Tuesday, January 14, 2014

SILATULRAHIM

Tidak Akan Masuk Syurga Sesiapa Yang Memutuskan Silaturahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Memutuskan silaturrahim adalah satu perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT. Dalam Islam  hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah Subhanahu Wa Ta‘ala, Sebagaimana firmanNya yang bermaksud : “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan-jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad ayat 22-23)

Apatah lagi orang yang memutuskan silaturrahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Ibnu Abu Jamrah bahawa hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudharatan, bersemuka, mendoakan, mengeratkan dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada keburukan.

Sementara bagi mereka yang jauh bolehlah juga berhubung dan berkirim salam dengan berutus surat, melalui blog atau facebook, E-mel, akan tetapi jika mampu adalah afdhal untuk menziarahi mereka. Begitu juga dengan mendermakan harta kepada kaum kerabat. 

Bersedekah kepada kaum kerabat adalah lebih afdhal dari orang lain, sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: 

الصَدََقةُ عََلى اْلمِسْكِيْ ِ ن: صَدََقٌة، وَعََلى ذِي الرَحْ ِ م اِْثنَتَانِ: صَدََقٌة وَصِلٌَّة.
(سنن الدارمي)

Maksudnya: “Memberi sedekah kepada orang miskin dikira: satu sedekah, dan memberi sedekah kepada mahram dikira dua iaitu: sedekah dan mengeratkan hubungan.” (Hadis Riwayat Sunan ad-Darimi)

Bolehkah menjalinkan hubungan silaturrahim dengan orang kafir?

Dalam hal ini, Allah Subhanahu Wa Ta‘ala tidak melarang berbuat baik kepada orang kafir sebagaimana firmanNya yang bermaksud : " Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah ayat 8)

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat banyak keistimewaan atau kelebihan mengeratkan silaturrahim. Orang yang mengeratkan silaturrahim akan mendapat sepuluh kelebihan yang terpuji sepertimana disebutkan dalam kitab Bujairimi Ala al-Khatib:

1. Allah Subhanahu Wa Ta‘ala reda kerana Dia memerintahkan supaya mengeratkan silaturrahim.

2. Membawa kebahagiaan.

3. Para malaikat gembira kerana mereka gembira dengan eratnya silaturrahim itu.

4. Memperolehi pujian yang baik daripada orang.

5. Mengisi kesedihan Iblis.

6. Dipanjangkan umur.

7. Menperoleh keberkatan rezeki.

8. Orang yang meninggal dunia mendapat kebahagiaan kerana keturunannya gembira dengan eratnya silaturahim itu.

9. Bertambah-tambah kehormatannya.

10. Bertambah-tambah pahala selepas matinya kerana orang-orang mendoakannya setiap kali disebut kebaikkanya.

Oleh yang demikian, eratkanlah silaturrahim dalam mencapai keistimewaan yang tersebut di atas dan jauhilah dari perkara yang boleh memutuskannya. Tanganilah masalah keluarga dengan perasaan rasional dan eratkanlah semula perhubungan yang sudah retak itu dengan rasa kesedaran serta keinsafan, apatah lagi kerana mereka yang tidak mahu berdamai itu akan dipertangguhkan keampunannya, sepertimana hadis Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu yang bermaksud : 

“Dibuka pintu-pintu syurga itu pada hari Isnin dan Khamis. Setiap orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apapun akan diampuni, kecuali seseorang yang sedang dalam permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: 'Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai. Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai. Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai'.” (Hadits Riwayat Muslim)

Begitu juga mendamaikan di antara dua pihak yang berselisih itu hendaklah dengan adil dan saksama dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang berselisih, kerana semua orang yang beriman itu bersaudara dan bertanggungjawab dalam mendamaikan saudaranya yang lain sebagaimana firman Allah Subahanahu Wa Ta‘ala yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudara (kamu yang bertelingkah) itu". (Surah Al-Hujurat ayat 10)

Sahabat yang dikasihi,
Islam tidak menghalang jika timbul perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan umat Islam darisegi untuk menentukan stratigi sesuatu urusan. Kerana perbezaan itu adalah kurniaan Allah SWT kepada setiap manusia supaya mereka mampu menggunakan akal fikiran yang waras dan cerdik. Manusia bukannya robot hanya menerima arahan tanpa berfikir baik buruknya sesuatu pendapat. Yang tidak boleh diperselisihkan adalah arahan daripada Allah SWT dan rasul-Nya mengenai sesuatu hukum yang jelas dan nyata dan tidak boleh dipertikaikan.

Tetapi sekiranya perbezaan itu berlaku darisegi cabang dan ranting dan melibatkan masaalah stratigi sahaja maka perbezaan tetap di benarkan. Cuma kita tidak boleh menjadikan alasan untuk kita berpecah belah dan memutuskan silaturahim kerana perbezaan ini. Dari itu  setiap pihak perlulah berlapang dada sekiranya pendapat saudaranya lebih baik dan lebih bernas dan mantap.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML