Saturday, January 11, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 22

Soal Jawab Agama Siri 22 

(Doa Yang Mustajab, Doa Dijauhkan Syirik, Tafsir Mimpi Dan Zuhud)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

.بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soala Jawab Agama Siri 22 adalah membincangkan mengenai doa yang mustajab, doa supaya di jauhi syirik, tafsir mimpi dan sifat zuhud

406. Soalan : Doa adalah senjata orang mukmin, siapakan di antara hamba-hamba Allah SWT doa mereka mustajab di sisi Allah SWT? 

Terdapat 7 golongan manusia doa mereka mustajab di sisi Allah SWT.iaitu :

1.Doa orang tua kepada anaknya.

2.Doa seorang musafir sampai ia kembali dari perjalanannya.

3.Doa orang yang dianiaya.

4.Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa.

5.Doa seorang pemimpin yang adil.

6.Doa seorang sahabat kepada sahabatnya dikejauhan yang keduanya saling bertemu dan berkasih sayang hanya mengharap redha Allah SWT. semata.-mata.

7.Doa anak soleh terhadap orang tuanya.

Hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan tujuh golongan di atas adalah seperti berikut :

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

Bahawasanya Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : "Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

407. Soalan :Bolehkah ustaz berikan beberapa doa-doa yang diajarkan Nabi SAW untuk di amalkan dalam kehidupan kita seperti doa-doa berikut :

1. Doa agar terhindar daripada dosa syirik.

2. Doa agar selamat daripada kemalangan.

3. Doa ketika rasa takut.

4. Doa murah rezeki.

Terdapat dalam hadis-hadis Nabi SAW yang sahih yang di ajarkan oleh baginda kepada umatnya supaya sentiasa berdoa dan mohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT.

1. Doa agar terhindar daripada dosa syirik.

 "Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu agar tidak menyekutukan-Mu kepada sesuatu, sedang kami mengetahuinya, dan kami memohon ampun terhadap apa-apa yang tidak kami ketahui." (Hadis Riwayat Ahmad. no. 403, lihat Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib no. 36)

2. Doa agar selamat daripada kemalangan.

 "Ya Allah, tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan dengan Allah SWT."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi no. 3482 lihat Sahih al-Jami' al-Soghir no. 1297, Sahih al-Nasa'i no. 5053)

3. Doa ketika rasa takut.

 "Ya Allah, kami jadikan Engkau pada leher mereka dan kami berlindung kepada-Mu daripada kejahatan mereka." (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i dengan sanat yang sahih. Lihat Silsilah al-Ahadith al-Sahihah no. 4582, al-Azkar no. 318 mengikut susunan oleh Dr, Hamid Ahmad al-Tahir) 

4. Doa murah rezeki.

"Ya Allah, ampunkan dosaku, dan kurniakan padaku keluasan pada tempat tinggalku, dan berkatilah pada rezeki yang Kau kurniakan kepadaku." (Hadis Riwayat al-Tirmizi - al-Jami' al-Tirmizi dalam bab al-Da'awat) 

408. Soalan : Di hari akhirat nanti sebahagian besar manusia akan melalui hisab (hanya sebahagian manusia terpilih sahaja yang akan terlepas daripada di hisab) iaitu di timbang dan di pereksa dengan teliti semua kebaikan dan keburukan manusia semasa di dunia. Adakah terdapat doa yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW supaya kita akan dipermudahkan semasa hisab nanti?

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Zubair daripada Aisyah r. ha. beliau menyatakan bahawa Nabi SAW berdoa dalam solat baginda dengan doa : " Ya Allah! Mudahkanlah hisabku"

Sayidatinah Aisyah r.ha bertanya kepada Nabi SAW apakah yang dimaksudkan dengan hisab yang mudah itu. Nabi SAW menjawab : "Allah SWT melihat amalan dalam catatan amalan seseorang itu dan kemudian Dia memaafkannya begitu sahaja. Sesiapa yang dipertanggungjawabkan atas dosanya akan binasa. Apa-apa jua yang menimpa seseorang mukmin itu menghapuskan dosanya, sehingga duri yang kecil yang menusuk kakinya sekalipun."

Menurut Imam Ibn Kathir, hadis ini merupakan hadis sahih kerana menepati syarat yang ditetapkan oleh Imam Muslim. (Hadis Riwayat Ahmad no. 48)

409. Soalan : Saya bermimpi melihat masjid yang cantik dan tertulis di kubahnya ayat-ayat al-Quran. Apakah maksud mimpi saya ini.?

Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana saudara telah mendapat mimpi yang baik, kerana sesungguhnya mimpi yang baik itu datangnya daripada  Allah SWT.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian." (Hadis Riwayat Muslim) 

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Buku Ensiklopedia Tafsir Mimpi menurut Islam oleh Imam Ibnu Sirin jika bermimpi melihat masjid bermaksud aman daripada bahaya. dan melihat ayat-ayat al-Quran bermaksud mendapat petunjuk daripada Allah SWT insyaa Allah.

410. Soalan : Apakah yang dimaksudkan dengan zuhud? Adakah orang yang zuhud itu akan meninggalkan kenikmatan dunia?

Sifat zuhud adalah satu sifat yang mulia di sisi Allah SWT. Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A'laa ayat 16 dan 17 , yang mana Allah SWT. menyifatkan orang kafir mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhirat lebih baik dan kekal. 

Firman Allah SWT bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17) 

Ibnu al-Qayyim mengatakan bahawa zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat demi kehidupan akhirat. 

Saidina Ali k.wj. pernah berkata , "Aku telah talak dunia dengan talak tiga" ini bermaksud dunia ini tidak masuk di dalam hatinya, apa yang beliau lakukan adalah semata-mata kerana Allah dan tidak ada langsung kepentingan dunia masuk di dalam hatinya.

Dari Abul Abbas, Sahel bin Sa'ad as-Sa'idi r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah! Tunjukkanlah aku suatu amalan, jika aku kerjakannya, nescaya aku dicintai Allah, dan dicintai orang ramai". Bersabda Rasullulah SAW, "Berlaku zuhudlah di dunia, nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah kepada pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai orang ramai" (Hadis Hasan Riwayat Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang hasan)

Jelaslah kepada kita bahawa seseorang yang zuhud itu bukanlah mereka yang meninggalkan kemudahan dan nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT  tetapi mereka yang zuhud adalah dihatinya tidak ada perasaan tamakkan harta dunia . Bagi sesiapa yang memiliki sifat zuhud bahawa bertambahnya harta tidak menyebabkan dia bergembira begitu juga sekiranya berkurangnya harta dunia tidak meyebabkan dia merasai dukacita.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML