Sunday, March 23, 2014

NIKAH




1. Menjadi Wali Untuk Adik 
Soalan: 
Assalamualaikum, Ustaz. Keluarga saya mengalami masalah sejak kematian ibubapa, Saya dan Abang saya boleh menjadi wali untuk adik saya, masalahnya sikap abang saya yang tidak memgambil berat hal keluarga, jarang menjengah kami, panas baran & susah hendak berunding. Beliau selalu berkata saya tidak berhak kerana dia anak lelaki tua yang ada. Untuk mengelakkan perbalahan bolehkah saya mewalikan adik saya tanpa memberitahunya?

Amat Unus, KL
Jawapan: 
Menurut Imam Syafei; pernikahan seorang perempuan tidak sah kecuali apabila dinikahkan oleh wali akrab (dekat). Kalau tidak ada wali akrab maka dinikahkan oleh wali ab'ad (jauh), kalau tidak ada maka dinikah oleh penguasa (wali hakim). Urutan wali itu antara lain:

 1. Bapa
2. Datuk
3. Saudara lelaki sekandung
4. Saudara lelaki sebapa
5. Anak lelaki dari saudara lelaki sekandung
6. Anak lelaki saudara lelaki sebapa
7. Bapa saudara sekandung
8. Bapa saudara
9. Anak lelaki dari bapa saudara sekandung
10. Anak lelaki dari bapa saudara seayah
11. Hakim

Jadi jelaslah, jika bapa dan datuk tidak ada maka yang layak menjadi wali adalah saudara lelaki sekandung, tidak kiralah apakah abang yang sulung ataupun bukan. 

DN 030 Kursus & Bimbingan Perkahwinan

Kembali ke atas ↑



2. Pernikahan di Bulan Muharam
Soalan: 
Saya kurang pasti, apakah elok melangsungkan perkahwinan pada bulan Muharam? Ada sesetengah pendapat menyatakan tak elok dilakukan pada bulan Muharam.

Muhamad Noh, KL
Jawapan: 
Tidak ada dalilpun yang mengatakan bulan-bulan tertentu baik dan tidak baik untuk melangsungkan perkahwinan. Bahkan Allah menjadikan bulan-bulan-Nya baik belaka. Pendapat itu timbul hanya sangkaan semata daripada setengah masyarakat yang masih terpengaruh dengan unsur-unsur ajaran yang bukan dari ajaran Islam. Hindarilah perkara-perkara khurafat yang dapat merosak nilai ajaran Islam agar kita memperoleh berkah dan rahmat Allah. 
Wallhu A'lam.

Kembali ke atas ↑



3. Menyimpan Aib Sendiri
Soalan: 
Bagaimanakah pendapat ustaz tentang seorang gadis telah diperkosa berbagai-bagai masalah akan timbul.  Terutama apabila ada lelaki yang ingin melamarnya.  Pada pandangan ustaz adakah patut si gadis ini memberitahu atau menceritakan segala peristiwa silam yang telah menimpa dirinya atau menyimpan sahaja rahsia itu sehingga ke akhir hayatnya?

Yati ,KL
Jawapan: 
Setiap orang mempunyai pengalaman tersendiri, bahkan kadangkala pengalaman yang dihadapinya meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa. Dalam hadis Rasulullah SAW juga ada diterangkan agar seseorang itu menutup aib orang lain jika ia mengetahuinya agar tidak menimbulkan fitnah yang lebih besar. Demikian juga tentang aib diri sendiri adalah lebih baik menutup aib tersebut atau menyimpan rahsia itu hingga ke akhir hayat, kerana perkara itu lebih baik untuk diri anda dan untuk pasangan yang melamar anda. Aib yang tidak diketahui oleh orang lain itu bererti telah dilindungi atau ditutupi oleh Allah, maka tidaklah baik jika kita pula cuba membuka sesuatu yang telah ditutup oleh Allah agar orang lain mengetahuinya. Sebaliknya kita bersyukur kepada-Nya kerana telah menutup aib atau pengalaman buruk masa silam kehidupan kita. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑



4. Melamar Suami Orang
Soalan: 
Saya telah bertemu seorang lelaki yang pada saya amat sesuai dengan saya tetapi dia sudah berumahtangga. Bagaimana hendak saya hadapi dia dan bolehkah saya menyatakan hasrat saya?

Wati, Kuantan
Jawapan: 
Jodoh, rezeki dan maut merupakan perkara yang telah ditentukan Allah. Jika anda telah merasa sesuai dengan lelaki yang anda temuai itu, maka tidak salah seandainya anda menyatakan hasrat anda itu, kerana seorang lelaki boleh berkahwin hingga empat orang. Tapi gunakanlah cara yang terbaik untuk menyatakan hasrat anda itu agar tidak dituduh sebagai seorang wanita yang tidak mempunyai harga diri dan sebagainya. Yang paling penting gunakanlah kaedah Islam seperti dengan mengutus orang tengah ataupun dengan surat.

Jika anda ingin berkah dan ingin mendapat keputusan yang terbaik, bukan atas dorongan keinginan hawa nafsu semata, lakukanlah solat istikharah, agar Allah memberikan yang terbaik untuk anda. Insya Allah.

Kembali ke atas ↑



5. Kahwin Melalui Wali Yang Tidak Sah
Soalan: 
Masalahnya berlaku apabila seorang gadis ingin diperisterikan tetapi si bapa gadis tidak mahu masyarakat tahu yang anak gadisnya adalah hasil  di luar nikah lalu mewalikan anak gadisnya. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut dan bagaimana menyelesaikan masalah ini sekiranya si gadis telahpun mempunyai anak dengan suaminya yang disangkanya sah itu?

Azmi, KL
Jawapan: 
Seseorang yang ingin berkahwin memerlukan kepada wali. Wali dalam perkahwinan adalah satu rukun yang penting. Tanpa kebenaran dari pihak wali sesuatu perkahwinan itu tidak sah. Wali yang paling afdal dalam sesuatu proses perkahwinan ialah wali mujbir iaitu bapa atau datuk. Bagi orang yang tidak mempunyai wali, maka yang menjadi walinya ialah wali hakim sebagaimana yang disebutkan didalam sebuah hadis sahih riwayat At-Tirmidhi.

Jika seseorang itu tidak layak menjadi wali kepada sesuatu proses perkahwinan seperti mana dalam kes di atas, tetapi ia mewalikan juga perkahwinan itu kerana menutup malu dari tersebar kepada umum, maka hukum perkahwinan tersebut tidak sah. Pengantin terlibat hendaklah berpisah dengan pasangannya dengan seberapa segera. Jika ia masih bersama dengan pasangannya itu, bererti ia telah melakukan perzinaan, manakala anak yang dilahirkan adalah anak zina. Dalam kes ini suka dinasihatkan kepada yang terlibat supaya membuat aduan kepada pejabat agama di daerah masing-masing, supaya tindakan selanjutnya dapat diambil dan pasangan terlibat pula tidak terus menerus berada dalam perzinaan. 

 DN 030 Kursus & Bimbingan Perkahwinan

Kembali ke atas ↑



6. Hukum Anak Luar Nikah
Soalan: 
Hukum anak luar nikah tetapi baru berusia 2 bulan di dalam rahim ibunya sebelum dinikahkan?

Azmi, KL
Jawapan: 
Dalam sebuah hadis riwayat muslim menjelaskan larangan melakukan khalwat antara seorang teruna dengan seorang dara, kerana ia merupakan jalan mudah ke arah perzinaan. Dalam Al-Qur'an pula jelas melarang perzinaan kerana zina itu mendatangkan dosa besar dan boleh menghuru-harakan masyarakat dan negara.

Jika seorang dara melakukan perzinaan dengan seorang teruna bererti ia telah melakukan dosa besar. Dalam Islam ia perlu dikenakan hukuman dirotan sebanyak 100 rotan seterusnya bertaubat kepada Allah. Ini sekiranya ia menyerah diri kepada pihak yang berkuasa.

Jika ia tidak menyerah diri kepada pihak yang berkuasa, maka tidak wajib kepada pihak berkuasa mencarinya kerana perzinaan itu hanya menjadi rahsia antara dia dengan pasangannya sahaja dan ia akan menerima balasan Allah pada hari kiamat kelak, kerana dosanya tidak akan gugur selagi mana belum dilaksanakan hukum hudud tersebut ke atas dirinya.

Persoalannya setelah melakukan perzinaan, si dara mengandung kemudian selepas dua bulan berlalu barulah pasangan terlibat berkahwin, dari segi berdosa ia tetap dikira berdosa tetapi dari segi sabit keturunannya anak itu layak dibinkan kepada pihak yang menzinai perempuan tersebut yang berkahwin dengannya.  kerana ulamak madhhab Syafii mensyaratkan sekurang-kurang untuk menyabitkan keturunan seseorang anak itu mestilah lahir selepas enam bulan dua saat dari tarikh ibubapanya berkahwin.

Kembali ke atas ↑



7. Hukum Bernikah dengan Besan
Soalan: 
Besan dengan besan boleh tak bernikah?

Salmah, Segamat
Jawapan: 
Besan dengan besan boleh berkahwin, kerana ia tidak termasuk ke dalam katogari orang yang diharamkan berkahwin dengannya baik kerana pengharaman kerana penyusuan, persemendaan mahupun pengharaman sementara.

 DN 030 Kursus & Bimbingan Perkahwinan

Kembali ke atas ↑



8. 3 Pasangan Pengantin Sekaligus
Soalan: 
Dalam satu keluarga, 3 pasangan pengantin boleh tak bernikah sekaligus dalam satu hari berturut-turut?

Salmah, Johor
Jawapan: 
Tiga pasangan berkahwin dalam satu hari adalah harus malah tidak ada nas yang mengharamkan perbuatan ini, sebaliknya ia adalah satu kebaikan kerana boleh menjimatkan kos kedua belah pihak yang terlibat apalagi dalam keadaan ekonomi sekarang ini.

Kembali ke atas ↑


9. Melompat Turutan Wali
Soalan: 
Masalah saya lebih kurang dengan soalan 148, tapi saya tidak berapa jelas dengan jawapan yang diberi. Masalah saya semua adik beradiknya tidak layak untuk menjadi wali. Bolehkah kita melompat dari turutan yang ustaz bagi, iaitu mengambil yang layak sedangkan yang lain masih hidup?

Yusuf, Kemaman
Jawapan: 
Boleh melompat wali daripada turutannya asal sahaja wali yang sepatutnya mewalikan perkahwinan tidak layak berbuat demikian oleh sebab berikut: 
1. Kufur. 
2. Belum Baligh. 
3. Gila. 
4. Tidak dapat menguruskan diri sendiri kerana dungu. 
5. Tidak dapat menilai baik dan buruknya sesuatu itu atau kurang akal.

Jika berlaku sebab-sebab ini bolehlah berlaku perpindahan wali walaupun wali yang sepatutnya masih hidup.

 DN 030 Kursus & Bimbingan Perkahwinan

Kembali ke atas ↑



10. Pernikahan Rahsia di Thailand
Soalan: 
Saya telah bernikah di Siam secara senyap-senyap untuk mengelakkan dosa maksiat. 
Apa hukumnya setelah bernikah di Siam, kemudian saya bernikah sekali lagi di Malaysia? 
Dan kalau ada orang bertanya sudah kahwin ataupun belum, saya jawab belum bagi menutup rahsia, bagaimana?

Wan, Batu Caves
Jawapan: 
Akad nikah sah apabila cukup dengan syarat-syaratnya yang telah digariskan oleh para ulamak iaitu mesti ada calon suami, calon isteri, wali, saksi dan ijab dan kabul. Sehubungan dengan itu akad nikah walaupun di negara mana sekalipun diadakan termasuk di negara jiran Thailand adalah sah jika mencukupi syarat-syarat dan rukunnya. Cuma yang sering menjadi persoalan ialah adakah akad nikah itu benar-benar dilakukan dengan imam-imam yang bertauliah dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Biasanya kerajaan Malaysia hanya mengiktiraf imam-imam yang benar-benar layak sahaja. Ini bermakna akad nikah yang dijalankan oleh imam-imam yang tidak bertauliah tidak sah. Soalnya sekarang kenapa harus berkahwin di Thailand tidak di negara sendiri. Jika alasan yang diberikan ialah kerana wali perempuan tidak mengizinkan akad nikah itu, sedangkan kedua pasangan sudah sekufu maka kes seumpama ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan mudah, kerana ia termasuk dalam kes wali enggan mewalikan perkahwinan. Pihak berkuasa agama di negara kita mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan perkara ini. Kerana itu kenapa semestinya bernikah di negara jiran.

Akad nikah yang dilangsungkan sekali lagi kerana memenuhi keperluan undang-undang pendaftaran nikah kahwin di Malaysia tidaklah membatalkan perkahwinan yang pertama. Bagaimanapun perkara ini amat tidak elok dilakukan, kerana menampakkan soal nikah kahwin yang begitu besar urusannya itu seolah-olah menjadi bahan permainan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mengadakan akad nikah sekali lagi kerana urusan pendaftaran tidak menjadi masalah.

Jika anda mengaku masih bujang sedangkan anda sudahpun berkahwin, maka perbuatan anda ini termasuk dalam ertikata kinayah atau penggunaan simbolik. Ini bermakna jika anda berniat untuk menceraikan isteri anda, maka jatuhlah talak ke atas isteri anda itu mengikut yang anda niatkan. Tetapi jika anda bermaksud untuk menyembunyikan perkahwinan itu takut mendapat malu, maka perbuatan anda ini amat tidak wajar kerana menyalahi sunnah Rasulullah yang menyuruh supaya diisytiharkan perkahwinan dan disembunyikan pertunangan.

Kecuali pada pandangan anda, anda akan ditimpa mara bahaya yang lebih besar dan kemungkinan anda akan dibunuh jika anda mengumumkan perkahwinan anda, dikala itu haruslah kepada anda menyembunyikannya buat sementara waktu perkahwinan itu. Bagaimanapun anda tidak boleh menyembunyikannya secara berterusan. Sampai bilakah anda harus berada dalam keadaan begitu?

Kembali ke atas ↑


11. Pernikahan yang boleh Berwali Hakim
Soalan: 
Seorang wanita telah berkahwin  di luar  negara tanpa memberitahu kedua ibubapanya (atas alasan ibubapa  pasangan  lelaki tidak bersetuju, jadi untuk tidak mengecilkan hati kedua dua belah keluarga lelaki dan  keluarga wanita, perkahwinan ini dirahsiakan) dan wanita ini telah melantik seorang  imam untuk menjadi wali hakimnya. Persoalannya adakah boleh terus berkahwin dengan  berwalikan hakim tanpa terlebih dahulu si wanita tadi mendapat izin  ibubapanya?

Dan sekiranya bapa seorang  wanita tidak membenarkannya berkahwin  tanpa sebab-sebab yang mengikut syariat, bolehkah wali hakim terus dilantik tanpa terlebih dahulu mengambil wali lain mengikut urutannya (bapa saudara, datuk dsb.) Mengikut rujukan saya wali hakim itu adalah  pilihan terakhir setelah semua wali-wali yang lain tidak ada atau semuanya tidak bersetuju  tanpa alasan syar'í.

Abdullah, Germany
Jawapan: 
Seseorang yang hendak berkahwin walaupun diluar negara hendaklah meminta kebenaran terlebih dahulu dari walinya. Yang pertamanya dari wali mujbirnya iaitu bapanya. Jika bapanya tidak ada maka pewalian itu berpindah kepada datuknya.Sesuatu pewalian itu tidak akan berpindah kepada wali hakim kecuali oleh faktor-faktor berikut:

1. Kerana tidak ada wali nasab.

2. Kerana tidak cukup syarat wali bagi wali Aqrab dan wali Ab'ad pula tidak ada.

3. Kerana wali Aqrab berada di tempat yang jaraknya lebih dari 96 Kilometer.

4. Kerana wali Aqrab masuk penjara dan tidak boleh berhubung dengannya.

5. Kerana wali Aqrab berada dalam ihram.

6. Kerana wali Aqrab menyembunyikan diri untuk mengelakkan dari menikahkannya.

7. Kerana wali Aqrab berdegil tidak mahu menikahkannya .

8. Kerana wali Aqrab hilang dan tidak diketahui tempatnya samada ia sendiri masih hidup atau sudah mati juga tidak diketahui.

9. Kerana wali Aqrab hendak berkahwin dengan perempuan itu dan tidak ada wali lain yang sederjat dengannya.

Jika terdapat faktor ini bertukarlah dari wali Aqrab kepada wali hakim. Sehubungan dengan itu apabila seseorang anak gadis telah mendapat kebenaran khusus dari wali mujbirnya jika ada atau dari wali Aba'd jika wali mujbir tidak ada, biasanya wali-wali ini akan mewakilkan kepada mana-mana individu yang dipercayai ilmu keagamaannya di luar negara untuk menikahkan anak perempuannya. Ini yang biasa berlaku di kalangan pelajar yang menuntut di luar negara.

Jika bapa tidak ada atau enggan mewalikan perkahwinan anaknya, maka bapa ini disebut sebagai wali A'dal. Dikala itu berpindahlah pewalian kepada datuknya. Kebenaran boleh dipohon dari datuk sebelah lelaki gadis (ayah kepada bapanya) tersebut untuk mengahwinkan anak gadis terlibat.

Kembali ke atas ↑



12. Wali Yang Fasiq
Soalan: 
Apakah hukumnya sekira pernikahan yang berwalikan seorang bapa yang pernah meninggalkan sembahyang?

Hamba Allah, KL
Jawapan: 
Seseorang yang dengan sengaja meninggalkan perintah Allah seperti solat dan ibadah yang lain, tergolong dalam insan yang berdosa dan fasiq. Seorang yang fasiq tidak boleh menjadi wali untuk pernikahan anaknya. Diantara syarat-syarat wali (wali akrab) itu, tidak kafir, tidak fasiq, adil, tidak gila, tidak bisu dan tidak mampu berisyarat, tidak bodoh, bukan hamba sahaya. Namun jika ketika ia menjadi wali pernikahan tersebut telah bertaubat kepada Allah, maka kedudukannya diterima sebagai seorang wali. Wallahu a'lam.

Kembali ke atas ↑



13. Menerima Pinangan Lelaki Impian
Soalan: 
Saya ingin meminta pendapat ustaz tetang pertemuan jodoh di dalam Komputer (Internet)?

Aishah ,Kota Bharu
Jawapan: 
Jika anda telah merasa tertarik dengan lelaki yang meminang anda tersebut dan sesuai dengan kehendak hati bahkan mengamalkan agama yang baik, maka itulah yang dituntut oleh syarak. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apabila ada yang meminang anak gadismu, dan kamu senang pada agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah. Kalau tidak kamu lakukan, sama halnya dengan kamu membuat fitnah di muka bumi, dan menimbulkan kerosakan yang besar". (Riwayat Tarmizi) 
Jadi jika anda telah mengetahui bahawa lelaki yang meminang anda itu seorang lelaki yang soleh, maka terimalah, kemungkinan inilah masa dan ketikanya Allah memberikan anda seorang pasangan yang baik bahkan dapat membimbing anda setelah menjalankan alam perkahwinan nanti. 

DN 174 Rumahku Syurgaku - Petua Membina Mahligai Impian
DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN



Kembali ke atas ↑



14. Menikah Mendahului Saudara Yang Lebih Tua
Soalan: 
Assalamu'alaikum wr.wb. Saya seorang gadis berusia 20 tahun. Saya akan segera menikah. Namun masih ada sedikit masalah dalam keluarga. Bulik/Bibi calon suami saya masih belum menikah dan sudah berumur 38 tahun. Dia tidak mahu dilangkahididahului, dengan alasan didalam akta kelahiran dia telah menjadi anak pertama. Yang ingin saya tanyakan, apa hukumnya jika kami mendahului Bulik? Terimakasih. Wassalamu'alaikum wr.wb.

Adetya Sandra Dewi Dayan Muti, ?
Jawapan: 
Tidak ada ketentuan syarak yang melarang seseorang itu menikah mendahului saudaranya yang lebih tua. Jodoh pertemuan ditentukan oleh Allah SWT, jika Allah menghendaki adik mendahului abang atau kakaknya ataupun saudara maranya lain yang lebih tua, maka itu merupakan ketentuan atau takdir Allah tentang jodoh seseorang. Tentang tidak mahu dilangkahi atau dilarang menikah dengan mendahului daripada saudara yang lebih tua, itu semua hanya pantang larang dibuat oleh adat setempat. Jika berpegang teguh dengan adat yang salah ini, maka akan tergolong ke dalam menegakkan sesuatu yang mungkar dan bid'ah.

Kembali ke atas ↑



15. Berhasrat Kahwin Namun Lemah Tenaga Batin
Soalan: 
Bagaimanakah seorang lelaki yang tidak mempunyai tenaga batin dan berkeinginan untuk mendirikan rumahtangga?

Muhd Fisal, Hulu Langat
Jawapan: 
Islam menggariskan kepada kita hukum-hukum nikah menurut kemampuan seseorang itu.  Fardhu hukumnya bagi mereka yang terlampau kuat kecenderungan kepada wanita hingga ia takut jika tidak berkahwin akan cenderung kepada zina. Wajib, hukumnya bagi mereka yang khuatir dirinya akan terjebak dengan perzinaan jika tidak berkahwin, sedang mereka mampu memenuhi segala keperluan perkahwinan dan bersikap adil terhadap bakal isteri.

Makruh, hukumnya bagi mereka yang tidak mempunyai keperluan untuk berkahwin seperti tidak mempunyai  keinginan, tidak cukup untuk perbelanjaan atau kerana ada penyakit. Sunat, hukumnya bagi mereka yang berada dalam keadaan stabil tidak khuatir  ternoda dan terlibat dengan dosa dan zina. Haram hukumnya bagi mereka yang tidak mampu, baik dari segi material mahupun fizikal. Jadi jika anda tergolong orang yang lemah syahwat, maka haram hukumnya berkahwin. Sebab perkahwinan itu bukan perkongsian hidup dalam aspek material saja namun menyangkut aspek rohaniah. Adalah lebih baik anda berubat terlebih dahulu, jika kemampuan tenaga batin anda telah pulih, maka bolehlah anda teruskan niat anda ingin berumahtangga tersebut.

Kembali ke atas ↑


16. Usia Perkahwinan
Soalan: 
Saya ingin mendapatkan maklumat mengenai kabaikan dan keburukan kahwin muda dan juga apa-apa yang berkaitan dengannya?

Abdul Wahid, Ipoh
Jawapan: 
Kematangan bagi seorang lelaki untuk mendirikan rumahtangga adalah ketika berusia 25 tahun. Sesuai dengan usia Rasulullah SAW ketika baginda menikah dengan Siti Khadijah ketika baginda berusia 25 tahun. Walaupun begitu jika telah usia baligh, seseorang itu mampu dari segi tanggungjawab meterial dan mental maka bolehlah mereka mendirikan rumahtangga. Bagi wanita usia mendirikan rumahtangga boleh dimulai ketika usia baligh hinggalah umur selanjutnya ketika mereka bertemu jodoh. Sebab Siti Aisyah (gadis) isteri Rasulullah SAW berkahwin dengan baginda setelah beliau baligh.

Perlu diingat sesungguhnya jodoh dan pertemuan itu ditentukan oleh Allah SWT. Manusia hanya mampu merancang sedangkan yang menentukannya hanyalah Allah semata. Jika kita ditentukan berkahwin dalam usia muda, mungkin itulah yang terbaik yang telah Allah tentukan untuk kita, sebaliknya jika kita berkahwin dalam usia lanjut mungkin ada hikmah yang terkandung didalamnya. Namun sebagai insan kita disuruh berikhtiar untuk mencari pasangan hidup terutama pasangan yang soleh atau solehah. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑



17. Merisik untuk Perkahwinan
Soalan: 
Disini saya mempunyai kemusykilan mengenai adat merisik dan bertunang adakah adat merisik itu perlu dari sudut Islam atau ianya hanya adat orang-orang melayu. Dan adakah boleh ketika adat merisik itu boleh di sertakan sekali majlis bertunang. ini kerana kedua-dua majlis itu memerlukan masa dan sumber kewangan yang mana dalam keadaan ekonomi sekarang ini kebanyakkan orang akan meminimunkan kos. Sekian saja pertanyaan saya?

Siti Shafiqah, Mersing
Jawapan: 
Di dalam Islam memang disuruh merisik terhadap wanita yang ingin dikahwini. Tujuannya adalah agar mengetahui kedudukan wanita tersebut. Apakah ia tergolong wanita yang subur, tidak cacat baik segi mental mahupun fizikal. Pihak ketiga yang mewakili pihak lelaki hendaklah orang dapat dipercayai ataupun orang yang boleh berlaku adil agar tidak timbul fitnah di kemudian hari. Bertunang dalam istilah melayu samalah dengan merisik atau melihat keadaan wanita sebagai calon isteri. sedangkan bertunang yang dipraktik oleh kebanyakan orang pada saat ini telah menyimpang dan menyalahi syarak.

Pertunangan bukanlah membolehkan seseorang itu untuk berjumpa, kemudian boleh dibawa ke sana kemari. Pertunangan samalah dengan merisik masa yang digunakan untuk membuat keputusan samada setuju ataupun tidak. Jika telah setuju maka permudahkan dari segi mahar agar perkahwinan dapat segera dilaksanakan. Sedangkan budaya hantaran dengan menggunakan wang beribu-ribu ringgit sehingga membebankan pihak lelaki bukan perkara sunnah dan hanya menimbulkan kesukaran baik dari pihak lelaki mahupun perempuan.

Kembali ke atas ↑



18. Mengahwini Wanita yang Tiada Dara
Soalan: 
Disini saya mempunyai satu masalah yang mana menginginkan pandangan daripada ustaz. Untuk pengetahun ustaz saya mempunyai seorang pasangan dan kami telah merancang untuk mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Masalah timbul apabila pasangan saya memberitahu mengenai sejarah hidupnya dimana dia pernah diperkosa oleh bapa saudaranya ketika dia masih kecil. Tujuan dia memberitahu saya masalah ini ialah kerana dia tidak mahu ada yang mengungkit satu masa nanti. Pada ketika dia memberitahu perkara tersebut, saya bagaikan hilang pedoman dan tidak tahu apa yang perlu saya lakukan, tetapi apabila memikirkannya semula, saya mengambil keputusan untuk meneruskan hubungan ini. Ini kerana saya menyintainya bukanlah kerana benda yang telah hilang itu. Tetapi kerana Allah. Saya berminat untuk menyertai ruangan ini kerana saya ada terbaca masalah salah seorang pembaca yang manghantarkan masalah nya di ruangan ini. Salah satu point yang dapat saya ingat ialah seorang lelaki dikatakan tercabar jika mengetahui yang bakal suri rumahnya tidak mempunyai dara lagi. Apakah keputusan yang saya ambil ini satu keputusan yang bijak ustaz?

Hamba Allah, Melaka
Jawapan: 
Tujuan perkahwinan dalam Islam bukan mementingkan masalah dara atau tidaknya seseorang. Rasulullah SAW sendiri memiliki sembilan orang isteri dan hanya seorang saja diantara isteri baginda tersebut yang berstatus dara sedangakan yang lainnya sudah tidak dara lagi (janda). Antara dara dan tidak dara, itu hanya sekedar proses. Ertinya antara dara menuju tidak dara hanya suatu ketika atau saat tertentu sahaja. Hari ini ia seorang dara dan esok mungkin ia tidak dara lagi lantaran selaput daranya telah terkoyak atau putus lantaran bersukan, kemalangan dan sebagainya. Jadi bukan masalah dara atau tidak daranya yang menjadi ukuran,yang penting adalah mengapa perkara itu terjadi. 
Umpamanya wanita yang hobinya berzina (bohsia dan sebagainya), maka kita harus menghindari daripada menikahi wanita seperti ini melainkan dianya benar-benar taubat.

Jika calon pasangan anda kehilangan daranya lantaran di rogol ketika usia kecil, maka ia tidak berdosa dan dia tidak tergolong orang yang rendah akhlak dan moralnya. Jadi sangatlah keliru jika kita menghukumnya lantaran kesalahan orang lain yang dilakukan terhadap dirinya. Sepatutnya andalah sebagai wira yang menyelamatkan hati dan perasaannya yang pernah terluka dan pernah dianiaya ketika ia masih kecil. Sebagaimana Rasulullah SAW menyelamatkan para janda lantaran suami mereka telah gugur di medan jihad.

Seandainya Allah tentukan bahawa jodoh anda ditetapkan terhadap pasangan anda ini, perkara paling penting yang harus diingat, jika berlaku pertelingkahan, maka janganlah anda pula yang mengungkit-ungkit kembali peristiwa pahit isteri anda tersebut, kerana perbuatan itu hanya melukai hatinya kembali. Jika anda sanggup mengawal perasaan ini maka nikahlah dengannya, namun jika tidak mampu menahannya, maka lebih baik anda membuat keputusan yang tidak menimbulkan sengketa di kemudian hari.

Teruskanlah hubungan anda dan jangan jadikan masalah itu sebagai sesuatu yang menggaggu fikiran. Kahwinlah wanita tersebut kerana disamping anda memiliki seorang isteri anda mendapat pahala yang besar kerana dapat membina dan memulihkan keyakinan pasangan anda terhadap dirinya sendiri. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑



19. Wali Bagi Anak Luar Nikah
Soalan: 
Bolehkah seorang ayah menjadi wali bagi anak perempuannya yang luar nikah?

Samsani, Muar
Jawapan: 
Bagi anak-anak yang lahir hasil dari perzinaan yang mana pasangan yang berzina itu tidak melangsungkan perkahwinan selepas itu, ia tidak boleh di "bin" kan baik kepada bapa yang menzinai ibunya mahupun dengan bin Abdullah sebaiknya ia dibinkan kepada ibunya sahaja.

Jika sesuatu pasangan melakukan zina, kemudian berkahwin setelah berlalu enam bulan dua lahzat, isterinya melahirkan anak maka anak itu boleh di "bin" kan kepada bapanya. Jika isterinya melahirkan anak kurang dari tempoh enam bulan dua lahzat menurut mazhab Syafei anak tersebut tidak boleh di "bin" kan kepada bapa terlibat, sebaliknya hendaklah di "bin" kan kepada ibunya. Oleh kerana anak itu tidak boleh di "bin" kan kepada  bapanya disebabkan tidak sabit keturunan kerana lahir kurang dari tempoh yang telah ditetapkan oleh fuqahak As Syafei di atas, maka bapanya itu halal berkahwin dengannnya kerana ia tidak dikira sebagai anaknya.

Dari keterangan di atas dapat diambil kesimpulan jika anak tersebut boleh di "bin" kan dengan bapanya lantaran kelahiran anaknya setelah berlalu tempoh enam bulan, maka bolehlah bapa tersebut menjadi wali bagi anak itu. Namun jika kurang dari tempoh tersebut maka tidak berhak ia menjadi wali terhadap wanita itu lantaran tidak ada apa-apa hubungan keturunan. Wallahu A'lam.

DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih

Kembali ke atas ↑


20. Anak Luar Nikah Menjadi Wali
Soalan: 
Adakah anak perempuan yang mana ayahnya adalah anak luar nikah tidak boleh diwalikan oleh ayahnya tersebut?

Firdaus, Klang
Jawapan: 
Menurut Imam Syafei, pernikahan seorang perempuan tidak sah kecuali apabila dinikahkan oleh wali akrab (dekat). Kalau tidak ada wali akrab maka dinikahkan oleh wali ab'ad (jauh), kalau ab'ad pun tidak ada maka dinikahkan oleh penguasa (wali hakim). Sedangkan syarat-syarat menjadi wali itu adalah, merdeka, berakal, sihat dan dewasa serta beragama Islam. Jika keempat-empat syarat ini dimiliki oleh seseorang wali (terutamanya ayah) maka sah lah orang tersebut menjadi wali. Walaupun kedudukan ayah sebagai anak luar nikah maka tidak menjejaskan tanggungjawab dan haknya terhadap anak kandungnya sendiri. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑



21. Akad Nikah Setelah Menganut Islam
Soalan: 
Apakah pasangan suami isteri bukan Islam perlu bernikah semula secara Islam setelah mereka menganut Islam? Bagaimana pula dengan anak mereka, perlukah di'bin'kan kepada bapa atau kepada 'Abdullah'?

Mohd Zafran, Taman Keramat KL
Jawapan: 
Jika akad perkahwinan suami isteri telah sempurna sebelum Islam, kemudian kedua suami isteri masuk Islam, maka jika akad nikah yang diadakannya sesuai dengan akad nikah yang ada dalam Islam maka hukumnya sah. Pada zaman Rasulullah, bahawa Atikah binti Walid bin Mughirah masuk Islam mendahului suaminya beranama Sufwan bin Umaiyah lebih kurang sebulan sebelumnya. Kemudian suaminya menyusul memeluk Islam, maka Rasulullah SAW tetap mengakui ikatan perkahwinannya.

Anak seorang lelaki yang kahwin secara sah tetap di "bin" kan dengan bapanya walaupun perkahwinannya ketika masih zaman kafir. Begitu juga jika anaknya saja masuk ke dalam Islam maka anak tersebut tetap di "bin" kan dengan nama bapanya bukan dengan Abdullah seperti yang menjadi kebiasaan masyarakat melayu kita. Begitulah amalan yang dilakukan para sahabat Rasulullah SAW yang tetap menggunakan nama bapanya walaupun setelah mereka memeluk Islam. Wallahu a'lam.

Kembali ke atas ↑



22. Antara Menunaikan Haji dan Nikah
Soalan: 
Kemusykilan saya ialah, saya telah mendaftar untuk menunaikan fardhu haji dan insyaAllah termasuk dalam quota di tahun hadapan (2000). Tiba-tiba ada member saya yang telah cuba memperkenalkan saya pada abangnya dan dengan izin Allah abangnya bersetuju mengambil saya sebagai isterinya dalam tempoh yang terdekat ini. Setelah saya berfikir panjang saya bersetuju (memandangkan saya telah mencecah usia awal 30an), tetapi adakah keputusan yang saya ambil ni betul? Adakah saya sepatutnya menunaikan Haji yang menjadi rukun Islam kita yang kelima dahulu dan mengenepikan soal jodoh? Saya harap pihak ustaz dapat memberi pandangan dan pendapat atas permasalahan saya ini. Kedua-duanya saya inginkan - menunaikan Haji dan berkahwin. Buat pengetahuan ustaz, saya ke Mekah bertemankan bapa saudara sebagai muhram?

Hamba Allah, Penang
Jawapan: 
Adalah lebih baik seorang wanita berkahwin terlebih dahulu jika perkahwinan itu lebih dahulu masanya daripada jadwal haji yang ingin dikerjakan. Maka lebih afdhal ia pergi bersama suaminya ke kota suci Makkah dan lebih besar pahalanya. Seandainya wanita tersebut belum berkahwin ia terpaksa mencari muhrim dalam menjalankan perjalanan hajinya jika tidak perjalanannya tidak dibenarkan. Maka sangat mulia perjalanan haji tersebut disertai dengan suami, agar lebih terjamin dan terhindar daripada fitnah.

Kembali ke atas ↑



23. Kedudukan Pernikahan Ayah Merogol Anak Sendiri
Soalan: 
Adakah terfasakh pernikahan seorang bapa yang merogol anak kandungnya sendiri?

Abdul Razak, Seremban
Jawapan: 
Merogol anak kandung sendiri merupakan perbuatan yang terkutuk dan paling keji. Biasanya orang yang melakukan perbuatan ini telah terlepas segala pertimbangan dan akal sihat. Mungkin juga telah hilang rasa  kemanusiaannya dan fitrah kebapaannya. Dosa besar yang dilakukannya ini tidaklah menyebabkan terfasakhnya pernikahannya. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑



24. Meminang Wanita Pinangan Orang Lain
Soalan: 
Apakah hukumnya bercinta dengan tunang orang? Sianu memberitahu masalah dia dengan tunangnya dan saya muncul untuk memberi kasih sayang padanya dengan niat ikhlas dan suci dengan harapan dapat memperisterikannya satu hari nanti. Sekarang dia dah nak kahwin dan terpaksa kerana ibubapa telah buat semua persiapan. Untuk pengetahuan ustaz kami berdua berusaha dengan membuat sembahyang sunat dan berdoa dimalam hari supaya dihentikan perkahwinan itu dan agar tuhan menjodohkan kami satu hari nanti. Adakah sembahyang dan doa kami diterima? Apakah pandangan ustaz?

Hamba Allah, KL
Jawapan: 
Diharamkan seseorang meminang pinangan orang lain kerana bererti ia menyerang hak dan menyakiti hati peminang pertama, memecahbelah hubungan kekeluargaan dan mengganggu ketenteraman. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Orang mukmin satu dengan yang lainnya bersaudara, tidak boleh ia membeli barang yang sedang dibeli saudaranya dan meminang pinangan saudaranya sebelum ia tinggalkan" (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Kembali ke atas ↑



25. Pernikahan Setelah Hamil
Soalan: 
Dosa yang telah saya sudah keterlaluan sekali, saya sangat rajin sholat, baik lima waktu ataupun shalat-shalat sunah; Tahajud,Duha, bahkan saya puasa senin & kamis, namun kiranya iman yang saya miliki tidak sekokoh ibadah yang saya lakukan, setan telah berhasil menggoda saya melalui seorang perempuan yang saya sangat cintai. Saya terlanjur berbuat zina dengan dia. Saya sangat bingung dan sedih terhadap diri saya yang sudah bergelimang dosa karena zina ini, namun saya selalu berharap Allah maha pengampun.

Masalahnya wanita yang saya cintai itu hamil karena perbuatan saya, dan saya sekarang sudah menikahinya setelah empat bulan hamil. Yang saya tanyakan apakah perkawinan saya ini syah ? Karena ada pendapat bahwa perkawinan yang diselenggarakan pada saat hamil itu tidak syah? jika benar demikian mohon kiranya Ustadz memberikan keterangan yang sejelas-jelasnya mengenai masalah ini. Dan bagaimana hukumnya dengan anak yang lahir nanti?

Asep, Indonesia
Jawapan: 
Jika telah melakukan perbuatan dosa besar seperti berzina, maka bertaubatlah dengan taubat nasuha, ertinya tidak akan mengulangi perbuatan yang terkutuk tersebut. Jika kita benar-benar bertaubat dan tidak mengulanginya lagi maka insya Allah, segala dosa silam telah diampunkan oleh Allah SWT. Hanya dengan bertaubat sajalah seseorang itu dapat membersihak dirinya dan dengan bertaubat juga seseorang itu dapat mengembalikan fitrahnya.

Jika anda telah menikah dengan wanita hamil melalui perhubungan anda tersebut maka pernikahan anda tetap sah. Sedangkan hukum anak yang lahir nanti tetap sebagai anak manusia yang suci dan bersih sebagaimana dengan anak manusia yang lain. Sebab anak tersebut tidak berdosa dan tidak bersalah yang berdosa dan salah adalah perbuatan zina yang dilakukan oleh orang tuanya. Menurut Imam Syafei jika sesuatu pasangan melakukan zina kemudian berkahwin setelah berlalu enam bulan dua lahzat isterinya melahirkan anak, maka anak itu boleh di "bin" kan kepada bapanya. Jika isterinya melahirkan anak kurang dari tempoh enam bulan anak tersebut tidak boleh di "bin' kan kepada bapa terlibat sebaliknya hendaklah di bin kan dengan kepada ibunya.

Kembali ke atas ↑



26. Menukar Nama Ketika Akad Nikah
Soalan: 
Saya mempunyai satu soalan yang sangat saya mengharapkan agar dapat Ustaz membantu memberi jawapannya. Bolehkah seorang wanita bernikah dengan menggunakan nama samarannya (bukan nama yang diberi oleh ibu dan bapanya)? Tetapi, tetap berbintikan nama bapanya yang sebenar. Nama samaran itu telah disedia maklum oleh bapanya (wali) dan bakal si suami, lama sebelum upacara berakad nikah.

Sulaiman, JB
Jawapan: 
Nama adalah merupakan perkara yang penting pada diri seseorang, kerana ia menunjukkan identiti seseorang tersebut. Di dalam Islam nama merupakan perkara asas yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ketika mereka menerima cahaya mata. Bahkan Islam menuntut umatnya agar memberi nama yang baik kepada anak-anak mereka, sebab nama merupakan doa bagi seseorang itu, malah di akhirat nanti setiap manusia dipanggil menurut namanya tersebut.

Jika seseorang itu menggunakan nama yang membawa erti yang tidak baik maka adalah lebih baik mereka menukarkan namanya dengan perkara yang baik, sebab Rasulullah SAW banyak menukar nama-nama sahabat kepada nama yang lebih baik setelah mereka memeluk Islam. Berdasarkan hadis dan riwayat ini maka menukar nama dibolehkan asalkan tujuannya untuk kebaikan orang berkenaan dan bukan untuk penipuan dan kemudaratan lainnya. Wallahu A'lam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML