Monday, March 10, 2014

MASA

Rebutlah Lima Perkara Sebelum Datangnya Lima Perkara

Sahabat yang dirahmati Allah,
Masa itu adalah kehidupan, setiap manusia tidak boleh lari daripada masa. Masa tidak akan menunggu kita, ia akan terus berjalan samaada ia digunakan untuk kebaikan atau pun keburukkan. Masa yang sudah berlalu tak akan boleh diganti lagi. Oleh kerana hidup di dunia ini adalah sementara, maka pergunakanlah masa yang ada ini untuk mengerjakan amal soleh sebanyak mungkin supaya masa itu dan bumi yang kita pijak akan menjadi saksi dihadapan Allah bahawa kita telah menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.”
(Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Berdasarkan hadis yang tersebut diatas Nabi s.a.w meminta kita untuk 'rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara' . Lima perkara adalah seperti berikut :

Pertama : Masa sihat sebelum sakit.
Ketika sihat, kita harus mengenang nikmat dikurniakan ke atas diri kita dengan membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan mereka yang terlantar sakit. Ini pasti membantu kita untuk insaf dan berusaha mengisi masa sihat dengan cara yang bermanfaat.

Pergunakanlah masa sihat ini untuk beribadah dan amal soleh. Perbanyakkan solat tahajjud, membaca al-Qur'an, berzikir, solat berjemaah dan menuntut ilmu di masjid dan mentelaah bahan-bahan tarbiyah. Buatlah kerja-kerja amal dan kebajikan untuk masyarakat dan berdakwah kepada mereka supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya dan berakhlak dengan akhlak Islam.

Hal ini juga anjuran agar kita senantiasa waspada pada segala kemungkinan yang sifatnya diluar jangkaan manusia, seperti halnya sakit. Sakit disini bukan sahaja sakit jasmani, tapi juga sakit rohani. Maka ketika kita sihat jasmani-rohani, hendaknya kita senantiasa mempergunakannya untuk hal-hal yang bermanfaat tanpa membuang masa .

Kedua : Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin).
Semasa kaya ini buatlah pelaburan yang menguntungkan, bukan saja pelaburan di dunia tetapi pelaburan di hari akhirat.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
"Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan do'a anak soleh yang mendoakannya"
(Hadis Riwayat Muslim)

Terdapat tiga pelaburan yang menguntungkan untuk jangka masa panjang :

1. Sedekah jariah : Gunakan harta yang ada untuk mewakafkan tanah dan bangunan untuk rumah anak-anak yatim dan miskin, ma'ahad tahfiz, sekolah agama, pusat pendidikan Islam, pusta pemulihan dadah, masjid, surau, madrasah dan tanah perkuburan untuk orang Islam.

2. Ilmu yang bermanfaat : Gunakan harta untuk mewakafkan kitab suci al-Qur'an, kitab-kitab agama, buku-buku agama, multi media pendidikan Islam kepada sekolah-sekolah agama, maahad tahfiz, masjid-masjid. Menyediakan risalah-risalan dakwah untuk disebarkan secara percuma. Memberi sumbangan untuk guru-guru memberi pengajian ilmu di masjid-masjid. Termasuk juga memberi sumbangan kewangan untuk para pelajar melanjutkan pengajian Islam di dalam dan luar negara.

3. Melahirkan anak-anak yang soleh : Memberi pendidikan Islam secukupnya kepada anak-anak kita supaya mereka memiliki ilmu yang bermanfaat. Membiyai kos pengajian anak-anak supaya mereka benar-benar mempunyai akhlak Islam dan berilmu. Jika perlu memanggil guru datang kerumah untuk mengajar fardu ain dan bacaan al-Qur'an kepada anak-anak.Dengan memiliki ilmu dan akhlak yang baik anak-anak akan menjadi anak-anak yang soleh dan akan mendo'akan kedua ibu bapa mereka setelah mereka kembali ke alam barzakh.

Selain daripada ini pergunakanlah harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan, terutama di dalam kehidupan akhirat seperti berjihad dijalan Allah, sedekah kepada fakir miskin, anak yatim, orang musafir, bersegara menunaikan haji (jangan ditangguh-tangguhkan) dan membayar zakat harta dan perniagaan bila sampai masa setahun.

Setiap ringgit wang kita belanjakan akan dinilai dan dihitung oleh Allah s.w.t. Ingatlah hak sebenar harta kita adalah apa yang kita belanjakan dijalan Allah ianya yang berkekalan menjadi rezeki kita bukannya harta yang kita simpan dibank atau dirumah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku!Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.”
(Surah al-Munafiqqun ayat 10)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Ketiga : Masa lapang sebelum tiba masa sibuk.
Sebahagian besar di antara kita hanya suka menggunakan masa menjalankan kegiatan atau aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata ketika masa lapang.

Sepatutnya, mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah s.w.t., bukan semata-mata memenuhi hawa nafsu semata-mata. Masa inilah kita pergunakan untuk menghadiri pengajian-pengajian ilmu, ceramah-ceramah agama, khidmat masyarakat dan menyediakan dan menghantar nota-nota tazkirah dalam fb dan blog kepada masyarakat.

Menganjurkan kursus-kursus motivasi, tamrin, perkelahan dan khidmat nasihat (kaunsling) kepada para remaja dan pelajar untuk lebih menjadi insan yang berguna kepada agama dan masyarakat.

Disini kita dianjurkan untuk menghargai masa yang lapang, agar dapat diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaaat baik untuk diri sendiri maupun orang lain. Contohnya menziarahi saudara yang sedang sakit di hospital, membantu mereka-mereka yang ditimpa musibah, menziarahi sahabat andai dan saudara mara, ketika kita ada kesempatan sebelum kesibukan menghampiri kita, hingga tidak sempat lagi untuk berziarah dan menghubungkan silaturahim.

Keempat : Masa muda sebelum datang masa tua.
Muda hanya sekali... Itulah yang selalu dipegang oleh segelintir daripada kita.

Lantas yang berfikiran pendek, mereka sanggup mencuba apa sahaja dan membelakangkan syariatullah dan sunnatullah. Yang pasti, matlamat mesti dikota.

Walaubagaimana pun masih ramai juga pemuda yang tidak melupakan kehidupan kekal selepas kematian. Lalu berusaha memperoleh kedua-duanya sekali dunia dan akhirat. Maka, mereka inilah orang-orang yang beruntung.

Sebagaimana firman Allah s.a.w. yang bermaksud: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta nasihat-menasihati dengan kesabaran.
(Surah al-'Asr ayat 1-3)

Ayat ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa menghargai zaman muda bererti menghargai masa. Di samping itu, pesanan Allah s.w.t. tentang keberuntungan bagi mereka yang menjaga masanya dan memanfaatkan masa hidupnya dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.

Lantaran itu, tidak hairanlah kalau kita terbaca atau diberitahu tentang kisah Imam Syafie yang telah menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun. Setahun kemudian pula berjaya menghafal isi kitab Al Muwatha' karangan Imam Malik yang berisi 1,720 hadis dengan sempurna.

Malah bukan itu sahaja, kehebatan generasi muda Islam terdahulu juga terbukti menerusi pencapaian Usamah bin Zaid menjadi panglima perang seawal usia 18 tahun.

Persoalan besar timbul ialah ke manakah hilangnya wawasan pemuda kita hari ini? Kita digemparkan dengan gejala sosial yang amat membimbamgkan, kes buang bayi (anak tak sah taraf), merempet, menghisap dadah, samseng di sekolah, kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan pemuda kita. Hal ini tentunya mengundang rasa bimbang dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat serta pemimpin negara.

Pemuda yang cemerlang adalah yang memanfaatkan masa dengan betul seperti berusaha menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman dan takwa.

Dengan iman dan takwa, jati diri pemuda akan dapat dipertingkatkan dan menjadi mantap. Sekali gus, tidak mudah goyah oleh anasir-anasir dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, minum arak, zina, merempit, ajaran sesat, bersekedudukkan dan sebagainya.

Salah satu golongan yang akan mendapat perlindungan Allah s.w.t. di hari akhirat nanti adalah pemuda yang hatinya sentiasa beribadah kepada Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah..." (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Oleh itu janganlah persia-siakan masa muda sebelum menjadi tua, kerana masa muda datang sekali saja dalam hidup.

Kelima : Masa hidup sebelum tiba masa mati.
Allah swt menjadikan kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada menusia, dan dapat menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang mereka lakukan ketika di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan didunia hanyalah sementara sahaja.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Dunia adalah tanaman untuk hari akhirat."
Berdasarkan hadis Nabi di atas ertinya kehidupan di dunia ini adalah sementara dan perlu kepada persiapan untuk menghadapi kehidupan yang kekal abadi di hari akhirat.

Walau pun hidup di dunia singkat berbanding kehidupan akhirat, tetapi ianya sangat penting kerana ia adalah penentu samaada kita bahagia atau celaka di hari akhirat nanti.

Untuk bahagia di hari akhirat, kita mesti melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan ketika hidup di dunia. Samalah seperti jika kita ingin memetik buah yang lebat, manis dan segar, maka pokok yang kita tanam perlu subur dan sihat. Mana mungkin, pokok yang layu, kering dan tidak sihat menghasilkan buah yang baik.

Begitulah hubungan kehidupan dunia dengan akhirat. Orang yang memikirkan kehidupan di hari akhirat ialah orang yang paling kuat berusaha, beribadah dan membuat kebajikan ketika hidup di dunia.
Oleh itu pergunakanlah masa hidup di dunia ini sebelum saat kematian. Ketika saat kematian tiba ketika itu tidak berguna lagi penyesalan.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita merancang masa kita supaya masa hidup kita di dunia ini tidak sia-sia. Apabila kita pergunakan sepenuhnya lima perkara iaitu masa sihat, masa kaya (berharta),masa lapang , masa muda dan masa hidup dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan mendekatkan diri kepada Allah maka kita akan beruntung dan tidak akan menyesal. Tetapi bila kita sia-siakan masa berharga ini dan bila datang pula sakit, miskin, sebuk , tua dan mati maka kita akan menanggung kerugiaan. Terutama bila datangnya kematiaan maka terputuslah segala-galanya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendo'akan kedua ibu bapanya.


Masa Itu Kehidupan Lebih Berharga Daripada Emas

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Takwa di jiwa akan mendorong setiap mukmin menyempurnakan kewajipan yang Allah SWT perintahkan tanpa berlengah dan rasa malas. Masa yang ada digunakan sebaik mungkin supaya tidak sia-sia begitu sahaja.Begitu tinggi nilai masa dari pandangan seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang dan tidak boleh diganti.Masa itu bukan emas, tetapi masa itu lebih berharga dari emas iaitu kehidupan. Kehidupan didunia ini adalah jalan dan wasilah menuju ke alam akhirat. Kebahagian di akhirat adalah bergantung kepada amalan-amalan soleh kita ketika di dunia ini.

Sewajarnya setiap mukmin memulakan harinya dengan doa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW .kepada para sahabat supaya dibaca pada waktu pagi dan petang. :

"Ya Allah! Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa sedih dan duka.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa lemah dan malas.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari sifat bacul dan kikir.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari beban hutang dan penindasan orang."

Doa ini berkesan mendidik jiwa hingga bersemangat, terurus masa dengan urusan yang bermanfaat. Masa yang berharga apabila masa itu dapat digunakan untuk menfaat diri sendiri dan orang lain. Orang yang mensia-siakan masa dengan kerja tidak berfaedah, sebaliknya kikir pula untuk berkongsi idea dan tenaga pada perkara kebaikan sangat dibenci oleh Allah SWT.

Pepatah Arab ada menyatakan :
"Masa itu seperti pisau. Jika kamu tidak memotongnya, ia pula memotong kamu!"

Generasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW. telah bekerja keras untuk mempertingkatkan prestasi hidup mereka dari masa ke semasa. Konsep hidup mereka adalah, 'Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Siapa yang pada hari esok sama dengan semalam, maka dia masih lemah. Siapa yang hari esoknya lebih buruk dari semalam, maka dia adalah orang yang terkutuk!"

Masa perlu diurus dengan baik agar tidak ada yang terbuang begitu sahaja. Perancangan perlu ada untuk setiap perkara yang ingin dilakukan. Perancangan dapat mengelakkan perkara yang penting terabai begitu sahaja.

Oleh itu setiap mukmin perlu mempunyai jadual waktu kerja harian yang teratur meliputi semua urusan keduniaan dan ibadat. Ini boleh mengelakkan urusan yang kurang penting diutamakan daripada urusan yang lebih penting.Pekerjaan penting mestilah disegerakan, manakala yang kurang penting bolehlah dilewatkan hingga selesai urusan penting.

Rasulullah SAW. juga ada menyebut tentang pembahagian masa seperti yang terdapat dalam Kitab Nabi Ibrahim a.s. : "Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masa-masanya kepada empat masa iaitu :

1.Masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhannya.

2.Masa untuk dia bermuhasabah tentang dirinya.

3.Masa untuk dia berfikir berhubung dengan setiap ciptaan Allah.

4.Masa untuk dia menumpukan kepada keperluan, seperti mencari rezeki yang halal atau belajar."

Individu yang bijak membahagikan masa akan sentiasa kelihatan sibuk mengisi masanya. Peruntukkanlah masa kita untuk melaksanakan amanah, tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Setelah mental dan fizikal dikerah melaksanakan berbagai tugas dan urusan perlulah diambil sedikit masa untuk beristirehat. Kerehatan perlu untuk mengumpul kembali tenaga untuk melakukan berbagai kerja yang seterusnya. Melakukan kerja tanpa rehat menyebabkan badan menjadi lemah, dan akhirnya menganggu kesihatan. Umpama sebilah parang yang sentiasa digunakan akan menjadi tumpul, tetapi apabila diasah semula barulah boleh digunakan.

Saidina Ali k.w  ada berkata, " Berilah kerehatan kepada hati beberapa ketika. Maka sesungguhnya hati bila dipaksa akan menjadi buta!"

Cara bekerja hingga kelesuan adalah bertentangan dengan apa yang Rasulullah SAW  anjurkan walaupun ia ibadat yang Allah suka seperti berpuasa dan berjaga malam. Ibadah yang dilakukan sedemikian rupa tidak akan berkekalan.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
"Ambillah amal ibadat sekadar kemampuan kamu. Maka sesungguhnya Allah tidak akan jemu hingga kamu berasa jemu. Dan sesungguhnya amal ibadat yang paling Allah suka ialah amal ibadat yang berterusan walaupun sedikit."

Sabda baginda lagi yang bermaksud :
"Sebenarnya aku seorang yang paling takut dan takwa kepada Allah dari kamu. Disamping itu aku juga bangun dan tidur diwaktu malam, aku berpuasa dan berbuka dan juga aku berkahwin. Maka sesiapa yang benci dengan sunahku, bukanlah dia pengikutku."

Inilah antara contoh keseimbangan Islam. Suatu sistem yang mengimbangkan dengan adil terhadap tuntutan spritual (rohani) dan material (fizikal), dan mengimbangkan keperluan fitrah manusia dengan tuntutan Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Ingatlah! kalian akan di tanya di akhirat nanti masa yang kalian habiskan di dunia ini, samaada kalian gunakan untuk jalan maksiat dan kerja sia-sia atau masa yang ada kalian pergunakan sepenuhnya untuk berdakwah, mencari rezeki yang halal, beribadah dan mencari keredan Allah SWT.

Malah orang-orang yang beriman tidak akan membiarkan masa berlalu dengan sia-sia dan tidak pula berhajat mengundang apa - apa kerugian. Mana-mana ruang kesempatan yang baik, sudah pasti direbutinya. Mereka akan sentiasa berpegang kepada pesanan Rasulullah S.A.W sepertimana maksud hadisnya: " Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain iaitu:

1) Masa hidup sebelum mati
2) Masa sihat sebelum sakit
3) Masa lapang sebelum sibuk
4) Masa muda sebelum tua
5) Masa kaya sebelum fakir."

Pernah Rasulullah SAW ditanya: "Manakah suatu manusia yang baik, Maka jawab baginda: Siapa yang umurnya panjang, serta baik amalnya."


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML