GAMBAR HIASAN |
Hikmah Sikap Jujur dan Bercakap Benar.
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Jujur merupakan akhlak terpenting bagi seorang muslim dan merupakan asas tertegaknya agama ini.
Antara perkara yang paling sukar untuk dilakukan dalam kehidupan ini ialah istiqamah dalam bersikap jujur dan berkata sesuatu yang benar. Kadang-kadang kita memilih untuk berdusta semata-mata ingin menutup aib diri, melepaskan diri dan sebagainya. Tabiat buruk ini sepatutnya dihindari kerana pendustaan yang pertama itu akan memerlukan kepada pendustaan yang seterusnya.
Baca dan hayatilah maksud hadis nabi ini yang bermaksud :
“Hendaklah kamu selalu jujur, kerana sesungguhnya jujur itu akan membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu akan membawa kepada syurga. Dan tidaklah seseorang selalu berkata jujur dan berusaha menetapi kejujuran, sampai dia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang sangat jujur. Dan hendaklah kamu selalu menjauhi dusta, kerana sesungguhnya dusta itu akan membawa kepada kemaksiatan, dan sesungguhnya kemaksiatan itu akan membawa ke neraka. Dan tidaklah seseorang selalu berkata dusta dan selalu memilih pendustaan, sampai dia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang pendusta (Hadis Riwayat Muslim )
Bersama-samalah kita berusaha untuk sentiasa bercakap benar, sentiasa bersikap jujur dan cuba menghindari dari melakukan pembohongan dan pendustaan. Jangan sampai kita dicop sebagai pembohong atau penipu kerana pasti sikap negatif itu akan menjerumuskan kita ke lembah neraka na'uzubillahiminzalik.
Sentiasalah berkata benar walaupun kadang kala terpaksa menerima impak negatif. Ini sesuai
dengan Pepatah arab :
قُلِ الحَقَّ وَلَوْ كَانَ مُرًّا
Berkata benarlah walaupun pahit.
Semog Allah SWT membimbing dan merahmati kita semua dan memimpin kita kepada perkara yang diredaiNya.
Sahabat yang dimuliakan,
Di sini dibawakan satu kisah seorang ulama sufi Syeikh Abdul Qadir Jailani. Sejak kecil ibunya telah mengajarnya bersikap jujur dan berkata benar walaupun dalam keadaan terdesak kerana jika sikap ini di amalkan insya Allah bantuan dan pertolongan Allah SWT akan kita perolehi.
Syeikh Abdul Qadir Jailani merupakan seorang wali Allah. Beliau dilahirkan di Naif dalam daerah Jailani, Iran pada bulan Ramadan 470 Hijrah. Ayahnya bernama Salih. Beliau merupakan seorang yang bertakwa dan berketurunan Imam Hasan r.a, cucu pertama Rasulullah SAW. Semenjak kecil, Syeikh Abdul Qadir diasuh dengan sempurna. Sebelum ayahnya meninggal dunia dia berpesan supaya Syeikh Abdul Qadir meneruskan pengajiannya ke Baghdad.
Ketika berusia 18 tahun, beliau meminta izin daripada ibunya untuk ke Baghdad bagi menuntut ilmu agama. Sebelum berangkat ibunya berpesan supaya beliau tidak bercakap bohong. Ibunya membekalkan wang sebanyak 40 dirham dan diletakkan di dalam pakaian Syeikh Abdul Qadir. Berangkatlah beliau ke Baghdad bersama satu rombongan yang kebetulan hendak menuju ke Baghdad.
Dalam perjalanan ke Baghdad, Syeikh Abdul Qadir dan rombongannya telah diserang oleh 60 orang penyamun. Kesemua harta kafilah dirampas tetapi barang milik Syeikh Abdul Qadir tidak diusik. Sangkanya Syeikh Abdul Qadir tidak mempunyai apa-apa. Bagaimanapun salah seorang penyamun bertanya kepada Syeikh Abdul Qadir apa yang dia miliki. Lalu Syeikh Abdul Qadir berterus terang yang dia mempunyai 40 dirham dalam pakaiannya. Tanpa belas kasihan, penyamun itu terus memotong pakaian Syeikh Abdul Qadir.
"Mengapa kamu bercakap jujur dengan kami?" tanya ketua penyamun
"Ibu berpesan agar jangan sekali-kali bercakap bohong. Apatah lagi aku hendak ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Sekiranya aku berbohong, ilmu yang aku perolehi tidak berkat dan tidak mendapat keredhan Allah s.w.t." beritahu Syeikh Abdul Qadir
Mendengar kejujuran dan keikhlasan Syeikh Abdul Qadir, ketua penyamun itu telah insaf dan sedar akan dosa dan kezaliman yang telah ia dan kawan-kawannya lakukan, dan telah memulangkan semua barang-barang yang dirampas dan berjanji tidak akan menjadi penyamun lagi.
Sahabat yang dikasihi,
Pengajaran yang boleh kita perolehi daripada kisah diatas adalah :
1.Sifat jujur dan bercakap benar adalah sifat mahmudah yang mana Allah akan memberikan rahmat dan pertolongan-Nya kepada sesiapa saja yang memiliki sifat ini.
2.Menuntut Ilmu agama adalah fardu ain, sesiapa saja yang keluar rumah semata-mata untuk menuntut ilmu adalah seperti keluar berjihad fisabilillah dan para malaikat menaungi dan mendoakan akan kesejahteraan mereka.
3.Ibu bapa perlulah mendidik anak-anak dengan didikan Islam supaya mereka menjadi insan yang beriman dan berguna pada masyarakat.
No comments:
Post a Comment