Tuesday, February 18, 2014

Orang Mukmin Sentiasa Berdoa Kepada Allah SWT dan Memperbanyakkan Amal Kebajikan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak ada yang dapat mengubah takdir (qada)  selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakan amal kebajikan (amal soleh) ”. (Hadis Riwayat Tirmizi daripada Salman al-Farisi r.a)

Berdasarkan hadis di atas terdapat dua perkara kebaikan untuk manusia yang akan dikurniakan oleh Allah SWT iaitu :

Pertama : Tidak ada yang dapat mengubah takdir (qada) selain doa.

Kedua : Tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan (amal soleh).

Huraiannya :

Pertama : Tidak ada yang dapat mengubah takdir (qada) selain doa.

Berdasarkan hadis di atas ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah SWT . Ketika manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia akan sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.

Doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56:

Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.”

Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Berkenaan dengan hal ini kita boleh mencontohi sikap para sahabat Nabi SAW  walaupun sudah dijanjikan syurga namun mereka masih lagi berusaha meningkatkan amal dan berbuat baik.

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Hadis daripada Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi maksudnya :“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT?. Seorang sahabat iaitu Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul.

Menurut Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW  bersabda maksudnya :  “ Wahai Sa'ad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari. Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah layak untuknya”. (Hadis Riwayat Tabrani)

Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab-adab tertentu.

Berdasarkan rujukan al-Quran dan hadis, antara lain adab berdoa itu ialah:

1. Suci dari hadas besar dan kecil.

2. Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW.

3. Berdoa dengan ikhlas, suara yang perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu, dan yakin Allah akan mengkabulkan doa sama ada cepat atau lambat.

4. Berdoa terus menerus sama ada semasa senang atau susah, dan tanpa putus asa.

5. Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturrahim, kerosakkan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.

Kedua : Tidak ada yang dapat memanjagkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan (amal soleh).

Umur manusia adalah termasuk dalam qada dan qadar Allah SWT. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh memendekkan atau memanjangkan umur seseorang.

Salah satu amal kebajikan (amal soleh) yang dapat memanjangkan umur seseorang itu adalah dengan menghubungkan silaturahim yang terputus. Sebagaimana hadis daripada Rasulullah SAW.  yang bermaksud, "Barangsiapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (menjalinkan hubungan baik) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezeki, ditambah umurnya dan Allah SWT memasukkan ke dalam syurga."(Hadis Riwayat Ar-Rabii)

Hadis di atas secara jelas menyatakan betapa tingginya nilai silaturahim. Bahkan Rasulullah SAW  memberi jaminan bagi para pelaksana silaturahim, hanya dengan satu amalan, ini ia memperolehi empat jaminan sekaligus; dicintai keluarga, diluaskan rezeki, dipanjangkan usia dan yang paling penting menjadi penghuni syurga Allah SWT.

Terdapat satu kisah di zaman Nabi Daud a.s. bahawa bagaimana silaturahim dapat memanjangkan umur seseorang hamba Allah SWT yang telah ditetapkan umurnya.

Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud a.s. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya".

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud a.s. menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya.

Nabi Daud a.s. pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?".

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

Dalam satu hadis riwayat Imam Ahmad seseorang yang suka berbakti kepada kedua ibu bapanya boleh di panjangkan umurnya oleh Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa untuk mendapat kurniaan Allah SWT umur yang panjang adalah banyakkan melakukan kerja-kerja kebajikan dan amal soleh, sentiada menyambungkan silaturahim yang terputus dan banyakkan berbakti kepada kedua ibu bapa.

Setiap orang muslim diantara kita tentu menginginkan berumur panjang supaya bertambah kebaikannya. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW tatkala baginda ditanya:  Siapakah orang yang paling baik itu? Baginda menjawab: “Iaitu orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ahmad).

Hampir setiap orang mahu hidup lama, kecuali orang yang putus asa dengan hidup. Paling baik kalau dapat panjang umur sambil berbuat ketaatan kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang umur di dalam mentaati Allah." (Hadis Riwayat Khotib daripada Abdullah dari bapanya)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan dalam hidup kita. Banyakkan berdoa semoga kita kekal dengan iman dan  sentiasa di dalam rahmat oleh Allah SWT.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML