Sunday, March 23, 2014

SYARIAT DAN ADAB

1. Hukum Memakai Minyak Wangi Alkohol



Soalan: 
Apakah hukum memakai minyak wangi yang beralkohol atau mempunyai 'spirit'?

Suhaimi Mohd Yatim

Jawapan: 
Kita mengetahui bahawa alkohol yang dicampur ke dalam bau-bauan (minyak wangi) ialah diambil daripada proses tindakan kimia bijian dan kayuan. Daripada bijian tersebut disebut "alkohol Ethyl" dan daripada kayu disebut "Methyl". Semua alkohol termasuk dalam kumpulan karbon (C-OH).

Alkohol Ethyl dibuat daripada bijian dan cecairnya yang telah diperam dan dijadikan bir dan wine atau disebut arak. Selain daripada itu Ethyl digunakan juga sebagai bahan campuran dalam minyak yang digunakan untuk lampu-lampu makmal dan jentera-jentera traktor dan sebagainya. Ini dilakukan untuk mengurangkan pencemaran udara.

Alkohol Ethyl juga digunakan sebagai alat pemandu ubat (preservative/ubat tahan) ubat antiseptik untuk melawan kuman, ubat gosok atau minyak angin untuk urat saraf atau terseliuh. Alkohol jenis ini juga digunakan untuk dimasukkan ke dalam minyak wangi, maka jika digunakan untuk dimasukkan ke dalam minyak wangi untuk menyerbak keharumannya.

Seperti yang kita fahami bahawa alkohol jenis Ethyl ialah najis dan sekiranya kita menggunakan bahan-bahan yang dicampur dengannya seperti minyak wangi, maka jika dibawa dalam solat tidak sahlah solat kita.

Namun begitu menurut Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman telah mengeluarkan Fatwa bahawa minyak wangi tersebut hukumnya harus dipakai walaupun dalam sembahyang. Wallahu a'lam.





2. Persoalan 'Mazhab' 

Soalan: 
Ustaz, saya mempunyai seorang teman sekerja yang menyatakan bahawa mengambil mazhab itu tidak ada dalam Islam. Hujahnya ialah, nabi dan sahabat-sahabatnya tidak pernah mengambil mazhab, apalagi memerintahkannya. 
Soalan saya ialah :- 
1. Apakah hukumnya seseorang yang tidak mengambil mazhab? 
2. Tolong terangkan sedikit bagaimana mazhab itu terjadi? 
3. Apakah mazhab itu termasuk bid'ah hasanah?

Jasmi ,Singapura

Jawapan: 
Pada zaman Rasulullah SAW baginda menerima langsung ajaran Islam daripada Allah SWT. Ajaran yang dibawa baginda jelas murni dan tidak ada cacat cela sedikitpun. Kemudian para sahabat menerima Islam langsung daripada Rasulullah kekasih Allah. Begitu juga pada zaman Khulafa ur Rasyidin ajaran Islam masih segar di hati umat Islam. Pada zaman tabi'in, para ulama memperoleh pengetahuan melalui para sahabat dan begitu juga para ulama tabi' tabi'in memperoleh pengetahuan Islam melalui ulama tabi'in. Begitulah proses perkembangan ajaran Islam hingga sampai sekarang.

Perlu kita ketahui bahawa ilmu fiqh yang diajarkan para sahabat dan para tabi'in tidak beku bahkan berkembang terus. Jika tidak dijumpai nas dalam menyelesaikan sesuatu perkara mereka menetapkan berdasarkan ilmu pengetahuan tentang hukum-hukum untuk menimbang sebab (illat) sewaktu hendak memberikan fatwa-fatwa. Untuk kita ketahui pendapat tabi'in bermacam-macam ini adalah disebabkan berlainan tempat atau keadaan negeri masing-masing, disamping mempunyai kekurangan dan kelebihan tentang memahami maksud-maksud Al Quran dan Hadis. Hasil dari berlainan keadaan atau situasi ini maka tiap-tiap orang alim ilmu fiqh dari golongan tabi'in mempunyai beberapa pendapat yang berlainan dan inilah yang dinamakan mazhab.

Dizaman sekarang nama imam-imam yang empat telah terkenal dan masyhur. Mereka adalah bagaikan bulan purnama yang dikelilingi oleh beberapa bintang-bintang yang berkelipan. Semua mazhab yang empat ini beraqidahkan ahlisunnah waljamaah. Ertinya sumber ajaran yang diterapkan tidak lari dari ketentuan Al Quran dan hadis, bahkan mereka sangat teliti dalam menetapkan sesuatu yang berkaitan dengan aqidah dan ibadah.

Jelaslah bagi kita bagaimana proses mazhab itu terjadi, jadi jika kita tidak mengikuti atau berpegang salah satu jalan maka kita akan teraba-raba dalam mencari kebenaran, akhirnya kita menjadi sesat.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Para ulama adalah pewaris nabi". 
(Riwayat Ibnu Najar dari Anas ra.)     Sabda baginda yang lain maksudnya: "Para ulama adalah pelita di bumi, pengganti yang mengganti para nabi, pewarisku dan pewaris para nabi". (Riwayat Ibn Adi daripada Ali ra).     Jika para ulama yang telah disebutkan baginda tersebut mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Rasulullah SAW, tentu tidak layak kita mengatakan mengikuti ulama mazhab adalah bid'ah. Bahkan jelas dari hadis diatas menunjukkan mengikuti para ulama itu merupakan sunnah.





3. Makhraj atau Sebutan Nama Allah 

Soalan: 
Seorang rakan saya adalah seorang muslim, sejak dilahirkan dia seolah-olah pelat untuk menyebut nama Allah. Saya harap tuan dapat jawab dan rumuskan perkara ini.

Nawaf, Kajang

Jawapan: 
Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk, yang terdiri daripada unsur jasmani dan rohani. Didalam beribadah kepada Allah, kedua-dua unsur ini sangat berperanan sehingga tidak boleh dipisahkan antara satu dengan yang lainnya. Kiblat hati ataupun rohani hanya kita tujukan kepada Allah semata, begitu juga kiblat jasmani atau fizikal ditentukan dengan budi pekerti atau perangi yang mulia.

Dalam beribadah, bacaan yang baik merupakan perkara yang mustahak untuk menentukan sebutan yang benar sehingga tidak merubah makna bacaan kita tersebut. Namun jika proses sebutan itu menjadi berubah kerana pelat, maka ia tidak dihukum bersalah atau berdosa kerana pelat itu sendiri merupakan anugerah Allah untuknya. Dalam sejarah dapat kita baca riwayat tentang Nabi Musa as. yang merupakan seorang nabi yang gagap atau pelat, sehingga Allah mengangkat saudaranya Harun as. sebagai pembantunya dalam berdakwah dan menyeru kaumnya ke jalan yang benar.





4. Membaca Al-Quran Bertajwid 

Soalan: 
Apakah hukumnya membaca al-Quran jika semasa membacanya terdapat kesalahan dalam tajwid? Masalahnya saya tidak begitu arif dalam tajwid dan tidak begitu lancar membacanya. Harap Ustaz dapat menjawabnya. Sekian terima kasih.

Adi, Seoul, Korea Selatan

Jawapan: 
Menurut Ibnu Al Jazari Al-Quran wajib dibaca secara tajwid. "Berdosalah membaca tanpa tajwid, sebab itulah cara ia diturunkan dan begitulah kepada kita ia disampaikan". Hendaklah membaca Al-Quran dengan tartil iaitu membacanya dengan sebutan yang betul (dengan mengeluarkan huruf daripada makhrajnya dan membaca menurut hukum-hukum tajwid) dan membaca dengan lambat-lambat, kerana maksud membaca Al-Quran itu ialah dengan tadabbur atau berfikir dan tiadalah dia diperolehi jika dibaca dengan cepat.

Membaca dengan tartil itu adalah amat memberi kesan dalam hati dan lebih layak untuk berfikir dan memahaminya. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan tartilkanlah bacaan Al-Quran dengan sempurna". (Surah Al Muzammil ayat 4)     Berusahalah mempelajari tajwid semampu yang boleh,  dengan ikhtiar itu setidak-tidaknya telah menyelamatkan kita daripada membuat kesalahan dalam membaca Al-Quran. Seandainya masih terdapat kesilapan dan kesalahan kita berserah kepada Allah.




5. Memahami Ayat Al-Quran 

Soalan: 
Saya suka membaca Al-Quran tetapi kadang-kala terasa seolah-olah bacaan/sebutan tersebut salah bila dibaca. Adakah di anggap berdosa jika tersalah membaca dan tidak memahami erti ayat-ayat suci tersebut?

Normali, KL

Jawapan: 
Belajar membaca Al-Quran dengan kaedah yang benar merupakan kewajipan setiap individu, kerana dengan memahami maksud dan kaedah membaca yang benar umat Islam dapat menghayati isi dan kandungan Al-Quran. Sesungguhnya setiap huruf yang kita baca itu akan Allah berikan ganjaran pahala yang besar, jadi alangkah mulia dan baiknya jika kita membacanya dengan betul. Jika kita dalam proses belajar dan ketika itu kadangkala tersilap, maka tidaklah berdosa, tetapi usahakanlah untuk terus memperbaiki bacaan kita agar ianya merupakan amalan yang diterima di sisi Allah sebagai amalan yang mulia. Wallahu A'lam. Sila rujuk soalan yang sama dalam laman kemusykilan.





6. Membayar Hutang Orang yang Telah Meninggal

Soalan: 
Bagaimankah caranya untuk kita membayar semua hutang walaupun orang tersebut telah meninggal dunia?

Nani,KL

Jawapan: 
Jika kita berhutang terhadap seseorang, namun sebelum sempat kita membayarnya ia telah meninggal dunia, maka kita wajib membayar kepada ahli warisnya yang terdekat.




7. Cara Mandi Wajib 

Soalan: 
Bagaimanakah cara mandi wajib yang sebaiknya, maksud saya adakah dengan meratakan air terlebih dahulu? Dan bolehkah kita mandi wajib dengan air yang ditakung di dalam kolah yang tidak cukup 2 kolah, tetapi dalam masa yang sama air paip dibenarkan mengalir terus ke dalamnya?

Wan, Alor Setar

Jawapan: 
Cara mandi wajib yang paling baik ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidhi.

1. Membaca basmalah sambil berniat untuk mengangkat hadas besar

2. Membasuh tangan sebanyak 3 kali.

3. Membasuh alat kelamin dari kotoran dan najis.

4. Mengambil wuduk sebagaimana biasa kecuali kaki. jangan dibasuh dahulu kaki. Ia akan dibasuh selepas mandi nanti..

5. Membasuh keseluruhan rambut di kepala.

6. Membasuih kepala berserta dengan telinga sebanyak 3 kali dengan 3 kali cebokan air.

7. Menjirus air ke seluruh bahagian badan di sebelah lambung kanan dari atas sampai ke bawah.

8 Menjirus lambung kiri dari atas sampai ke bawah.

9. Menggosok bahagian-bahagian yang sulit seperti pusat, ketiak, lutut dan lain-lain supaya terkena air.

10. Membasuh kaki.

Boleh mandi junub dari bekas yang tidak sampai 2 kolah dengan syarat hendaklah menggunakan cebok kemudian menjiruskan ke seluruh badan, bukan dengan cara berendam di dalamnya. Pastikan air yang digunakan untuk menjirus badan itu tidak terpercik masuk ke dalam bekas yang tidak sampai 2 kolah itu. Menurut riwayat At-Tirmidhi dalam sahihnya Rasulullah SAW mandi junub dengan hanya satu gantang air sahaja. Satu gantang air masih belum sampai 2 kolah. Baginda tidak berendam di dalam belas yang baginda SAW ambil air darinya itu.





8. Darah Selepas Bersalin 

Soalan: 
Apakah hukum orang perempuan yang mengerjakan ibadah solat dan puasa sekiranya masih ada lagi darah yang keluar dari saluran peranakannya selepas 4 bulan waktu bersalin. Apakah nama darah tersebut?

Azlan, KL

Jawapan: 
Darah yang keluar bersama anak yang dilahirkan dinamakan sebagai darah Nifas. Para ulamak menggariskan, paling lama darah ini keluar ialah 60 hari. Jika keluar lagi selepas itu ia tidak lagi dinamakan sebagai darah nifas sebaliknya dinamakan darah Istihadah. Dalam kes ini selepas 4 bulan bersalin masih lagi keluar darah dari alat kelamin yang terlibat. Darah ini jelas bukan darah nifas lagi sebaliknya ia termasuk ke dalam katogari darah Istihadah. Yang terlibat hendaklah menunaikan solat seperti biasa. Apabila masuk waktu sahaja, hendaklah segera membasuh alat kelaminnya, kemudian menyumbatnya dengan kapas atau tuala pelekat, setelah terus berwuduk dan segera menunaikan solat.



9. Mandi Wajib Kerana Bermimpi 

Soalan: 
Bagaimanakah yang dikatakan kita harus mandi wajib setelah bermimpi bertemu dengan yang bukannya muhrim kita?

A. Ghafar, KL

Jawapan: 
Bentuk mimpi yang mewajibkan seseorang itu mandi wajib ialah mimpi melakukan persetubuhan yang menyebabkan seseorang itu keluar mani, di mana kesan keluar mani itu jelas kelihatan pada kain atau apa sahaja yang dipakainya sewaktu tidur. Air ini pula keluar secara memancut, baunya seperti bahagian yang berwarna putih pada telur ayam yang sudah direbus, keluarnya menyebabkan rasa sengal-sengal pada bahagian lutut dan disertai dengan rasa lazat. Jika ada tanda-tanda ini, jelaslah ia adalah sifat-sifat air mani lelaki. Begitulah yang disebut di dalam Kitab As-Siraj Al-Wahhaj karangan Syeikh Al-Ghamrawi salah seorang ulamak madhhab Syafi'i.

Ini bermakna jika seseorang bermimpi melakukan persetubuhan dengan seseorang perempuan tetapi apabila bangun dari tidurnya tidak didapati sebarang kesan air mani pada pakanian yang dipakainya semasa tidur, tidak wajib ke atasnya mandi junub. Berbeza jika seseorang itu bangun dari tidur tiba-tiba di dapati kesan air mani pada pakaian yang dipakainya, padahal pada malamnya ia tidak bermimpi dan kebetulan tidak ada orang lain di dalam biliknya itu selain ia seorang saja yang tidur di situ, maka air mani itu adalah kepunyaannya, kerana masa tidur adalah masa seseorang tidak sedarkan diri dan tidak menyedari apa yang berlaku ke atas dirinya. Sehubungan dengan itu ia dikehendaki mandi junub.

Kembali ke atas ↑



10. Hukum Mendengar Muzik dengan Tujuan Belajar 

Soalan: 
Apa pendapat ustaz berkenaan mendengar muzik barat dengan bertujuan mahu belajar, khususnya dalam bahasa inggeris? Muzik itu hanya didengar pada waktu-waktu tertentu dan liriknya agak baik iaitu tidak mengaitkan soal cinta dan seks semata-mata?

Ingin Tahu, K Kangsar

Jawapan: 
Mempelajari bahasa asing adalah digalakkan di dalam Islam. Rasulullah SAW menggalakkan para sahabatnya mempelajari bahasa asing. Dikalangan sahabat baginda ada yang dapat menguasai bahasa Habsyah, ada yang dapat menguasai bahasa Rom dan ada juga yang dapat menguasai bahas Farsi. Baginda memerintahkan Zaid bin Thabit mempelajari bahasa Yahudi untuk mengelakkan umat Islam dari ditipu oleh bangsa Yahudi.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: Pelajarilah bahasa asing, kerana dengan mempelajarinya seseorang itu dapat mengelakkan diri dari tipu daya bangsa asing. Ini termasuklah mempelajari bahasa Inggeris, Jepun, Korea, German, Perancis dan lain-lain  di zaman moden ini. Jika pada kaset pelajaran bahasa Inggeris itu ada lagu-lagu yang tidak berunsurkan seks dan dipasang pada masa-masa tertentu sahaja serta untuk kepentingan bahasa yang dipelajari itu, tidaklah menjadi masalah menggunakan kaset seperti ini, namun sikap berhati-hati perlu diambil supaya tumpuannya hendaklah ditumpukan kepada bahasa yang dipelajari bukannya kepada muzik yang ada padanya. Mencari kaset bahasa inggeris yang tidak disertai oleh lagu-lagu ini adalah lebih baik.

Kembali ke atas ↑



11. Hukum Bermain Alat Muzik Bertali 
Soalan: 
Apakah hukumnya seseorang Islam bermain benda bertali seperti gitar?

Tamimi, Batu Caves

Jawapan: 
Bermain alat muzik bertali seperti gitar dan lain-lain adalah haram. Ini merupakan pendapat yang telah disepakati oleh madhhab empat. Sesiapa yang berterusan bermain dengan alat-alat muzik tersebut, dianggap fasik dan tidak boleh diterima penyaksiannya di Mahkamah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Al-Bukhari menjelaskan akan timbul satu golongan dari umat Muhammad yang akan menghalalkan arak, khinzir, sutera dan alat-alat muzik.

Dalam Surah Luqman ayat 6 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara manusia ada yang suka menggunakan hartanya untuk membeli "LAHWA AL-HADIS" untuk menyesatkan orang ramai dari agama Allah". Lahwa Al-Hadis yang disebutkan di dalam ayat ini ialah alat-alat muzik dan hiburan yang melalaikan. Inilah yang dinyatakan oleh Mujahid, Hassan, dan Ibn Umar. Alat muzik yang bertali seperti gitar dan lain-lain samada fesyen lama mahupun yang baru adalah haram bermain dengannya dalam apa jua keadaannya.

1. Samada alat muzik itu mengeluarkan alunan yang rancak atau berirama perlahan. 
2. Samada dari barat atau timur. 
3. Samada pendengarnya lelaki mahupun perempuan. 
4. Samada di majlis keramaian seperti perkahwinan, hari raya, waktu perang dan lain-lain. 
5. Samada disertai dengan lagu atau tidak. 
6. Samada mendengar secara langung atau melalui pita rakaman.

Selain itu haram berjual beli alat muzik dan mengadakan kilang-kilang bagi memprosesnya, meminjam, mempelajari dan mengambil upah dari mengajar bermain muzik, membuka sekolah muzik dan membuat buku-buku panduan bermain muzik. Kerana kesemuanya adalah jalan kearah penggunaan muzik.

DN 311 Adab Mendengar Irama & Lagu

Kembali ke atas ↑



12. Membaca Al-Qur'an sambil Menonton TV dan Menghisap Rokok 
Soalan: 
Ustaz, apakah hukumnya seseorang itu membaca Al-Qur'an sambil menonton tv dan menghisap rokok?

Tamimi, Selangor

Jawapan: 
Membaca Al-Quran sambil menonton TV dan menghisap rokok adalah bertentangan dengan adab-adab membaca Al-Quran yang telah digariskan oleh para ulamak. Di antaranya pembaca Al-Qur'an hendaklah berada dalam keadaan khusyuk dan berusaha memahami isi kandungan bacaannya sedaya mungkin. Kerana memahami isi bacaan Al-Quran dan beramal dengannya adalah  satu perkara yang sangat-sangat dituntut.

Mudah-mudahan pembacanya mendapat cahaya petunjuk daripada Allah SWT. Begitu juga dengan merokok, kerana seseorang yang hendak membaca Al-Quran hendaklah berada dalam keadaan bersih tubuh badan termasuklah mulut dengan bersiwak terlebih dahulu. Merokok menyebakan mulut berbau. Tambahan pula ia boleh memudaratkan badan. Dalam sebuah hadith sahih menjelaskan tidak ada kemudaratan dalam Islam dan tidak boleh memudaratkan orang lain. Adab-adab membaca Al-Quran telah dijelaskan di dalam kitab Tibyan fi Ulumil Quran.

DN 016 Hikmah & Fadhilat Al-Quran

Kembali ke atas ↑



13. Syarat dan Bacaan Penyembelihan
Soalan: 
Saya ingin bertanya berkaitan dengan penyembelihan

Syarat-syarat sah sembelihan. 
Sembelihan kaum wanita.  
Bacaan ketika sembelihan.

Jawapan: 
Syarat-syarat sah sembelihan telah disebutkan di dalam surah Al-Ma'idah iaitu hendaklah pihak yang menyembelih itu orang Islam ataupun ahli kitab. Sembelihan orang kafir dan murtad tidak sah dan tidak boleh dimakan. Alat sembelihan pula hendaklah tajam. Tidak boleh menggunakan kuku dan tulang binatang. Seterusnya urat halkum dan merikh binatang yang disembelih hendaklah dipastikan putus.

Berhubung sembelihan yang dilakukan oleh seseorang wanita hukumnya adalah sah. Begitu juga dengan sembelihan kanak-kanak yang sudahpun berakal, malah wanita yang sedang haid sah sembelihannya sebagaimana  yang disebut di dalam kitab kifayatul Akhyar. Tidak ada bacaan khusus ketika menyembelih selain dari mengucapkan bismillah hirahmanir rahim atau menyebut Bismillah Allahu akbar. Sesudah sembelih mohonlah supaya Allah menganugerahkan kepadanya rezeki yang baik dan halal.

DN 036 Rumah Idaman Syurga Impian - SUAMI TELADAN
DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN

Kembali ke atas ↑



14. Mengerat Kuku Ketika Berhadas Besar
Soalan: 
Apakah kita dibolehkan mengerat kuku atau rambut semasa dalam keadaan berhadas besar (janabah/haid)?

Isa, PJ

Jawapan: 
Menurut jumhur ulamak mengerat kuku dan memotong rambut ketika seseorang wanita sedang mengalami haid adalah diharuskan dan tidak dilarang, kerana tidak didapati dalil dari Al-Quran mahupun dari Al-Hadis yang melarang berbuat demikian. Demikian yang disebut di dalam kitab Al-Fiqh Al-Wadih. Bagaimanapun menyimpannya lalu dibawa bersama ketika mandi junub adalah lebih baik.

Al-Imam Al-Ghazali dari kalangan fuqahak Asy-Syafi'i menghukumkan makruh memotong kuku dan mengerat rambut ketika sesesorang perempuan itu sedang didatangi haid, atas alasan anggota yang dibuang itu akan disoal oleh Allah SWT pada hari Kiamat nanti. kerana itu amat wajar sekiranya ia kembali kepada Allah dalam keadaan bersih.

DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih

Kembali ke atas ↑



15. Pembahagian Harta Pusaka
Soalan: 
Bagimanakah cara pembahagian harta pesaka ke pada anak lelaki, anak perempuan dan dua orang isteri simati mengikut hukum Faraid?

Rokiah, Terengganu

Jawapan: 
Seorang suami meninggal dunia meninggalkan dua orang isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Dalam kes ini 2 orang isteri akan mengambil 1 bahagian dari 8 bahagian yang merupakan asal masalah mengikut kaedah pembahagian pesaka. 7 bahagian yang baki akan dibahagikan kepada 3. 2 bahagian diambil oleh anak lelaki dan 1 bahagian diambil oleh anak perempuan.

Oleh kerana yang 1 bahagian isteri itu tidak boleh dibahagikan kepada 2 dan 7 bahagian anak-anak itu pula tidak boleh di bahagi kepada 3, maka untuk memudahkan pengiraan 8 yang merupakan asal masalah didarabkan dengan 6 menjadikan jumlahnya sebanyak 48. 1/8 dari 48 ialah 6. Ini bermakna bahagian isterinya ialah 6. Oleh kerana ia melibatkan 2 orang isteri maka setiap seorang mendapat 3. Selebihnya 42 diberi kepada anak lelaki dan 
anak perempuan.

Oleh kerana anak lelaki mendapat 2 kali ganda dari anak perempuan, maka dalam kes ini anak lelaki mendapat 28, manakala anak perempuan mendapat 14. Diandaikan si mati dalam kes ini meninggalkan harta bernilai RM 48,000.00, maka setiap isteri mendapat RM 3,000, anak lelaki mendapat RM 28,000, manakala anak perempuan mendapat RM 14,000. Wallau A'lam.

DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑



16. Hukum Mendengar Muzik 
Soalan: 
Apa hukum mendengar muzik yang kita tak hiraukan erti liriknya walaupun ada kemungkinan lirik lagu yang didengar menyalahi agama.

Imran, Nashville

Jawapan: 
Hukum mendengar muzik membawa kepada haram, apalagi alat muzik bertali, adalah haram. Untuk mendapatkan jawapan selanjutnya sila rujuk jawapan yang diberikan untuk soalan-soalan yang berkaitan pada soalan 9 dan 11.

DN 311 Adab Mendengar Irama & Lagu

Kembali ke atas ↑


17. Keluar Air Mani Setelah Mimpi Bersetubuh
Soalan: 
Saya bermimpi bersetubuh dengan seorang perempuan tetapi hampir mengeluar air mani. Kemudian saya terjaga dan saya tersentuh alat kelamin dan terus mengeluarkan air mani. Apakah hukumnya?

Raslan, KL

Jawapan: 
Seseorang yang bermimpi bersetubuh dengan seseorang perempuan kemudian keluar mani, wajib ke atasnya mandi wajib. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim: "Sesungguhnya air itu dengan air".

Dalam hadis yang lain, "Ummul Sulaim satu ketika pernah bertanya Rasulullah SAW:  Adakah wajib ke atas seorang wanita mandi wajib jika ia bermimpi bersetubuh? Jawab Nabi SAW:  Ya, jika ia melihat kesan air mani pada pakaiannya". Hadis ini diriwayatkan oleh  Al-Bukhari dan Muslim. Berhubung dengan kes anda, jika anda tersentuh hukumnya tidak berdosa namun anda hendaklah mandi wajib.

Kembali ke atas ↑



18. Pembahagian Daging Aqiqah
Soalan: 
Saya ingin tahu bolehkah daging aqiqah itu dibahagikan secara mentah yakni tidak lagi dimasak?

Asri, Sabah

Jawapan: 
Disunatkan memasak daging aqiqah untuk diberi makan kepada golongan fakir miskin, namun anda juga boleh membahagi bahagikannya secara mentah  kepada mereka kerana tiada larangan mengenainya di dalam Al Quran atau as Sunnah.

DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih
DN 231 Fiqh Nabawi

Kembali ke atas ↑


19. Hukum Merobohkan Patung
Soalan: 
Apakah tindakan yang diambil mengenai patung-patung yang dibina seperti tugu dan sebagainya?

Siti, Subang

Jawapan: 
Jika dengan memusnahkan patung-patung tersebut  tidak menimbulkan salah faham antara masyarakat maka ia hendaklah dimusnahkan. Tetapi jika berlaku fitnah yang besar dan kekacauan sesama sendiri, perkara itu eloklah ditangguhkan dahulu walaupun membina tugu dan patung-patung tidak dibenarkan dalam Islam. Baginda Muhammad SAW sendiri pernah bercita-cita ingin merobohkan kaabah dan membinanya semula sebagaimana binaan yang dibuat oleh nabi Ibrahim a.s setelah beliau berjaya menakluki kota Mekah tetapi cita-citanya itu dipendamkan dulu kerana orang musyrikin kebanyakkannya baru memeluk Islam.

DN 126 Motivasi Diri Sebagai Khalifah Di Bumi

Kembali ke atas ↑



20. Perbandingan Najis Air Kencing
Soalan: 
Air kencing kanak-kanak lelaki yang berusia 2 tahun dan belum makan dan minum selain dari susu ibunya cara penyucian hanya menjirus air ke atasnya saja, tapi bagaimana dengan kes yang sama jika pada kanak-kanak perempuan dan kenapa?

Rohani, W Persekutuan

Jawapan: 
Air kencing kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun dan belum makan makanan selain dari susu ibunya dianggap sebagai najis MUTTAWASSITAH iaitu najis pertengahan. Berbeza dengan air kencing kanak-kanak lelaki seusia yang dianggap sebagai najis MUKHAFFAFAH iaitu najis yang ringan. Cara membersihkan najis muttawassitah ialah dengan mencucinya sehingga hilang kesan, bau dan warnanya.

Tentang kenapa dibezakan air kencing kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam usia ini walaupun mereka meminum susu ibunya sahaja, saya belum dapati kajian tentangnya dibuat oleh pakar pakar dalam bidang ini. Pada pandangan saya mungkin hormon dalam tubuh kanak-kanak perempuan lebih aktif dari kanak-kanak lelaki menyebabkan bahan kumuh yang terdapat di dalam air kencingnya lebih banyak. Sebab itulah juga, kanak-kanak perempuan lebih cepat membesar, matang dan  tempoh balighnya lebih awal dari kanak-kanak lelaki.

DN 036 Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - Tauhid & Solat (Edisi Rumi)

Kembali ke atas ↑



21. Syaitan Diikat di Bulan Ramadhan
Soalan: 
Saya difahamkan bahawa di bulan Ramadhan yang mulia ini, syaitan akan diikat. 
Persoalannya, mengapa ramai di antara umat Islam masih lagi melakukan kemungkaran yang ditegah oleh Islam di dalam bulan yang mulia ini jika benar syaitan telah diikat?

Hadifah,KL

Jawapan: 
Dalam khutbah Rasulullah SAW ketika menyambut bulan suci Ramadhan diantaranya ada menyebutkan: "Wahai manusia, sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak ditutup selama-lamanya untukmu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rab-mu agar tidak pernah dibukakan untukmu. Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar ia tidak dapat menguasaimu".

Walaupun syaitan-syaitan telah terbelenggu, Rasulullah SAW masih menyuruh kita berdoa agar syaitan tidak menguasai kita. Ini membuktikan syaitan itu diikat atau tidak dapat mengganggu bagi orang yang melaksanakan perintah dan ajaran agama. Namun bagi mereka yang ingkar sesungguhnya keingkaran itu ada dalam dirinya sendiri yang dikuasai oleh hawa nafsunya, sehingga ia terjerumus ke lembah kemaksiatan yang merupakan amalan syaitan. Syaitan terbelenggu kerana amalan orang-orang mukmin yang mengerjakan ibadah, baik ibadah puasa mahupun ibadah lainnya dengan penuh tawaduk dan taat serta meninggalkan segala sesuatu yang menyebabkan rosaknya puasa. Bagi orang yang ingkar syaitan tetap menguasai diri mereka sendiri seperti yang kita lihat dalam kehidupan masyarakat.

DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain - Ibadah Puasa

Kembali ke atas ↑



22. Ketaqwaan di Bulan Ramadhan
Soalan: 
Apakah persediaan dan bekalan yang diperlukan untuk memasuki "Universiti Ramadan" agar berjaya memperolehi "Ijazah Taqwa"?

Abdul Hanan, KL

Jawapan: 
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia, bahkan ia merupakan waktu (universiti) untuk membina jiwa dan raga dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Banyak hadis dan ayat Al Quran yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Ramadhan ini diantaranya: "Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukalah pintu-pintu langit dan ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan".(Riwayat Bukhari dan Muslim) Banyakkan amalan-amalan sunat dan laksanakan amalan wajib dengan sempurna. Dalam sebuah hadis ada disebutkan tentang diantara amalan-amalan yang perlu dilaksanakan agar memperolehi ketaqwaan. Namun sebelum melaksanakan semua amalan itu hendaklah mempersiapkan jiwa dengan rasa keikhlasan dan beramal kerana Allah semata, bukan kerana riya dan ingin pujian manusia. Jika ini yang terjadi maka rugilah dan punahlah segala amalan yang kita kerjakan nanti. 

Diantara amalan yang dianjurkan Rasulullah tersebut antara lain: Solat tarawih dan solat-solat sunat yang lain, bantu membantu diantara sesama Islam dengan amalan sedekah dan sebagainya, memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa terutamanya orang-orang miskin. Banyak bertahlil, banyakkan memohon keampunan dengan bertaubat dan beristighfar, memohon memperoleh syurga Allah di akhirat kelak dan mohon perlindungan dari api neraka. Wallahu A'lam

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain - Ibadah Puasa

Kembali ke atas ↑


23. Difitnah Orang
Soalan: 
Saya telah difitnah oleh seseorang yang saya sendiri tak tahu siapa orangnya.  Berpunca dari api fitnah itu, kini saya menghadapi masalah dengan seorang kenalan yang mana beliau telah tidak menegur saya buat beberapa ketika.  Saya cuba untuk mencari kesalahan diri saya tapi saya hairan kerana kesalahan saya tidaklah sampai membuatkan beliau sanggup untuk tidak bertegur sehingga hari ini. Akhirnya saya telah mendengar kisah yang sebenar bahawa ada pihak yang mengada-ngadakan cerita sehingga beliau marah sampai begitu sekali.  Masalah saya sekarang ialah saya hendak meminta maaf atas apa yang berlaku tetapi saya fikir bahawa itu bukannya kesalahan saya.  Adakah saya perlu menghubungi atau menulis surat untuk meminta maaf atau sebagainya?

Hamba Allah, Sarawak

Jawapan: 
Dalam kes ini anda dan rakan anda itu tidak bersalah kerana masing-masing menaruh perasangka antara satu sama lain disebabkan fitnah orang yang ketiga. Yang berdosa ialah orang yang menimbulkan fitnah antara anda berdua. Al-Quran menjelaskan menimbulkan fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh. Kerana itu jika timbul apa-apa kekeliruan antara anda dengan orang lain oleh sebab khabar angin hendaklah anda terlebih dahulu menyiasat kesahihan berita tersebut.

Dalam surah Al-Hujurat Allah SWT memerintahkan seseorang supaya berhati-hati menerima berita yang disampaikan oleh seorang yang fasik. Oleh kerana anda sudahpun mengetahui hakikat yang sebenarnya dan rakan anda itu tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya, maka anda hendaklah memberitahu kepadanya keadan ini. Siapa yang betul atau siapa yang salah tidak timbul, kerana yang penting hubungan tali silaturrahim hendaklah dihubungkan antara anda dengan rakan anda itu semula.

Rasulullah SAW menjelaskan: Tidak akan memasuki syurga orang yang tidak menghubungkan tali silaturrahim. Para ulamak menjelaskan menghubungkan taliilaturrahim bukan bermaksud kita menghubungkannya dengan orang yang telah biasa kita kenali sahaja sebaliknya maksudnya yang sebenar ialah kita menghubungkan tali silaturrahim dengan orang yang memutuskan hubungan ini dengan kita.

Ini barulah yang dimaksudkan menghubungkan tali silaturrahim dalam Islam. Anda tidak perlu merasa segan untuk memulakannya, kerana perbuatan anda ini akan diberi ganjaran oleh Allah SWT, malah boleh jadi sikap anda ini akan menyedarkan rakan anda tentang kesilapan yang dilakukan oleh dirinya tanpa disedari. Dengan cara ini insya'Allah kekeruhan yang berlaku antara anda dengan rakan anda akan kembali pulih. Selain itu anda juga boleh menggunakan khidmat orang tengah yang dipercayai lagi amanah untuk menceritakan hakikat yang sebenarnya. Anda juga hendaklah menunaikan solat hajat dan membulatkan doa kepada Allah agar menghilangkan dari diri anda segala kekeruhan tersebut.

DN 220 Dosa-dosa Besar
DN 009 Dosa-Dosa yang Menutup Pintu Hati

Kembali ke atas ↑


24. Adab Takziah Orang Meninggal Dunia
Soalan: 
Apakah hukumnya sekiranya seseorang itu berbual-bual mengenai lain-lain hal (Hal di dunia dan sebagainya) semasa melawat orang yang meninggal?

Shahrizal, Sg Buloh

Jawapan: 
Ketika seseorang pergi takziah ke rumah orang yang meninggal dunia hendaklah mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya dengan ikut merasakan kepiluan yang sedang mereka alami. Setelah itu berilah nasihat kepada ahli keluarga agar menerima ketentuan Allah SWT itu dengan sabar. Kemudian hindarilah daripada mengerjakan perbuatan yang biasanya dilakukan ketika gembira seperti dengan minum air kopi atau air lain, mengisap rokok dan sebagainya.     Begitu juga hindarlah dari berbicara perkara yang lebih condong kepada keduniaan, kerana sebaiknya ketika takziah orang meninggal dunia itu dengan mengambil iktibar dan pengajaran bahawa setiap kita akan meninggalkan dunia yang fana ini menuju ke alam yang kekal abadi. Allah SWT berfirman maksudnya: "Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu mereka yang apabila terkena musibah berkata (sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepadanya kita akan kembali). Mereka itu mendapat keberkatan sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mengikuti petunjuk". (Al Baqarah ayat 156-157)

Kembali ke atas ↑



25. Menemui Barang Hilang
Soalan: 
Bagaimanakah caranya menurut syariat Islam sekiranya seseorang itu menemui barang berharga yang bukan miliknya?

Nik, Dungun

Jawapan: 
Mengambil barang temuan disunatkan dan ada pendapat yang mengatakan diwajibkan. Jika barang tersebut dijumpai di tempat yang aman hukum mengambilnya disunatkan, apabila barang itu ditemukan ditempat yang tidak aman, maka wajib hukumnya mengambil barang tersebut. Apabila seseorang tahu bahawa dirinya memiliki sifat tamak, maka haram baginya mengambil barang tersebut.

Mengenai perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW. Daripada Zaid bin Khalid berkata, seseorang datang kepada Rasulullah menanyakan tentang barang temuan, maka beliau bersabda: "Lihatlah barang dan pengikatnya, kemudian kenalkan atau umumkan selama satu tahun, hingga datang pemiliknya, kalau tidak datang maka barang itu terserah pada engkau...." (Riwayat Bukhari) Yang paling penting jika kita menemui sesuatu barang kita berwajib mengumumkannya kepada masyarakat dengan berbagai cara, jika pemiliknya datang dan ia menyebutkan tanda-tanda dan ciri-ciri barang temuan itu dengan sempurna, maka si penemu dibolehkan menyerahkannya kepada orang tersebut. Jika pemiliknya tidak datang maka si penemu berkewajipan memperkenalkannya selama satu tahun. Setelah satu tahun tidak ada yang mengaku, maka halal baginya bersedekah dengan barang tersebut ataupun memanfaatkannya untuk dirinya sendiri.

Kembali ke atas ↑



26. Meninggalkan Jenazah Ketika Sedang Dimandikan
Soalan: 
Bolehkah kita pulang kerumah semasa jenazah sedang di mandikan? ( ini adalah kerana berikutan terdapat orang yang berkata bahawa seseorang itu tidak boleh meninggalkan jenazah yang sedang dimandikan)?

Shah, Sg Buloh

Jawapan: 
Jika ketika jenazah dimandikan sedangkan kita bukan salah seorang yang mengurus pemandian jenazah tersebut, maka tidak berdosa jika kita ingin pulang ke rumah sendiri kerana ada kemaslahatan atau keperluan yang harus kita kerjakan. Namun jika kita sedang menyelenggarakan pemandian jenazah itu, hendaklah menyiapkan menguruskannya dan berdosa meninggalkan jenazah itu terbiar kerana tidak diuruskan.

Kembali ke atas ↑



27. Mandi Wajib ketika Gawat Air
Soalan: 
Adakah cara lain selain mandi wajib untuk mengangkat hadas besar terutama ketika kegawatan air sekarang?

Ingin tanya, KL

Jawapan: 
Jika kita dalam keadaan berhadas besar, sedangkan tidak ada air untuk mandi hadas (memang benar-benar tidak air setelah diusahakan)  maka cukuplah dengan bertayamum dengan tanah yang bersih. Perkara ini dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Jika kamu sakit atau di dalam perjalanan atau salah seorang diantara kamu buang air besar atau bercampur dengan perempuan (jimak) dan tiada beroleh air, maka hendaklah bertayamum dengan tanah yang baik yakni sapulah muka dan kedua tanganmu". (An Nisa' 43)

Kembali ke atas ↑



28. Orang Islam Memelihara Anjing
Soalan: 
Bolehkah seseorang yang beragama Islam memelihara anjing di atas sebab keselamatan? 
Perlukah kasut atau stokin disamak jika dilarikan anjing?

Shah, Sg Buloh

Jawapan: 
Menggunakan atau memelihara anjing untuk keperluan berburu dan menjaga harta benda hukumnya mubah atau boleh, selagi kita menjaga batas-batas dan ketentuan pergualan dengan binatang peliharaan kita tersebut. Banyak hadith-hadith Rasulullah SAW menerangkan perkara ini diantaranya;

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Dari Abi Tsa'labah Al Khasyni berkata; Aku pernah bertanya "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan berburu, aku berburu dengan anak panahku dan dengan menggunakan anjingku yang terlatih (yang diajar) serta anjingku yang belum terlatih, manakah yang boleh untukku ?" Rasulullah SAW lalu menjawab: "apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu dan engkau sebut nama Allah sebelumnya, makanlah. Dan yang telah engkau buru dengan anjingmu yang tidak terlatih, lalu kamu sempat menyembelihnya, maka makanlah". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam ayat Al Quran juga disebutkan maksudnya: "Mereka bertanya kepadamu; Apakah yang dihalalkan bagi mereka ?. Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan buruan yang ditangkap oleh binatang-binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu, kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. maka makanlah dari apa yang telah ditangkapnya untukmu dan sebutlah nama Allah. Bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya hisab Allah amat cepat" (Al Maidah ayat 4). Jadi jelaslah memelihara anjing untuk kegunaan menjaga harta benda hukumnya mubah atau boleh. Kemudian jika kasut atau stokin dijilat anjing maka basuhlah stokin tersebut dengan tujuh kali dan salah satu diantaranya dicampur dengan air tanah. Wallahu a'lam.

Kembali ke atas ↑


29. Pengertian Zina Dalam Islam
Soalan: 
Saya ingin bertanya ustaz tentang maksud zina. Sudah tentu hampir semua agama dan bangsa ada definisi tersendiri mengenai zina atau 'adultery'. Bagaimana dengan Islam? Apaka erti zina di sisi Islam? Bagaimana pula dengan seks luar tabii seperti menyetubuh dubur, seks lisan/oral sex (merangsang kemaluan dengan mulut)? Adakah ini termasuk juga dalam definisi zina di dalam Islam?

Hamba Allah, USA

Jawapan: 
Semua bentuk hubungan kelamin yang menyimpang dari ajaran agama Islam dianggap zina kemudian dijatuhkan hukuman yang telah ditetapkan dalam hukum Islam. Batasan zina yang mengharuskan hukuman itu ialah masuknya kepala zakar lelaki ke dalam kemaluan wanita yang tidak halal disetubuhi kerana tidak melalui pernikahan sekalipun tanpa keluar air mani.

Hukuman bagi pelaku zina dalam Islam adalah, bagi yang masih bujang disebat hingga seratus kali sedangkan bagi yang muhshan iaitu bagi janda atau duda direjam hingga mati.

Sedangkan bagi orang yang melakukan persetubuhan bukan pada tempatnya seperti di dubur maka tergolong kepada perbuatan homoseks yang sangat dikeji dan dicela oleh Allah SWT, begitu juga dengan perbuatan lesbian iaitu hubungan perempuan dengan perempuan. Sesungguhnya homoseks itu merupakan perbuatan keji dan termasuk dosa besar. Homoseks juga termasuk salah satu perbuatan yang merosak unsur fitrah kemanusian, agama dan merosak kesihatan jiwa.

Allah memberikan hukuman dengan seksaan yang pedih kepada orang yang melakukan homoseks, bahkan Allah SWT membalikkan bumi terhadap kaum Luth yang melakukan homoseks tersebut.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Maka tatkala datang azab Kami, maka Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang diatas ke bawah (Kami balikkan) dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar yang diberi tanda oleh Tuhanmu dan seksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim" (Hud, ayat 82)

Rasulullah SAW juga menyuruh untuk membunuh pelaku homoseks dan melaknati mereka. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Diriwayatkan dari Ikrimah dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang kamu temui telah melakukan perbuatan kaum Luth (homoseks) maka bunuhlah kedua pelakunya". (Riwayat Abu Dawud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah)

Kembali ke atas ↑


30. Mencaci Maki Ibu atau Bapa Orang Lain
Soalan: 
Seorang kawan (si A) mengata nama ayah si B lalu si B membalas ejekan itu dengan mencemuh semula nama ayah si A. Apakah hukumnya? Bagaimanakah kita hendak lakukan jika seseorang mengata nama ayah kita dan mempermainkannya? Apa hukamnya jika seseorang itu merasa mengata itu menyeronokkan (selepas dia mengata, dia gelak dan merasa puas)?

Aje, Alor Setar

Jawapan: 
Jika seseorang itu mencaci ayah atau ibu orang lain sama ertinya ia mencaci ayah atau ibunya sendiri. Jika seseorang melakukan hal ini kepada diri kita hendaklah kita berusaha menasihatinya dan menerangkan bahawa yang dicacinya itu bukanlah ibu bapa kita tetapi ibu bapanya sendiri. Disamping itu kita harus bersabar ketika mendengar cacian yang diucapkannya itu, kerana dengan kesabaranlah dapat membentuk keperibadian yang mulia dan terhindar daripada bencana pergaduhan dan sebagainya.

Mengenai perkara ini Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya termasuk dosa besar apabila seseorang memaki kedua orang tuanya". Para sahabat berkata: "Ya Rasulullah, apakah ada seseorang yang memaki kedua orang tuanya ?". Baginda menjawab: "Ya, bila seseorang memaki ayah orang lain, lalu orang itu memaki ayahnya dan memaki ibunya lalu orang itu membalas memaki ibunya". (Riwayat Muslim)

DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑



31. Kesaksian Dalam Penuduhan Zina
Soalan: 
Nisbah bilangan saksi di dalam Islam ialah dua perempuan menyamai seorang lelaki. Manakala bilangan saksi bagi kes zina ialah empat orang. Saya kurang pasti samada saksi itu merujuk kepada 4 orang lelaki atau memadai 4 orang perempuan. Satu lagi, dalam kes zina apakah ke-empat orang saksi perlu melihat sehingga masuknya kemaluan lelaki ke dalam faraj wanita, baru boleh didakwa penzina tersebut. Maklumlah hal ini amat sukar untuk dilihat?

Abd Rahman, Terengganu

Jawapan: 
Menuduh berzina merupakan perbuatan yang buruk dan sangat besar pengaruhnya terhadap kejatuhan martabat seseorang, kehilangan kehormatan serta keadaan diri, keluarga, keturunan menjadi tercela. Itulah sebabnya Islam menetapkan syarat-syarat  yang ketat untuk menerima atau menolak tuduhan berzina ini, sehingga sangat sukar untuk melakukannya.  Diantara syarat-syarat kesaksian itu antara lain:

1. Orang-orang yang menyaksikan perbuatan zina itu hendaklah empat orang

Firman Allah SWT maksudnya: "Dan terhadap para wanita yang mengerjakan perbuatan keji, datangkanlah empat orang diantara kamu untuk menjadi saksi. Kemudian apabila mereka telah memberikan kesaksian, maka kurunglah wanita-wanita itu dalam rumah hingga mereka menemui ajalnya atau hingga Allah memberikan jalan lain kepadanya". (An Nisa' ayat 15) "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita baik-baik berbuat zina dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi  maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali pukulan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasiq". (An Nisa' ayat 4 )

Jika orang-orang yang memberikan kesaksian itu kurang dari empat orang, maka tuduhan mereka tidak dianggap sah. Bagi penganut mazhab Hanafi, Imam Malik mujtahid tarjih dari Mazhab syafei dan Imam Ahmad berpendapat bahawa mereka yang kurang dari empat orang harus dihukum. Dasarnya ialah sesuai dengan petunjuk yang dilakukan oleh Saidina Umar Ibnul Khattab yang menghukum Abu Bakrah, Nafi' dan Syibl sewaktu mereka menuduh Mughirah berzina.

2. Saksi-saksi itu hendaklah sudah baligh

Sesungguhnya kanak-kanak belum layak untuk diberi kekuasaan dalam memegang harta hartanya, oeh kerana itu ia belum layak memberikan kesaksian untuk orang lain.

3. Saksi-saksi hendaklah sihat akalnya

Tidak dapat diterima kesaksian orang gila ataupun orang yang kurang sihat akalnya. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "tidaklah dicatat (diambil kesaksiannya) dari tiga orang, pertama orang yang tidur hingga ia terbangun, kedua, kanak-kanak hingga ia baligh dan ketiga, orang gila hingga ia waras.

4. Saksi hendaklah Orang yang adil

Firman Allah maksudnya, "Dan persaksikan dengan dua orang saksi yang adil diantara kamu...." 
(Ath Thalaq ayat 2) Firman Allah yang lain maksudnya: 
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu". (Al Hujarat ayat 6)

5. Orang Islam

Saksi hendaklah orang Islam, baik kesaksian itu diberikan kepada orang Islam sendiri mahupun yang bukan Islam. Persyaratan ini merupakan perkara yang sudah disepakati oleh imam-imam mazhab dalam Islam.

6. Tahu Peristiwa secara Terperinci

Orang-orang yang menyaksikan itu hendaklah tahu peristiwa tersebut secara terperinci. Bahkan dia melihat dengan jelas adegan jimak tersebut iaitu masuknya zakar dalam faraj.

Dasar kepada syarat ini sesuai dengan peristiwa Rasulullah SAW menyelesaikan kes pengakuan berzina yang dilakukan oleh Maiz. Ketika ingin dijalankan hukuman ke atas Maiz, maka Rasulullah SAW masih bertanya kepadanya, "Wahai Maiz, barangkali engkau hanya menciumnya, membelainya atau engkau hanya melihat kemaluannya ?. "Tidak, ya Rasulullah", jawab maiz. Kemudian Rasulullah SAW kembali bertanya kepadanya dengan kata-kata yang jelas tanpa kiasan lagi dan meminta agar dia menjawab secara jelas pula. Maiz menjawab, "Baiklah ya Rasulullah, aku akan mengungkapkannya secara jelas". Rasulullah pun bertanya, "Begitu pulakah ketika masuknya zakar ke dalam farajnya ?". Maka Maiz pun menjawab, "Ya".

7.  Saksi menggunakan kata-kata yang jelas

Dalam memberikan kesaksian, para saksi hendaklah menggunakan kata-kata yang jelas dan tidak dengan kata-kata sindiran. Seperti yang dijelaskan pada hadith di atas tadi.

8. Memberikan Kesaksian dalam satu tempat

Para saksi itu hendaklah memberikan kesaksiannya dalam satu tempat. Jika mereka memberikan kesaksian secara terpisah, baik dalam erti waktu mahupun tempat, maka kesaksiannya tidak boleh diterima.

Mengenai perkara ini para pengikut mazhab Imam Syafei, Daud Zahiri dan Zaid tidak mensyaratkan hal ini. Baik persaksian itu diberikan oleh para saksi secara serentak dan dalam satu majlis mahupun secara terpisah dalam majlis yang terpisah-pisah, semuanya dapat diterima. Sebab Allah SWT hanya menyebutkan kata-kata kesaksian (syahadah) tidak menyebutkan kata-kata tempat. Lagi pula kesaksian-kesaksian  yang diberikan mereka dapat diterima, jika satu sama lain bersesuaian walaupun tempatnya terpisah.

9. Saksi hendaklah lelaki

Orang-orang yang berperanan sebagai saksi-saksi itu hendaklah laki-laki semuanya. Menurut Ibnu Hazm kesaksian wanita juga dapat diterima dengan syarat dua orang wanita disamakan dengan seorang lelaki. Umpamanya saksi-saksi itu hendaklah terdiri dari tiga orang lelaki dan dua orang wanita atau dua orang lelaki dan empat orang wanita ataupun seorang lelaki dan enam orang wanita atau seluruhnya terdiri dari wanita seramai lapan orang.

10. Peristiwa Tersebut Masih baru terjadi

Peristiwa perzinaan yang disaksikan mereka itu hendaklah merupakan peristiwa yang masih baru (belum berselang lama). Perkara ini didasarkan atas perkataan Umar Ibnul Khatab, "Siapa sahaja yang bersaksi atas suatu pengadilan tetapi perkaranya sudah lama, maka kesaksian tersebut hanya merupakan dendam, dengan demikian kesaksiannya tidak diterima".

(Untuk lebih jelas sila rujuk buku Fikih Sunnah oleh Sayid Sabiq jilid 9)

Kembali ke atas ↑



32. Menuju Taubat yang Sebenar (Taubat Nasuha)
Soalan: 
Assalamua'laikum. Saya telah banyak melakukan perkara HARAM dan MAKSIAT. Saya telah cuba bertaubat. Tetapi tidak dapat melawan godaan syaitan dan nafsu. Bagaimanakah cara untuk saya bertaubat dan tidak melakukan dosa itu lagi? 

Insafi , JB

Jawapan: 
Makna taubat menurut syariat ertinya meninggalkan seluruh perbuatan dan dan menyesali semua kemaksiatan yang telah dikerjakannya. Kemudian berusaha untuk tidak mengulanginya bila dan dimana sahaja, walaupun ia mampu dan ada kesempatan untuk mengulanginya.

Sesungguhnya hakikat taubat itu tumbuh dan terbit dari perasaan hati kecil yang merupakan penyesalan atas segala yang terjadi, kemudian mengharapkan ampunan daripada Allah SWT dengan cara menjauhkan segala perbuatan dosa yang selama ini kita lakukan. Jika taubat itu hanya dilafazkan dengan kata-kata namun tidak desertai dengan keikhlasan dan ketulusan hati untuk melakukannya sesungguhnya hanyalah pembohongan seseorang terhadap dirinya sendiri. Jika ini yang terjadi pada diri seseorang yang berpura-pura ingin bertaubat, maka merugilah ia jika ajalnya terlebih dulu datang menjemput daripada taubat yang sebenarnya.

Allah SWT telah berjanji kepada hambaNya yang ingin bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya nescaya Allah akan mengampuninya walaupun ia telah banyak berbuat dosa. Dalam hal ini Allah berfirman dalam surah  Ali Imran 136 maksudnya: "Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menyesatkan dirinya sendiri, kemudian ingat akan Allah dan memohon ampun atas dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui".

Jadi jika anda benar-benar ikhlas ingin bertaubat fahamilah makna taubat itu sendiri serta ketahuilah syarat taubat itu adalah pertama, ikhlas ingin bertaubat, kedua, meninggalkan segala dosa, ketiga, menyesali atas dosa yang dilakukan, keempat, tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat dan kelima, dikerjakan sebelum ajal tiba. Banyakkan beristighfar serta banyak mengingat kematian agar diri kita tidak mudah terpengaruh dengan kenikmatan maksiat dan dosa yang hanya bersifat sementara ini. 
Jika ajal telah tiba, maka akan musnahlah keinginan dan hasrat taubat kita tersebut, maka kita akan tergolong insan yang paling rugi di akhirat nanti.

Lawanlah keinginan hawa nafsu yang buruk itu dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang mulia dan biasakan melakukan pekerjaan yang baik agar ia dapat menutupi kebiasaan yang buruk sekaligus menjadi tabiat dan keperibadian kita untuk masa akan datang. Sekali lagi perlu diingat, ikhlaskan dalam hati bahawa kita benar-benar ingin bertaubat, bukan sekadar bersenda gurau dengan diri sendiri, kerana sifat ini sangat tercela dan menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

DN 186 Taubat - Titisan Airmata Keinsafan (Amalan & Penghayatannya)
DN 109 Panduan Mendidik & Menunduk Nafsu
DN 207 Pelindung Hati Dari Buruan Syaitan

Kembali ke atas ↑



33. Ukuran Panjang Rambut Lelaki
Soalan: 
Apa hukumnya lelaki menyimpan rambut panjang? Kalau dibolehkan, sampai mana tahap yang dibolehkan. Boleh saudara rujukkan saya kepada hadis, ayat al-Quran atau lain-lain source yang sahih?

Pian, ?

Jawapan: 
Rambut seorang lelaki menurut sunnah adalah dalam keadaan sederhana, ertinya tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek. Dalam sebuah hadith diriwayatkan Aisyah ra. Sesunguhnya beliau dan Rasulullah SAW pernah mandi bersama daripada suatu bekas dan rambut baginda panjang sampai ke telinga serta pertengahan bahunya yakni tidak terlampau pendek dan tidak terlampau panjang tetapi sederhana".

DN 048 Insan Teladan Sepanjang Zaman

Kembali ke atas ↑



34. Cara Mandi Wajib yang Betul
Soalan: 
Saya ada satu kemusykilan...saya nak tahu cara nak mandi wajib dengan betul.Adakah ianya hanya meratakan air ke badan disertai dengan niat sahaja atau yang lain.Apakah perkara-perkara yang membuatkan mandi wajib itu tidak sah...? Diharap ustaz akan membantu saya dengan perkara ini.

Razzizul, Kota Kinabalu

Jawapan: 
Rukun mandi wajib itu ada dua. Pertama dimulai dengan niat. Niat itu terletak di dalam hati, namun jika ingin diungkapkan maka lafaz niat mandi wajib itu ialah: "Sahaja aku mandi hadas besar kerana Allah Taala". Kedau, meratakan air keseluruh tubuh. Sekiranya air itu tidak meratai keseluruh tubuh disebabkan ada yang menghalangi sampainya air kepadanya seperti lilin atau minyak atau lainnya maka perlu membasuhnya kembali.

DN 052 Panduan Lengkap Fardhu ’Ain

Kembali ke atas ↑


35. Bersentuhan dengan Kakak (Muhrim)
Soalan: 
Adakah batal wuduk seseorang itu jika terpegang kulit kakaknya sendiri? Diharap ustaz menolong saya dalam hal ini?

Haida, KL

Jawapan: 
Bersentuhan kulit dengan kakak tidaklah membatalkan wuduk. Sebab kakak adalah tergolong muhrim anda yang haram dinikahi.

Kembali ke atas ↑



36. Tanda Halal Pada Makanan
Soalan: 
Assalamualaikum Ustaz, 
Saya musykil berkenaan dengan tanda halal pada sesuatu bungkusan makanan. Adakah pihak Jabatan Agama mengesahkan keseluruhan produk yang dikeluarkan oleh sesuatu jenama itu halal, atau adakah hanya yang ada tanda halal sahaja dikira halal. Contohnya jenama A mengeluarkan beberapa jenis biskut,dan telah diketahui melalui TV jenama A ini halal. Tetapi ada satu jenis biskutnya tidak ditandakan halal atau ada tanda halal tetapi bukan dari Jabatan Agama, jadi adakah biskut tersebut halal dimakan? 
Terima kasih.

Zu, JB

Jawapan: 
Jika kita hidup dalam satu negara yang telah menentukan tentang keselesaan rakyatnya untuk menggunakan sesuatu barangan tertentu dengan tanda halal dan sebagainya, maka ikutlah panduan yang telah dibuat. Kerana perkara ini memudahkan kita sebagai pengguna. Namun jika barangan tersebut tidak memakai tanda halal, ini membuktikan kemungkinan bahawa barangan ini tergolong bukan halal. Lebih baik menghindari jika timbul keraguan di dalam hati. Wallhu a'lam.

Kembali ke atas ↑



37. Percantuman Gambar Orang Meninggal dengan yang Hidup
Soalan: 
Apakah hukumnya meletakkan gambar seseorang yang telah meninggal dunia contohnya gambar nenek saya yang telah lama meninggal dunia, kemudian saya ambil gambar tersebut dengan menggunakan program komputer lalu saya gandingkan dengan gambar anak-anak atau saudara-saudara yang masih hidup?

Hj Mohammad Aidil, Brunei

Jawapan: 
Menurut Yusuf Al Qardawi berhubung dengan gambar foto hukum asalnya adalah harus (boleh) selagi mana moif penggunaannya tidak kepada yang haram seperti mengagung-agungkannya dan sebaganinya". Mengenai percantuman gambar nenek yang telah lama meninggal dunia dengan ahli keluarga yang masih hidup dikhuatirkan akan menimbulkan fitnah, dan lebih baik gambar orang yang telah meninggal dunia itu disimpan khas dalam satu tempat. Jika kita meletakkannya di dinding pun dikhuatirkan akan menimbulkan fitnah sebab meniru budaya hindu dan kepercaan diluar dari Islam. Wallahu a'lam.

 DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih

Kembali ke atas ↑



38. Mewarnakan Rambut Selain Inai
Soalan: 
Apakah hukumnya wanita yang mewarnakan rambutnya selain daripada inai. Adakah sah solat wanita tersebut?

Suhaini, Saratok

Jawapan: 
Jika pewarna yang digunakan tersebut tidak menghalang sampai air wuduk dan bahan pewarna tersebut tidak dibuat dari benda yang haram maka sah solatnya.

Kembali ke atas ↑


39. Memakan Daging yang Diniatkan Qurban dan Aqiqah
Soalan: 
Kemusykilan saya ialah mengenai daging Qurban dan Aqiqah. Apakah daging yang diniatkan untuk Qurban boleh dimakan oleh tuan yang punya Qurban dan bagaimana pula dengan daging Aqiqah? Saya agak keliru dengan kedua-duanya. Harap dapat beri penjelasan lebih terperinci.

Nurliza, Penang

Jawapan: 
Daging qurban halal dimakan atau dimiliki oleh orang yang berqurban paling banyak sepertiga. Akan tetapi daging qurban wajib atau daging qurban nazar haram dimakan oleh orang yang bernazar. Daging qurban sunat maka sunat dimakan oleh orang yang berqurban untuk sekali makan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. Sedangkan daging aqiqah boleh dimakan oleh orang melakukan aqiqah dan disedekahkan kepada fakir miskin dan boleh juga diberi kepada orang kaya dalam keadaan sudah masak.

Kembali ke atas ↑


40. Nazar Untuk Memberi Sedekah
Soalan: 
Assalamualaikum, 
Ustaz, saya ada kemusykilan iaitu, mak saya nak membayar nazarnya dengan sedekah pisang. Pisang itu diletakkan diatas meja kepada pelanggan yang datang. Jadi sesiapa pelanggan yang datang makan akan mengambil pisang tersebut, lalu makan. Soalannya,sah tak nazar itu? Keduanya, jika ada pelanggan yang makan itu bukan Islam bagaimana?

Hamba Allah, KL

Jawapan: 
Nazar adalah iltizam atau menetapkan diri bertaqarrub pada perkara yang tidak semestinya ada menurut syariat dengan suatu ungkapan kata yang terasa. Seperti orang berkata: "Kerana Allah, aku wajib bersedekah sebanyak...." atau "Jika Allah menyembuhkan penyakitku, maka aku akan berpuasa selama tiga hari". dan lain-lain yang semestinya.

Jika bernazar dengan bersedekah pisang sebanyak yang dinazarkan dan diberikan kepada orang yang datang di restoran anda, maka lakukanlah niat tersebut, maka insya Allah hajat tersebut telah memenuhi syarat yang dinazarkan. 
Namun adalah lebih baik jika makanan tersebut di berikan kepada pengunjung masjid atau surau berhampiran yang sudah pasti muslim dan mereka yang akan mendoakan kita.

Kembali ke atas ↑


41. Lelaki Bertindik Menyerupai Wanita
Soalan: 
2. Bolehkah mereka yang bertindik (tidak kira di anggota mana) menjadi wali suatu hari kelak? Ini juga berkenaan sesetengah maklumat yang saya dengar mengatakan yang lelaki yang bertindik, tidak boleh menjadi wali walaupun lubang tindikannya itu telah terkatup?

Eda, Wales, United Kingdom

Jawapan: 
Lelaki yang bertindik bererti telah melakukan dosa besar kerana ia telah melakukan perbuatan yang menyerupai wanita. Perbuatan menyerupai wanita sangat dikutuk oleh Allah SWT.  Jika ia bertaubat dengan meninggalkan pekerjaan yang terkutuk itu, maka ia boleh menajdi wali, namun jika ia memiliki anak perempuan yang ingin berkahwin dan ia masih dalam keadaan mengerjakan pekerjaan yang fasiq maka hendaklah wali diserahkan dengan wali hakim. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑



42. Menyediakan Makanan Ketika Berhadas
Soalan: 
Saya ingin tahu apakah hukumnya selepas saya bersama suami (berjunub), bolehkah saya menyediakan/memasak untuk orang luar sebelum saya mandi junub?

Nor Jarizam, Kuantan

Jawapan: 
Dianjurkan bagi pasangan suami isteri yang telah berjunub menyegerakan mandi wajib. Jika keadaan terlalu dingin atau mengganggu kesihatan tubuh maka setelah berjunub disunatkan mengambil wuduk dan kemudian tidur hingga masuknya waktu subuh. Jika dalam keadaan berhadas setelah berjimak dengan suami dan tidak meninggalkan solat tertentu maka tidak berdosa menyediakan makanan ketika dalam keadaan tersebut. Jika sengaja melambat-lambatkan solat (solat Subuh) kerana ingin menyediakan makanan, maka hukumnya berdosa, namun hukum menyediakan makanan ketika berhadas tidaklah berdosa.

DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN

Kembali ke atas ↑



43. Waktu dan Ketika Melafazkan Kalimah 'Masya Allah'
Soalan: 
Makna 'Masya Allah', di mana tempat dan waktu yamg sesuai untuk menyebutnya?

Ayubby, KL

Jawapan: 
Kalimah 'Masya Allah' diucapkan apabila melihat sesuatu yang menakjubkan pada dirinya, anaknya hartanya atau yang lainnya, lalu ia merasa takut kepada pandangan mata yang jahat akan mengganggu serta mencelakakannya. 'Masya Allah' maknanya "Apa yang terjadi sudah dikehendaki Allah".

Dari Anas ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa melihat sesuatu ia kehairan-hairan atau takjub, maka dibacanya "Masya Allahu Laa Quwwata illa Billahi". (Apa yang terjadi adalah sudah dikehedaki Allah, tiada kekuatan kecuali dengan izinnya) nescaya sesuatu itu tidak akan memudaratkannya". (Riwayat ibnu Sunni)

Kembali ke atas ↑



44. Menunaikan Nazar Yang Terlupa
Soalan: 
Saya merasa telah membuat satu nazar tetapi tidak pasti samada ianya telah saya tunaikan atau belum kerana sudah terlupa. Adakah dengan ini iaitu tidak menunaikan nazar yang terlupa mengakibatkan segala masaalah kehidupan sekarang?

Siti Aisah, Batu Pahat

Jawapan: 
Menunaikan nazar adalah wajib selagi nasar tersebut tidak bertentangan dengan kehendak syarak. Maka tidak wajib menunaikan nazar yang mengandungi kederhakaan terhadap hukum syarak atau kepada Allah SWT. Jika kita terlupa menunaikan nazar yang pernah kita niatkan maka hendaklah mengerjakannya secepat yang mungkin setelah kita mengingatinya. Namun jika kita merasa ragu-ragu dan was-was tentang sesuatu yang kita nazarkan tersebut samada telah ditunaikan atau belum, adalah lebih baik anda memohon petunjuk daripada Allah dengan cara mengerjakan solat Istikharah. Ataupun lebih baik menunaikan nazar tersebut dengan demikian menenangkan fikiran anda.

Jika pada hakikatnya anda telah menunaikan nazar tersebut maka menunaikannya sekali lagi lantara terlupa dan demi menghindarkan diri diri daripada dosa adalah lebih baik disamping memperoleh pahala kerana telah menunaikan nazar juga pahala menghindari was-was atau pelupa dikeranakan rayuan syaitan. Wallhu A'lam.

Kembali ke atas ↑



45. Kadar Wasiat Bagi Yang Meninggal Dunia
Soalan: 
Saya ingin mengemukakan soalan mengenai pembahagian harta yang telah ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia. Baru-baru ini adik saya telah meninggal dunia disebabkan kemalangan jalanraya. Semasa hidupnya dia pernah menyuruh saya menandatangani satu borang yang dikeluarkan oleh tempat dia bekerja dimana dalam borang itu tertulis sekiranya berlaku kematian atas diri adik saya, pampasan sebanyak 15,000 akan diberikan kepada nama yang tertulis dalam borang tersebut. Adik saya telah meminta saya mencatitkan nama saya dan menandatangani borang itu serta berkata kalau berlaku apa-apa padanya ambil lah duitnya.

Sekarang setelah ia meninggal dunia syarikat tersebut ingin membuat pembayaran pampasannya kepada saya. Saya ingin bertanya, adakah saya mempunyai hak keatas wang tersebut atau saya perlu membahagikan wang tersebut sebagaimana wang serta harta peninggalannya yang lain dimana 
yang lain tiada diwariskan kepada sesiapa?

Puteri Embun, JB

Jawapan: 
Sebelum terjadinya kematian, hendaklah seseorang yang akan meningal itu berwasiat untuk ayahnya, ibunya dan keluarga-keluarganya dengan cara yang baik, dengan adanya kemungkinan bahawa seseorang yang akan menerima harta warisnya itu akan beroleh pembahagian yang sedikit atau kemungkinan tidak mendapati harta warisan tersebut. Dibenarkan berwasiat hanya 1/3 daripada jumlah hartanya. Sedangkan selebihnya dibahagi menurut faraidh.

Jika jumlah wang yang diwasiatkan kepada anda itu tidak melebihi 1/3 dari keseluruhan hartanya maka anda berhak mengambil kesemua wang tersebut. Namun jika melebihi dari kadar yang dibenarkan untuk wasiat adalah lebih baik dibahagi kepada ahli waris yang berhak menerimanya seperti ayah dan ibu. Wallahu A'lam.

DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal ) 

 Kembali ke atas ↑



46. Masa Menggunting Misai dan Janggut
Soalan: 
Saya hendak mendapatkan pendapat ustaz mengenai masalah Janggut dan Misai bagi lelaki. Apakah pendapat ustaz mengenai mencukur misai dan janggut? Adakah masa-masa tertentu untuk mencukur misai dan janggut?

Rohaizad, Petaling Jaya

Jawapan: 
Dalam sebuah hadis daripada Umar ra. menjelaskan bahawa Rasulullah SAW menyuruh agar kita menggunting misai dan memelihara janggut. Dalam hadis yang lain daripada Anas bin Malik menjelaskan bahawa Rasulullah SAW menentukan waktu kepada sahabat tentang menggunting kumis, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur ari-ari supaya jangan dibiarkan lebih dari empat puluh hari. Dengan demikian peliharalah janggut dan guntinglah misai itu agar kelihatan kemas dan jangan sampai melebihi empat puluh hari, sebab melebihi batas tersebut menampakkan keadaan seseorang itu menjadi kusut masai. Jika ingin mengguntingnya lakukanlah pada hari Jumaat agar memperoleh berkat dan pahala di sisi Allah. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


47. Memakan Makanan di Rumah Pemain Judi
Soalan: 
Bapa mertua saya mencari rezeki dengan pelbagai cara sama ada halal dan haram. Di kala kesesakan wang beliau suka bermain nombor ekor walaupun puas di nasihati oleh isterinya. Saya kini sedang hamil dan selalu mengunjunginya di waktu lapang bersama suami saya. Apakah hukumnya saya menjamah masakan mereka dan kesannya pada pembentukan janin saya kelak sedangkan saya tidak tahu apakah ia dari sumber yang halal?

Nor, KL

Jawapan: 
Sebagai seorang anak ataupun menantu sudah menjadi kewajipan untuk menziarai dan berkunjung kerumah ibu bapa mereka. Jika kebetulan diantara aktiviti dan pekerjaan mertua anda suka dengan nombor ekor bukanlah bererti bahawa setiap rezeki yang diperolehinya bersumberkan dari perbuatan yang haram tersebut. Jika mereka tidak menjelaskan tentang perkara yang sebenarnya maka kita boleh memakannya, kerana kita tidak pasti apakah benar rezeki yang dimakan itu dari sumber yang halal ataupun haram. Kerana bukanlah bererti setiap kali orang membeli nombor ekor lalu nombor yang mereka beli tersebu mengena dan memperolehi wang ekor tersebut. Kebanyakan dari kesan bermain judi hanya akan memiskinkan pemainnya bukan bertambah kaya.

Jangan was-was dengan perkara yang belum pasti kedudukannya, namun jika pasti dan jelas dari mertua anda bahawa makanan yang dihidangkan tersebut dibeli dari wang hasil judi, maka anda wajib menolak dan meninggalkan makanan tersebut demi menjaga diri dari subhat memakan sesuatu yang diperolehi dari wang yang haram. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


48. Solat Ketika Waktu Kerja
Soalan: 
Apakah hukumnya kita bersembahyang(zohor) di waktu pejabat.Sedangkan kita punyai waktu untuk mengerjakannya pada masa rehat iaitu 12.45 hingga 2.00 petang? Apakah sah sembahyang kita itu?

Suhaimie, Dungun

Jawapan: 
Di dalam Islam bekerja juga dinilai sebagai ibadah, sebab didalam bekerja itu seseorang bertujuan memenuhi tanggungjawabnya terhadap dirinya sendiri keluarganya dan yang lainnya. Kerja sebagai ibadah jika pekerjaan yang kita lakukan itu tidak bertentangan dengan agama, dan hendaklah diniatkan untuk memenuhi keperluan hidup kerana Allah semata dan demi untuk mengabdi kepadanya. Disamping itu kerja dinilai sebagai ibadah jika kita bekerja sesuai dengan ketentuan dan persetujuan yang telah ditentukan antara majikan dan pekerja. Jika pekerja mensia-siakan waktu bekerjanya sedangkan dia digaji menurut yang ditentukan, maka jika ia menggunakan waktu tersebut untuk keperluan selain yang telah dipersetujui maka hukumnya berdosa. Dikhuatirkan rezeki yang kita perolehi tidak setimpal dengan kerja yang kita laksanakan, akhirnya tergolong rezeki yang haram.

Islam menganjurkan agar kita menyegerakan mengerjakan solat. Maka adalah lebih baik setelah masuk waktu solat segera mengerjakannya. Walaupun solat yang kita kerjakan dengan menggunakan waktu bekerja hukumnya sah, namun menggunkan waktu bekerja bererti mengabaikan tanggungjawab kita.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML