Soal Jawab Agama Siri 26
(Qada dan Qadar, Memutuskan Silaturahim, Mudah Kecewa, Sunah Rasulullah SAW Dan Mencari Jodoh)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 26 adalah menjawab persoalan Qada dan Qadar, suka memutuskan silarurahim, sifat mudah kecewa, amalan sunah Rasulullah SAW dan cara-cara mencari jodoh.
426. Soalan : Percaya dan beriman kepada Qada dan Qadar adalah termasuk dalam Rukun Iman yang ke enam. Sesiapa yang mengingkarinya akan merosakkan imannya. Bolehkah ustaz jelaskan lebih lanjut mengenai Qada dan Qadar?
Qada dan Qadar ialah ketetapan Allah SWT yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmu-Nya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.
Qada terbahagi kepada dua iaitu Qada Mubram dan Qada Muallaq.
Pertama : Qada Mubram.
Qada Mubram adalah takdir yang pasti. Sebagai contoh, wanita sahaja yang boleh mengandung dan melahirkan anak, manusia memerlukan oksigen, makan dan minum yang mencukupi untuk hidup. Itu adalah satu ketetapan yang pasti. Allah SWT menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah SWT menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila.
Allah SWT menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai bila-bila masa. Allah SWT menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaan-Nya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat.
Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qada Mubram.
Kedua : Qada Muallaq .
Qada Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Luh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”
Salman radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qada itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Daripada Anas (r.a) bahwa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda: “Siapa yang ingin agar rezkinya dimurahkan dan umurnya dipanjangkan, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada Anas (r.a) beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda: “Sesungguhnya sedekah dan silaturrahim, kedua-duanya dapat menambah umur dan menghindarkan seseorang daripada maitatassuu’ (mati dalam keadaan mengerikan), dan menghindarkannya daripada perkara yang dibenci lagi dilarang”. (Hadis Riwayat Abu Ya’laa)
Rezeki dan umur seseorang itu adalah termasuk Qada Muallaq boleh berubah-rubah samaada rezeki dimurahkan atau disempitkan, begitu juga umur samaada dipanjangkan atau dipendikkan.
Dalam hadis-hadis tersebut Allah SWT boleh murahkan rezeki, memanjangkan umur , di jauhi daripada mati mengerikan jika seseorang itu banyak bersedekah, membuat kebajikan, berdoa dan menghubungkan silaturahim.
427. Soalan : Ada pendapat mengatakan bahawa sesiapa yang hidupnya suka memutuskan silaturahim, buat fitnah, mendedahkan keaiban orang lain dan menzalimi manusia lain biasanya umurnya akan pendik dan rezekinya akan disempitkan?
Umur pendik atau panjang adalah urusan Allah SWT, manusia tidak ada kuasa menentukannya.
Daripada Anas (r.a) bahwa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam) bersabda: “Siapa yang ingin agar rezkinya dimurahkan dan umurnya dipanjangkan, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika seseorang suka menghubungkan silaturahim Allah SWT akan panjangkan umurnya maka begitu juga jika dia suka memutuskan silaturahim maka menyebabkan Allah SWT murka dan benci maka tidak mustahil orang seperti ini akan dipendikkan umurnya supaya tidak banyak membuat kerosakan dimuka bumi. Hakikat sebenarnya sesiapa yang kerjanya membuat fitnah, dedahkan aib orang dan menzalimi orang lain sebenarnya dia adalah termasuk golongan memutuskan silaturahim .
Rezeki dan umurnya tidak diberkati oleh Allah SWT. Jika dipanjangkan umur sekali pun golongan ini , ianya tidak akan mendatangkan manfaat dan apabila tiba saatnya Allah SWT akan cabut nyawanya dalam keadaan derhaka kepada-Nya , nauzubillahiminzalik.
428. Soalan : Adakah mereka yang mudah kecewa dan putus asa, tidak redha dengan musibah yang menimpa dirinya, menyalahkan orang lain di atas kegagalan suatu urusan, menyesal kerana tidak mendapat apa yang dihajatkan adalah terdiri daripada mereka yang tidak redha dengan Qada dan Qadar?
Ya benar, sesiapa yang mempunyai ciri-ciri tersebut di atas maka sebenarnya dia tidak redha dengan ketentuan takdir dan mempertikaikan Qada dan Qadar Allah SWT.
Allah SWT berfirman maksudnya, "Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah az-Zumar ayat 53)
Manusia yang lemah beriman akan terputus hubungannya dengan Allah SWT, mudah kecewa dan putus asa sehingga sanggup membunuh diri atau menjadi hilang ingatan kerana keyakinannya bergantung pada keupayaan dirinya bukan bergantung kepada kekuasaan Allah SWT.
Rasulullah SAW.bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang redha dengan musibah itu maka baginya keredhaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak redha) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Firman Allah SWT maksudnya : "... Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)
Berputus asa dari rahmat Allah SWT termasuk masalah yang sangat dibenci oleh Allah SWT dan sekaligus memperingatkan agar manusia jangan sampai berputus asa dari rahmat-Nya. Kerana sifat ini akan menghancurkan segala harapan akan anugerah Allah.
Dalam satu riwayat menyatakan : “Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya.”
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Allah SWT berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah." (Hadis Riwayat Muslim)
429. Soalan : Bolehkan ustaz terangkan apakah amalan-amalan sunah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW , amalan ini tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.?
Terdapat banyak amalan-amalan sunah yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW. Sebagai ringkasannya terdapat 7 amalan sunah yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW samaada ketika bermukim atau bermusafir.
Pertama : Melaksanakan solat berjemaah di masjid.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat mahupun pulang."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)
Kedua : Mengerjakan solat Tahajjud.
Bilal r.a. menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)
Ketiga : Membaca al-Quran.
Pembaca al-Quran akan mendapat kemuliaan dihari akhirat nanti.
Dari Abu Umamah Al-Bahili r.a, dia berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Bacalah al-Quran. Kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada para pembacanya." (Hadis Riwayat Muslim)
Keempat: Solat Duha.
Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).
Kelima : Memberi sedekah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)
Keenam : Beristighfar dan berzikir.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya aku dicukupkan atas hatiku dan aku beristighfar kepada Allah sehari seratus kali.” (Hadis Riwayat Muslim)
Berzikir memperoleh pahala yang tinggi. Rasulullah bersabda maksudnya : “Dua kalimah yang tercinta kepada Tuhan Yang pemurah,ringan diucapkan pada lidah,berat dalam timbangan iaitu: Subhanallahi Wabihamdihi, Subhanallahil Aziim.”
(Hadis Bukhari dan Muslim)
Firman Allah : “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut,dan dengan tidak mengeraskan suara,di waktu pagi dan petang dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai." (Surah Al ‘Araf ayat 205)
Ketujuh : Sentiasa berwuduk.
Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud : "Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim )
430. Soalan : Saya seorang lelaki bujang (sudah bekerja) , saya berhajat mencari pasangan hidup seorang muslimah solehah, tetapi saya tidak tahu cara-cara yang dibenarkan oleh syarak . Bolehkah ustaz memberikan sedikit panduan untuk saya mendapatkan calun isteri yang baik lagi solehah?
Alhamdulillah hajat saudara untuk mencari calun isteri yang solehah adalah satu amalan sunah Rasulullah SAW, kerana baginda menggalakkan umatnya supaya berkahwin dan mencari pasangan yang baik.
Islam menggalakkan umatnya mengikat tali perkahwinan yang sah supaya akan melahirkan zuriat keturunan. Nabi SAW merasa bangga apabila melihat umatnya ramai di hari akhirat nanti, berbondong-bondong masuk ke syurga. Perkahwinan adalah sunah Nabi SAW dan baginda tidak mengaku sebagai umatnya apabila ada di kalangan mereka enggan berkahwin tanpa mempunyai alasan yang dibenarkan oleh syarak.
Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya : “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Persoalannya adalah bagaimana saudara dapat mengenalpasti ciri muslimah sebelum nikah, kerana ia diperintahkan untuk menundukkan pandangan (shaddul bashar) terhadap wanita? Seorang yang soleh akan tetap menjaga ketinggian akhlak dan mengelakkan perhubungan yang tidak diizinkan syarak.
Berikut adalah antara perkenalan yang perlu dan cara pendekatan yang dapat dilaksanakan
1. Mengetahui akhlak dan tingkahlaku muslimah dalam kehidupan harian.
Kehidupan harian yang dilalui setiap individu yang beriman dan beramal soleh digambarkan melaliu ciri-ciri berikut iaitu :
* Ibadah yang khusyuk.
* Berpakaian menutup aurat yang sempurna.(menutup seluruh tubuh melainkan muka dan dua tapak tangan).
* Percakapannya tidak dibuat-buat (mengada-ngada).
* Menjaga pandangannya (tidak melingas matanya memandang, terutamanya melihat pemuda yang bukan mahramnya).
* Bergaul dengan semua muslimah (tidak membataskan pada kriteria fizikal, seperti bergaul hanya yang sesama berbusana tertentu) dengan akhlak yang karimah.
Pengamatan ini boleh dilakukan melalui pertanyaan kepada siapa yang mengenalinya.Harus diingat bahawa pengamatan ini hendaklah dilakukan dengan cermat, jangan sampai diketahui oleh muslimah itu, bahawa ia sedang diperhatikan, kerana ini akan menyebabkan salah tingkah atau tindakannya jadi tak natural (bersahaja).
2. Melihat keadaan rumah tangga keluarga wanita.
Hal ini adalah dibolehkan, semasa menyiasat melalui orang tengah. Ia dapat dilakukan semasa menziarahi kedua orang tua kepada wanita yang dipinang. Ketika ini juga ia boleh menanyakan lebih lanjut mengenai wanita itu pada ahli keluarganya. Biasanya jika ia berasal dari keturunan yang baik dan taat agama akan melahirkan wanita yang solehah. Tetapi, harus juga diingat ada juga wanita solehah yang berasal dari keluarga yang kurang taat pada ajaran agama.
3. Bagi lelaki Muslim yang memahami bahawa tanggungjawab terhadap agamanya tidak dipisah dengan usaha dakwah dan merasakan tidak mencukupi melalui dua perkenalan di atas, maka eloklah ditinjau juga setakat mana penglibatan wanita itu dan peranannya dalam kegiatan dakwah Islam.
Bagi ibu bapa yang baik dan taat beragama, dasar pemilihan dan urusan jodoh anaknya berdasarkan agama yang utama. Namun bagi yang lalai dan silau dengan kilauan harta dan pangkat dunia faktor agama bukan lagi neraca pertimbangannya. Penjodohan dengan dorongan aspek duniawi sangat menyalahi ajaran Islam dan wajib ditolak.
Menurut al-Quran, wanita ideal mempunyai kriteria adalah seperti berikut :
Firman Allah SAW yang bermaksud, "... Wanita yang baik (solehah)adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka." (Surah An-Nisa' ayat 34)
Seorang Mukmin yang benar-benar taat pada Allah SWT tidak akan mengambil mudah soal jodoh, dengan kata-kata 'kita kawin dulu, nanti kita tarbiah kemudian'.Perlu diingat apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak kadangkala tidak ada masa untuk mendidik isteri,dan isteri pula enggan menghadiri majlis ilmu dan kemungkinan kemampuan suami pula tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk mentarbiyah isterinya, akhirnya hajat yang awal ingin membina rumah tangga muslim kecundang ditengah jalan.
Oleh itu pemilihan saudara perlulah berdasarkan agama (wanita solehah) adalah amat penting, lebih penting dari kecantikannya, hartanya atau kerjayanya.
No comments:
Post a Comment