Tuesday, January 14, 2014

SIKAP YANG TERPUJI

Sikap Yang Baik dan Suka Memberi Pertolongan Adalah AkhLAk Terpuji

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: "Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari kiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari kiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu."
(Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Berdasarkan hadis di atas sikap yang baik dan sanggup memberikan pertolongan adalah akhlak terpuji yang sangat dicintai oleh Allah S.W.T. Setiap orang mukmin akan berusaha sebaik mungkin ketika di dunia ini untuk melakukan amal soleh dan amal kebaikan semoga dirahmati dan diredai oleh Allah S.W.T samaada di dunia dan akhirat.

Amalan tersebut adalah seperti berikut :

1. Memberi manfaat kepada orang lain.

2. Mengembirakan hati orang Islam.

3. Menghilangkan kesusahannya.

4. Menunaikan keperluan hidupnya dan memberi makan orang yang lapar.

5. Menunaikan hajatnya.

6. Menahan kemarahannya sekali pun dia mampu membalasnya.

7. Akhlak yang buruk akan merosakkan amalan.

Huraiannya adalah seperti berikut :

1. Memberi manfaat kepada orang lain.

Manusia yang paling dikasihi oleh Allah S.W.T. adalah dia sentiasa dalam hidupnya memberi manfaat kepada orang lain. Jika dia memiliki ilmu maka ilmunya akan disampaikan dan ilmu tersebut memberi manfaat, ianya mendatangkan kesedaran dan kebaikan untuk di amalkan.

Dengan kata lain, segala ilmu yang diberikan akan menambahkan ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebajikannya. Contohnya seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.

Jika dia memiliki harta, maka hartanya akan di manfaatkan sebagai sedekah jariah. Tangan kanannya memberikan sumbangan hingga tangan kirinya tidak mengetahui.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya  Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. 
(Hadis riwayat Muslim)

Selain daripada itu kemana sahaja dia pergi dia membawa kebaikan kepada masyarakat, tidak keluar dari mulutnya melainkan perkara yang baik dan kata-kata nasihat. Tangannya pula ringan membantu kepada mereka yang memerlukan khidmatnya tanpa meminta bayaran. Tidak sedikit pun dia merasa rugi apabila dipergunakan masanya untuk kerja-kerja dakwah dan kebajikan. Begitu juga apa saja yang dia miliki samaada rumah, kenderaan, perniagaan dan sebagainya orang lain akan mendapat menfaatnya kerana keikhlasannya memberi bantuan dan sumbangan.

2. Mengembirakan hati orang Islam.

Amalan yang paling disukai oleh Allah S.W.T. adalah seseorang yang mengembirakan hati saudaranya. Suatu yang sangat dituntut terhadap seseorang muslim ialah pergaulan sesama saudaranya wajib dilakukan dengan baik serta menggembirakan saudaranya. Dengan kata lain tidak membebankan saudaranya dengan sesuatu yang boleh melukakan hati atau menyusahkannya, serta rasa terganggu dan serba salah yang membawa ke arah mendukacitakan.

Tanggungjawab ini amat dituntut di dalam Islam sepertimana diterangkan oleh Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Seseorang itu tidak beriman sehinggalah dia mengasihi terhadap saudaranya seperti mana dia kasih terhadap dirinya sendiri"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila kita mengembirakan hati saudara kita di dunia ini, dihari akhirat nanti Allah S.W.T akan mengembirakan hati kita  ketika mana ramai manusia masa itu sedang berdukacita kerana takut amalan-amalannya tidak diterima oleh Allah S.W.T.

3. Menghilangkan kesusahannya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Betapa besarnya pahala kita melapangkan kesusahan saudara kita samaada kesusahan itu disebabkan dia ditimpa musibah kemalangan,  kematian orang yang dikasihi, kemiskinan atau tiada mempunyai pekerjaan. Maka kita bantu sekadar kemampuan kita hingga hilang kesusahan tersebut maka Allah S.W.T akan memudahkan urusan kita samaada di dunia dan akhirat dan diberi-Nya pahala yang berlipat kali ganda.

4. Menunaikan keperluan hidupnya dan memberi makan orang yang lapar.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah : “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui."
(Surah al-Baqarah ayat 215)

Rasulullah SAW menjelaskan melihat keperluan bersedekah kepada golongan yang ingin dibantu. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Ada tiga perbuatan yang menjadi kunci surga, yaitu mengucapkan salam (afsus salam), menjalin silaturahmi (wasiatul arham) dan memberi makan (anith tha'am) orang-orang lapar."

Nabi S.A.W. bersabda kepada Sayidina Ali k.w : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang memberi makan orang muslim dengan hati tulus, Allah mencatatnya sejuta kebaikan dan menghapuskan sejuta keburukan. Di samping itu, ia diangkat sampai seribu tingkat mertabatnya."

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa memberi sedekah untuk menunaikan keperluan hidup saudara kita dan memberi makan orang yang kelaparan adalah satu amalan yang sungguh mulia dan ianya adalah salah satu kunci untuk memasuki syurga. Contoh kita membantu saudara kita di Palestin, Sudan dan Somalia atau ditempat-tempat bencana alam yang mengalami kebuluran akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

5. Menunaikan hajatnya.

Nabi S.A.W. dengan jelas daripada hadis di atas menyatakan bahawa baginda lebih suka memenuhi hajat saudaranya daripada beriktikaf di dalam masjid Nabawi (masjid Nabi di Madinah) selama sebulan dan satu lagi kebaikannya memenuhi hajat saudaranya hingga selesai nescaya Allah akan tetapkan kakinya dihari kiamat (dipermudahkan urusannya dihari akhirat). 

Kita sedia maklum bahawa pahala solat di masjid Nabawi adalah sama dengan  1000 kali solat di masjid  yang lain selain masjidil haram. Begitu juga pahala berikhtikaf di masjid Nabawi pasti lebih baik daripada berikhtikaf di masjid-masjid lain.

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya :
"Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku ( masjidil Nabawi di Madinah ) ini adalah lebih baik daripada 1000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan masjidil Haram."

Nabi S.A.W. bersabda kepada Saydina Ali k.w maksudnya : "Wahai Ali ! Takutlah pada orang murah hati, kerana doanya akan dikabulkan Allah."

"Wahai Ali ! Jangan engkau mengherdik orang yang meminta pertolongan, sekalipun ia datang dengan naik kuda (berkenderaan) dan berilah ia, kerana sesungguhnya sedekah itu lebih dahulu jatuh ke tangan Allah sebelum jatuh ke tangan peminta."

6. Menahan kemarahannya sekali pun dia mampu membalasnya.

Sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredaannya pada hari kiamat.

Fiirman Allah S.W.T.  yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Wahai Ali ! Jauhilah sifat marah kerana sesungguhnya marah itu dari syaitan, dan syaitan itulah yang mengusaimu dikala marah."

Seorang Arab Badawi bertanya Nabi S.A.W.  katanya : "Aku mau diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari kiamat "
Nabi S.A.W menjawab : "Jangan marah kepada orang lain niscaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya"

Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu. Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

7. Akhlak yang buruk akan merosakkan amalan.

Ingatlah, Allah tidak menyukai hamba-Nya berakhlak buruk, apatah lagi kesan dari akhlak buruk itu boleh mendatangkan perkara tidak baik. Kerana akhlak buruk boleh merosakkan amal umpama cuka boleh merosakkan madu.

Seorang Arab Badawi bertanya kepada Nabi S.A.W. katanya : "Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?
Nabi S.A.W menjawab : "Buruk akhlak dan sedikit ketaatan".

Sahabat yang dikasihi,
Terdapat beberapa pengajaran hadis di atas.

1. Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

2. Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

3. Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

4. Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

5. Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

Marilah kita mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang sentiasa membuat kebaikan di dunia ini. Buangkan perasaan hasad dengki, mementingkan diri, hati yang sukar untuk memberi pertolongan kepada orang lain, perasaan buruk sangka dan perasaan cepat marah. Jika kita berjaya meningkatkan diri kita menjadi mukmin soleh dan solehah maka kita akan dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya dan dekat dengan syurga-Nya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML