Soal Jawab Agama Siri 19
(Ikhtikaf di Masjid, Beristighfar, Tolong Menolong, Fadilat Wuduk, Amalan Jahilaih dan Lain-lain lagi)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
.بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 19 adalah menjawab persoalan ikhtikaf di masjid, beristighfar, tolong menolong, fadilat wuduk, amalan jahiliah, menjaga makan, membazir, sifat riak, sukarelawan, baca bismillah, urusan jenazah dan bawa bunga semasa ziarah kubur.
361. Soalan: Apakah kebaikan yang boleh saya peroleh jika saya melakukan ikhtikaf?
Terdapat banyak hikmah dan kebaikan berikhtikaf :
Pertama: Mendatangkan ketenangan kepada fikiran dan jiwa dari bermacam-macam kesibukan dan boleh merehatkan seluruh anggota badan dari kepenatan dan keletihan.
Kedua: Dari segi rohani akan mendorong kita supaya memikirkan kelemahan diri dan merenung tanda-tanda kebesaran Allah SWT kerana dengan jalan demikian akan mendekatkan kita lagi kepada Allah SWT.
Ketiga: Iktikaf boleh mendidik diri kearah jiwa muthmainnah ( jiwa yang tenang ) dan tidak tunduk kepada dorongan hawa nafsu, sebaliknya tunduk dan taat kepada Allah Subhanahu Wataala dengan akal yang sihat.
Keempat: Iktikaf juga akan meningkatkan iman dan takwa kerana dengan memperbanyakkan ingat kepada Allah SWT sahajalah kita akan gementar dan terasa kebesaran Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan berfirman: 'Bersihkanlah rumah Ku (Kaabah dan Masjidil-haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk dan sujud." (Surah Al-Baqarah ayat 125)
362.Soalan: Benarkah dengan beristighfar maka akan terbuka pintu rezeki yang akan dikurniakan oleh Allah SWT?
Ramai tidak menyangka bahawa dengan istighfar dan taubat mampu menjadi sebab terbukanya pintu-pintu rezeki. Ramai manusia yang bersungguh-sungguh dalam mengejar sesuap rezeki, tetapi terlupa untuk berdoa dan beristighfar kepada Allah SWT lantaran kesibukan.
Dalam al-Quran terdapat banyak petunjuk yang menunjukkan bahawa rezeki Allah diturunkan kepada orang-orang yang sentiasa beristighfar, bertaubat dan kembali kepada Allah. Di antara petunjuk yang dimaksudkan tersebut adalah sebagaimana berikut.
Nabi Nuh ‘alaihis salam pernah berkata kepada kaumnya sebagaimana dikatakan oleh Allah dalam al-Quran:
فَقُل فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (١١) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
Maksudnya : “Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh (71) ayat 10-12)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menjelaskan ayat ini dalam tafsir:
أي: إذا تبتم إلى الله واستغفرتموه وأطعتموه، كثر الرزق عليكم، وأسقاكم من بركات السماء، وأنبت لكم من بركات الأرض، وأنبت لكم الزرع، وَأَدَرَّ لكم الضرع، وأمدكم بأموال وبنين، أي: أعطاكم الأموال والأولاد، وجعل لكم جنات فيها أنواع الثمار، وخللها بالأنهار الجارية بينها
“Maksudnya apabila kamu semua bertaubat kepada Allah, beristighfar (memohon ampun) kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan memperbanyakkan rezeki ke atas kamu, menurunkan kepada kamu hujan yang barakah, mengeluarkan untuk kamu keberkahan dari bumi, menumbuhkan untuk kamu tumbuh-tumbuhan, mengalirkan (melimpahkan) untuk kamu susu-susu perahan, dan melengkapkan untuk kamu harta dan anak-anak. Maksudnya Dia akan memberi kamu dengan harta kekayaan dan anak-anak serta memberi kepada kamu kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang di dalamnya mengalir sungai-sungai.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/233)
Imam al-Qurthubi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahumallah menyebutkan sebuah atsar dari al-Hasan al-Basri rahimahullah:
ان رجلا شكى إليه الجدب فقال استغفر الله وشكى إليه آخر الفقر فقال استغفر الله وشكى إليه آخر جفاف بستانه فقال استغفر الله وشكى إليه آخر عدم الولد فقال استغفر الله ثم تلا عليهم هذه الآية
Maksudnya : “Bahawasanya seorang lelaki mengadu kepadanya tentang musim kemarau yang sedang terjadi. Maka al-Hasan al-Basri pun mengatakan, “Beristighfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah.”
Kemudian datang pula orang lain mengadu kepada beliau tentang kefakirannya. Maka al-Hasan al-Basri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang lagi yang lain pula mengadu kepada beliau tentang kekeringan tanamannya. Maka al-Hasan al-Basri pun mengatakan, “Beristigfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang lagi yang lain mengadu kepada beliau kerana masih tidak memiliki anak. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Kemudian al-Hasan al-Basri pun membacakan surah ini (Surah Nuh (71) ayat 11-12) kepada mereka.” (Tafsir al-Qurthubi, 18/302-303. Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 11/98)
Apabila kita perbanyakkan beristighfar Allah SWT akan mengampunkan segala dosa yang telah kita lakukan, pada masa yang sama urusan kehidupan kita akan di permudahkan-Nya. Allah SWT akan mengurniakan rezeki yang lumayan dan berkat, perniagaan akan menguntungkan, di kurniakan anak-anak yang soleh dan solehah, diturunkan hujan untuk menyuburkan tanaman dan air sungai atau empangan air untuk bekalan air untuk rakyat tidak kering.
363.Soalan: Apakah cara yang terbaik ketika kita sedang dilanda musibah? Kadangkala saya seperti tidak sanggup lagi untuk menghadapinya.
Nabi SAW mengajarkan kepada kita supaya berdoa semasa ditimpa musibah semoga Allah SWT menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Baginda pernah mengajarkan doa kepada Ummu Salamah r.ha semasa beliau kematian suaminya (Abu Salamah).
Daripada Ummu Salamah r.ha. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya: “Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: 'Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya' nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya."
Sifat orang mukmin tidak akan berputus asa walau bagaimana susah sekalipun musibah yang datang kepadanya, dia tetap reda dan berserah diri kepada Allah SWT. Oleh itu amalkanlah doa ini tanda hati kita sentiasa mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT.
364.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hijrah? Adakah hijrah adalah perkara yang wajib dilakukan?
Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis Riwayat Abu Daud)
Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah. muhasabah diri kita samaada kita telah berubah daripada kejahilan kepada berilmu, dan sentiasa meningkatkan amal dan kerja-kerja jihad di jalan Allah SWT Setiap tahun kita menyambut Maal Hijrah akan ada perubahan di atas usaha-usaha untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup.
365.Soalan: Kereta saya rosak di pejabat ketika saya hendak pulang ke rumah. Saya meminta pertolongan dari kawan saya untuk menumpang keretanya kerana rumah saya dan rumahnya tidak jauh. Saya sangat mengharapkannya kerana pejabat saya jauh daripada tempat menunggu bas dan waktu ketika itu sudah hampir malam tetapi kawan saya tidak mahu menolong dengan alasan dia tidak dapat menolong kerana mahu balik cepat. Apakah hukum jika kita bersikap pentingkan diri sendiri?
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Bersabda Rasulullah SAW: “ Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membaiat pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).” (Hadis Riwayat Muslim)
Jujur dan telus adalah sifat yang datang dari dalam jiwa insan yang beriman. Orang-orang yang selalu mementingkan dirinya tidak akan memikirkan kepentingan orang lain sebaliknya akan sanggup berbuat apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. Dalam hal ini kehidupan kita bukanlah bersandarkan kehendak hawa nafsu tetapi ia perlu kepada semangat kekitaan dan kasih sayang yang mengenepikan segala unsur peribadi yang menjadikan seseorang itu lupa diri dan lupa saudara. Seharusnya apa sahaja yang dilakukan hendaklah bermula dari niat yang betul dan ikhlas. Sesiapa yang engan memberi pertolongan di waktu orang lain memerlukannya maka dia akan mendapat balasan di akhirat nanti dengan tidak mendapat pertolongan daripada Allah SWT.
Daripada Abi Hurairah r.a dari Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa melapangkan orang mukmin dari suatu kesusahan (menunaikan hajat) dari kesusahan dunia nescaya Allah SWT melapangkan daripadanya akan kesusahan dari kesusahan hari kiamat. Dan barang siapa memudahkan atas orang yang sedang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memudahkan ke atasnya daripada kesusahan di dunia dan di akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim).
366.Soalan: Ayah saya sering berwuduk walaupun bukan hendak solat. Tidak mengapakah jika berwuduk setiap masa?
Berwuduk adalah salah satu sunah Nabi Muhammad SAW. Jagalah wuduk terus-menerus kerana Allah menyayangi hamba-Nya yang berwuduk.
Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umatku itu akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bercahaya wajahnya dan amat putih bersih tubuhnya atas sebab bekas-bekasnya berwuduk. Maka oleh itu, barang siapa yang dapat antara kamu semua hendak memperpanjang (menambahkan) bercahayanya, maka baiklah ia melakukannya dengan menyempurnakan berwuduk itu sesempurna mungkin.” (Muttafaq ‘alaih).
Wuduk memiliki keajaiban yang luar biasa. Pahala bagi orang yang mengekalkan salah satu ibadah bersuci ini digambarkan dalam hadis yang berikut. Dari Abu Hurairah r.a.. ia berkata: “Saya mendengar kekasihku Rasulullah SAW. bersabda: “Perhiasan-perhiasan di syurga itu sampai daripada tubuh seseorang mukmin, sesuai dengan anggota yang dicapai oleh wuduk yakni sampai di mana air itu menyentuh tubuhnya, sampai di situ pula perhiasan yang akan diperolehnya di syurga.” (Hadis Riwayat Muslim).
367.Soalan: Bolehkah kita katakan orang tidak berilmu itu adalah orang jahiliah kerana saya sering mendengar orang berkata sedemikian?
Jahiliah bukan bermakna melawan sains dan teknologi dan kemajuan harta benda. Tetapi yang dimaksudkan jahiliah apabila iman tidak dapt melahirkan amalan-amalan Islam dalam hidup maka ini bermakna jahiliah sedang mengawal dan menguasai semua aktiviti hidup kita. Ini merupakan satu hakikat yang mesti disedari oleh setiap individu.
Kita tidak boleh mengatakan bahawa seseorang yang tidak berilmu itu sebagai jahiliah. Konsep kefahaman terhadap jahiliah adalah sebenarnya diukur dari penerimaan dan penolakan terhadap Islam itu sendiri. Apabila Islam yang ditolak maka hiduplah kita dalam kumpulan jahiliah sepertimana contoh yang berlaku semasa mula Islam didakwahkan oleh Rasulullah SAW. di Mekah dikalangan orang-orang Quraish.
Jahiliah dahulu senang diketahui dan dikesan, tetapi jahiliah hari ini adalah jahiliah yang 'sophisticate' dan sukar dikenali kerana mereka bersembunyi di dalam kemajuan dan berlindung atas nama dan selogan Islam. Jahiliah sekarang ini, malah jahiliah disetiap zaman tetap akan menolak hukum Allah SWT.dan mereka boleh dikenali sebagai jahiliah dimana-mana sahaja di dunia ini di segenap lapisan masyarakat dan di setiap keadaan.
Sesungguhnya jahiliah berada di segenap kemajuan sama ada pada fikiran, politik atau kemasyarakatan. Sesungguhnya kita dewasa ini telah dikongkongi oleh jahiliah yang amat teruk sekali sehingga apa yang kita anggap Islam telah pun di asaskan oleh jahiliah. kita tinggalkan semua bentuk jahiliah yang berupa buah fikiran, undang-undang, adat resam, adat istiadat dan cara hidup. Marilah kita kembali mengambil Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna dan menjadikan iman dan takwa sebagai teras untuk mengawal hati dan jiwa kita.
368.Soalan: Betulkah ada hadis Nabi yang mengatakan jangan makan secara berlebih-lebihan kerana kawan saya sering memakan makanan dengan tidak menjaga kesihatannya?
Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak (berlebih) makan dan minum, walau pun yang halal. Kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air.”
Satu ketika Nabi SAW berjumpa dengan seorang lelaki yang mempunyai perut boroi (buncit). Maka Nabi SAW. menunjukkan kearah perut lelaki itu dengan jarinya seraya bersabda yang bermaksud: "Kalaulah makanan-makanan ini (yang menyebabkan perut boroi) di berikan kepada orang yang memerlukan adalah lebih baik." (Hadis Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)
Orang yang kuat makan dan makan banyak biasanya perut akan menjadi boroi disebabkan lemak-lemak tidak sempat dibakar dan ianya berkumpul diperut. Adalah lebih baik jika makan sekadarnya dan wang lebihan untuk membeli makanan tadi ditukarkan menjadi sedekah dan di berikan kepada fakir miskin lebih menfaatnya dan mendapat pahala. Memang dalam hidup ini, lebih-lebih lagi untuk mengisi tugas dan tanggungjawab terhadap Allah dan juga masyarakat, kita perlukan badan sihat. Badan yang sihat, terbina daripada makanan minum yang baik dan berzat. Memang makanan itu perlu, tetapi janganlah sampai makan terlalu berlebihan sehingga melupakan tanggungjawab lain yang lebih utama.
369.Soalan: Kawan serumah saya sering berbelanja berlebih lebihan dan selalunya tidak menggunakan barang yang sudah dibelinya seperti makanan tidak dimakan sehingga tiba tarikh luputnya termasuk pakaian yang dibeli tetapi tidak dipakai. Apakah hukumnya jika orang yang tidak berjimat seperti ini?
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Tiga perkara yang menyelamatkan, iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”
Orang yang membelanjakan hartanya untuk jalan yang betul, yang diharuskan syarak, maka ia tidak diperkira sebagai membazir atau sia-sia. Orang yang mengorbankan hartanya dijalan Allah demi untuk kemaslahatan Islam maka itu tidak termasuk dalam amalan membazir. Begitu juga mereka yang menghabiskan sebahagian daripada hartanya untuk menyekolahkan anak, membina bangunan untuk tempat kediaman atau mengeluarkan hartanya untuk membeli kereta bagi keperluan harian. Namun demikian, orang yang mengeluarkan sebahagian harta bendanya, biarpun untuk membeli bahan makanan yang sedikit, tetapi disedari makanan tersebut tidak diperlukan dan terbuang begitu sahaja, maka perbuatan itu termasuk dalam perbuatan membazir.
Islam dengan tegas menegah seseorang membeli barang melebihi keperluan hidup atau berbelanja mengatasi jarum penunjuk pendapatan, lantaran akibatnya akan menimbulkan pembaziran yang dibenci Allah. Jika berbelanja melampaui batas untuk tujuan bermegah-megah, sehingga berlaku pembaziran hanya saja akan menggambarkan tingkah laku orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat Allah. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan.
370.Soalan: Saya kagum dengan pencapaian kawan saya yang sering mendapat markah yang tinggi dan anugerah dekan pada setiap semester tetapi dia selalu riak mengatakan itu atas usaha kerasnya dan dia tidak mahu belajar bersama kami dengan alasan belajar berkumpulan menyebabkan pelajarannya terjejas kerana lambat faham. Bolehkah kita bersikap riak?
Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong serta suka menghina orang lain menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat.
Salah satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (perasan diri lebih). Ujub dapat diertikan sebagai ‘menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain’. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain. Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan Yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).” (Surah al-Qashash ayat 76)
371.Soalan: Saya suka menyertai aktiviti sukarela bagi membantu negara-negara yang ditimpa bencana seperti banjir, peperangan, kemiskinan termasuk di negara sendiri seperti di rumah anak anak yatim dan rumah warga tua. Adakah perbuatan saya ini betul bagi memperoleh keberkatan bagi membantu mereka yang memerlukan?
Allah SWT mencintai dan memuliakan sesiapa sahaja di kalangan para hamba-Nya yang memiliki sifat suka bantu membantu sesama manusia terutama mereka yang susah dan memerlukan bantuan. Samaada bantuan tersebut berbentuk wang ringgit, tenaga sukarelawan, khidmat sosial, mencarikan pekerjaan, bantuan pendidikan dan khidmat nasihat (kaunseling) secara percuma adalah amalan mulia di sisi Allah SWT. Allah SWT akan memberikan pahala yang besar dan akan disediakan syurga yang penuh kenikmatan.
Daripada Abi Hurairah r.a dari Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa melapangkan orang mukmin dari suatu kesusahan (menunaikan hajat) dari kesusahan dunia nescaya Allah SWT melapangkan daripadanya akan kesusahan dari kesusahan hari kiamat. Dan barang siapa memudahkan atas orang yang sedang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memudahkan ke atasnya daripada kesusahan di dunia dan di akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim).
Kerja-kerja sukarelawan yang sangat dipandang mulia oleh Islam adalah membantu negara-negara yang dilanda peperangan seperti di Palestin dan Syria, bantuan mangsa tsunami seperti di Acheh, bantuan banjir besar seperti di Pakistan, Thailand dan negeri-negeri di Malaysia dan kawasan dilanda gempa bumi seperti di Sumatera, Pulau Jawa dan ditempat-tempat lain. Para sahabat Nabi SAW pula sentiasa melakukan kerja sukarelawan demi menyebarkan kebaikan dan menyeru manusia kepada agama. Seperti kisah pembinaan masjid Quba’ di Madinah, sahabat bersatu hati membantu dalam menjayakan projek pembinaan masjid tanpa sebarang gantian wang.
372.Soalan: Apakah kita wajib membaca Bismillah setiap perkara yang kita mahu lakukan? Jika kita lupa adakah kita berdosa?
Membaca kalimah Bismillah adalah sunat bukannya wajib. Adalah keutamaan didalam memulakan setiap bentuk pekerjaan yang baik dalam kehidupan kita supaya pekerjaan tersebut mendapat keberkatan kerana kita memulakan dengan menyebut nama Allah SWT.
Dalam kehidupan kita seharian kita banyak menyebut nama Allah yang Maha Agung seperti Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim dan mengharapkan pertolongan dan keberkatan. Apabila pertolongan telah datang kepada kita maka ini adalah rahmat dari Allah SWT kepada hamba-Nya yang sentiasa berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT. Setiap pekerjaan yang mendapat keberkatan menjadi mudah, ringan, berkesan dan mencapai matlamat kerana mendapat rahmat dari Allah SWT.
Dengan membaca kalimah Bismillah akan mendapat rahmat dan keberkataan dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Di larang membaca kalimah Bismillah pada pekerjaan dan perbuatan yang haram atau yang makruh atau apa apa pekerjaan yang keji kerana Bismillah itu sangat di muliakan oleh Allah SWT.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan: "Aku akan bermalam dengan kamu."Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan).” (Hadis Riwayat Muslim)
373.Soalan : Bagaimanakah untuk menguruskan mayat jika mayat itu berkeadaan hancur tubuh badannya akibat terhempas kapal terbang?
Ambil serpihan-serpihan dagingnya dan dikumpulkan dengan cara yang menghormati mayat tersebut dan jangan tinggalkan sedikit pun serpihan mayat. Kemudian letakkan di tempat yang disediakan untuk mayat tersebut. Serpihan tersebut tidak perlu diasing asingkan kerana daging sudah hancur dan tidak dapat dibezakan antara satu dengan yang lain. Selepas itu, hendaklah meratakan air kepada daging daging tersebut dengan disunatkan niat bermandi wajib bagi mayat mayat Islam. Imam Syafie dan Imam Ahmad mewajibkan mandi serpihan mayat dan dikafankan, disolatkan serta dikebumikan. Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpandangan sekiranya serpihan itu dijumpai lebih separuh badan, ia perlu dimandikan namun sekiranya tidak maka tidak perlu dimandikan.
374.Soalan : Bolehkah mayat orang yang menunaikan haji ataupun umrah tidak ditutupi muka, kepala dan mayat tidak direnjis dengan bau-bauan?
Boleh kerana Allah akan membangkitkannya dengan keadaan talbiah yang bermaksud memuji Allah. Hadis daripada Ibnu Abbas berkata: “Ketika seorang lelaki sedang wukuf mengerjakan haji bersama sama Rasulullah SAW di Padang Arafah. Tiba tiba lelaki itu terjatuh dan meninggal dunia, kemudian Rasulullah berkata, mandikan ia dengan air dan daun bidara dan kafankan dia dengan dua kain ihramnya. Janganlah diberi bau bauan dan jangan ditutup kepalanya kerana dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan yang memuji Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Abu Daud, an-Nasai dan at-Tirmizi)
375.Soalan : Bolehkah kita melambat lambatkan pengebumian jenazah kerana menunggu warisnya datang melawat?
Perbuatan melengah-lengahkan pengebumian adalah dilarang kecuali ada halangan yang dibenarkan oleh syarak seperti menunggu kaum kerabat yang mempunyai pertalian darah asalkan tidak menyebabkan mayat menjadi rosak.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Hendaklah kamu segera menyelenggarakan jenazah. Sekiranya mayat itu baik, kamu mendekatkan dia kepada kebajikan, dan sekiranya mayat itu tidak baik bererti kamu melepaskan kejahatan daripada tengkuk kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu, Rasulullah SAW menjelaskan, tiga perkara yang tidak dapat ditangguhkan iaitu solat apabila sudah masuk waktunya, menguruskan jenazah yang sudah ada dan janda yang sudah bertemu dengan lelaki yang sekufu bagi meminangnya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)
376.Soalan : Bolehkah kita mengkafankan mayat wanita dengan menggunakan kain jenis sutera?
Hukumnya makruh kerana perbuatan tersebut dianggap pembaziran. Rasulullah SAW menjelaskan, “Janganlah kamu berlebih lebihan memilih kain kafan yang mahal kerana sesungguhnya kain itu akan hancur dengan segera.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
377.Soalan : Berapa helai kain kafan yang diperlukan untuk mengkafan mayat wanita?
Kain kafan yang diperlukan unutk mayat seorang wanita adalah sebanyak lima lapis kain termasuk sarung, baju, kain tutup muka dan kepala. Manakala dua lapis kain lagi untuk menutup badannya sebagai tambahan terhadap haknya.
Laili binti Qanif al-Thaqifah yang turut memandikan dan mengkafankan puteri Rasulullah SAW, beliau berkata, “Rasulullah memberikan kain sarung, baju kurung, jilbab dan dua helai kain kepada kami.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud.)
378.Soalan : Kawan saya bertanya kepada saya bolehkah jika kita mengkafankan jenazah dengan kain selain berwarna putih?
Boleh menggunakan kain selain warna putih jika tidak ada kain putih untuk mengkafankan jenazah, tetapi sekiranya boleh dibuat pilihan maka kain putih adalah sebaik-baik kain berbanding dengan kain berwarna.
Mengkafankan jenazah dengan menggunakan kain yang berwarna putih adalah amalan sunah yang dituntut agama bukan sekadar adat melayu dalam masyarakat tetapi asas dalam agama Islam sendiri. Daripada Ibnu Abbas, Nabi Muhammad SAW menjelaskan, “Pakailah yang putih daripada pakaianmu kerana pakaian yang putih itu adalah sebaik baik pakaian kamu dan kafanlah orang mati dari kalangan kamu dalam kain putih juga.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
379.Soalan : Jika mayat orang yang beragama Islam dan orang kafir bercampur akibat peperangan dan orang ramai tidak dapat memastikan mayatnya, bolehkah kita mensolatkan mayat mereka bercampur?
Para ulama menyatakan haram hukumnya jika mensolatkan jenazah orang yang bukan Islam tetapi jika mayat orang beragama Islam dan orang kafir bercampur sebagai contoh di dalam peperangan, mayat tersebut hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan kesemuanya. Cara ini lebih afdal dengan melaksanakan secara serentak dan berdoa “Ya Allah, ampunilah dosa dan mayat Islam di antara mereka.”
380.Soalan : Apakah hukumnya jika kita membawa bunga ketika menziarahi tanah perkuburan?
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-65 yang bersidang pada 13 Oktober 2004 membincangkan Hukum Amalan Membawa Bunga Ketika Menziarahi Kubur. Muzakarah memutuskan amalan membawa bunga ketika menziarahi kubur tidak digalakkan daripada perspektif agama. Sebaik-baiknya ditinggalkan kerana menyamai tradisi agama lain.
No comments:
Post a Comment