Soal Jawab Agama Siri 30
(Pendidikan Islam Cara Luqman al-Hakim, Golongan Beruntung, Terkena Sihir, Malam Nisfu Syaaban dan Solat Witir)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Siri 30 adalah menjawab persoalan pendidikan Luqman al-Hakim di dalam al-Quran, golongan yang beruntung mendapat pahala berterusan, tanda-tanda terkena sihir, doa malam Nisfu Syaaban mustajab di sisi Allah SWT dan kebaikan Solat Witir .
446. Soalan : Apakah ciri-ciri pendidikan Islam yang dilaksanakan oleh Luqman al-Hakim seperti dinyatakan di dalam al-Quran?
Dalam Surah Luqman didapati lapan ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, dimana tajuk ayat tersebut merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya. Dari ayat-ayat tersebut dapat diklasifikasi kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.
Pertama : Asas Aqidah.
Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan Muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan.
Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah mentauhidkan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain),sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman ayat 13)
Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Luqman memulai nasihat kepada anaknya supaya menjauhkan diri daripada syirik kepada Allah, kerana jiwa yang suci harus bersih daripada sebarang kerosakan dan kesesatan. Di antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Oleh itu ia hendaklah dijaga daripada syirik agar aqidah sentiasa berada dalam keadaan baik. Kerana kesucian dan kemurniaan aqidah itulah punca segala amalan yang baik.
Syirik adalah sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar."
Kedua : Asas Ibadah.
Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal ta'abbudi yang dikenali seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Malah ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibadah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah SWT. Hubungan ini sebenarnya yang menjadi asas utama pendidikan Islam pada keseluruhannya.
Ibadah dalam Islam merangkumi keseluruhan kehidupan manusia iaitu hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam dan makhluk Allah yang lain. Setiap perkara yang kita lakukan dan tinggalkan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya akan dikira sebagai beribadah kepada Allah SWT.
Solat adalah saluran utama hubungan manusia dengan Allah SWT. Ia merupakan pancaran yang menghidupkan dan menyuburkan keimanan dalam hati, kerana dengan bersolat seorang akan mengingati Allah melalui segala bacaan yang dibaca sepanjang solat.
Ketiga : Asas Akhlak.
Islam sangat mementingkan budi pekerti untuk mewujudkan unsur-unsur kekuatan dan peribadi yang baik, yang akan dapat mempertingkatkan taraf kehidupan di dunia serta keredhaan Allah di sebalik kehidupan sekarang ini. Dalam pendidikan Luqman asas ini ditekankan kepada beberapa perkara pokok iaitu :
1.Berbakti kepada kedua ibu bapa :
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan Kami wajibkan berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) "(Surah Luqman ayat 14)
2.Bersifat sabar :
Firaman Allah SWT yang bermaksud : "Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara-perkara yang sangat-sangat di ambil berat untuk melakukannya." (Surah Luqman ayat 17)
3.Tidak takbur dan sombong :
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang sombong, takbur lagi membanggakan diri." (Surah Luqman ayat 18)
Takbur ialah sikap jiwa yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain, samaada orang itu manusia atau jin. Sikap takbur inilah menyebabkan Iblis telah dilaknat oleh Allah SWT dan akan dihumbankan kedalan api neraka.
4.Kesederhanaan dalam semua perkara :
Kesederhanaan ini berlaku kepada keseluruhan sistem termasuk urusan ibadah. Seseorang Islam tidak digalakkan beribadah sehingga menyeksa diri sendiri kerana setiap diri itu ada hak yang mesti diberikan, seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sesungguh bagi tubuh badan ada haknya yang mesti kamu berikan kepadanya."
Begitu juga dalam urusan membelanjakan harta, Islam tidak menggalakkan umatnya supaya berbelanja secara berlebih-lebihan atau sebaliknya (kikir).
Dalam konteks pendidikan Luqman didapati dua aspek ditekankan iaitu:
Pertama : Sederhana sewaktu berjalan, firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan sederhanakanlah langkahmu sewaktu berjalan." (Surah Luqman ayat 19).
Kedua : Sederhana waktu bercakap., firman Allah SWT yang bermaksud : "Lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara itu suara keldai." (Surah Luqman ayat 19).
447. Soalan : Siapakah golongan yang beruntung mendapat pahala berterusan walau pun mereka sudah lama meninggal dunia?
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Terdapat 9 golongan yang akan mendapat ganjaran yang besar di hari akhirat kerana kerja-kerja cemerlang yang telah disumbangkannya ketika di dunia.
Golongan tersebut adalah seperti berikut :
1. Pemimpin yang adil. (Pemimpin yang mengambil al-Quran dan sunah dalam pemerentahannya)
2. Ulama yang menulis kitab (ilmu yang bermanfaat samaada ilmu hadis, ilmu tafsir , ilmu feqah dan ilmu tasauf)
3. Pengasas Jemaah Islamiah. (Jemaah Islam yang menghidupkan sunah Rasulullah SAW, menekankan aspek akidah, ibadah, akhlak dan untuk menegakkan syariat Allah SWT di muka bumi)
Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
4. Ahli Sains yang menciptaan alat yang bermanfaat. (banyak memudahkan kehidupan manusia)
5. Dermawan sentiasa menyumbang untuk amal jariah. (sumbangan berterusan untuk pembangunan institusi Islam, menghidupkan pendidikan dan dakwah Islam dalam masyarakat)
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :"Sesungguhnya orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat pula dengan manusia dan dekat dengan syurga, jauh dari neraka..." (Hadis Riwayat Tarmizi dan Dar al-Quthni)
6. Pendakwah Islam (mengislamkan ramai orang bukan Islam dan laksanakan amar makruf nahi mungkar dan menghidupkan pendidikan Islam dan dakwah Islam)
Dari Sahl bin Sa'd as-Sâidi, bahawasanya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda kepada 'Ali k.wj ketika beliau akan memberinya panji pada hari perang Khaibar: "Lakukanlah dengan perlahan hingga engkau turun ke lapangan menghadapi mereka, kemudian ajaklah mereka kepada Islam dan beritahukanlah kepada mereka hak Allah yang wajib atas mereka. Demi Allah! sungguh, Allah beri hidayah di tanganmu seorang saja adalah lebih baik bagimu daripada onta merah (barang yang paling berharga dan bernilai paling tinggi bagi orang Arab saat itu)." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
7. Para mujahidin (berjihad dijalan Allah)
8. Penulis Islam yang mengajak kepada kebaikan. Menulis dan menyampaikannya ilmu yang bermanfaat samaada menerbitkan buku-buku agama atau menulis artikal Islam di laman sosial.
9. Pengasas rumah anak yatim, maahad tahfiz dan sekolah agama.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Aku dan orang-orang yang mengasuh/menyantuni anak yatim di syurga seperti ini”, Kemudian baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah seraya sedikit merenggangkannya." (Hadis Riwayat Bukhari)
448. Soalan : Ustaz bolehkan saya tahu apakah tanda-tanda seseorang terkena sihir? Dan bagaimana cara untuk membuktikannya?
Tanda-tanda gejala sihir begitu banyak, antaranya:-
1.Seseorang yang baru berkahwin tidak mempunyai nafsu terhadap isterinya.
2.Seseorang itu merasa kadangkala terlalu panas dan kadangkala terlalu sejuk sehingga ia sanggup meminum air yang mendidih.
3.Suami dan isteri yang tiba-tiba sahaja merasa tidak aman, benci-membenci antara satu dengan lain walaupun sebelumnya mereka sangat berkasih-sayang.
4.Kebiasaannya gejala penyakit yang disebabkan oleh sihir lebih menonjol sewaktu senja.
5.Juga banyak dari penyakit-penyakit baik fizikal atau kejiwaan yang tidak dapat disahkan puncanya oleh doktor-doktor yang pakar.
Cara-cara mengesan sihir adalah seperti berikut :
Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tanganmu :
1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52
2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118
3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.
4. Baca surah an-Nas ayat 1-6
Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulutmu di telapak tangan kananmu, sehingga nafasmu atau sebahgian dari ludahmu mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kananmu itu di depan mata si sakit, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tanganmu berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tanganmu, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan, terkena sihir atau kesurupan atau kedua-duanya sekali.
449. Soalan : Apakah kebaikan malam Nisfu Syaaban , adakah pada malam tersebut doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT?
Pada malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban) adalah salah satu malam yang mustajab doa. Umat Islam digalakkan pada malam Nisfu Syaaban banyakkan berdoa dan memohon keampunan disisi Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampuni semua hamba-hambaNya kecuali yang musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” (Hadis Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)
Hadis di atas merupakan hadis yang sahih dari Rasulullah SAW berkenaan fadhilat Nisfu Syaaban.
Berdasarkan hadis di atas hanya dua golongan manusia sahaja yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT iaitu :
Pertama : Orang yang syirik kepada Allah SWT.
Kedua : Orang yang bermusuhan iaitu yang memutuskan silaturahim.
450. Soalan : Saya ingin bertanya jika saya telah solat witir selepas isya dan terjaga sebelum suboh dan dapat buat tahajud 2 rakaat, selepas itu perlu tutup dengan witir lagi atau tidak perlu? Adakah solat witir ini solat sunat yang dituntut?
Sekiranya dirasa tidak akan terbangun mengerjakan solat Tahajjud lagi, maka bolehlah terus mengerjakan solat Witir sesudah mengerjakan solat Isyak.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang berasa dirinya tidak mampu untuk bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam, kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri oleh para malaikat dan itulah yang lebih utama.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Termizi dan Ibnu Majah)
Solat Sunat Witir merupakan sunat muakkad yang amat penting dan digalakkan melakukannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa melakukan solat Witir dan solat sunat Fajar, baik ketika Baginda bermukim ataupun ketika bermusafir.
Ada riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak pernah meninggalkan Solat Witir walaupun sekali.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.” (Hadis Riwayat al-Turmudzi dan al-Hakim r.a.)
Dinamakan ‘Solat Sunat Witir’ kerana bilangan rakaatnya ganjil. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: “Wahai ahli Al-Quran, kerjakanlah Solat Witir sebab Allah itu Witir (Ganjil / Maha Esa) dan suka sekali kepada ganjil.” (Riwayatkan oleh Ahmad Ash hab al-Sunan, al-Turmudzi dan Hakim).
Solat Witir boleh dikerjakan 1 rakaat, 3, 5, 7, 9 atau paling banyak 11 rakaat. Ia dilakukan dua-dua rakaat dan diakhiri dengan 1 rakaat, atau berakhir 3 rakaat (1 tahiyyat 1 salam).
Solat Witir dilakukan setelah solat Isyak hingga menjelang fajar (subuh). Ia dapat dikerjakan sebagai pelengkap solat Tahajjud atau solat Tarawih. Ia sebagai penutup segala solat yang dilakukan hingga menjelang Subuh.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Akhirilah solat malammu itu dengan Solat Witir.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim r.a.)
No comments:
Post a Comment