Soal Jawab Agama Siri 25
(Adab-adab Keluar dan Masuk Rumah, Anak Yatim, Hak Jiran, Hukum Faraid Dan Nikah Mut'ah)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 25 adalah menjawab persoalan adab-adab keluar dan masuk rumah, memuliakan anak-anak yatim, hak jiran, hukum faraid dan Nikah Mut'ah.
421. Soalan : Saya ingin mengetahui bagaimana adab-adab dalam Islam jika seseorang itu hendak keluar rumah dan adab-adab untuk memasuki rumah . Apakah kebaikannya jika amalkan adab-adab tersebut?
Dalam ajaran Islam memang terdapat adab-adab keluar rumah atau ingin memasuki rumah, ianya berupa do-doa yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk di amalkan.
Pertama : Adab-adab keluar rumah :
1. Membaca doa bila hendak keluar daripada rumah.
بِاللَّه اللَّهِ ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ ، وَلا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلاَّ بِسْمِ
"Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah"
Maksudnyanya : “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Nasai)
Doa lain yang diajarkan Rasulullah SAW iaitu:
"Allahumma innii a’uudzubika an adlilla au udlalla, au azilla au uzalla, au azhlima au uzhlama, au ajhala au yujhala ‘alayya:
Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari menyesatkan atau disesatkan; dari menggelincirkan atau digelincirkan; dari menganiaya atau dianiaya; dari membodohi atau saya dibodohi (orang lain)
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzy)
2. Sunnah berikutnya adalah mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah, serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan niat dan tujuan, serta memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.
3. Kaum perempuan yang hendak keluar rumah harus memperhatikan hal-hal berikut:
* Tidak diperkenankan memakai wangi-wangian, menutup aurat dengan sempurna.
* Selain itu, haram bagi wanita berpergian tanpa izin orang tua atau suami dan dilarang berpergian sampai tiga hari tanpa disertai mahramnya.
Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri ra katanya: Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat musafir, di mana perjalanannya melebihi dari tiga hari melainkan bersama ayah, anak lelaki, suami, saudara lelaki atau siapa sahaja mahramnya yang lain.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kedua : Adab-adab memasuki rumah.
1. Memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah dan membaca Bismillah :
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Apabila kamu memasuki rumah-rumah, maka hendaklah kamu memberi salam kepada sesama kamu, sebagai penghormatan yang berkat, lagi baik disisi Allah". (Surah An-Nur ayat 61).
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : "Aku akan bermalam dengan kamu."
Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)"
(Hadis Riwayat Muslim)
2. Ketika kembali dari berpergian dan hendak masuk ke rumah, disunahkan untuk berdoa:
Doa sebelum memasuki rumah
بِسْمِ الله وَلَجْنَا ، وَ بِسْمِ الله خَرَجْنَا وَعَلَى رَبِّنَا تَوَكَلْنَا
"Bismillahi walajnaa wa bismillahi kharajnaa wa-ala rabbina tawakkalnaa"
Maksudnya : "Dengan nama Allah kami masuk rumah, dengan nama Allah aku keluar rumah, serta kepada-Nya aku berserah diri"
Doa yang lain :
"Allahuma inni as aluka khoiral muulaji wa khoiral mukhroji bismillahi walajnaa wa bismillahi khorojnaa wa alalloohi rabbina tawakkalna"
Maksudnya : “Ya Allah, aku minta kepadaMu baiknya rumah yang ku masuki dan rumah yang ku tinggalkan. Dengan nama Allah kami masuk rumah, dengan nama Allah aku keluar rumah, serta kepada-Nya aku berserah diri. ”
Ketika masuk ke rumah hendaknya mendahulukan kaki kanan dan mengucapkan salam kepada keluarga yang berada di rumah.
3. Membaca Ayat Al-Kursi semasa didalam rumah bagi tujuan menghalau syaitan
Diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah saw bersabda :’Didalam surah Al-Baqarah ada ayat yang merupakan penghulu Al-Quran, Tidak dibaca didalam rumah, kecuali akan keluar Syaitan dari [rumah]nya : Ayat Al-Kursi "
(Hadis Riwayat dari Zaa’idah dari Hakim ibn Jubayr)
4. Membaca beberapa doa yang disunatkan membacanya.
(‘Auzdhu bi kalimaat-Illaah it-taammaati min sharri ma khalaq.)
Maksudnya : “Aku memnohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk-Nya”
422. Soalan : Islam amat memuliakan anak-anak yatim. Apakah ganjaran yang akan diperolehi jika kita membantu, menyayangi dan membela anak-anak yatim?
Islam telah mendorong pemeluknya agar memiliki akhlak mulia. Salah satu akhlak mulia itu adalah menyayangi dan berlemah lembut dengan anak yatim. Sesungguhnya, anak yatim adalah manusia yang paling memerlukan pertolongan dan kasih sayang. Kerana ia adalah anak yang kehilangan ayahnya pada saat ia sangat memerlukannya. Ia memerlukan pertolongan dan kasih sayang kita, kerana ia tidak mungkin mendapatkan kasih sayang ayahnya yang telah tiada.
Suatu ketika Saib bin Abdullah r.a datang kepada Nabi S.A.W. maka Nabi S.A.W. bersabda kepadanya yang bermaksud : “Wahai Saib, perhatikanlah akhlak yang biasa kamu lakukan ketika kamu masih dalam kejahiliaan, laksanakan pula ia dalam masa keIslaman. Jamulah tetamu, muliakanlah anak yatim, dan berbuat baiklah kepada jiran tetangga.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud, Shohih Abu Daud, Al-Albani )
Dalam sebuah atsar disebutkan riwayat dari Daud ‘alaihissalam, yang berkata maksudnya : “Bersikaplah kepada anak yatim, seperti seorang bapa yang penyayang.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Nabi S.A.W. memberi jaminan bahawa sesiapa yang mengasuh dan berlemah lembut dengan anak yatim akan dapat bersama-sama Nabi S.A.W. disana. Itu adalah derajat yang akan diperolehi oleh orang yang mengasuh dan berlemah lembut terhadap anak-anak yatim.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Aku dan orang-orang yang mengasuh/menyantuni anak yatim di syurga seperti ini”, Kemudian baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah seraya sedikit merenggangkannya." (Hadis Riwayat Bukhari)
Imam Ibnu Bathal rahimahullah berkata : “Orang yang mendengar hadis ini wajib melaksanakannya, agar ia boleh menjadi sahabat Nabi S.A.W. di syurga."
Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah berkata : “Isyarat ini cukup untuk menegaskan betapa dekatnya kedudukan pemberi layanan dan berlemah lembut kepada anak yatim dengan kedudukan Nabi di syurga nanti, kerana tidak ada jari yang memisahkan jari telunjuk dengan jari tengah.”
423. Soalan : Saya mempunyai dua jiran yang berbeza sifat dan perangainya. Seorang jiran cukup peramah , baik hati dan mudah memberikan bantuan jika saya memerlukannya. Seorang lagi jiran suka mengadu domba dan suka menceritakan keburukan jiran-jiran yang lain. Bagaimanakah caranya dapat saya menasihati jiran yang rendah akhlaknya supaya beliau sedar dan dapat membaiki peribadinya dan mengujudkan keharmonian dengan jiran-jiran yang lain.
Salah satu kebaikan dan kesempurnaan hidup adalah jika kita mempunyai jiran yang baik.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda.
خَيْرُ الأصْحَابِ عِنْدَ الله خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ وَ خَيْرُ الجِيْرَانِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ
Maksudnya : "Sebaik-baik sahabat adalah yang paling baik terhadap sahabatnya, dan sebaik-baik tetangga (jiran) adalah yang paling baik terhadap tetangganya (jirannya). (Hadis Sahih Riwayat Tirmidzi no: 1867)
Bersyukurlah kerana saudara diberikna oleh Allah SWT jiran yang baik, tetapi saudara kena banyak bersabar terhadap jiran yang buruk akhlaknya yang suka mengadu domba dan menyakiti hati jiran-jiran yang lain. Ini adalah satu ujian sejauh mana saudara dapat mendidik dan mengajak jiran tersebut kepada kebaikan dan menyelamatkan dirinya daripada kemurkaan Allah SWT.
Mulakan dengan menjemput beliau kerumah dengan mengadakan jamuan khusus untuk beliau sekeluarga supaya saudara boleh bertaaruf dan memudahkan saudara untuk memberi nasihat secara lemah lembut . Tanyakan jika beliau ada masaalah yang di hadapi dan cuba untuk memberikan pertolongan kepada beliau. Jika beliau jarang ke masjid atau surau bolehlah mula mengajaknya supaya beliau mendapat kesedaran ilmu dan tazkirah yang akan di sampaikan oleh para ustaz da alim ulama.
Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Berapa banyak jiran yang memegang tetangganya pada hari kiamat untuk diajukan kepada Allah SWT lalu berkata: 'Ya Allah orang ini telah menutup pintunya daripadaku dan tidak membantu aku'." (Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga orang yang jirannya tidak aman dari gangguan-gangguannya" (Hadis Riwayat Muslim)
424. Soalan : Apakah hukumnya jika seorang anak sulung membolot semua harta pusaka peninggalan bapanya iaitu sekeping tanah berharga RM 200,000. Beliau enggan membahagikan harta tersebut kepada isteri simati (ibunya) dan 2 orang adik lelaki dan 2 orang adik perempuan. Menurut salah seorang waris tersebut sebelum meninggal dunia sebidang tanah bapanya telah ditukarkan kepada nama abang sulungnya, supaya apabila meninggal dunia nanti harta tersebut mudah dibahagi-bahagikan kepada semua waris yang berhak. Tetapi abangnya tidak amanah, dia menjualkan tanah tersebut bernilai RM 200,000 dan merasakan wang tersebut adalah hak dia seorang. Minta ustaz huraikan kedudukan harta pusaka tersebut?
Di dalam Islam wajib waris yang diamanahkan untuk memegang amanah harta pusaka si mati untuk membahagikan menurut hukum faraid setelah ditolak hutang, nazar (jika ada) dan wasiat simati. Jika pemegang amanah tidak jujur dan bila mati dalam keadaan menipu waris-waris yang berhak maka tanah yang di ambil bukan haknya maka iannya akan dikalungkan di hari kiamat tujuh lapis bumi.
Dari Said bin Zaid r.a. katanya : "Rasulullah SAW. bersabda :"Sesiapa yang mengambil tanah orang lain sejengkal dengan cara yang zalim(tidak sah), maka akan dikalungkan oleh Allah di hari kiamat dengan tujuh lapisbumi." (Hadis sahih riwayat Muslim)
Dalam hukum faraid sepatutnya wang RM 200,000 dibahagikan kepada waris-waris seperti berikut :
Isteri simati (ibu mereka) mendapat 1/8.
Anak-anak lelaki mendapat 2 bahagian, dan anak-anak perempuan mendapat 1 bahagian.
Oleh itu isteri mendapat = 1/8 x RM 200,000 = RM 25,000
Baki wang RM 200,000- RM 25,000 = RM175,000.
Baki wang RM 175,000 X 1/8 = RM 21,875.
3 orang anak lelaki setiap seorang mendapat = RM 43,750.
2 orang anak perempuan setiap seorang mendapat = RM 21,875.
Berdasarkan kiraan tersebut di atas anak sulung simati yang menjadi pemegang amamah hanya layak mendapat sama bahagian anak lelaki iaitu RM 43,750.
Untuk menyelesaikan pembahagiaan secara faraid dan menjaga silaturahim di antara keluarga supaya tidak berpecah maka perlulah ada orang tengah atau pendamai di kalangan pegawai Jabatan Agama bertindak sebagai khidmat nasihat dan meluruskan mana-mana pihak yang cuba menzalimi waris-waris yang lain. Jika tidak berhasil perlulah dibuat laporan di Balai Polis supaya perbicaraan di MahkamahSyariah dapat dijalankan dengan telus dan adil.
425. Soalan : Di dalam masyarakat kita fahama Syiah telah menyerap masuk samaada di kawasan bandar dan pusat pengajian tinggi di negara kita. Syiah adalah satu ajaran sesat yang telah diistiharkan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Di dalam ajaran Syiah Nikah Mut'ah atau Nikah Kontrek di benarkan. Bolehkah ustaz terangkan sejarah Nikah Mut'ah dan bila Nikah Mut'ah ini telah diharamkan oleh Allah SWT.
Syiah adalah ajaran sesat pertama selepas pembunuhan Khulafa al- Rasyidin ketiga Saidina Uthman bin Affan yang di asaskan oleh seorang Yahudi Bani Saba yang pura-pura masuk Islam dan menjadi golongan munafik. Beliau berlindung dibalik membela Ahlul Bait seperti Saidina Ali k.wj, Saidina Hussein dan yang lain-lain.
Golongan Syiah ini menuduh Yazid bin Muawiyah yang merancang pembunuhan Saidina Hussein dan ahli keluarganya tetapi hakikat sebenarnya golongan Syiahlah yang meraancang pembunuhan tersebut. Syiah bukan pembela Ahlul Bait tetapi sebenarnya Syiah membuat memfitnah, penghina dan mencemarkan kemuliaan Ahlul Bait dan membawa bencana besar kepada akidah umat Islam.
Salah satu kesesatan Syiah adalah kerana menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT iaitu Nikah Mut'ah, sedangkan nikah tersebut telah dibatalkan hukumnya oleh Allah SWT.
Dari Abu Salamah r.a. katanya :“Rasullah SAW memberi kelonggaran melakukan Nikah Mut’ah di tahun Authas ( waktu penaklukan Makkah) selama 3 hari kemudian baginda melarangnya” (Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim)
Dari Sabra al-Juhaniyyi r.a. : Bahawa dia pernah bersama Rasullah SAW dan baginda SAW bersabda : "Hai orang ramai! Sesunggunya akau pernah mengizinkan kamu melakukan Nikah Mut’ah dengan perempuan , tetapi sekarang sesungguhnya Allah telah melarang itu sampai hari kiamat. Sebab itu siapa di antara kamu yang masih mempunyai perempuan itu, hendaklah di suruhnya pergi dan jangan kamu minta kembali apa yang telah kamu berikan, barang sedikitpun.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim)
Dari Ali bin Abu Talib k.wj mengatakan : “Bahawa Rasullah SAW melarang Nikah Mut’ah di hari Perang Khaibar dan melarang memakan daging keledai jinak”
(Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim)
Bagaimana pembohongan Syiah yang kononnya mengagongkan Saidina Ali k.wj sebagai Ahlul Bait sedangkan Saidina Ali k.wj sendiri meriwayatkan hadis daripada Nabi SAW bahawa Nikah Mut'ah telah diharamkan. Sesiapa yang melaksanakan Nikah Mut'ah sebenarnya dia menghalalkan perzinaan. Anak yang lahir daripada Nikah Mut'ah adalah anak luar nikah.
No comments:
Post a Comment