Orang Mukmin Sentiasa Berdoa Kepada Allah Supaya Di jauhi Empat Perkara
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin akan menyempurnakan kewajipan yang Allah SWT perintahkan tanpa berlengah dan rasa malas. Masa yang ada digunakan sebaik mungkin supaya tidak sia-sia begitu sahaja.Begitu tinggi nilai masa dari pandangan seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang dan tidak boleh diganti.Masa itu bukan emas, tetapi masa itu lebih berharga dari emas iaitu kehidupan. Kehidupan didunia ini adalah jalan dan wasilah menuju ke alam akhirat. Kebahagian di akhirat adalah bergantung kepada amalan-amalan soleh kita ketika di dunia ini.
Sewajarnya setiap mukmin memulakan harinya dengan doa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. kepada para sahabat supaya dibaca pada waktu pagi dan petang dan diulang sebanyak 3 kali :
"Ya Allah! Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa sedih dan duka.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa lemah dan malas.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari sifat bacul dan bakhil.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari beban hutang dan penindasan orang." (Hadis Riwayat Bukhari)
Doa ini baik sekali dibaca ketika sedang berada dalam kesusahan dan kelilingi dengan hutang. Hal demikian yang diajarkan Nabi SAW kepada Abi Umamah yang sedang kesusahan dan di kelilingi dengan hutang. Doa tersebut dibaca oleh Abî Umamah setiap pagi dan petang hari. Setelah membaca doa tersebut, paginya Abî Umamah terbebas dari kesusahan dan hutangnya telah pun dapat diselesaikan.
Di dalam doa ini terdapat permohonan untuk kita berlindung kepada Allah SWT untuk 4 perkara iaitu :
1. Rasa sedih dan duka.
2. Rasa lemah dan malas.
3. Sifat bacul dan bakhil
4. Beban hutang dan penindasan orang
Huraiannya :
1. Rasa sedih dan duka.
Setiap manusia akan merasa sedih dan duka apabila ditimpa bala dan musibah, gagal dalam usahanya untuk memiliki sesuatu yang dihajatkan dan kehilangan orang yang dikasihi.
Walaupun kita reda dengan ketentuan Allah SWT terhadap apa yang akan berlaku ke atas diri kita tetapi kita mohon dan merayu kepada Allah SWT semoga hari-hari dalam perjalanan hidup kita sentiasa ceria dan gembira dan terhindar daripada musibah, kemalangan dan perkara-perkara yang mendukacitakan.
Untuk mengelakkan rasa sedih dan duka doa ini juga diajarkan Nabi SAW baik dibaca waktu pagi dan petang : "Ya Allah, tutuplah cacat-celaku, hilangkanlah kekhawatiranku, dan kurangilah kesalahan-kesalahanku. Peliharalah diriku dari segala keburukan, baik dari arah hadapan maupun belakang, dari arah kanan maupun kiri, dari arah atas maupun bawah yang datang secara tiba-tiba."(Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasa'i, Ibu Majah dan Hakim dari Sayidina Umar al-Khatab)
2. Rasa lemah dan malas.
Kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT semoga diberi-Nya kesihatan diri kita sehingga memiliki tubuh badan yang sihat dan rajin bekerja dan berusaha. Jika badan kita lemah (sakit) dan tidak sihat bagaimana kita hendak berusaha mencari rezeki atau berjihad dan berdakwah dijalan Allah SWT?
Dalam hadis Nabi SAW ada menyatakan yang bermaksud : “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim)
Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan kesihatan, kekuatan tubuh badan dan membenci sikap malas dan berpeluk tubuh saja tanpa berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh.
Firman Allah SWT maksudnya : ”Maka apabila telah dilaksanakan solat, bertebaranlah kam di muka bum; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung”. (Surah al-Jumu’ah ayat 10)
Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Tidak ada yang lebih baik bagi seseorang yang makan sesuatu makanan, selain makanan dari hasil usahanya. Dan sesungguhnya Nabiyullah Daud a.s, selalu makan dan hasil usahanya”. (Hadis Riwayat Bukhari)
3. Sifat bacul dan bakhil.
Sifat bacul adalah sifat penakut dan lemah semangat dan tidak bertanggungjawab untuk menyatakan kebenaran dan mempertahankannya apabila dihina oleh orang-orang jahil dan musuh Allah SWT. Sifat seorang mukmin jauh daripada sifat bacul, cukup jelas mana yang hak perlu dipertahankan dan sentiasa bertanggungjawab.
Sifat bakhil (kedekut) pula adalah sifat mazmumah yang amat dibenci oleh Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud , "Maafkanlah kesalahan orang yang murah hati (dermawan).Sesungguhnya Allah melihat tangannya jika dia terjatuh.Seorang pemurah hati dekat kepada Allah, dekat kepada manusia dan dekat kepada syurga.Seorang yang bodoh tapi murah hati (dermawan) lebih di sukai Allah daripada seorang alim (tekun beribadah) tapi bakhil" (HadisRawahul at Tabrani)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Tidak akan berkumpul dalam hati seorang hamba bersifat bakhil dan keimanan"
Sifat bakhil serta sayangkan harta untuk dibelanjakan ke jalan kebajikan bagi membantu orang yang susah adalah sifat yang tercela. Dengan adanya sifat-sifat tersebut dalam diri sendiri segala urusan akan tergendala malah masyarakat akan lemah dan mundur serta mudah dikalahkan oleh musuh, dengan itu masyarakat akan jadi huruhara . Dengan sebab itu ianya perlu dikikis dan dihapuskan dari dalam diri setiap muslim dengan sedaya upaya yang boleh.
4. Beban hutang dan penindasan orang
Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang melainkan kerana terdesak dan satu keperluan. Kerana hutang yang tidak dijelaskan akan menjadi "kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari". Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikannya kepada waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan membayar hutang.
Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: "Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."
Nabi SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa semoga dijauhi daripada beban hutang kerana dihari akhirat tidak ada dinar atau dirham untuk mebayar balik hutang-hutang ketika di dunia.
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Nabi SAW juga meminta kita berlindung daripada Allah SWT daripada penindasan orang yang zalim.
Diriwayatkan dari Sa'd bin Abi Waqqash radhiyallahu 'anhu, ia berkata: Aku mendengar Khaulah binti Hakim al-Salamiyah radhiyallahu 'anha berkata: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
مَنْ نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قَالَ أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْ مَنْزِلِهِ ذَلِكَ
"Siapa yang singgah di suatu tempat, lalu ia membaca: A'udzu Bikalimaatillaahit Taammaati min Syarri Maa Khalaq (Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya) maka tak ada sesuatupun yang membahayakannya sehingga ia beranjak dari tempatnya tersebut."
(Hadis Riwayat Muslim)
رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلَّذِينَ كَفَرُوا وَاغْفِرْ لَنَا رَبَّنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya : "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
(Surah al-Mumtahinah ayat 5)
رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas"
(Surah Yunus : 85)
رَبِّ فَلَا تَجْعَلْنِي فِي الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : "Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku tinggal dalam kalangan kaum yang zalim itu"
(Surah al-Mu'minun : 94)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berdoa setiap pagi dan petang dan diulang-ulangkan sebanyak tiga kali supaya dijauhi oleh Allah SWT daripada penyakit sedih, duka, lemah, malas,bacul, bakhil, beban hutang dan penindasan orang. Semua penyakit-penyakit ini akan menganggu kehidupan kita untuk beramal soleh dan beramal ibadah untuk mendapat keredaan Allah SWT.
Seorang mukimun yang baik adalah mukmin yang kuat darisegi fizikal, mental , emosi dan kerohaniannya. Keempat-empat kekuatan ini akan membantu untuk menjadi pendakwah yang berjaya di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment