Saturday, January 11, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 31

Soal Jawab Agama Siri 31 

(Hubungan Silaturahim, Bertemu dan Berpisah Kerana Allah, Tolong Menolong, Golongan Muflis dan Amalan Untuk Akhirat.)

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 31 adalah menjawab persoalan hubungan silaturahim, bertemu dan berpisah kerana Allah, tolong menolong, golongan muflis dan amalan untuk akhirat.

451. Soalan : Apakah kebaikan yang diperolehi oleh orang mukmin yang suka menghubungkan silaturahim dengan sahabat-sahabat lama yang terputus hubungan, mengeratkan lagi ukuwah Islamiah dan ziarah menziarahi di antara satu sama lain?

Sungguh besar pahala di sisi Allah SWT sesiapa saja dikalangan orang mukmin yang berusaha untuk mengeratkan silaturahim dan membina ukhwah Islamiah.

Daripada Anas (r.a) bahwa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam) bersabda: “Siapa yang ingin agar rezkinya dimurahkan dan umurnya dipanjangkan, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Anas (r.a) beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda: “Sesungguhnya sedekah dan silaturrahim, kedua-duanya dapat menambah umur dan menghindarkan seseorang daripada maitatassuu’ (mati dalam keadaan mengerikan), dan menghindarkannya daripada perkara yang dibenci lagi dilarang”. (Hadis Riwayat Abu Ya’laa)

Dalam satu hadis yang lain seseorang yang menziarahi saudaranya kerana Allah SWT akan mendapat balasan syurga .

Dari Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Seorang yang keluar untuk mengunjungi saudaranya dikampung yang lain dan Allah mengutus seorang malaikat untuk menunggunya di perjalanan. (Apabila orang itu sampai ketempat dimana malaikat berada) 

Malaikat bertanya 'Kemana engkau hendak pergi? '
Dia menjawab : 'Aku pergi kepada saudaraku dikampung ini'.
Malaikat bertanya :' Adakah dia meminjamkan kamu sesuatu yang mana kamu hendak mengambilnya kembali?'
Orang itu menjawab :' Tidak. Kedatanganku semata-mata kerana aku mencintainya kerana Allah'.
Malaikat berkata :' Aku adalah pesuruh Allah yang dihantar kepada engkau untuk memberitahu kepadamu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintainya semata-mata kerana Allah." (Hadis Riwayat Muslim).

Dia datang berziarah adalah semata-mata kerana Allah SWT dan bukan diatas sebab-sebab ada kepentingan duniawi kerana harta atau kerana hubungan keluarga.

452. Soalan : Sekiranya seorang mukmin itu bertemu saudaranya kerana Allah SWT dan berpisah kerana Allah dan saling kasih mengasihi kerana Allah SWT apakah balasan di akhirat nanti yang akan diterimanya terutama ketika manusia semua di kumpulkan di Padang Mahsyar?

Di dalam satu hadis riwayat Bukhari terdapat tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy ketika berada di Padang Mahsyar salah satu daripada golongan tersebut adalah seorang bertemu dan berpisah kerana Allah SWT.

Rasul SAW itu bersabda yang bermaksud:  "Terdapat 7 golongan manusia yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya iaitu: Pemimpin yang adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; 2 lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari kiamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

453. Soalan  : Amalan tolong menolong, bantu membantu sesama saudara muslim adalah adalah amalan yang baik yang sangat di tuntut dalam Islam. Minta ustaz cuba jelaskan hadis-hadis Nabi SAW yang menggalakkan kita memberi bantuan dan pertolongan ini.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: "Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya." (Hadis Riwayat Muslim)

lslam adalah agama tolong menolong, bantu membantu dan saling memperkuat antara satu sama lain. lslam menggalakkan umatnya agar selalu melepaskan saudaranya yang dalam kesempitan dunia, yang berada dalam kesusahan hidup. Faktor inilah merupakan teras kekuatan umat lslam dan rahsia besar kegemilangan tamadun lslam yang silam.

Allah SWT memberi jaminan bahawa Dia akan memberi pertolongan kepada sesiapa dikalangan hamba-Nya dihari akhirat nanti. Kesusahan diakhirat adalah seperti berada kepanasan diPadang Mahsyar (mendapat perlindungan Arasy), menerima Buku Catatan (mendapat buku catatan di tangan kanan), Timbangan Amal {Mizan} (akan di pereksa dengan pemereksaan yang mudah) dan Titian Siratul Mustakim (melalui titian seperti kilat atau angin kencang). Pertolongan yang paling besar sekali adalah mendapat keampunan Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya dengan rahmat-Nya.

Membantu orang yang susah dengan pemberian sedekah akan mendapat banyak kebaikan di dunia dan akhirat seperti hadis Nabi SAW riwayat Amru bin Auf r.a..

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (su'ul khatimah) dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat. Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah).

454. Soalan : Di dalam masyarakat kita terdapat sebahagian golongan yang suka membuat fitnah, mendedahkan aib orang lain, suka maki hamun dan membuat tuduhan zina dan liwath tanpa membawa 4 orang saksi yang adil. Dalam Islam apakah hukumnya perbuatan seperti ini dan adakah mereka termasuk orang-orang yang fasik?

Dalam Islam sesiapa sahaja yang suka membuat fitnah, mendedahkan aib orang lain, suka maki hamun maka mereka telah melakukan dosa yang besar. Jika mereka pula membuat tuduhan  zina atau liwath tanpa membawa 4 orang saksi lelaki yang adil dan muslim maka mereka boleh dikenakan hukum qazab iaitu di sebat 80 kali dikhalayak ramai dam mereka ini adalah orang-orang yang fasik. Bukti-bukti seperti vedio, cctv, gambar, DNA tidak boleh menggantikan 4 orang saksi kerana bukti-bukti tersebut seperti vedio, cctv, gambar, DNA, sumpah palsu semuanya boleh diubah suai dengan kecangihan teknologi yang ada sekarang.

Kesalahan ini dicatat oleh Allah SWT :-

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka  sebat (deralah) mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik" ( Surah An-Nur ayat 4)

Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie  berkata : 

ولا يقبل في اللواط إلا أربعة لانه كالزنا في الحد في الشهادة

Maksudnya : "Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan hukum" ( Al-Muhazzab, 3/332)

Tanpa berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya boleh jatuh dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.

 454. Soalan : Siapakah golongan yang akan menjadi muflis di hari akhirat?

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amal soleh (sembahyang, puasa dan zakat) yang di lakukan sesaorang belum tentu menjamin dia akan masuk syurga , sekiranya di samping dia membuat amal soleh tersebut dia juga melakukan amal kejahatan yang membawa kepada dosa seperti suka memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang, suka  mendedahkan aib orang lain, suka mengumpat dan membuat fitnah.

Apabila berlaku proses timbangan segala amalan-amalan manusia yang baik dan buruk , maka sekiranya habis amalan kebaikannya di bayar atas kesalahannya tadi maka ketika ini dia akan jadi Orang Muflis. Segala penyesalannya sudah tidak berguna lagi kerana dia akan di masukkan kedalam neraka.

Oleh itu ingatlah, bahawa orang yang paling rugi di akhirat nanti adalah Orang Muflis ,semasa di dunia tidak berhati-hati dalam tindakan dan amalannya, banyak di dorong oleh hawa nafsu dan pujukan syaitan. Pepatah melayu ada berkata : “Ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu lesu .“ Anggota manusia yang paling bahaya adalah lidah. Walaupun dia lembut dan tidak bertulang tetapi apabila silap menggunakannya ianya boleh menghumban pemiliknya masuk kedalam neraka.

455. Soalan :  Apakah amal soleh yang perlu kita banyakkan di dunia supaya nanti apabila banyak ditolak amal-amal pahala yang kita bawa akan membantu kita semasa ditimbang (mizan) amal baik dan buruk kita ? 

Terdapat beberapa amalan yang patut kita perbanyakkan di dunia ini supaya ianya akan dapat membantu kita semua in syaa Allah :

1. Banyakkan bersedekah.

Bersedekahlah setiap hari walaupun seringgit atau sebiji kurma kerana sedekah akan dapat memedamkan kemurkaan Allah dan kematian su'ul khatimah.

Derma atau sumbangan adalah bersedekah yang boleh meringankan beban orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. “Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

Firman Allah SWT maksudnya : “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Al-Imran ayat 92)

“Daripada Adiyie Hatim Radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma.” (Hadis Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Hadis ini menunjukkan amalan bersedekah walaupun hanya separuh buah kurma boleh menyelamatkan kita daripada api neraka.

Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah, bukan disebabkan balasan nama atau sekadar bersedekah saja.

2. Banyakkan berzikir.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Sesiapa yang mengucapkan la ilaha illallah wahdahu la syarika lah. Lahu-l-mulku wa lahulhamdu wa huwa 'ala kulli syay'in qadir sebanyak 100 kali dalam sehari, dia akan mendapat pahala memerdekakan 10 hamba, ditulis baginya 100 kebajikan, dihapuskan daripada 100 kejahatan, dan dia dilindungi daripada godaan syaitan sejak hari itu hingga petang. Tidak seorang pun yang datang membawa hasil yang lebih baik daripada yang diperolehnya, kecuali dia melakukan lebih banyak daripada itu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

Zikir yang ringan di mulut berat di Timbangan dan disukai Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ:
قَالَ رَسُوْلُ الله صلى الله عليه وسلم :كَلِمَتَانِ خَفِيْفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ، ثَقِيْلَتَانِ فِي الْمِيْزَانِ، حَبِيْبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ. سَبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ

Hadis riwayat Abu Hurairah radhiyallahu’anhu, ia berkata: Rasulullah Saallallahu Alaihi Wassalam bersabda: "Dua kalimat yang ringan untuk diucapkan, tetapi berat dalam timbangan dan disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih, yaitu: “Maha Suci Allah dengan segala pujian-Nya dan Maha Suci Allah Tuhan Yang Maha Agung." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Banyakkan niat-niat yang baik untuk bersedekah.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Dalam satu riwayat menyatakan, ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW .bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari  dan Muslim)

4. Bertakwa, berakhlak baik dan menjaga lidah daripada perkara yang diharamkan.

Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW ditanya mengenai hal apakah yang paling menyebabkan banyak orang masuk syurga. Rasulullah menjawab : "Takwa dan akhlak yang baik." Kemudian Rasulullah ditanya mengenai apakah yang menyebabkan manusia ramai masuk neraka. Rasulullah SAW menjawab : "Dua lubang iaitu lubang mulut dan kemaluan." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai jalan selamat, ajaran Islam sejak mula lagi menganjurkan kepada kita agar tidak terlalu banyak bercakap kecuali percakapan yang jelas ada manfaatnya. Bahkan apabila berdiam diri itu sama saja manfaatnya dengan manfaat menutur percakapan, maka dalam kedudukan begini, adalah lebih utama bagi seseorang itu untuk diam sahaja. Sebab kadang-kadang apabila percakapan yang harus itu tidak dapat dikawal, ia boleh membawa kepada yang haram dan dilarang oleh ajaran Islam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML