoalan solat, Allah S.W.T jelas menyatakan matlamat dari pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT dalam kehidupan mereka. Firman Allah S.W.T: "Sesungguhnya solat itu boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar". (Surah al-Ankabut: 45)
Demikian juga dalam persoalan puasa, Allah S.W.T menjelaskan objektif pensyariatannya kepada umat Nabi Muhammad dan umat nabi-nabi yang terdahulu adalah untuk membentuk jiwa yang bertakwa kepada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu (sentiasa) bertakwa. (Surah al-Baqarah: 183)
Begitu juga dari sudut undang-undang, Islam menjelaskan objektif di sebalik pensyariatan qisas terhadap mereka yang melakukan pembunuhan secara sengaja. Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) kehidupan bagi kamu.
(Surah al-Baqarah: 179)
Dari sudut ekonomi pula, Islam sangat menggalakkan supaya umat Islam membudayakan derma, sedekah, hibah, wakaf dan sebagainya untuk berkongsi nikmat harta yang telah Allah S.W.T kurniakan kepada mereka.
Harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan yang tidak berkemampuan untuk
membina hidup mereka. Bahkan, Allah S.W.T mewajibkan umat Islam yang telah cukup
syarat-syaratnya untuk membayar zakat kepada asnaf-asnaf.
Objektif pensyariatannya dinyatakan dalam firman Allah S.W.T maksudnya : "..... Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu."
(Surah al-Hasyr: 7)
Kesimpulannya maqasid syariah ialah "matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia".
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam." (Surah al-Anbiya': 107).
Tidak dapat disangkal lagi bahawa perkataan 'rahmat' itu bermaksud kebaikan, kemaslahatan dan keharmonian.
Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah.
Matlamat ini yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu :
Pertama : Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat) :
Ia adalah perkara-perkara yang termasuk dalam keperluan asasi yang mesti dipenuhi oleh setiap individu. Ia adalah kemaslahatan yang perlu dipenuhi untuk mendirikan kemaslahatan agama dan dunia.
Jika tiada maslahah ini, kemaslahatan dunia tidak akan bergerak dengan lancar dan akan hilang nikmat dan keselamatan di akhirat kelak.
Contohnya, seorang individu perlu mempunyai harta untuk meneruskan kehidupan. Justeru, Allah SWT menurunkan syariat yang berkaitan dengan persoalan memiliki harta, menggunakan dan membelanjakannya.
Terdapat lima perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu memelihara agama, memelihara diri/jiwa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta.
Contohnya, dalam bab memelihara agama, Allah SWT dan Nabi SAW memerintahkan umat Islam mempelajari Islam dan mengukuhkan akidah dan syariat seperti solat, puasa dan haji. Kemudian, Allah SWT menurunkan syariat untuk menjaganya seperti suruhan berdakwah dan berjihad.
Kedua : Keperluan Biasa (al-Hajiyat) :
Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan ataupun tidak sampai ke tahap rosak.
Hajiyyat iaitu kemaslahatan yang bersifat keperluan dan hajat manusia. Ia untuk menghilangkan kesulitan dan kesempitan yang boleh membawa kepada kesusahan hidup. Jika kemaslahatan ini tidak dapat dipenuhi ia boleh menyebabkan kesulitan dan kesusahan hidup.
Contohnya, Rasulullah S.A.W melarang dari menjual sesuatu yang tidak jelas (gharar) seperti ikan di lautan dan burung di udara.
Ini bertujuan menjamin kepentingan pembeli bagi mendapatkan haknya setelah membayar kepada penjual.
Ketiga : Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat) :
Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika.
Tahsiniyat iaitu kemaslahatan dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak. Jika hilang kemaslahatan tersebut, maka ia akan menyebabkan kehidupan menjadi buruk pada pandangan akal.
Sebagai contoh, seorang individu yang telah mempunyai kereta dibenarkan untuk memiliki sebuah lagi kereta sekiranya mempunyai keperluan dan kemampuan.
Pembahagian ini sengaja dijelaskan dan dipaparkan oleh para ulama untuk membantu umat Islam dalam menentukan keutamaan dalam melakukan ketaatan dalam hidup mereka.
Sahabat yang dikasihi,
Apabila seseorang individu mencapai tahap mukalaf maka setiap amalan, perlakuan dan aktiviti yang dilakukannya akan terkena kepada salah satu dari lima hukum taklifi.
Mukalaf ialah seorang yang telah mencukupi syarat untuk diberikan taklif syarak (tuntutan dan kewajipan syarak).
Orang yang mukalaf wajib mematuhi ketetapan agama dan setiap perlakuannya tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama.
Syarat-syarat mukalaf ialah telah sampai umur (yakni baligh), memiliki akal yang waras,sampai dakwah kepadanya, sempurna pancaindera, khususnya penglihatan atau pendengaran.
Setiap perbuatan dan perlakuan mukalaf tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama yang disebut sebagai hukum taklifi seperti berikut:
1. Wajib iaitu tuntutan syarak ke atas setiap mukalaf supaya melakukan sesuatu perbuatan dengan tuntutan secara pasti (jazam).
Jika tidak dilaksanakan, maka individu tersebut akan berdosa dan sebaliknya. Jika dia melaksanakannya, akan mendapat pahala seperti menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam.
2. Haram adalah tuntutan syarak ke atas mukalaf supaya meninggalkan sesuatu perkara dengan tuntutan secara pasti (jazam).
Jika ia dilakukan, maka individu tersebut mendapat dosa, dan sekiranya meninggalkannya akan mendapat pahala seperti meminum arak.
3. Makruh ialah apa-apa yang dituntut untuk meninggalkannya tidak secara ilzam atau sesuatu perkara yang mana lebih afdal (utama) ditinggalkan dari dilakukan.
Pembuatnya tidak berdosa, tetapi hanya dicela. Sesiapa yang meninggalkannya (tidak membuat perkara tersebut) akan mendapat pahala dan pujian daripada Allah SWT.
4. Sunat adalah apa-apa yang dituntut untuk melakukannya iaitu dengan memberikan ganjaran kepada individu yang melakukannya, dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya.
Ia memuji orang yang melakukannya dengan mengurniakan pahala, pada waktu yang sama tidak mencela dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya seperti bersedekah.
5. Harus adalah sesuatu perkara yang diberikan pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya. Ia tidak akan mendatangkan sebarang pahala atau dosa.
Sahabat,
Sesiapa yang menentang hukum-hakam Allah S.W.T dengan mengatakan hukum-hakam ini tidak sesuai dengan zaman moden akan merosakkan akidahnya, kerana setiap hukum-hakam dan undang-undang ciptaan Allah S.W.T adalah sesuai sepanjang zaman hingga ke hari kiamat.
Hukum-hukum syariah ini adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah S.W.T kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan
keberatan atau menambah bebanan ke atas mereka. Kebaikan hukum syariah adalah demi kesempurnaan hidup manusia di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment