Tuesday, February 18, 2014

DOA MOHON PERLINDUNGAN DARI NERAKA

Doa Mohon Perlindungan Allah Daripada Neraka dan Keburukan Kaya dan Fakir

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Doa ini dihuraikan oleh Yahya bin Syarf An Nawawi rahimahullah dalam kitabnya Riyadus Solihin. Doa yang akan kita huraikan adalah doa berlindung dari keburukan kaya dan fakir.  Doa ini teramat penting bagi kita kerana kadang kala kekayaan dan kemiskinan mendatangkan kebaikan, sebaliknya pula ia boleh  mendatangkan keburukan.

Dari Aisyah radhiyallahu 'anha bahawa Nabi SAW  pernah berdoa dengan doa ini, iaitu:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ النَّارِ وَعَذَابِ النَّارِ وَمِنْ شَرِّ الْغِنَى وَالْفَقْرِ

"ALLAAHUMMA INNII A'UUDZU BIKA MIN FITNATIN NAAR WA 'ADZAABIN NAAR, WA MIN SYARRIL GHINAA WAL FAQR" (maksudnya : "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari fitnah neraka dan azab neraka, serta dari keburukan kekayaan dan kefakiran)." (Hadis Riwayat Abu Daud no. 1543. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)

Berdasarkan doa daripada hadis sahih di atas, Nabi SAW mengajarkan kepada kita satu doa yang diriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu 'anha bahawa setiap mukmin perlulah memohon perlindungan daripada Allah SWT dari empat perkara iaitu :

Pertama : Perlindungan dari fitnah neraka

Kedua : Perlindungan dari azab neraka 

Ketiga : Perlindungan dari keburukan kaya

Keempat : Perlindungan dari keburukan fakir

Huraiannya :

Pertama : Perlindungan dari fitnah neraka.

Berlindung dari fitnah neraka adalah bermaksud berlindung dari seksa yang akan menjerumuskan dalam neraka, yang mana seksa tersebut akan terus berulang ketika seseorang berada di dalamnya.

Juga yang dimaksud dengan berlindung dari fitnah neraka adalah berlindung dari pertanyaan penjaga neraka, di mana maksud pertanyaan tersebut untuk menghina  orang yang masuk ke dalamnya. Pengertian kedua ini adalah isyarat dari firman Allah Ta’ala dalam surat Al Mulk,

كُلَّمَا أُلْقِيَ فِيهَا فَوْج سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِير

Maksudnya : “Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: "Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?" (Surah al-Mulk ayat 8)

Demikian tafsiran menarik dari penulis ‘Aunul Ma’bud (Lihat ‘Aunul Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 4/282.)

Kedua : Perlindungan dari azab neraka

Azab neraka biasa ditimpakan bagi orang-orang kafir. Sedangkan orang yang beriman akan diseksa dahulu di neraka sebab dosa-dosa mereka, mereka bukan diazab. Mereka hanya dibersihkan dari dosa yang mereka perbuat.
[Demikian keterangan dari penulis ‘Aunul Ma’bud, Al ‘Azhim Abadi rahimahullah.]

Ini menunjukkan bahawa selama seseorang masih beriman dengan benar walaupun hanya sebesar biji sawi jika ia masuk neraka, ia tidak akan kekal di dalamnya.

Permintaan diselamatkan dari seksa neraka mengandung permintaan agar kita dibebaskan dari berbagai sebab yang menjerumuskan ke dalam neraka iaitu dengan dijauhkan dari berbagai perbuatan yang haram dan dosa, dan diberi petunjuk untuk meninggalkan perkara syubhat (yang masih samar) . [Demikian keterangan dari Ibnu Katsir rahimahullah. Tafsir Al Qu’ran Al ‘Azhim, Ibnu Katsir, 2/263, Muassasah Qurthubah (Surat Al Baqarah ayat 201).]

Di antara jalan selamat dari neraka adalah dengan melatih diri untuk bersyukur, bersabar dan tidak melupakan zikir kepada Allah SWT.

Kasim bin ‘Abdirrahman berkata : “Barangsiapa yang dianugerahkan hati yang selalu bersyukur, lisan yang selalu berzikir, jasad yang selalu bersabar, sungguh ia akan diberi kebahagiaan dunia, kebahagiaan akhirat dan diselamatkan dari seksa neraka.”

Ini menunjukkan bahawa selama seseorang beriman  dengan benar, jika ia masuk neraka, ia tidak akan kekal di dalamnya.

Ketiga : Perlindungan dari keburukan kaya

Pentingnya berlindung dari kekayaan yang dapat membawa pada keburukan. Apa yang dimaksudkan di sini adalah sifat sombong dan melampaui batas terhadap kekayaan yang diberikan. Termasuk juga adalah menggunakan harta untuk perkara yang diharamkan atau melakukan perbuatan maksiat, juga untuk saling berbangga dengan harta dan kedudukan.

Islam menggalakkkan kita supaya berusaha mencari harta kekayaan, kita diingatkan agar melakukan usaha yang halal dan yang dibenarkan oleh syariat. Agama Islam melarang sama sekali kita mencari harta kekayaan dengan jalan yang salah seperti terlibat dengan perbuatan menipu, mencuri, merompak, merasuah salahguna kuasa dan sebagainya.

Perlu difahami oleh kita semua, kesenangan dan kekayaan bagi orang yang kufur dan berbuat derhaka kepada Allah SWT bukanlah kesenangan dan kekayaan yang hakiki, sebaliknya merupakan satu istidraj (umpan) daripada Allah SWT. Semoga Allah melindungi kita dari sifat yang buruk kerana harta.

Keempat : Perlindungan dari keburukan kefakiran.

Pentingnya berlindung dari kefakiran (kemiskinan) yang mengandung keburukan. Apa yang dimaksudkan di sini adalah sifat hasad dengki dan iri hati terhadap  orang-orang kaya dan begitu tamak dengan harta-harta mereka. Kefakiran juga boleh menghampiri kekufuran. Agama boleh dijual dengan wang ringgit untuk mendapat habuan dunia.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qadak dan qadar.” (Hadis Riwayat Abu Naim)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan,“Hasad adalah sekedar benci dan tidak suka terhadap kebaikan yang ada pada orang lain yang ia lihat.” (Amrodhul Qulub wa Syifauha, hal. 31, Dar Al Imam Ahmad, cetakan pertama, 1424 H)

Termasuk juga yang dimaksudkan keburukan miskin adalah menghinakan diri (dengan meminta-minta atau mengemis) sehingga merendahkan kehormatan dan merusak agama.

Keburukan kefakiran juga bermaksud  tidak reda dengan ketentuan Allah SWT yang telah membagi-bagi rezeki-Nya kepada setiap makhluk dengan begitu adil.

Boleh jadi kekayaan dan kemiskinan adalah cubaan daripada Allah SWT. Dengan kekayaan mampukah seseorang untuk bersyukur. Dengan kemiskinan bolehkah ia mampu bersabar. Jadi keduanya boleh jadi ujian.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah SWT semoga dijauhi dan dilindungi daripada fitnah neraka dan seksaan azab neraka, begitu juga supaya dilindungi Allah SWT daripada keburukan kaya ( sombong , bakhil, melupakan hari akhirat dan bergelumang dengan noda dan dosa) dan juga kita mohon dilindungi Allah SWT daripada keburukan fakir (fakir yang berhasad dengki, kufur dengan nikmat Allah, tidak sabar dan tidak reda dengan qadak dan qadar). Semoga Allah SWT meredai kehidupan kita di dunia dan akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML