Berdoa Kepada Allah Supaya di Jauhi Daripada Bala dan Kehinaan
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Berdoa adalah senjata orang mukmin. Dalam kehidupan seorang mukmin, hidupnya penuh dihiasi dengan akhlak Islam, amal soleh, amal ibadah dan peribadi mulia yang akan menjadi contoh kepada orang lain. Dalam keadaan hidup di dunia ICT dan kemajuan teknologi, disana sini berlaku maksiat dan kemugkaran, kita perlulah meminta perlindungan Allah S.W.T. daripada bala dan musibah yang akan diturunkan oleh Allah S.W.T. kerana kerosakkan yang dibuat oleh tangan-tangan manusia di muka bumi ini. Berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T. tanda pengharapan kita yang mutlak kepada-Nya.
Doa memohon selamat daripada bala dan kehinaan ini terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi S.A.W. ada mengajarkan kepada kita untuk berdoa : "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan qadak dan kegembiraan musuh (terhadap masaalahku)."
Terdapat 4 perkara intisari doa yang diajarkan oleh Nabi S.A.W untuk berlidung kepada Allah S.W.T. :
1. Kesusahan bala
2. Hinanya kesengsaraan
3. Keburukan qadak
4. Kegembiraan musuh
Huraiannya :
Pertama : Kesusahan bala.
Bala adalah suatu kententuan Allah S.W.T keatas hamba-hamba-Nya. Bala adalah satu peringatan daripada Allah S.W.T. kepada para hamba-Nya samaada untuk menghapuskan dosa atau sebagai peringatan Allah S.W.T. semoga manusia kembali kepada Allah S.W.T. dengan meninggalkan larangan-Nya dan melaksanakan suruhan-Nya.
Bala yang datang dalam berbagai bentuk seperti kemalangan jalan raya, kebakaran rumah, mendapat penyakit, kehilangan harta benda, kematian insan yang dikasihi, kerugiaan dalam perniagaan, hilang jawatan, dirompak, diragut dan pergaduhan dan perselisihan di kalangan ahli keluarga dan kematian yang buruk (su'ul khatimah). Bala yang paling besar adalah apabila seseorang itu suka kepada maksiat dan melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama dan tidak merasa berdosa.
Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya , bala dan musibah.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)
Oleh itu banyakkanlah memberi sedekah setiap hari walaupun hanya seringgit semoga terlindung daripada bala dan musibah. Seorang yang bersedekah mendapat doa malaikat rahmat.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain daripada doa di atas terdapat satu lagi doa yang diajarkan Nabi S.A.W. semoga kita dijauhi daripada bala (kemalangan).
"Ya Allah, tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukkan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan dengan Allah S.W.T." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Kedua : Hinanya kesengsaraan.
Apabila seseorang ditimpa kesengsaraan dalam hidupnya seperti kefakiran dan penyakit yang berpanjangan maka masyarakat akan memandang hina kepadanya. Hidup terpaksa meminta-minta dan sentiasa meminta belas ihsan orang ramai. Kesengsaraan boleh juga datang dalam bentuk fitnah yang yang dilemparkan kepada seseorang sedangkan perbuatan tersebut tidak dilakukan. Penyakit yang didatangkan melalui sihir juga menyebabkan seseorang menderita menghadapi penyakit yang misteri daripada angkara jin dan syaitan.
Maka kita diminta berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah S.W.T. supaya dijauhi mendapat musibah dengan mengalami kesengsaraan.
Salah satu doa yang baik diamalkan supaya dijauhi daripada kesengsaraan :
" Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut, dan daripada sifat kedekut, aku mohon perlindungan-Mu daripada ditimpa penyakit nyanyuk, serta aku mohon perlindungan-Mu daripada fitnah dunia dan azab kubur." (Hadis Riwayat Bukhari)
Kesengsaraan yang besar adalah apabila kita segsara di alam barzakh dan hari akhirat, maka
Nabi S.A.W. mengajar kita agar sentiasa berdoa dan mohon perlindungan Allah S.W.T. ketika habis membaca tasyahhud akhir kepada empat perkara.
Sebagaimana sabdanya yang bermaksud : "Bila seseorang selesai membaca tasyahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: ' Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari seksa Neraka Jahannam, dari seksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah al-Masih Dajjal'. (Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai kepentingannya)".
(Hadis Riwayat Muslim, Abu 'Awanah, Nasa'i dan Ibnu jarud dalam al-muntaqa)
Ketiga : Keburukan qadak.
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T. telah ditetapkan kebaikan dan keburukkannya di dalam qadak dan qadar-Nya.
Dari Abdullah bin `Amr bin al-`Aas, r.a , katanya : Aku ada mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : “ Allah telah memerintahkan supaya ditulis segala qadar takdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan satu tempoh masa yang amat lanjut."
(Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Tidak boleh menolak qadak kecuali dengan doa".
Qadak dan qadar adalah rahsia Allah .Bukan tugas kita untuk mempersoalkannya.Tugas kita buat ibadah dan amal soleh sebaik mungkin dan tingkatkan ketakwaan dan keimanan pada Allah S.W.T. dan yakin dengan janji-Nya, maka Dia akan membalasi hamba-Nya yang beriman dengan syurga.
Oleh itu kita diminta perbanyakkan doa semoga keburukan qadak yang ditetapkan Allah S.W.T dapat Dia mengasihani kita dengan di gantikannya denga qadak yang baik.
Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf : “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Allah S.W.T berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)
Kita hendaklah sentiasa berbaik sangka dengan-Nya bahawa Dia akan mengampunkan dosa-dosa kita dan mengasihi kita di dunia dan akhirat insya Allah dengan sangkaan kita yang positif maka Allah S.W.T. akan berperasangka seperti sangkaan kita terhadap-Nya. Maka kita akan mendapat rahmat dan pengampunan-Nya.
Keempat : Kegembiraan musuh.
Kiat berdoa meminta Allah S.W.T jauhi kita daripada musuh. Samaada musuh yang nampak atau musuh yang tidak nampak. Musuh yang nampak adalah orang-orang Yahudi dan Nasrani kerana Allah S.W.T. mengatakan mereka tidak akan senang kepada kita selagi kita tidak mengikut agama mereka. Orang-orang kafir yang lain juga adalah musuh kita kerana mereka benci kepada akidah Islam yang kita percaya dan yakini. Musuh-musuh yang lain pula adalah musuh dikalangan orang Islam yang fasiq yang benci pada hukum Allah dan tidak suka kepada akhlak dan ajaran Islam yang kita hayati dan hendak kita amalkan. Musuh yang tidak nampak pula adalah iblis, syaitan dan jin yang sentiasa menggoda siang dan malam untuk menyesatkan kita.
Nabi S.A.W mengajarkan kita semoga dijauhi daripada pelbagai kejahatan.
"Ya Allah! Sesungguhnya akau berlindung kepada-Mu daripada kesedihan dan kesusahan, perasaan lemah dan malas. sikap bakhil dan penakut, hutang yang menyibukkan fikiran dan orang yang menindasku (musuhku)"
(Hadis Riwayat Bukhari)
"Ya Allah! Sesungguhnya akau berlindung kepada-Mu daripada hari yang buruk, malam yang buruk, waktu yang buruk, kawan yang buruk dan jiran yang jahat ditempat tinggalku."
(Hadis Riwayat Tabrani)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa dan meminta perlindungan daripada Allah S.W.T. dalam segala bentuk bala dan kehinaan samaada hidup di dunia dan hari akhirat. Lakukanlah setiap hari dan setiap masa kerana Allah S.W.T Maha Mendengar permohonan dan permintaan kita. Mukmin yang baik dan lebih dikasihi Allah adalah mukmin yang kuat dan banyak berdoa daripada mukmin yang lemah dan kurang berdoa.
No comments:
Post a Comment