Berdoalah di Waktu Mustajab Doa
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoa kepada Allah SWT adalah satu ibadah dan satu pengharapan yang mutlak kepada Allah SWT. Manusia yang hidup tanpa berdoa kepada Tuhan yang Maha Berkuasa adalah tanda kesombongan dan keangkuhan manusia.
Diantara usaha yang boleh kita lakukan agar doa kita dikabulkan oleh Allah Ta’ala adalah dengan memanfaatkan waktu-waktu tertentu yang dijanjikan oleh Allah SWT bahawa doa ketika waktu-waktu tersebut dikabulkan. Diantara waktu-waktu tersebut adalah seperti berikut :
1. Ketika sahur atau sepertiga malam terakhir
Allah Ta’ala mencintai hamba-Nya yang berdoa disepertiga malam yang terakhir. Allah Ta’ala berfirman tentang ciri-ciri orang yang bertakwa, salah satunya:
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون
“Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon ampunan” (Surah Adz Zariyat ayat 18)
Sepertiga malam yang paling akhir adalah waktu yang penuh berkah, sebab pada saat itu Rabb kita Allah Subhanahu Wa Ta’ala turun ke langit dunia dan mengabulkan setiap doa hamba-Nya yang berdoa ketika itu.
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda :
ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا ، حين يبقى ثلث الليل الآخر، يقول : من يدعوني فأستجيب له ، من يسألني فأعطيه ، من يستغفرني فأغفر له
Maksudnya : “Rabb kita turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang akhir pada setiap malamnya. Kemudian berfirman: ‘Orang yang berdoa kepada-Ku akan Ku kabulkan, orang yang meminta sesuatu kepada-Ku akan Kuberikan, orang yang meminta ampunan dari-Ku akan Kuampuni‘” (Hadis Riwayat Bukhari no.1145, Muslim no. 758)
Namun perlu dijelaskan bahawa sifat ‘turun’ dalam hadis ini jangan sampai membuat kita membayangkan Allah Ta’ala turun sebagaimana manusia turun dari suatu tempat ke tempat lain. Kerana tentu berbeza. Yang penting kita mengimani bahwa Allah Ta’ala turun ke langit dunia, kerana yang berkata demikian adalah Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam diberi panggilan Ash shadiqul Mashduq (orang jujur yang dijamin kebenarannya oleh Allah), tanpa perlu mempersoalkannya dan membayangkan bagaimana caranya.
Dari hadis ini jelas bahawa sepertiga malam yang akhir adalah waktu yang dianjurkan untuk memperbanyak berdoa. Lebih lagi di bulan Ramadan, bangun di sepertiga malam akhir bukanlah hal yang berat lagi kerana bersamaan dengan waktu makan sahur. Oleh kerana itu, manfaatkanlah sebaik-baiknya waktu tersebut untuk berdoa.
2. Ketika berbuka puasa
Waktu berbuka puasa pun merupakan waktu yang penuh keberkahan, kerana diwaktu ini manusia merasakan salah satu kebahagiaan ibadah puasa, iaitu diperbolehkannya makan dan minum setelah seharian menahannya, sebagaimana hadis dari Nabi SAW :
للصائم فرحتان : فرحة عند فطره و فرحة عند لقاء ربه
“Orang yang berpuasa memiliki dua kebahagiaan: kebahagiaan ketika berbuka puasa dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Rabb-Nya kelak” (Hadis Riwayat Muslim, no.1151)
Keberkahan lain di waktu berbuka puasa adalah dikabulkannya doa orang yang telah berpuasa, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
ثلاث لا ترد دعوتهم الصائم حتى يفطر والإمام العادل و المظلوم
‘”Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang di zalimi” (Hadis Riwayat Tirmidzi no.2528, Ibnu Majah no.1752, Ibnu Hibban no.2405, disahihkan Al Albani di Sahih At Tirmidzi)
Oleh kerana itu, jangan lewatkan kesempatan baik ini untuk memohon apa saja yang termasuk kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Namun perlu diketahui, terdapat doa yang dianjurkan untuk diucapkan ketika berbuka puasa, iaitu doa berbuka puasa. Sebagaimana hadits
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا أفطر قال ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
“Biasanya Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam ketika berbuka puasa membaca doa:
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
"Zahabaz zhamaa-u wabtalatil ‘uruqu wa tsabatal ajru insyaa Allah"
Maksudnya ; "Rasa haus telah hilang, kerongkongan telah basah, semoga pahala didapatkan. Insya Allah" (Hadis Riwayat Abu Daud no.2357, Ad Daruquthni 2/401, dihasankan oleh Ibnu Hajar Al Asqalani di Hidayatur Ruwah, 2/232)
3. Ketika malam Lailatul Qadar
Malam Lailatul Qadar adalah malam diturunkannya Al Quran. Malam ini lebih utama dari 1000 bulan. Sebagaimana firmanAllah Ta’ala:
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan” (Surah al-Qadr ayat 3)
Pada malam ini dianjurkan memperbanyak ibadah termasuk memperbanyak doa. Sebagaimana yang diceritakan oleh Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahu’anha:
قلت يا رسول الله أرأيت إن علمت أي ليلة ليلة القدر ما أقول فيها قال قولي اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني
“Aku bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, menurutmu apa yang sebaiknya aku ucapkan jika aku menemukan malam Lailatul Qadar?
"Baginda bersabda: "Berdoalah:
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni ['Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan menyukai sifat pemaaf, maka ampunilah aku'']”(Hadis Riwayat Tirmidzi, 3513, Ibnu Majah, 3119, At Tirmidzi berkata: “Hasan Sahih”)
Pada hadis ini Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu’anha meminta diajarkan ucapan yang sebaiknya diamalkan ketika malam Lailatul Qadar. Namun ternyata Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam mengajarkan lafadz doa. Ini menunjukkan bahawa pada malam Lailatul Qadar dianjurkan memperbanyak doa, terutama dengan lafadz yang diajarkan tersebut.
4. Ketika azan berkumandang
Selain dianjurkan untuk menjawab azan dengan lafazh yang sama, saat azan dikumandangkan pun termasuk waktu yang mustajab untuk berdoa. Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
ثنتان لا تردان أو قلما تردان الدعاء عند النداء وعند البأس حين يلحم بعضهم بعضا
“Doa tidak tertolak pada dua waktu, atau minima kecil kemungkinan tertolaknya. Iaitu ketika azan berkumandang dan saat perang berkecamuk, ketika kedua kubu saling menyerang” (Hadis Riwayat Abu Daud, 2540, Ibnu Hajar Al Asqalani dalam Nata-ijul Afkar, 1/369, berkata: “Hasan Sahih”)
5. Di antara azan dan iqamah
Waktu di antara azan dan iqamah adalah juga merupakan waktu yang dianjurkan untuk berdoa, berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam:
الدعاء لا يرد بين الأذان والإقامة
“Doa di antara azan dan iqamah tidak tertolak” (Hadis Tirmidzi, 212, ia berkata: “Hasan Sahih”)
Dengan demikian jelaslah bahawa amalan yang dianjurkan antara azan dan iqamah adalah berdoa. Padahal Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda,
لا إن كلكم مناج ربه فلا يؤذين بعضكم بعضا ولا يرفع بعضكم على بعض في القراءة أو قال في الصلاة
“Ketahuilah, kalian semua sedang bermunajat kepada Allah, maka janganlah saling mengganggu satu sama lain. Janganlah kalian mengeraskan suara dalam membaca al-Quran atau baginda berkata, ‘Dalam solat’,” (Hadis Riwayat Abu Daud no.1332, Ahmad, 430, disahihkan oleh Ibnu Hajar Al Asqalani di Nata-ijul Afkar, 2/16).
6. Ketika sedang sujud dalam solat
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
أقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد . فأكثروا الدعا
“Seorang hamba berada paling dekat dengan Rabb-nya ialah ketika ia sedang bersujud. Maka perbanyaklah berdoa ketika itu” (Hadis Riwayat Muslim, no.482)
7. Setelah membaca tasyahud akhir sebelum salam pada solat wajib
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
قيل يا رسول الله صلى الله عليه وسلم أي الدعاء أسمع قال جوف الليل الآخر ودبر الصلوات المكتوبات
“Ada yang bertanya: Wahai Rasulullah, bila doa kita didengar oleh Allah? Baginda bersabda: “Diakhir malam dan diakhir solat wajib” (Hadis Riwayat Tirmidzi, 3499)
Ibnu Qayyim Al Jauziyyah dalam Zaadul Ma’ad (1/305) menjelaskan bahawa yang dimaksud akhir solat wajib adalah sebelum salam.
8. Di hari Jumaat
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda,
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم ذكر يوم الجمعة ، فقال : فيه ساعة ، لا يوافقها عبد مسلم ، وهو قائم يصلي ، يسأل الله تعالى شيئا ، إلا أعطاه إياه . وأشار بيده يقللها
“Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam menyebutkan tentang hari Jumat kemudian baginda bersabda: ‘Di dalamnya terdapat waktu. Jika seorang muslim berdoa ketika itu, pasti diberikan apa yang ia minta’. Lalu beliau mengisyaratkan dengan tangannya tentang sebentarnya waktu tersebut” (Hadis Riwayat Bukhari 935, Muslim 852 dari sahabat Abu Hurairah Radhiallahu’anhu)
Ibnu Hajar Al Asqalani dalam Fathul Baari ketika menjelaskan hadis ini beliau menyebutkan 42 pendapat ulama tentang waktu yang dimaksud. Namun secara umum terdapat 4 pendapat yang kuat.
Pendapat pertama, yaitu waktu sejak imam naik mimbar sampai selesai solat Jumaat, berdasarkan hadis:
هي ما بين أن يجلس الإمام إلى أن تقضى الصلاة
“Waktu tersebut adalah ketika imam naik mimbar sampai solat Jumaat selesai” (Hadis Riwayat Muslim, 853 dari sahabat Abu Musa Al Asy’ari Radhiallahu’anhu).
Pendapat ini dipilih oleh Imam Muslim, An Nawawi, Al Qurthubi, Ibnul Arabi dan Al Baihaqi.
Pendapat kedua, iaitu setelah asar sampai terbenamnya matahari. Berdasarkan hadis:
يوم الجمعة ثنتا عشرة يريد ساعة لا يوجد مسلم يسأل الله عز وجل شيئا إلا أتاه الله عز وجل فالتمسوها آخر ساعة بعد العصر
“Dalam 12 jam hari Jumaat ada satu waktu, jika seorang muslim meminta sesuatu kepada Allah Azza Wa Jalla pasti akan dikabulkan. Carilah waktu itu di waktu setelah asar” (Hadis Riwayat Abu Daud, no.1048 dari sahabat Jabir bin Abdillah Radhiallahu’anhu. Disahihkan Al Albani di Sahih Abi Daud).
Pendapat ini dipilih oleh At Tirmidzi, dan Ibnu Qayyim Al Jauziyyah. Pendapat ini yang lebih masyhur dikalangan para ulama.
Pendapat ketiga, iaitu setelah asar, namun diakhir-akhir hari Jumaat. Pendapat ini didasari oleh riwayat dari Abi Salamah. Ishaq bin Rahawaih, At Thurthusi, Ibnul Zamlakani menguatkan pendapat ini.
Pendapat keempat, yang juga dikuatkan oleh Ibnu Hajar sendiri, yaitu menggabungkan semua pendapat yang ada. Ibnu ‘Abdil Barr berkata: “Dianjurkan untuk bersungguh-sungguh dalam berdoa pada dua waktu yang disebutkan”. Dengan demikian seseorang akan lebih memperbanyak doanya di hari Jumaat tidak pada beberapa waktu tertentu saja. Pendapat ini dipilih oleh Imam Ahmad bin Hambal, Ibnu ‘Abdil Barr.
