Soalan:
Terangkan makna saidina dan mengapa Rasulullah SAW digelar demikian sedangkan Allah SWT telah menggelarkannya Rasulullah atau pesuruh Allah sahaja?
Nur Hidayah, P. Langkawi
Jawapan:
'Sayid' dalam bahasa Arab bermakna penghulu. 'Saidina' bererti penghulu kami. Penghulu adalah orang yang kita muliakan dalam satu kelompok masyarakat dan orang yang dijadikan ikutan dan pimpinan dalam segala urusan.
Apabila kita mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW 'penghulu kita' maka itu bererti bahawa baginda adalah orang yang kita muliakan, yang kita hormati, yang kita junjung tinggi dan kita jadikan pimpinan dan ikutan lahir batin, dunia dan akhirat.
Jangan kita ucapkan 'Saidina Muhammad' maka itu bererti bahawa kita memuliakan baginda sebaik-baiknya dan mengangkat darjah baginda setinggi-tingginya, sesuai dengan kedudukan baginda yang sebenarnya.
2. Terbawa Ayat Suci Ke Tandas
Soalan:
Bagaimana sekiranya seseorang terbawa ayat suci Al Quran bersama dengannya ke dalam tandas.
Apakah hukumnya?
. Safiron
Jawapan:
Sebagaimana kita maklumi bahawa Al-Quran adalah kitab suci, justeru itu orang Islam sangat menghormati dan memuliakan Al-Quran. Hampir tiap-tiap rumah orang Islam ada menyimpan kitab suci Al-Quran sama ada untuk
dibaca pada waktu-waktu tertentu ataupun sesuatu keperluan yang ada hubungannya dengan Al-Quran.
Al-Quran dibaca dan dibawa oleh setiap orang Islam di rumahnya, di masjid-masjid, di majlis-majlis ilmu dan sebagainya, kerana Al-Quran merupakan panji-panji Islam bagi orang yang membaca dan mengamalkannya.
Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya". (Riwayat Bukhari dan Tirmizi)
Jadi tidak layaklah kitab suci Al-Quran di bawa ke tempat yang bernajis, jika dengan sengaja melakukannya maka kita berdosa, maka segerakanlah memohon keampunan Allah SWT. Namun jika tidak sengaja perkara tersebut dimaafkan, kerana ada keringanan bagi seseorang yang tidak berhasrat melakukan kesalahan. Namun segeralah keluar bila kita menyedarinya.
3. Menyalahgunakan Internet
Soalan:
Apakah hukumnya sekiranya kawan-kawan saya telah menyalah gunakan kemudahan internet untuk menyelusuri gambar-gambar lucah ibarat cendawan tumbuh.
Muhd. Asyra , PJ
Jawapan:
Menurut Imam Al Ghazali dalam bukunya "Bimbingan Mukmin", mata harus dipelihara dari memandang wajah atau aurat seorang wanita, atau memandang kepada aurat seseorang muslim. Sebaliknya pandanglah sesuatu yang bermanfaat, kerana mata itu diciptakan hanya untuk melihat kepada keajaiban-keajaiban ciptaan Allah dengan pandangan yang penuh iktibar dan insaf.
Dalam surah An Nur ayat 24 dijelaskan maksudnya: "Katakanlah kepada orang-orang mukmin lelaki, hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya, kerana yang demikian itu lebih bersih bagi mereka".
Dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi ada dijelaskan bahawa: "Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, begitu juga seorang perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan yang lain". Jadi jika melihat aurat sesama lelaki dilarang, apakah lagi seorang lelaki melihat aurat wanita, maka jelaslah hukumnya haram, tak kiralah baik dalam bentuk tubuh sebenar mahupun gambar atau filem.
4. Bala 'Coxsackie' dan Jerebu
Soalan:
1. Apakah pandangan ustaz tentang malapetaka yang telah menimpa di negara kita terutama tentang coxsackie yang mana telah mengorbankan berpuluh-puluh nyawa dan terbaru tentang jerebu yang telah melanda kita sekarang ini. Apakah tanda-tanda ini bahawa qiamat semakin hampir?
2. Keadaan persekitaran kita sekarang berubah, dulu dipenuhi dengan kehijauan sekarang disesakkan dengan kerakusan. Kita mengorek bukit untuk menjadikan tempat tinggal. Apakah segala bala menimpa kita berpunca dari sikap manusia yang telah melupakan Allah?
Shahrul Zamri
Jawapan:
1. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa dunia ini telah hampir akhir zaman bahkan baginda mengumpamakan seperti seorang yang terlalu bongkok. Tentang fenomena alam yang terjadi dan penyakit-penyakit ganjil seperti coxsackie ini juga diisyaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai tanda-tanda qiamat. Rasulullah SAW bersabda: Dari Ibnu Umar Rasulullah bersabda; "Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan Allah dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil)." (Riwayat Ibnu Majah)
2. Sesungguhnya segala kerosakan baik di darat mahupun di laut merupakan hasil perbuatan manusia sendiri. Firman Allah SWT dalam surah Rum ayat 41, "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). Perbuatan manusia mengorek bukit untuk keperluan mereka, itu juga merupakan tanda-tanda hari qiamat semakin hampir, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW.: "Qiamat tidak akan berlaku sehingga kamu melihat perkara-perkara yang besar yang belum pernah kamu lihat sebelum ini, dan sehingga bukit hilang dari tempatnya". (Riwayat Thabrani)
5. Termakan Makanan Haram
Soalan:
Apakah hukumnya apabila kita makan makanan yang haram atau shubhat secara tidak senaja?
M. Rahmat , JB
Jawapan:
Adalah tidak berdosa jika kita memakan sesuatu tanpa menyedari bahawa ia adalah haram, kerana Allah sekali-kali tidak mahu membebankan hamba-Nya atau menyeksanya bagi orang yang tersilap atau terlupa. Sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW: "Sesungguhnya umatku tidak akan ditulis kesalahannya hanya kerana terlupa atau tersilap". Namun begitu kita tetap dituntut untuk sentiasa dalam keadaan berhati-hati dalam menikmati makanan, kerana makanan yang mengandungi benda yang haram atau cara memperolehnya dengan cara yang haram dapat menutup pintu hati.
6. Terhidu Etanol
Soalan:
Saya bekerja di Makmal, selalu menggunakan etanol dalam membuat analisis seharian, etanol ini khas digunakan untuk kerja-kerja makmal, ianya tidak sesuai untuk membuat arak, sekiranya terminum boleh membawa maut. Apakah hukum sekiranya saya terhidu atau tersentuh etanol tersebut, sedangkan ianya bukanlah bahan kimia yang memabukkan?
Abe, PJ
Jawapan:
Jika bahan kimia atau etanol yang digunakan untuk membuat analisis seharian di makmal itu bukan sejenis alkohol yang digunakan dalam minuman yang memabukkan maka tersentuh ataupun terhidu tidaklah berdosa. Mungkin lebih sesuai ia dikategorikan dengan racun. Walaupun begitu jika terhidunya sering terjadi sehingga menimbulkan mudarat pada tubuh maka ia tergolong mengabaikan kesihatan diri sendiri, kerana sesungguhnya di dalam Islam dituntut kepada umatnya agar menjaga kesihatan supaya dapat beribadah kepada Allah dengan cara yang lebih selesa. Untuk itu gunakanlah alat untuk melindungi diri dari bahaya bahan kimia atau racun ini.
7. Ubatan yang Mengandungi Bahan Kimia
Soalan:
Apakah hukum, sekiranya menggunakan minyak wangi, minyak urut (metalsalicylate) atau ubat-ubatan yang mengandungi bahan kimia alkohol selain dari etanol (alkohol yang terdapat dalam arak), contohnya etana, pentanol, spirit dll.?
Ayob, KIMIA, PJ
Jawapan:
Menggunakan bahan kimia yang bukan tergolong alkohol yang memabukkan (seperti yang terdapat dalam arak) untuk minyak urut ataupun minyak wangi tidaklah berdosa dan hukumnya harus.
8. Menggunakan Kanta Mata 'Contact Lense'
Soalan:
Penggunaan contact lense amat popular di kalangan kita umat Islam. Memandangkan tidak ada fatwa mengenainya, saya ingin mengemukakan beberapa soalan.. Adakah sah sembahyang orang yang menggunakan lense kerana air sembahyang tidak kena pada anak mata?
Bagaimana pula ketika berpuasa? Bolehkah memasukkan lense ke dalam mata?
Bagaimana pula sekiranya solution yang digunakan mengandungi alkohol?
Fatimah Azzahra, KL
Jawapan:
Kalau memakai contact lense tidaklah mempengaruhi wuduk, kerana syarat wajib wuduk tidaklah sampai membasuh biji mata. Wuduk tetap sah dan boleh mengerjakan solat. Begitu juga tentang puasa ia tetap sah sebab bukan memasukkan sesuatu melalui dua rongga. Solution bukanlah alkohol tetapi sejenis ubat (pelincir) untuk mata (alkohol adalah sangat merbahaya kalau terkena pada biji mata).
9. Ubat Mengandungi Alkohol
Soalan:
Assalamu'alaikum..
Di sini saya ada satu soalan berhubung dengan hukum. Soalan saya, apakah hukumnya memakan ubat batuk yang mengandungi alkohol maksud saya kandungan ubat itu ada tertulis 5% alcohol?
Sekian.
Wan Azuwan , Nashville, USA
Jawapan:
Dalam Hadis Rasulullah ada disebutkan. Dari Aisyah ra. ia berkata, Rasulullah SAW bersabda; "Setiap yang memabukkan itu hukumnya haram. Kalau banyaknya memabukkan, maka sedikitnya pun haram". Dalam hadis lain yang diriwayatkan oelh Ahmad dan Abu Daud dari Abdullah bin Umar bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Setiap yang memabukkan adalah khamar (termasuk khamar) dan setiap khamar adalah diharamkan". Dari dua hadis diatas dapat kita simpulkan bahawa khamar atau alkohol yang biasa digunakan orang untuk minuman yang memabukkan itu sedikit atau banyaknya tetap haram. Namun dalam kaedah ilmu fiqih adalah istilah darurah. Jika telah diusahakan untuk mencari ubat lain namun tidak berhasil, maka ketika itu hukumnya harus (dibolehkan) menggunakan ubat yang mengandungi alkohol. Setelah itu mohonlah perlindungan kepada Allah agar kita terhindar dari sentiasa bergelimang dalam perkara syubhat. Wallahu A'lam.
10. Tafsir Mimpi
Soalan:
Seorang kawan saya menceritakan bahawa kekasihnya bermimpi yang beliau telah berjumpa dengan bapa kawan saya. Dalam mimpi itu kekasih kawan saya telah meminta izin dari bapanya untuk keluar bersama kawan saya. Bapa kawan saya telah mengizinkannya. Masalahnya kawan saya mengatakan bahawa mimpi tersebut berlaku disebuah rumah teres sedangkan kawan saya tinggal dirumah flat begitu juga dengan kekasihnya. Apakah maksud mimpi kekasih kawan saya itu?
Intan, PJ
Jawapan:
Setiap kita pernah mengalami mimpi, baik mimpi yang menyenangkan mahupun mimpi yang buruk, namun tidak semua dapat ditafsirkan makna yang terkandung dalam mimpi kita itu. Adakalanya mimpi itu bagaikan angin lalu yang tidak meninggalkan kesan kepada kita dan ada juga mimpi yang kita alami itu akan benar-benar menjadi kenyataan.
Mimpi bagi insan yang bertaqwa merupakan perkhabaran terhadap sesuatu yang akan berlaku kerana Rasulullah SAW tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi baginda menjadi kenyataan. Namun bagi insan yang jauh dari keimanan, tidak solat, tidak mengambil wuduk dan membaca doa dan Bismillahirrahmanirrahim ketika ingin tidur kebanyakan mimpi yang datang hanyalah berita yang disebarkan oleh syaitan. Jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan maka itu sebagai peringatan daripada Allah SWT agar insan yang jauh dairpada kebenaran lebih dekat kepada-Nya.
11. Makna Insyirah
Soalan:
1) Apakah makna perkataan / nama Insyirah?
2) Bagaimanakah caranya untuk mengerjakan solat jamak & qasar?
Mai Aniza Aris ,KL
Jawapan:
1) Makna nama Insyirah iaitu; KEGEMBIRAAN atau LAPANG HATI.
2) Tentang pelaksanaan solat jamak dan qasar, kami harap anda dapat merujuk soalan sebelum ini dalam halaman Solat Jama' & Qasar.
12. Cabutan Bertuah
Soalan:
Apakah hukumnya menyertai peraduan cabutan bertuah? Adakah ianya terdapat unsur-unsur pertaruhan?
Helmi Yusof ,Sepang Selangor
Jawapan:
Jika cabutan bertuah itu disertai dengan mengeluarkan bayaran, seandainya tidak dapat akan menanggung kerugian maka cabutan bertuah semacam ini hukumnya sama dengan perjudian. Namun seandainya cabutan itu tidak membabitkan bayaran sedangkan hadiahnya disiapkan oleh pihak tertentu seperti kerajaan atau agensi tertentu yang tidak melibatkan kerugian atau sesuatu yang haram maka dibolehkan.
13. Menampal Ayat Suci di Kereta
Soalan:
Ayat suci Al Quran memang diketahui ramai tidak boleh dibawa ditempat-tempat yang tertentu. Soalan saya apakah berdosa jika kita menampal ayat suci itu dicermin kereta dan secara tidak langsung terkena air kotor atau tahi burung dan sebagainya walaupun tidak kena tepat kerana dibatasi cermin tadi?
Salmah, Segamat
Jawapan:
Ayat suci Al Quran pada asasnya merupakan nur dan pedoman hidup umat Islam, bukanlah sekadar untuk diperlombakan atau digunakan untuk perhiasan. Namun jika digunakan untuk perhiasan hati dan budi maka ia lebih afdhal. Jika kebetulan ayat-ayat tertentu yang merupakan doa kita tampalkan ditempat yang bersih seperti di dalam kereta maka hukumnya harus atau boleh, kerana dengan cara demikian dapat mengingatkan diri kita akan anjuran agama. Namun jika tujuan pemasangan itu semata-mata untuk perhiasan maka ia berdosa.
14. Seksa Kubur Bagai dalam Mimpi
Soalan:
Saya pernah terbaca didalam majalah Al-Islam (keluaran bulannya tidak ingat) yang mana sesaorang yang mendapat seksa di dalam kubur bagai dalam mimpi. Betul atau salah. Kalau salah kenapa ianya tidak di tapis sebelum mengeluarkan kenyataan itu karan takut nanti ianya akan menimbulkan kekeliruan?
Ab.Rahim ,Gemas
Jawapan:
Seksa kubur merupakan pintu awal seseorang menerima balasan setelah mereka meninggal dunia. Ketika orang berada di alam barzakh mereka merasakan bahawa kehidupan dunia merupakan mimpi atau kenangan silam walaupun ianya merupakan kenyataan. Begitu juga ketika seluruh umat di bangkitkan di padang Mahsyar, mereka seakan-akan terbangun daripada tidur. Mungkin kata mimpi ini hanya merupakan istilah yang digunakan untuk menyatakan bahawa kehidupan masa silam tinggal kenangan. Kerana ketika kita di alam barzakh kita tidak dapat merasakan bagaimana keadaan suka dan duka ketika hidup di dunia, yang hanya ada kenangan. Namun ketika itu kita sedang berhadapan dengan balasan di barzakh.
Begitu jua ketika di Mahsyar kita tidak merasakan lagi seksa kubur tetapi kita sedang berhadapan dengan balasan yang lain iaitu dahsyatnya di padang mahsyar begitulah seterusnya, hingga kita dihisab, meniti titian siratal mustaqim, akhirnya masuk ke neraka mahupun ke syurga. Dalam surah Yasin ayat 52 ada disebutkan maksudnya: "Mereka berkata: "Aduh celakalah kami ! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur) ?" Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul-Nya".
Jadi jelaslah kata "mimpi" itu merupakan kata yang mudah untuk menterjemahkan setiap proses perjalanan kehidupan kita dari satu alam menuju alam yang lain. Bukan untuk memudah-mudahkan balasan yang Allah berikan. Wallahu A'lam.
15. Sukar Bangun Pagi
Soalan:
Bagaimana cara mengatasi masalah kesukuran untuk bangun pagi dan adakah ayat yang perlu diamalkan?
Abas, KL
Jawapan:
Orang-orang yang beriman sentiasa mengerjakan solat pada awal waktu dan menjadikan sebahagian malamnya dengan mengabdi kepada Allah. Bagi mereka yang telah terbiasa melakukan ibadah solat ini dengan disiplin maka kebiasaan bangun pagi ini tidak menjadi masalah. Jika menemukan kesukaran berdoalah ketika ingin tidur dengan membaca doa tidur, ayat kursi, surah al ikhlas, surah al falaq dan surah an Nas, kemudian berdoalah bersungguh-sungguh dalam hati agar tepat pada waktu Solat Subuh masuk agar Allah bangunkan kita. Amalkanlah Insya Allah, Allah SWT memberikan jalan yang terbaik untuk kita.
16. Siapakah Mu'az Ibn Jabal
Soalan:
Assalamualaikum ustaz, siapa itu Mu'az Ibn Jabal?
A. Ghafar, KL
Jawapan:
1. Muaz bin Jabal adalah salah seorang sahabat rapat Rasulullah SAW.
2. Nama beliau ialah Muaz bin Jabal bin Amru bin Aws bin Abid bin Kaab bin Amru Al-Ansari Al-Khazraji.
3. Seorang sahabat yang mahir tentang hukum halal dan haram di dalam Islam.
4. Pernah dilantik menjadi qadi di negara Yaman di zaman Rasulullah SAW.
5. Terlibat dalam peperangan Badar ketika berumur 21 tahun dan peperangan yang lain yang melibatkan Rasulullah SAW.
6. Seorang yang kacak dan warak.
7. Banyak menghafaz hadis. Antara yang mengambil hadis dari beliau ialah Umar bin Al-Khattab, Abu Qatadah, Abdur Rahman bin Usamah dan lain-lain.
8. Wafat di Syam ketika berumur 34 tahun sebagaimana menurut riwayat Ibn Hajar.
9. Ibunya bernama Hindun binti Sahl dari suku Rifaah.
10. Masuk Islam ketika berumur 18 tahun
11. Pakar dalam bidang bacaan Al-Quran sehingga Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat baginda yang lain supaya mempelajari Al-Quran dari beliau.
17. Makmum Ikut Imam dan Imam Ikut Siapa?
Soalan:
Bukan soalan tapi mahu kepastian. Kita sembahyang berimam, makmun berimamkan imam.
Imam pulak berimamkan siapa..?
John Unggai ,KL
Jawapan:
Soalan ini berkaitan dengan solat dalam Islam. Solat telah difardukan pada malam Israk 5 tahun sebelum hijrah. Menurut riwayat yang dikemukakan oleh Jabir bin Abdullah dan dikeluarkan oleh Ahmad, An-Nissa'i dan juga At-Tirmidhi setelah nabi SAW menerima perintah supaya mendirikan solat sebanyak 5 waktu sehari semalam, malaikat Jibril datang menemui baginda dan mengajar kepada baginda SAW teknik mengerjakan solat selama dua hari berturut-turut bermula dari waktu Zohor dan berakhir pada waktu Subuh.
Setelah itu nabi kita SAW menunaikannya mengikut tatacara yang diajar oleh malaikat Jibril. Dalam sahih Al-Bukhari nabi SAW memerintahkan umatnya supaya menunaikan solat mengikut sepertimana yang dilakukan oleh baginda SAW. Bagaimanapun dalam masa jibril mengajar nabi mengerjakan solat itu tidak pula malaikat Jibril menjelaskan siapa- siapa yang menjadi imam kepada nabi SAW.
Apa yang dijelaskan ialah agar solat itu ditunaikan dengan khusyuk di samping lengkap dengan rukun dan syaratnya sekali. Hati pula hendaklah dibulatkan kepada Allah SWT semata-mata. Oleh kerana ibadat solat termasuk ke dalam perintah yang berbentuk Tawqifi, maka tidak ada jalan kepada manausia mereka atau mencipta perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya yang tidak dibuat oleh baginda rasulnya SAW. Perintah berbentuk Tawqifi membawa maksud perintah yang mana praktiknya telah ditunjukkan oleh nabi SAW dengan lengkap dan manusia tidak ada ruang langung untuk menambah atau mengurang praktik ini.
Satu perkara lagi mengemukakan persoalan seperti ini sebenarnya tidak patut dilakukan oleh seseorang yang betul-betul beriman kepada Allah dan rasulNya, kerana antara sifat mukmin yang bertakwa itu ialah ia meninggalkan dari melakukan sesuatu kerja yang tidak mendatangkan manfaat kepada agamanya. Soalan seperti ini hendaklah dielakkan. Banyak lagi soalan-soalan lain yang bermanfaat yang boleh dikemukakan, yang bukan sahaja mendatangkan faedah kepada diri sendiri malah juga kepada orang lain. Imam tetap sebagai imam dan ia tidak mengikut siapa-siapa dalam solatnya.
Sebaliknya makmum dikehendaki mengikut imam dalam solatnya sebagaimana yang makruf diketahui. Adalah dikhuatiri soalan seperti ini datang dari golongan batiniyah. Di zaman hayat Rasulullah SAW baginda SAW melarang orang Islam mengemukakan soalan yang pelik dan aneh-aneh. Umar Al-Khattab pula mengenakan denda kepada orang yang mengemukakan soalan seperti itu, kerana tidak semua perkara yang berkaitan dengan agama itu dapat difikirkan oleh akal manusia tentang hakikatnya. Tambahan pula jika seseorang tidak mengetahui siapa orang yang diikuti oleh imam dalam solatnya, tidaklah menjejaskan akidah dan ibadat yang dilakukan, malah syarak tidak pernah membebankan dirinya supaya mengetahui perkara itu. Yang penting ia tahu siapa imamnya ketika ia menunaikan solatnya, bukan mengetahui siapa yang menjadi imam kepada imamnya dalam masa solat itu dilaksanakan.
18. Mimpi Menurut Islam
Soalan:
Saya tidak percaya kepada mimpi. Tetapi jika mimpi yang sama berulang kali terjadi, setiap malam, berganti minggu, bersilih bulan dan tahun, saya jadi musykil. Saya ingin sekali mendapat tafsir mimpi ini. Saya selalu bermimpi, hujan yang cukup lebat, sehingga menjadi banjir, air yang agak kotor, sehingga menenggelamkan rumah saya. Dalam hujan yang lebat itu, tiba-tiba datang seorang lelaki yang datang membawa payung kepada saya. Saya tak kenalnya tetapi saya menerima ajakkannya berpayung dan berlindung dari hujan dan banjir itu. Saya mendonggak ke langit, saya melihat langit sungguh cantik, bintang penuh bercahaya di langit.
Tolonglah saya. Saya kini terganggu dengan mimpi itu. Kalau sesekali datang tak mengapa tapi ia selalu datang.
Maryam, Kota Bharu
Jawapan:
Satu perkara yang perlu disedari, mimpi tidak boleh dijadikan hujjah ke atas hukum syarak. Ia sekadar berita-berita yang menggembirakan atau berita-berita amaran sahaja. Tidak lebih dari itu. Mimpi yang benar datang dari orang yang tidak pernah berbohong dalam hidupnya. Menurut Ibn Al-Qayyim semakin benar hidup seseorang itu semakin benar mimpi yang dialaminya. Selain itu orang yang bermimpi itu hendaklah berada dalam keadaan berwuduk dan tidur pula dalam suasana mengikut sunnah. Menurut Ibn Al-Qayyim lagi menjelang berlakunya kiamat hampir-hampir mimpi seseorang mukmin tidak meleset sama sekali.
Mimpi ada 3 bahagian iaitu mimpi yang datang dari malaikat. Mimpi ini adalah mimpi yang baik. Mimpi yang datang dari Syaitan. Mimpi ini tidak boleh diambil kira dan akhir sekali mimpi yang datang dari kesan kerja seharian. Dimana kesan ini terbawa-bawa ke dalam mimpinya. Kedua mimpi ini tidak boleh dipercayai. Selain itu di kalangan ulamak ada juga yang pakar dalam mentaabir mimpi. Antaranya Ibn Sirin dalam kitabnya Tafsir Mimpi. Kebolehan mentafsir mimpi jarang berlaku kepada manusia kecuali kepada mereka yang dipilih oleh Allah sepertimana yang berlaku kepada nabi Yusuf sewaktu berada di dalam penjara pembesar Mesir.
Berhubung mimpi yang dialami oleh saudari di atas dapatlah disimpulkan dalam beberapa aspek. Antaranya keadaan hidup saudari susah, tetapi Allah SWT akan menghilangkan kesusahan itu dengan kedarangan seorang lelaki dalam hidup saudari dan ia akan menjadi suami yang bertanggungjawab kepada saudari dan membimbing saudari ke jalan yang lurus di dunia dan juga akhirat. Antaranya juga boleh jadi saudari sendiri sekarang kurang melaksanakan hak Allah dalam perlakuan hidup saudari dan kurang menghargai nikmat Allah yang dikurniakan Allah kepada saudari dengan melimpah ruah. Suatu hari nanti saudari akan insaf setelah saudari menghadiri majlis ilmu yang diadakan oleh salah seorang ulamak terkemuka di tempat saudari. Antaranya juga ia membawa maksud perlu saudari menghisab amalan saudari dari semasa ke semasa. Boleh jadi saudari ada hak Allah yang belum dibereskan, kerana itu saudari disarankan meperbanyakkan taubat kepada Allah.
19. Tanggungjawab Pelajar dalam Kegawatan Ekonomi
Soalan:
Apakah tindakan yang harus dilakukan oleh pelajar untuk membantu masalah kemelesetan mata wang yang melanda negara kita?
Tamimi, Batu Caves
Jawapan:
Soalan yang dikemukakan ini adalah satu soalan yang baik dan menunjukkan saudara adalah seorang penuntut yang prihatin dengan keadaan ekonomi yang menimpa negara sekarang ini. Sebenarnya dari sudut pandangan Islam ada beberapa cara yang boleh digunakan oleh saudara bagi membantu pihak berkuasa mengatasi masalah kegawatan ekonomi sekarang berdasarkan kemampuan yang ada pada saudara iaitu:
1. Menunaikan solat hajat setiap malam jumaat mudah-mudahan Allah SWT bersihkan negara ini dari mala petaka kegawatan ekonomi yang sedang berlaku.
2. Dalam menggunakan barangan harian saudara hendaklah menggunakan barangan tempatan dan membelinya sekadar keperluan sahaja. Bukan untuk tujuan bermewah mewah.
3. Jika saudara berhasrat untuk menyambung pelajaran sambunglah di institusi pengajian tinggi tempatan bagi mengelakkan pengaliran wang negara ke luar.
4. Galakkan orang lain seperti kawan-kawan terdekat dan kaum keluarga supaya sentiasa berjimat cermat dan hindarkan dari membazir.
5. Jika saudara mempunyai idea yang bernas saudara boleh mengemukakannya kepada pihak berkuasa sebagai melaksanakan tugas nasihat dalam Islam atau saudara boleh menulis di dalam akhbar ataupun di dalam majalah-majalah.
6. Saudara sendiri hendaklah memainkan peranan menggalakkan sahabat handai dan kaum keluarga terdekat supaya menjauhkan diri dari terlibat dengan berbagai aktiviti kemaksiatan dan juga kemungkaran, kerana salah satu sebab kejatuhan ekonomi sesuatu bangsa ialah akibat aktiviti kemaksiatan yang dilakukan oleh penduduk negara berkenaan
sendiri. Selain itu saudara hendaklah memperbanyakkan taubat kepada Allah begitu juga dengan sanak saudara dan sahabat yang lain.
20. Maksud Nama Anidawati
Soalan:
Saya mempunyai seorang kawan bernama Anidawati. Dia selalu risau kerana tidak mengetahui maksud namanya yang sebenar, dia takut kalau-kalau ianya membawa maksud yang tidak elok. Ada setengah pendapat mengatakan nama wati adalah tidak elok. Kenapa? Harap dapat jelaskan?
Hamba Allah, Seremban
Jawapan:
Dalam Islam ibubapa dikehendaki memberikan nama yang baik kepada anaknya, di mana dengan nama itulah anak itu akan dipanggil oleh Allah SWT di padang mahsyar kelak. Nama Anidawati yang terdapat dalam soalan di atas memang diakui mempunyai makna yang kurang elok. Anida bermaksud seorang yang suka menentang kebenaran,. Ini jika ditulis dengan huruf Arabnya bermula dengan huruf Ain tetapi jika ditulis dengan huruf Alif ia tidak membawa apa-apa maksud. Wati jika ditulis huruf Ta' pada huruf T pada wati itu, ia tidak mengandungi apa-apa maksud, tetapi jika huruf T tersebut ditulis dengan huruf To" dalam huruf arabnya, maka ia membawa maksud orang yang suka bersetubuh atau melakukan hubungan seks.
21. Sejarah dan Cara Menghindar Angin Ahmar (Stroke)
Soalan:
Apakah sejarah penyakit angin ahmar?
Bagaimanakah menghindarkan diri dari penyakit ini?
Adakah kemungkinan untuk sembuh jika seseorang itu telah diserang oleh penyakit ini.?
Samijan, Rawang
Jawapan:
Angin Ahmar atau Rih Al-Ahmar dalam bahasa Arabnya adalah satu penyakit yang diciptakan oleh Allah mempunyai hikmah tertentu kepada manusia. Diriwayatkan bahawa penyakit ini telahpun berlaku semenjak zaman nabi Allah Sulaiman AS lagi. Di zaman nabi kita Muhammad SAW, cucu baginda Sayidina Hasan mengidap penyakit rongga sehingga keluar darah darinya. Lalu datanglah Jibril AS menjelaskan yang cucu baginda itu terkena penyakit angin Ahmar. Bila ditanya tentang ubatnya lalu Jibril mengajarkannya kepada Nabi SAW.
Sebenarnya doa mengelakkan terkena penyakit angin Ahmar begitu panjang sekali. Apabila diserang penyakit ini biasanya seseorang itu akan lumpuh, bagaimanapun harapan untuk sembuh memang ada dengan izin Allah SWT. Anda hendaklah berpuasa sunat pada hari Isnin dan hari Khamis atau pada hari-hari lain yang disunatkan berpuasa di dalam Islam. Hendaklah memperbanyakkan solat Tahajjud, disamping berubat dengan mereka yang telah mahir untuk mengubati penyakit ini samada dengan cara mengurut, membaca doa yang disabitkan di atas atau mengamalkan rawatan-rawatan tertentu. Selain itu anda juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan senaman.
22. Menghafal Al Quran dengan Berkesan
Soalan:
Ada terpendam di dalam hati saya untuk menghafal al-quran. Jadi saya ingin tahu akan cara-cara yang berkesan untuk menghafal Al Quran, seperti waktu yang sesuai untuk menghafal, pantang-pantang dan sebagainya. Saya berbesar hati jika ustaz dapat menjawab soalan saya kerana sudah sekian lama saya ingin menghafalnya?
Fazli, Kampar
Jawapan:
Menghafal Al-Quran memerlukan kesabaran jitu, kerana ia merupakan mukjizat Allah yang diturunkan kepada nabi besar Muhammad SAW. Al-Quran merupakan cahaya dan ia mudah hilang kerana kegelapan maksiat. Untuk itu cubalah jauhi perbuatan buruk walaupun pada perkara yang ringan seperti mendengar muzik, berbual kosong dan sebagainya. Menurut pendapat penghafal Al-Quran yang berpengalaman, masa yang sesuai untuk menghafal Al-Quran ialah ketika sunyi terutama di waktu pagi. Walaupun begitu, anda harus berlatih untuk menghafal dalam setiap situasi sekadar termampu.
Cara menghafalnya pula berbagai-bagai. Namun kaedah biasa ialah dengan mengulangi 2-3 ayat secara melihat kepada Al-Quran kemudian cuba mengingatinya, setelah itu bolehlah berpindah ke ayat-ayat yang lain. Untuk menguatkan hafalan, anda dikehendaki mengulanginya selalu. Kalau boleh bacakan ayat-ayat yang telah dihafal di dalam solat fardu atau sunat rawatib. Harus diingat menghafal ayat yang baru adalah lebih mudah dari menjaga ayat yang telah dihafal.
Oleh kerana itu peruntukkan waktu khusus untuk mengulanginya. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, "sesungguhnya Al-Quran lebih cepat luput dari hati dari hilangnya unta yang terlepas dari ikatannya". Anda hendaklah juga menjaga makanan, agar tidak memakan makanan yang haram atau syubhah, kerana ia boleh memberi kesan kepada mutu hafalan.
Perbanyakkan ibadat sunat dan solat hajat. Jika anda merasa masih terlalu susah hendak menghafal cuba lakukan solat ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani yang menceritakan bahawa saidina Ali pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang hafalannya yang buruk, lalu Rasulullah SAW menyuruhnya mendirikan solat pada tiap-tiap malam Jumaat sebanyak 4 rakaat. Pada rakaat pertama sesudah Al-Fatihah dibaca surah Yaasiin. Pada rakaat kedua sesudah Al-Fatihah dibaca surah Ad-Dukhan, seterusnya pada rakaat ketiga selepas Al-Fatihah dibaca surah As-Sajadah dan pada rakaat yang keempat selepas Al-Fatihah hendaklah dibaca surah Al-Mulk.
Setelah Saidina Ali melakukannya selama 7 kali Jumaat, beliau begitu gembira apabila memberitahu Rasulullah SAW yang beliau telah menghafal Al-Quran dan hadisnya dengan mudah. Diharapkan Allah SWT akan memberi taufik kepada saudara untuk terus menjadi generasi yang memelihara Al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW. Untuk keterangan lanjut sila rujuk buku Fadail Al-Quran karangan Ibn Katheir.
23. Persoalan Anjing dari Konteks Saintifik
Soalan:
Merujuk kepada persoalan najis mughallazah, Islam telah menetapkan kita larangan-larangan tertentu terhadap anjing dan babi serta keturunan dari dari mana-mana keduanya. Sebagai seorang muslim wajiblah mengakurinya. Kalau dilihat dari segi saintifiknya, memang banyak hikmahnya kenapa Islam melarang umatnya mendekati babi(termasuk dagingnya, tabiat hidupnya, kandungan bakteria yang memudaratkan sistem badan manusia dll.). Tetapi bagaimana pula hubungannya dengan anjing. Apakah pendekatan saintifik bagi anjing pula. Dalam konteks pembelaannya, isi kandungan dagingnya, tabiat dan habitatnya?
Nur, KL
Jawapan:
Anjing adalah binatang peliharaan yang jinak dan berguna kepada manusia. Untuk itu kenapa ia diharamkan? Dari segi pendekatan saitifik, kajian membuktikan air liur anjing mengandungi bakteria yang membahayakan manusia. Ini kerana anjing tidak berpeluh tetapi pengomoskawal-aturannya adalah melalui lelehan air liur dari mulutnya yang sentiasa ternganga.
Kesan gigitan anjing, jika tidak dirawat segera akan memudaratkan manusia. Ini terbukti dari kajian yang diterbitkan di dalam journal sains barat, di mana mereka telah mengkaji tentang bahaya anjing sebagai binatang peliharaan. Rasulullah SAW sendiri menyuruh supaya dibunuh anjing gila kerana penyakit merbahaya yang mungkin merebak dalam masyarakat akibat gigitannya. Memandangkan kepada bahaya air liur anjing ini, nabi Muhammad SAW telah menyuruh kita menyamak bekas yang dijilat oleh anjing, sebagaimana yang termaktub dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim, dengan enam kali air bersih dan satu kali air yang bercampur dengan lumpur.
Kajian saintifik menunjukkan kuman-kuman yang terdapat di dalam mulut anjing itu dapat dimatikan dengan lumpur yang digunakan untuk menyamak bekas yang dijilat oleh anjing itu. Air liur anjing adalah najis Mughallazah. Anjing tidak boleh dimakan bukan sahaja kerana ia binatang yang najis, malah ia juga binatang yang bertaring dan menangkap binatang dengan cara menerkam. Walau bagaimanapun jika anggota badan kita kering, tersentuh dengan bulu anjing yang juga kering, hukumnya tidak najis. Anjing boleh digunakan untuk berburu dan bahagian yang digigit oleh anjing hendaklah dibuang. Bakinya boleh dimakan.
24. Berita Huru Hara
Soalan:
Sebelum ini saya telah mendengar berita tentang pendapat beberapa ulama mengenai suasana huru-hara yang akan berlaku ke atas negara kita menjelangnya Sukan Komanwel nanti. Oleh itu saya berharap agar pendapat ini dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci lagi terutamanya dari sudut perspektif Islam.
Azinuddin, UNITEN
Jawapan:
Sesungguhnya tiada siapa mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah s.w.t sahaja. Ini berdasarkan firmanNya dalam surah al An'am ayat 59 yang bermaksud :" Sesungguhnya hanya (Allah) yang memiliki kunci (pengetahuan) tentang perkara ghaib yang tidak diketahui (orang) kecuali diriNya sahaja ".
Dalam hal-hal tertentu, Allah memberikan tanda tanda kepada sesiapa yang dikehendakinya untuk mengetahui kejadian yang bakal berlaku, namun kita harus berhati hati apabila menerima berita seumpama ini kerana ia memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat. Dalam surah Al Hujurat ayat ke 6 Allah s.w.t telah mengingatkan kita tentang perkara ini dalam firmanNya yang bermaksud :" Wahai orang orang yang beriman apabila kamu didatangi oleh orang fasiq membawa berita maka hendaklah kamu menyelidikinya terlebih dahulu ".
Tentang suasana huru hara menjelang sukan KL 98, perkara ini telah dinafikan oleh Dato' Pro. Dr. Harun Din, oleh itu tidak perlulah kita membesar-besarkannya demi kemaslahatan dan keamanan negara kita. Disamping itu bersatu, dan berdoalah kepada Allah agar mengekalkan suasana keharmonian negara yang kita cintai dalam apa jua keadaan.
25. Masalah Bencana Alam
Soalan:
Semenjak akhir-akhir ini, pelbagai masalah yang telah dan bakal melanda negara dan dunia termasuk bencana alam. Oleh yang demikian apakah kaitan peristiwa -peristiwa yang berlaku ini dengan penjelasan Allah dalam Al Quran mengenai hari kiamat?
Azinuddin, UNITEN
Jawapan:
Tentang bencana dunia yang menimpa manusia kini ia berkait rapat dengan bala Allah s.w.t yang diturunkan kepada mereka kerana kemusnahan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Ini berdasarkan firmanNya dalam surah Ar Rum ayat ke 41 yang bermaksud : "Telah berlaku kemusnahan di darat dan di lautan kerana perbuatan yang dilakukan oleh tangan tangan manusia".
Ia sebagai peringatan kepada manusia agar mereka insaf terhadap perlakuan mereka sendiri. Kekerapan kejadian bencana alam seperti gempa bumi, banjir, pembunuhan dan sebagainya juga merupakan tanda-tanda awal berlakunya kiamat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Al Bukhari yang bermaksud : "Tidak berlaku kiamat sehinggalah banyak terjadi kejadian gempa bumi".
26. Panduan Rekreasi Secara Islam
Soalan:
Saya berusia 24 tahun. Kini saya secara aktif melibatkan diri dalam bidang rekreasi dan sering mendapat undangan mengendalikan program-program motivasi. Saya sebenarnya lebih berminat untuk menggunakan modul-modul yang lebih Islamik dalam mengendalikan program-program saya. Malangnya kesukaran untuk mendapatkan bahan yg menarik, yang lebih bercirikan Islam seringkali menghalang saya dari mengIslamikkan modul-modul yg ada sekarang.
Adakah sebarang garis panduan untuk berekreasi (mendaki gunung/melakukan ekspedisi) di dalam Islam. Saya yang cetek ilmu dan terlalu banyak kelemahan ini memohon panduan serta tunjuk ajar dari pihak tuan agar misi saya menepati kehendak Islam itu sendiri?
Farook, Sg Buloh
Jawapan:
Aktiviti reakreasi seperti mendaki gunung adalah sesutu yang baik pada pandangan Islam kerana ia boleh melatih minda umat Islam dan melatih mereka tahan sabar, selain berpeluang dari menyaksikan berbagai flora dan fauna ciptaan Allah SWT. Dengan memerhatikan kesemua ini akan bertambahlkah iman seseorang. Inilah antara motif aktiviti ini digalakkan oleh Islam. Jika seseorang itu hanya memerhatikan sahaja ke semua makhluk ini tetapi sedikitpun tidak menagambil iktibar dan tauladan darinya, baik tak usah buat aktiviti seperti ini, kerana ia menghabiskan tenaga sahaja dan membazir masa.
Apalagi jika ia merupakan peluang baik untuk memenuhi dorongan nafsu syaitan, lagi ditegah oleh Islam. Dalam mengendalikan aktiviti seperti ini pastikan aktiviti dimulakan dengan bacaan doa selamat, kerana hutan rimba adalah tempat penempatan berbagai makhluk halus termasuk jin. Sewaktu mendirikan khemah hendaklah membaca nama Allah. Begitu juga ketika hendak tidur. Elakkan peserta lelaki bercampur baur dengan peserta perempuan. Mulakan majlis dengan membaca Surah Al-Fatihah dan akhirinya dengan membaca surah Al-Asr.
Jauhkan peserta dari membuka aurat di hadapan perempuan asing yang halal berkahwin dengannya. Jangan sekali-kali meninggalkan solat berjemaah. Peruntukkan satu dua ruang untuk membaca Al-Quran dan berzikir kepada Allah. Kuatkan tawakal hati kepada Allah. Penuhkan pengisian dengan perkara yang boleh membina minda dan rohani peserta sekaligus. Wujudkan ruang khas untuk ulasan tentang perjalanan hidup para sahabat dan Rasulullah SAW sendiri. Ikutlah sunnah Rasulullah SAW dalam pergaulan seharian.Wallahu A'lam.
27. Misteri di Segitiga Bermuda
Soalan:
Kejadian misteri yang berlaku di Segitiga Bermuda di Lautan Pasifik masih tidak dapat dijelaskan sehingga hari ini. Berbagai andaian dibuat oleh saintis barat namun ianya masih mengelirukan, justeru itu apakah pandangan Islam mengenai hal ini. Bagaimana dengan catitan tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang terkenal pada masa dahulu mengenai hal ini?
Mat, Hulu Langat
Jawapan:
Boleh dikatakan tidak ada di kalangan ulamak yang membahaskan tentang tragedi yang berlaku di kawasan Segitiga Bermuda dan tidak ada seorangpun yang mengetahi tentang makhluk yang menghuni di situ. Walau bagaimanapun ada juga di kalangan penulis Islam dari Mesir di masa kini yang berpendapat Segitiga Bermuda adalah kawasan penempatan jin dan di situlah juga kawasan penempatan Dajjal yang akan keluar di akhir zaman yang pernah dilihat oleh seorang sahabat nabi bernama Tamimul Dari.
Ini adalah andaian dari beliau sahaja tanpa bukti-bukti yang konkrit. Yang wajib kita percayai ialah adanya makhluk yang bernama jin dan kawasan penempatannya ialah di pulau-pulau di tengah lautan yang kemungkinannya termasuklah kawasan Segitiga Bermuda. Kita juga wajib mempercayai yang Dajjal akan keluar di akhir zaman dan mengganas di dunia ini. Bagaimanapun di mana kawasan Dajjal itu tinggal secara tepat sekarang tidak diketahui.
28. Bahaya Oreintalis
Soalan:
Saya ingin mendapatkan lebih maklumat tentang kegiatan dan aktiviti golongan orientalis dalam menceritakan atau mengupas tentang islam ini dapat membantu saya memahami apa itu orientalis dan kejian saya tentang orientalis?
Shamsul, KL
Jawapan:
Orientalisme berasal dari kata orient dan isme. Orient ertinya timur dan isme ertinya faham. Di dalam orientalisme apabila kita menyebut orient ertinya ialah semua wilayah yang terbentang dari Timur Dekat sampai Timur Jauh dan juga negara-negara yang berada di Afrika Utara dan Tengah.
Untuk memberikan pengertian yang lengkap seorang sarjana Turki Abdul Haq Adnan Adiver menyatakan bahawa orientalisme adalah suatu pengertian yang lengkap dimana dikumpulkan pengetahuan yang berasal dari sumbernya yang asli yang berhubungan dengan bahasa, agama, kebudayaan, sejarah, ilmu alam, ethnografi, kesusasteraan dan kesenian yang berada di Timur.
Pada dasarnya penelitan yang dilakukan oleh orang-orang Barat itu berusaha mengkaji ketimuran secara lebih mendalam, kemudian memasukkan unsur-unsur pemikiran didalam penelitian dan penyelidikannya itu. Umpamanya mereka mengadakan penyelidikan tentang pengetahuan keagamaan, khususnya agama Islam, apabila segala bahan telah berhasil mereka kumpulkan maka mereka melakukan analisa menurut pemikiran mereka. Sehingga akan ditemui nanti nilai ajaran Islam itu secara halus diubah daripada pengetian yang sebenar.
Orang-orang oreintalis berusaha memasukkan missi mereka untuk menarik orang-orang lain agar masuk ke dalam kumpulan mereka, dengan sendirinya apa yang menjadi cita-cita akan tercapai. Tujuan asas oreintalis mempelajari agama Islam antara lain, untuk kepentingan penjajahan, untuk kepentingan agama, untuk kepentingan diplomasi dan perdagangan serta untuk kepentingan ilmu pengetahuan.
Untuk tujuan-tujuan tersebut mereka mempelajari ketimuran termasuk tentang ajaran Islam dari sumbernya yang asli kemudian dirubah sesuai dengan pemikiran mereka. Oleh sebab itu, umat Islam harus waspada dalam membaca buku-buku agama Islam yang ditulis oleh para orientalis, kerana mereka telah mencampur adukkan antara kebenaran dengan kebatilan.
29. Menghalau Hantu
Soalan:
Menurut kepercayaan sesetengah org tua untuk menghindarkan bayi dari diganggu oleh hantu dan syaitan mereka meletakkan pisau atau gunting dibawah bantal bayi dan adakalanya mereka meletakkan kunyit dan bawang yg ditumbuk diatas kepala bayi khususnya diwaktu senja untuk tujuan yg sama. Apakah benar pendapat tersebut?
Azizah, KL
Jawapan:
Di dalam Islam ada cara dan kaedah-kaedah tertentu yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW bagaimana caranya kita menghindari daripada gangguan syaitan. Diantara amalan yang perlu dilakukan sesuai dengan sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Apabila Fatimah hampir melahirkan, Rasulullah SAW menyuruh Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy agar datang melihat Fatimah, maka Rasulullah SAW membaca ayat Kursi, surah Al A'raf ayat 54 di sisi Fatimah dan memohon perlindungan kepada Allah dengan membaca Muawwizatain iaitu surah Al Falaq dan surah An Nas". (Hadith riwayat Ibnu Sunny)
Ada satu lagi doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sangat baik dibaca bagi keluarga yang menerima cahaya mati agar mereka terhindar dari gangguan syaitan. Doa tersebut maksudnya: "Aku memohon perlindungan dengan kalimah Ilahi yang sempurna daripada gangguan semua syaitan dan binatang-binatang yang berbisa dan daripada pandangan mata yang jahat"
Meletakkan pisau atau gunting di bawah bantal dengan tujuan untuk menghalau syaitan atau hantu merupakan perbuatan khurafat yang tidak berlandaskan sunnah yang mungkin direka-reka oleh nenek moyang masa silam yang masih berbau ajaran hindu.
Begitu juga mengenai kunyit yang diletakkan di atas dahi jika diniat untuk menghalau hantu, ini menunjukkan kurang arifnya kita dalam memahami ajaran Islam dan tidak mampu membezakan antara khurafat dan karut marut dengan nilai murni ajaran Islam. Jika kunyit di dahi itu dikatakan sebagai ubat, mungkin boleh diterima dan perlulah dikaji secara saintifik. Wallahu A'lam.
30. Berguru dengan Syaitan
Soalan:
Benarkah selagi kita belum menyertai jamaah atau usrah dimana ada seorang tok guru yang boleh menegur dan mengajar kita, selagi itu kita berguru dengan syaitan? Walaupun kita telah mengikuti kelas pengajian di masjid-masjid dan sering belajar melalui buku dan juga melalui internet. Bolehkah juga saya menganggap ustaz-ustaz yang mengajar di masjid-masjid sebagai tok guru saya, walaupun mungkin dia tidak mengenali saya?
Ibnuas, KL
Jawapan:
Mendengar ceramah (majlis ilmu) yang di adakan di masjid-masjid ataupun di surau-surau yang disampaikan oleh ustaz juga sama peranannya dengan tok guru. Begitu juga halnya dengan membaca buku-buku agama bersumber dengan al Quran dan hadith yang ditulis oleh ulama atau tok guru ataupun ustaz yang tidak membawa kepada kesesatan, ianya boleh dijadikan sebagai rujukan.
Namun jika tidak faham rujuklah kepada tok guru atau ustaz tertentu (sebaik-baiknya yang mursyid). Jika belajar melalui ustaz atau buku yang tidak berdasarkan Al Quran dan sunnah, menyeleweng dari ketentuan syarak maka sudah jelas kita berguru dan merujuk dengan syaitan. Wallahu a'lam.
31. Antara Ramalan dan Kenyataan
Soalan:
Semenjak akhir-akhir ini, saya dapati berita-berita yang tidak baik akan berlaku di negara ini. Apakah sebab-sebab yang mungkin dan apakah ada dalang yang cuba mengeruhkan keadaan. Benarkah juga isu murtad telah dipandang ringan oleh pihak kerajaan dan benarkah akan berlaku kehancuran kepada negara kita di hari Sukan Komanwel nanti. Kami sebagai rakyat dalam keadaan takut, termasuklah diri saya.
Lina, Selangor
Jawapan:
Isu murtad dan bencana yang akan terjadi ketika sukan komanwel memang sering diperkatakan bahkan telah menjadi buah bibir masyarakat kita. Mengenai masalah murtad terlalu sukar untuk kita terangkan tentang usaha kerajaan dalam mengatasi masalah ini, kerana kita tidak tahu secara pasti strategi dan pendekatan yang mereka gunakan dalam mengatasi masalah ini. Dari beberapa sumber ada mengatakan bahawa isu orang Melayu murtad memang terlalu ramai, bahkan menurut seorang bekas paderi yang telah bertaubat mengatakan setakat yang ia ketahui lebih kurang dua belas ribu orang dari kalangan orang Melayu yang telah murtad.
Jika ditinjau dari sudut sejarah dan hukum Islam maka perkara murtad merupakan masalah serius yang pernah dihadapi oleh umat Islam. Itulah sebabnya ketika zaman Khalifah Abu Bakar, beliau sangat bersungguh-sungguh dalam memerangi golongan nabi palsu yang menyebabkan berpuluh bahkan beratus ribu umat Islam menjadi murtad.
Perkara yang paling penting bagi umat Islam di negara ini adalah memperkukuh ketahanan akidah agar dapat melawan segala pengaruh kristianisasi yang menyesatkan umat Islam sekaligus menyiapkan diri dengan bekal ilmu agama Islam. Jangan mengharapkan mana-mana pihak untuk menjamin keutuhan akidah dan agama kita sendiri, kerana setiap umat Islam bertanggungjawab menjaga agama dan keyakinannya daripada diserang dan diancam oleh pihak luar.
Mengenai isu huru hara di sukan komanwel telah kami jawab dalam soalan 24 yang telah lalu.
32. Rawatan Ortodontik (Menyusun Gigi)
Soalan:
Apa hukum jika seseorang membuat rawatan ortodontik(menyusun gigi)?
Nor Aziah, Melaka
Jawapan:
Jika rawatan yang dilakukan tidak merubah keadaan gigi seperti tidak mengikirnya menjadi pendek atau yang serupa dengan itu maka dibolehkan. Jika rawatan tersebut menyebabkan seseorang itu mengikirnya atau merubah bentuknya yang asal maka Rasulullah SAW melaknat pekerjaan orang tersebut. Dalam sebuah hadith disebutkan; "Rasulullah SAW melaknat perempuan yang membuat tahi lalat dan yang minta dibuatkan, yang mengikir gigi dan yang diminta dikikir giginya. (Riwayat Tabrani)
33. Reformasi menurut Islam
Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan Konsep Reformasi dalam Islam dan harap tuan berikan contoh-contoh yang sesuai?
Mohd Nazlan, K Pilah
Jawapan:
Istilah reformasi atau pembaharuan dalam Islam timbul setelah perkembangan dan pertumbahan umat Islam mengalami hakisan atau kejatuhan nilai. Pada dasarnya Islam tidak memerlukan reformasi kerana ajarannya telah lengkap dan sempurna. Reformasi dalam Islam adalah berhijrah kearah memurnikan kembali nilai-nilai akhlak dan moral umatnya yang telah lari dari konsep kebenaran dan keadilan.
34. Menambah Berat Badan
Soalan:
Apakah hukumnya mengambil sebarang bahan seperti " Weight Gain" untuk menambah berat badan?
Khairul Nizam, JB
Jawapan:
Boleh (harus) hukumnya mengambil bahan makanan tertentu dengan tujuan untuk menambah berat badan. Namun begitu pastikan bahawa bahan makanan tersebut dibuat dari bahan yang halal.
35. Menggali Kubur Mayat Semula
Soalan:
Apakah hukum menggali semula mayat yang telah dikebumikan dengan tujuan untuk membetulkan kesilapan semasa menanamnya?
Amran, K Klawang
Jawapan:
Menggali semula kubur mayat yang telah dikebumikan dengan tujuan untuk membetulkan kesilapan semasa menamnya ataupun ingin memindahnya hukumnya dibolehkan. Perkara ini sesuai dengan hadith Rasulullah SAW dari Jabir ra katanya, "Rasulullah SAW mendatangi Abdullah bin Ubai setelah di masukkan ke liang kubur. Maka Rasulullah SAW menyuruh mengeluarkannya kembali lalu dipangkunya diatas kedua lutut baginda, disemburkannya dengan air ludahnya dan dipakaikan baju" (Riwayat Bukhari)
Diriwayatkan dari Abdullah bin Amat oleh Abu Daud katanya: Ketika kami pergi ke Thaif dan lalu disebuah kawasan perkuburan, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Inilah dia kubur Reghal. Waktu ia berada di tempat larangan ini mempertahankannya. Maka tatkala ia keluar, iapun ditimpa hukuman sebagai dialami kaumnya, lalu dikuburkan di tempat ini. Adapun ciri-ciri kuburnya itu bahawa di dalamnya terdapat sebuah ranting terbuat dari emas yang ikut ditanam bersama mayatnya. Jika kebetulan kamu menggali kuburnya tentulah kamu akan mendapatkan ranting emas itu di dalamnya". Orang-orang pun mendahului Rasulullah dan mengeluarkan ranting emas itu.
Jadi bolehlah menggali kubur kembali jika untuk sesuatu maksud yang dapat dibenarkan.
36. Menggunakan Wang Sedekah yang Diberikan kepada Si Mati
Soalan:
Saya mempunyai seorang anak saudara berumur 16 tahun yang telah meninggal dunia pada tahun lepas kerana kemalangan motosikal. Kami ada menerima sekeping cek bernilai RM 5,000.00 dari pihak sekolah untuk Allahyarham. Ibu saya ingin gunakan duit itu untuk membuat upah Haji untuk allahyarham, membeli batu nisan, membeli Al-Quran untuk disedekahkan kepada masjid-masjid dan untuk membuat kenduri Arwah. Masalah saya ialah apakah cara yang paling baik untuk menggunakan duit itu untuk kebaikan Allahyarham?
Siti Fatimah, Wangsa Maju
Jawapan:
Jika ahli waris menerima sedekah wang dari pihak tertentu untuk mayat, maka gunakanlah wang itu untuk kemaslahatan orang yang meninggal dunia tersebut. Seperti menyediakan perlengkapan bagi si mayat bermula dari memandikan hinggalah mengebumikannya. Jika kesemua perkara yang wajib bagi si mayat ini telah dikerjakan maka gunakanlah wang tersebut untuk kebaikannya seperti mensedekahkan wang tersebut bagi pihak si mayat, boleh juga melaksanakan seperti niat anda di atas, untuk mengupah orang mengerjakan haji bagi si mayat, jika mayat telah baligh. Wallahu A'lam.
37. Hukum Meminum Guiness Malta
Soalan:
Apakah hukum minuman jenama Guiness Malta?
Risal, KL
Jawapan:
Biasanya setiap minuman di dalam tin disenaraikan kandungan yang dimasukkan ke dalam minuman tersebut. Jika ada unsur alkohol sedikit ataupun banyak tetap haram. Untuk lebih jelas bacalah dahulu senarai kandungan minuman tersebut sebelum membelinya. Wallahu A'lam.
Soalan:
Saya berencana untuk membeli rumah. Tapi karena ada orang pandai yang "bisa melihat", katanya di rumah itu ada hantunya. Saya ingin tahu mengenai hantu di dalam rumah atau yang disebut juga penunggu rumah. Bagaimanakah seharusnya seorang muslim menghadapi makhluk halus ini. Dan apakah kita boleh percaya pada orang pandai yang memiliki indera ke-6, dalam hal ini dia seorang muslim pula. Mohon bantuannya?
Anti, Indonesia
Jawapan:
Dalam dunia ini disamping manusia ada makhluk lain yang hidup disekitar kita seperti para jin, malaikat
dan makhluk lainnya. Bukan suatu yang mustahil jika tempat kediaman manusia juga didiami oleh makhluk seperti jin tadi. Walaupun begitu manusia merupakan makhluk yang paling baik dan mulia yang tidak perlu takut dengan makhluk seperti jin. Bahkan jika kita tergolong orang yang beriman, makhluk seperti jin, iblis dan syaitan akan takut dengan kita. Tidak ada sebab mengapa manusia harus takut dengan mereka, tetapi sebaliknya buatlah mereka merasa segan dan takut dengan keimanan yang tersemat dalam sanubari manusia.
Seorang muslim ketika ingin memasuki rumah apakah rumah baru mahupun rumah yang telah dihuni, hendaklah membaca salam. Seandainya ingin pindah ke rumah baru tambahlah dengan membaca ayat kursi, surah al ikhlas, Al falaq dan surah An Nas. Disamping itu bacalah doa dibawah ini maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Mu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar. Dan kepada Allah, kami bertawakal". Setelah membaca doa ini ucapkan salam. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan Abu Daud daripada Abu Malik Al asyari ra. Rasulullah SAW bersabda: " Jika seseorang memasuki rumahnya, hendaklah ia mengucapkan doa tersebut kemudian hendaklah ia memberikan salam kepada penghuni di dalamnya, baik ada orang di dalamnya ataupun tidak. Kerana tujuan memberi salam bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada malaikat dan jin yang tinggal di situ.
Perlu diketahui juga bahawa setiap rumah samada rumah kosong atau di huni orang, ia tidak akan sepi daripada malaikat dan jin. Wallahu A'lam.
39. Permulaan Hari Baru Tahun Hijrah
Soalan:
Saya ada satu kemusykilan: Pada waktu bilakah bermulanya hari yang baru jika merujuk kepada kalendar Hijrah, pada pukul 12:00 tengah malam, atau pada waktu Maghrib?
Kamarul, Petaling Jaya
Jawapan:
Jika melihat praktik amalan dalam kehidupan umat Islam kebanyakannya menunjukkan bahawa permulaan suatu perayaan itu dimulai ketika masuknya waktu Maghrib. Umpamanya untuk menyambut hari raya Aidul Fitri, setelah masuknya waktu Maghrib dimulailah takbir tanda telah masuknya hari raya tersebut. Begitu juga halnya dengan menyambut hari raya Aidul Adha, tahun baru Hijrah dan sebagainya. Wallhu A'lam.
Soalan:
Didalam sebuah supermarket yang mana ianya turut menjual bahan-bahan tidak halal seperti daging babi. Kemusykilan saya ialah tentang troli(kereta sorong) yang kita gunakan. Sedangkan orang kafir yang membeli bahan-bahan tidak halal tadi pun menggunakan troli yang sama dan troli itu tidakpun disamak setelah orang kafir gunakan untuk membeli daging babi tadi. Jadi persoalan saya bagaimanakah hukumnya kita untuk menggunakan troli itu. Adakah ianya boleh atau haram atau ada cara lain?
Syafie, Selangor
Jawapan:
Jika troli yang ada di supermarket dalam jumlahnya yang banyak itu tidak ada pengkhususannya, sehingga sukar bagi kita untuk menentutan samada ia digunakan untuk membawa barang yang tidak halal ataupun sebaliknya, jadi hukumnya boleh (harus) dalam menggunakan troli tersebut. Apatah lagi biasanya di supermarket negara ini selalunya akan membungkus dengan plastik setiap barangan basah (seperti daging) tidak kiralah barang yang halal ataupun haram, jadi tidak timbul akan terpegang dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment