Tuesday, January 14, 2014

SIFAT-SIFAT ORANG YANG ZALIM

Jauhi 10 Sifat Orang Islam Yang Zalim Menurut Sufwan Atsauri

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang ulama dan ahli sufi yang terkenal bernama Sufwan Atsauri mengatakan terdapat 10 sifat orang Islam yang zalim (tidak melaksanakan hak sebagai seorang muslim).

Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan orang-orang mukmin .

Seorang muslim apabila berdoa hendaklah dia berdoa untuk dirinya sendiri dan juga untuk anak-anaknya, isterinya dan kaum muslimindan muslimat.

Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya (no.1982), bahwa Rasulullah SAW  pernah mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk Anas bin Malik, “Ya Allah, karuniakanlah harta dan anak kepadanya dan berkahilah dia.” (Lantaran doa itu, di kemudian hari), Anas bin Malik termasuk orang Anshar yang paling banyak memiliki harta.

Rasulullah SAW, dalam banyak riwayat diceritakan bahwa baginda juga sering berdoa untuk anak-anak baginda dan untuk anak-anak kaum muslimin.

Jangan lupa berdoa dan munajat untuk anak dan isteri selepas solat. Doanya: “Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama.”

Maksudnya: “Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa.”

Kedua : Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.

Jadikanlah bacaan al-Quran itu sebagai amalan harian yang tidak ditinggalkan sekurang-kurangnya membaca 100 ayat dan membaca terjemahannya sekali.

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah SAW, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air" Seorang sahabat bertanya, “Bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi SAW. " Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran."

Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.

Ketiga : Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.

Dari Abi Qatadah as-Salmi r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke masjid, hendaklah ia mengerjakan sembahyang (tahyatul masjid) dua rakaat sebelum ia duduk.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Keempat : Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

Adalah menjadi sunnah Rasulullah SAW pergi menziarahi kubur dengan memberi salam dan berdoa kepada ahli kubur.

Dalam satu riwayat, ('Aisyah bertanya) "Bagaimana harus aku katakan (doakan) kepada mereka (ahli kubur) wahai Rasulullah?"

Nabi SAW  menjawab, "Katakanlah: 'Semoga keselamatan dilimpahkan ke atas ahli kubur, dari kalangan orang mukmin dan muslim. Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang telah meninggal dunia terdahulu atau terkemudian. Sesungguhnya, insyaAllah kami akan menyusul bertemu kamu semua." (Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

Disunnahkan (atau dibolehkan) mengangkat tangan ketika mendoakan ahli kubur berdasarkan dari hadis yang sama:

فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ انْحَرَفَ فَانْحَرَفْتُ

Maksud: (Ketika di perkuburan Baqi') Baginda berdiri cukup lama dan kemudian mengangkat kedua tangannya tiga kali. Dan baginda pun kemudiannya terus pulang... (Hadis Riwayat Muslim, 5/102, Kitab al-Jana'iz, no. 1619)

Kelima : Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak solat jemaah  (solat Jumaat)

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah SAW, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya yang bermaksud :”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?”
(Hadis Riwayat Muslim)

Keenam : Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.

Menunutut ilmu adalah dituntut dalam Islam, apabila berpeluang menuntut ilmu dengan orang alim maka janganlah dipersia-siakan peluang tersebut.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Allah akan memahamkannya dalam urusan agama.: (Hadis Riwayat Bukhari no. 71 dan Muslim no. 1037)

Nabi SAW berwasiat kepada Sayyidina Ali k.wj. "Wahai Ali ! Apabila seorang mukmin yang lebih dari empat puluh hari tidak berkumpul duduk dengan ulama maka hatinya menjadi keras dan berani mengerjakan dosa-dosa besar. Kerana sesungguhnya ilmu itu penghidup hati."

Ketujuh : Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.

Apabila bertemu seorang muslim dengan muslim yang lain dan mereka saling memberi salam dan menyanyakan nama mereka (bertaaruf) maka dosa-dosa mereka akan dihapuskan oleh Allah SWT.

Apabila Rasulullah SAW bertanya Iblis apakah tindakkannya apabila umatnya memberi salam sesama mereka, maka Iblis berkata :
"Ya Nabi Allah, akan pecahlah daku apabila umatmu bertemu dijalanan lantas salah seorang daripadanya memberi salam dan yang lain menjawabnya sehingga aku menangis, melolong kesedihan. Kerana keduanya telah mendapat keampunan setelah keduanya berpisah".

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu saya tunjukkan kepada sesuatu jika kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara sesama kamu".
(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a).

Kelapan : Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.

Memenuhi undangan untuk hadir dimajlis jamuan saudara kita adalah wajib melainkan ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Hak Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam". (Baginda) ditanya: "Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah?" Jawab baginda:

1. Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya.
2. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya.
3. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat.
4. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia.
5. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia.
6. Jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah) nya.
(Hadis Riwayat Muslim)

Kesembilan : Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.

Seorang pemuda yang sihat tubuh badan, suka duduk menganggur dan tidak mahu bekerja dan menuntut ilmu adalah perbuatan yang tercela.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Menuntut ilmu itu diwajibkan bagi setiap orang Islam"
(Hadis Riwayat Ibnu Majah, al-Baihaqi, Ibnu Abdil Barr dan Ibnu Adi daripada Anas bin Malik)

Kesepuluh : Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

Seorang mukmin yang membiarkan jiran tetangganya kelaparan sedangkan dia kenyang dan dia mengetahui keadaan tersebut maka perbuatan tersebuat adalah tercela dan dilarang dalam agama.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Tidak beriman kepadaku orang yang bermalam dengan kenyang sementara jirannya lapar padahal dia mengetahui hal itu."
(Hadis Riwayat al-Bazzar)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita tinggalkan 10 amalan yang zalim (amalan yang tidak baik) sebagaimana yang dijelaskan oleh Sufwan Atsauri dengan digantikan dengan amalan soleh dan dikasihi oleh Allah SWT. Semoga kita menjadi hamba Allah  yang taat dan patuh kepada-Nya dengan dihiasi akhlak Islam dan sifat-sifat mahmudah.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML