Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Rasulullah SAW
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya." Para sahabat bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah, "ialah orang yang takbur." (Hadis Riwayat At-Tarmizi)
Berdasarkan hadis di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa terdapat ciri-ciri orang yang dikasihi dan dibenci oleh Rasulullah SAW. Ciri-ciri tersebut adalah sepaerti berikut :
Pertama : Orang yang paling dikasihi oleh Nabi SAW dan paling dekat tempat duduknya dengan baginda di hari akhirat adalah orang yang paling baik akhlaknya.
Kedua : Orang yang paling dibenci dan paling jauh tempat duduknya dengan Nabi SAW adalah :
1. Banyak cakap perkara sia-sia.
2. Berlagak angkuh dan sombong.
3. Merasa bangga dengan kesombongan.
Huraiannya :
Pertama : Orang yang paling dikasihi oleh Nabi SAW dan paling dekat tempat duduknya dengan baginda di hari akhirat adalah orang yang paling baik akhlaknya.
Islam mengajar umatnya untuk berakhlak mulia dan bergaul secara sopan santun dengan manusia. Sopan santun dalam pergaulan tidak mengenal dinding atau tembok pemisah kerana sifat tersebut adalah bersifat universal samaada dengan muslim atau bukan muslim. Demikian juga sikap saling bermusuhan, benci membenci dan saling memfitnah adalah merupakan akhlak yang tidak baik.
Dalam beberapa hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Jangan kamu saling membenci, jangan saling menghasut. Jangan belakang membelakangi, Jangan memutuskan hubungan. Jadilah hamba Allah yang bersaudara dan tidak boleh seorang muslim memulau sesama muslim lebih daripada tiga hari.”
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih)
Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran bahawa akhlak yang baik dan mulia itu adalah saling bantu membantu kepada golongan fakir miskin dan sifat suka memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya yang bermaksud : “Janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabat (nya), orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan, serta berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampuni kamu? Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nur ayat 22)
Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman. Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya.
Dari hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. berkata, "Rasulullah SAW. ditanya tentang (amalan) yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga. Baginda menjawab, 'Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik (husnul khuluq).' Baginda ditanya tentang hal yang banyak memasukkan orang ke neraka. Baginda menjawab, 'Mulut dan kemaluan'." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Kedua : Orang yang paling dibenci dan paling jauh tempat duduknya dengan Nabi SAW adalah :
1. Banyak cakap perkara sia-sia.
Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia , mengumpat dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik ataupun dia berdiam saja.” (Hadis riwayat Bukhari)
Seseorang insan dianggap beriman kepada Allah SWT dan juga hari akhirat jika dia dapat memelihara lidah daripada perkara batil dan dilarang Islam. Seterusnya seorang yang beriman dan bertakwa akan menjuruskan lidahnya dengan amalan kebajikan serta mengelak perkara yang melalaikan.
2. Berlagak angkuh dan sombong.
Dari Abdullah Bin Mas'ud r.a., dari Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong”, kemudian seseorang berkata: "(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus", Baginda bersabda: "Sesunguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain" (Hadis Riwayat Muslim)
Imam An-Nawawi rahimahullah memberi komentar tentang hadis ini, "Hadis ini berisi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka dan menolak kebenaran". (Syarah Shahih Muslim 2/269).
3. Merasa bangga dengan kesombongan.
Nabi SAW menyatakan bahawa merasa bangga dengan kesombongan adalah orang yang takbur. Sifat takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin.
Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.
Takbur batin pula adalah hati dan jiwanya menganggap dialah orang yang lebih baik dan mulia, berharta, berilmu pengetahuan sedangkan orang lain darjatnya lebih rendah daripada dirinya sendiri. Sifat takbur ini adalah sifat iblis laknatullah yang menganggap penciptaan dirinya (daripada api) lebih mulia daripada Adam (daripada tanah).
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita mendidik diri kita menjadi mukmin yang berakhlak mulia dan menghiasi diri dengan pakaian takwa dan sifat mahmudah. Kerana sifat ini adalah sifat ahli syurga yang akan dekat dengan Nabi SAW di hari akhirat. Dan jauhilah diri kita dengan amalan yang sia-sia dan sifat sombong , bongkak, takbur dan iri hati. Kerana semua sifat-sifat mazmumah ini adalah pewaris ahli neraka. Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dipilih menjadi hamba-hamba-Nya yang di kasih dan diredai-Nya.
No comments:
Post a Comment