Soal Jawab Agama Siri 39
(Kisah Bertaubat Para Rasul, Mati Di Bunuh, Mati Syahid dan Nasihat Saidina Ali)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 39 adalah menjawab persoalan kisah taubat para Rasul, mati di bunuh, kelebihan mati syahid dan nasihat Saidina Ali.
486. Soalan : Di dalam al-Quran terdapat kisah para Rasul bertaubat kepada Allah SWT .Boleh ustaz terangkan sebahagian ayat-ayat tersebut?
Doa Nabi Musa a.s kepada Allah SWT maksudnya : "Musa berdoa: Ya Tuhanku, ampunilah aku dan sauadaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmat Engkau, dan Engkau adalah Maha Penyayang di antara para penyayang." (Surah al A'raaf ayat 151)
Al Quran ketika bercerita dengan ringkas tentang Yunus ini: "Dan (ingatlah) kisah Dzun Nun (Yunus) ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya atau menyulitkannya, maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: Bahawa tidak ada tuhan (yang berhak di sembah) selain Engkau. "Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim". Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman." (Surah al Anbiyaa ayat 87-88)
"Dan Daud mengetahui bahawa Kami mengujinya, maka ia meminta ampun kepada Tuhannya lalu menyungkur sujud dan bertaubat. Maka Kami ampuni baginya kesalahannya itu. Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan dekat pada sisi Kami dan tempat kembali yang baik." (Surah Shaad: 24-25)
Doa Nabi Nuh a.s. "Ya Tuhanku, sungguh aku berlindung kepada-Mu dari memohon sesuatu yang aku tidak mengetahui hakikatnya. Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampunan serta tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang yang rugi." (Surah Hud ayat 47).
Jika para Rasul yang bersifat maksum juga meminta ampun kepada Allah SWT maka lebih-lebih lagi kita sebagai manusia biasa yang sentiasa melakukan dosa kepada Allah SWT sangat-sangat perlu untuk sentiasa bertaubat dan mohon ampun kepada Allah SWT.
487. Soalan : Kita sering mendengar di dalam akhbar kes orang dibunuh ketika dirompak kerana mempertahankan diri. Adakah orang yang mati dibunuh kerana mempertahankan diri dan hartanya dikira sebagai mati syahid?
Sesiapa yang mati dibunuh ketika dirompak kerana mempertahankan hartanya maka dia termasuk orang yang mati syahid.
Daripada Said bin Zaid r.a. Nabi SAW. bersabda: "Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, ia adalah syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, ia adalah syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya, ia adalah syahid. Siapa yg dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, ia adalah syahid." (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa'i.)
488. Soalan : Apakah kelebihan orang-orang yang mati syahid?
Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah SAW bersabda maksudnya : Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:
1. Diampunkan semua kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan kedahsyatan yang besar(pada hari kiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan."
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:
1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar
2. melihat tempatnya didalam syurga.
3. dilindungi dari azab kubur - dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar
4. merasakan kemanisan iman,
5. dikahwinkan dengan bidadari, dan
6. diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya"
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)
489. Soalan : Jika seorang mukmin itu bercita-cita untuk mati syahid adakah adakah dia akan mendapat mati syahid walau pun dia mati di atas katilnya?
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang meminta mati syahid dengan benarnya, Allah akan menyampaikan hajatnya itu pada kedudukan mati syahid, walaupun dia meninggal di tempat tidur-nya." (Hadis riwayat Muslim (al-Nawawi, 1972, jil.13: 56).
Hadis tersebut mempengaruhi orang Islam supaya bercita-cita mati syahid, iaitu kematian yang termulia dalam Islam, dengan menjanjikannya akan mendapat kedudukan yang dimintanya itu, walaupun dia hanya meninggal di rumah.. Sesiapa yang tidak bercita-cita mahu mati syahid dan di dalam hatinya tidak ada niat langsung maka matinya dalam kehinaan kerana tidak mendapat ganjaran mati syahid sedangkan semulia-mulia kematian adalah mati syahid, setiap amalan bergantung pada niatnya.
490. Soalan : Saidina Ali k.wj. pernah berkata yang bermaksud: “Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (tersedar).” . Minta huraiakan kata-kata hikhmat tersebut.
Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya hanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.
Ketika itu barulah si mati dapat “melihat” hidup dengan jelas dan tepat. Ketika inilah tidak berguna lagi penyesalan kerana semuanya telah terlambat.
Setelah diri berada di alam barzakh (alam kubur), barulah manusia insaf apakah yang sebenarnya yang perlu dicari dan dimiliki dalam hidupnya ketika di dunia dahulu. Aneh, hanya apabila meninggal dunia, baru manusia menyedari tentang hakikat hidup di dunia. Seperti kata pepatah, “Setelah terantuk (mati), barulah dia tengadah (sedar).”
Apa yang dimaksudkan oleh Saidina Ali k.wj dengan ‘terjaga’ (tersedar) tidaklah merujuk kepada mata di kepala, sebaliknya merujuk kepada mata di hati (di dalam dada). Ramai manusia yang hidup dengan mata hati yang tertutup. Bila mati baru mata hati itu terbuka. Mata hati inilah yang disebut dalam al-Quran sebagai yang ‘berada di dalam dada’.
No comments:
Post a Comment