9. Ketika turun hujan
Hujan adalah nikmat Allah Ta’ala. Oleh kerana itu tidak boleh mencelanya. Sebagian orang merasa marah dengan turunnya hujan, padahal yang menurunkan hujan tidak lain adalah Allah Ta’ala. Oleh kerana itu, daripada timbul perasaan marah lebih baik memanfaatkan waktu hujan untuk berdoa memohon apa yang diinginkan kepada Allah Ta’ala:
ثنتان ما تردان : الدعاء عند النداء ، و تحت المطر
“Doa tidak tertolak pada dua waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun” (Hadis Riwayat al-Hakim, 2534, disahihkan Al Albani di Sahih Al Jami’, 3078)
10. Hari Rabu antara waktu Zohor dan Ashar
Sunnah ini belum diketahui oleh kebanyakan kaum muslimin, iaitu dikabulkannya doa diantara solat Zohor dan Asar dihari Rabu. Ini diceritakan oleh Jabir bin Abdillah Radhiallahu’anhu:
أن النبي صلى الله عليه وسلم دعا في مسجد الفتح ثلاثا يوم الاثنين، ويوم الثلاثاء، ويوم الأربعاء، فاستُجيب له يوم الأربعاء بين الصلاتين فعُرِفَ البِشْرُ في وجهه
قال جابر: فلم ينزل بي أمر مهمٌّ غليظ إِلاّ توخَّيْتُ تلك الساعة فأدعو فيها فأعرف الإجابة
“Nabi Shalallahu ‘alaihi Wasalam berdoa di Masjid Al Fath 3 kali, iaitu hari Isnin, Selasa dan Rabu. Pada hari Rabu lah doanya dikabulkan, iaitu diantara dua solat. Ini diketahui dari kegembiraan di wajah baginda. Berkata Jabir : ‘Tidaklah suatu perkara penting yang berat pada saya kecuali saya memilih waktu ini untuk berdoa, dan saya mendapati dikabulkannya doa saya‘”
Dalam riwayat lain:
فاستجيب له يوم الأربعاء بين الصلاتين الظهر والعصر
“Pada hari Rabu lah doanya dikabulkan, iaitu di antara solat Zohor dan Asar” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 14603, Al Haitsami dalam Majma Az Zawaid, 4/15, berkata: “Semua perawinya siqah”, juga disahihkan Al Albani di Sahih At Targhib, 1185)
11. Ketika Hari Arafah
Hari Arafah adalah hari ketika para jamaah haji melakukan wukuf di Arafah, iaitu tanggal 9 Zulhijjah. Pada hari tersebut dianjurkan memperbanyak doa, baik bagi jamaah haji maupun bagi seluruh kaum muslimin yang tidak sedang menunaikan ibadah haji. Sebab Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
خير الدعاء دعاء يوم عرفة
“Doa yang terbaik adalah doa ketika hari Arafah” (Hadis Riwayat Tirmidzi, 3585. Di sahihkan Al Albani dalam Sahih At Tirmidzi)
12. Ketika Perang Berkecamuk
Salah satu keutamaan pergi ke medan perang dalam rangka berjihad di jalan Allah adalah doa dari orang yang berperang di jalan Allah ketika perang sedang berkecamuk, diijabah oleh Allah Ta’ala. Dalilnya adalah hadis yang sudah disebutkan di atas:
ثنتان لا تردان أو قلما تردان الدعاء عند النداء وعند البأس حين يلحم بعضهم بعضا
“Doa tidak tertolak pada dua waktu, atau minima kecil kemungkinan tertolaknya. Iaitu ketika azan berkumandang dan saat perang berkecamuk, ketika kedua kubu saling menyerang” (Hadis Riwayat Abu Daud, 2540, Ibnu Hajar Al Asqalani dalam Nata-ijul Afkar, 1/369, berkata: “Hasan Sahih”)
13. Ketika Meminum Air Zam-zam
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
ماء زمزم لما شرب له
“Khasiat Air Zam-zam itu sesuai niat peminumnya” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, 2/1018. Disahihkan Al Albani dalam Sahih Ibni Majah, 2502)
14. Waktu menerima ujian.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Atau siapakah yang memperkenankan do'a orang yang menderita apabila ia berdo'a kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).
(Surah al-Naml ayat 62)
15. Selepas mengucapkan 'Amin' apabila selesai membaca surah al-Fatihah.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Apabila imam mengatakan 'Amin', maka ucapkanlah 'Amin'. Sesiapa yang mengucapkan 'Amin' bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
16. Ketika menziarahi orang sakit.
Ummu Salamah r.ha. melapurkan bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud, "Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu."
(Hadis Riwayat Muslim)
17. Selepas saat kematiaan seseorang.
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha. bahawa Nabi SAW. menziarahi jenazah Abu Salamah r.a lalu menutup matanya. Baginda bersabda maksudnya, "Sesungguhnya roh seseorang yang keluar dari jasadnya akan diekori oleh mata." lalu baginda bersabda lagi yang bermaksud : "Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian melainkan perkara yang baik sahaja kerana malaikat mendoakan untuk kalian." Baginda kemudiannya mendo'akan untuk Abu Salamah r.a".
Sahabat yang dimuliakan,
Demikian uraian mengenai waktu-waktu yang paling dianjurkan untuk berdoa. Semoga kita sentiasa berdoa bersungguh-sungguh dan memilih waktu-waktu mustajab doa untuk memohon kehadrat Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT mengabulkan doa-doa kita dan menerima amal ibadah kita.
No comments:
Post a Comment