Tuesday, January 14, 2014

SIFAT UJUB

GAMBAR HIASAN
Orang Mukmin Sentiasa Menjauhkan Diri Daripada Sifat Ujub

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri)," (Hadis Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

Berdasarkan hadis diatas bahawa salah satu hal yang membinasakan adalah sifat ujub. Kerana ujub adalah umpama api dalam sekam yang akan membakar dan menghapuskan amal soleh seorang manusia.

Ujub terjadi apabila seseorang itu merasa kagum akan kelebihan dan kebolehan yang diberikan llahi kepada dirinya, di mana kebiasaaanya kelebihan dan kebolehan itu menjadikan dia kelihatan istimewa jika dibandingkan dengan orang lain. Dirinya merasa hebat dengan apa yang diberikan Allah lantas terpesona dengan kelebihan dan kebolehannya itu sendiri.

Samaada kelebihan tersebut dibidang agama atau duniawi. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi  kecantikan , kelulusan akademik, kedudukan dalam masyarakat,  keturunan, kekayaan dan lain-lain.

Penyakit ujub ini merupakan penyakit yang merbahaya kepada manusia dan bertindak menghapuskan kebaikkan (silent killer) yang telah dilaksanakan oleh seseorang hamba. 

Seseorang yang ada sifat ujub akan berpegang dengan pendapatnya sahaja dan tidak mahu menerima pendapat orang lain.Percantuman daripada sifat riyak dan sifat ujub ini akan terpancar didalam sifat sombong dan takabur.

Di dalam al-Quran terdapat 3 kisah makhluk yang mendapat laknat dan kemurkaan Allah SWT kerana sifat ujub mereka kepada Allah SWT iaitu iblis laknatullah, Firaun dan Qarun.

1. Iblis laknatullah . 

Iblis adalah makhuk pertama dimuka bumi yang mempunyai sifat ujub, sombong dan takbur

Firman Allah SWT maksudnya : "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu? Iblis menjawab: 'Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah'."(Surah al-A'raf ayat 12)

"Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah." (Surah Saad ayat 76)

"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujudlah melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)? "(Surah al-Israak ayat 61)

2. Firaun di zaman Nabi Musa a.s.

Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata denagn ujub, sombong dan takbur ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. 

"Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi." 
(Surah al-Naazi’aat ayat  24)

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (Surahal-Qasas ayat 38)

Demikianlah dakwaan Firaun yang merasakan bahawa dirinya sebagai tuhan yang patut disembah. Ini adalah kemuncak ujub, sombong dan takbur yang paling tinggi yang dimiliki oleh seseorang manusia, iblis yang dilaknat Allah SWT itu pun tidak berani mengaku sebagai tuhan. Manusia seperti Firaun lebih berani daripada iblis laknatullah.

 3. Qarun di zaman Nabi Musa a.s.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dia (Qarun) berkata: 'Sesungguhnya aku hanya diberi (harta itu), semata-mata kerana ilmu yang ada padaku." (Surah al-Qashash ayat 78)

Qarun bersifat ujub kerana dia merasakan bahawa harta yang banyak yang dia miliki adalah hasil daripada kepandaiannya mengumpulkan harta dan perniagaan yang dia usahakan, sedangkan asalnya dia adalah seorang yang miskin dan tidak memiliki apa-apa kepandaian. Berkat daripada pertolongan dan doa Nabi Musa a.s yang menyebabkan Allah SWT mengurniakan harta yang banyak kepadanya. Ini adalah ujian daripada Allah SWT untuk melihat adakah Qarun hendak bersyukur dan taat kepada-Nya. Ujub yang dimiliki Qarun adalah rasa bangga dengan nikmat yang ada tanpa mengaitkan dengan pemberian daripada  Allah SWT.

Dua kisah dizaman sahabat yang terdapat sifat ujub adalah kisah Saidina Umar al-Khatab r.a dan Jabalah bin al- Aiham dan kisah Perang Hunain.

Jabalah bin al-Aiham berbangga dengan dirinya (ujub) daripada keturunan bangsawan arab dan enggan menerima hukum qisas daripada Saidina Umar al-Khattab kerana mencederakan seorang arab Badui. 

Perang Hunain pula perasaan ujub dikalangan tentera Islam kerana bilangan ramai dan terputus pergantungannya dengan Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Bagaimanakah cara-cara boleh mengatasi sifat ujub yang ada pada diri kita ? 

Terdapat 10 perkara jika diamalkan boleh menjauhkan diri kita daripada sifat ujub :

Pertama, selalu mengingati bahawa hakikat penciptaan manusia yang hina.

Orang-orang yang membanggakan diri (ujub) seharusnya berusaha memahami bahawa manusia diciptakan oleh Allah SWT daripada tanah  kemudian daripada setitis mani yang hina Kemudian setelah meninggal dunia mereka akan dikembalikan lagi ke tanah menjadi mayat yang akan hancur dimakan ulat dan cacing,  mayat yang busuk yang akan dijauhi oleh manusia-manusia yang masih hidup. Jika mampu merenungkan kenyataan itu dengan sebaik-baiknya, insya Allah akan mampu menolak kehadiran 'ujub' dalam hati kita.

Kedua, bersyukur dengan nikmat Allah SWT.

Sesungguhnya nikmat dan karunia yang telah diberikan oleh Allah SWT terlalu banyak, baik terhadap manusia maupun terhadap makhluk-makhluk-Nya yang lain. Sebagaimana firman-Nya : " .. Dan jika kalian hitung nikmat-nikmat Allah, nescaya tidak akan mampu menghitungnya .." (QS : Ibrahim :34). 

Dengan senantiasa merenungkan kenyataan tersebut kita akan selalu merasa lemah dan mengharapkan rahmat dan belas kasihan daripada Allah SWT. Sifat pergantungan dan pengharapan kepada Allah SWT akan dapat menyucikan sekaligus menjauhkan rohani kita daripada penyakit ujub ini.

Ketiga, mengingati kematian.

Jika kita menginsafkan diri kita bahawa setiap manusia akan mati dan setiap amalannya akan dihitung dihadapan Allah SWT maka kita akan menjauhkan diri daripada perasaan yang boleh menyebabkan amalan kita tidak diterima oleh Allah SWT. Sifat ujub adalah sifat yang akan menghapuskan amal soleh dan amal ibadah kita kepada Allah SWT.

Keempat, senantiasa mengingat hakikat kehidupan dunia adalah sementara sahaja berbanding kehidupan di akhirat.

Orang yang ujub seharusnya menyadari bahawasanya kehidupan dunia ini diciptakan oleh Allah sebagai ladang untuk bercucuk tanam dan di akhiratlah tempat untuk dia memetik hasilnya. Di dunai bukannya tempat untuk kita bermegah-megah dan berbangga dengan apa yang ada kerana semuanya tidak akan kekal. Hidup di dunia sangat pendek sebaliknya, akhirat itu adalah tempat yang kekal abadi. Jika kita merenung atau bertafakur keadaan ini akan menyebabkan akan hilang sifat ujub dan bersemangat untuk melakukan ketaatan dan pegabdian sepenuhnya kepada Allah SWT.untuk mencapai kebahagiaan yang sebenarnya di sana nanti.

Kelima, mengkaji ayat-ayat Allah SWT dalam al-Quran dan hadis serta sunnah Rasulullah SAW. mengenai azab dan seksaan-Nya terhadap mereka yang ujub, riak dan sombong. Semoga timbul rasa takut dalam diri dan menjauhkan diri daripadanya.

Di dalam kedua sumber ajaran Islam tersebut terkandung penjelasan, keterangan, sekaligus tuntunan yang jelas bagaimana sepatutnya kita beramal soleh dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah seperti ujub, riak, sombong, takbur, iri hati dan hasad dengki dan sentiasa menghiasi diri kita dengan akhlak Islam dan sifat-sifat mahmudah.

Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa sifat ujub, sombong dan takabbur adalah sifat Iblis lantaran ia memprotes perintah Allah. Jelas dalam firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 34 yang bermaksud ;

“Dan ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.”

Rasulullah S.A.W. bersabda, "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (merasakan dirinya lawa dan rasa ujub). Lalu Allah tenggelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat," (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW yang bermaksud :”Sesungguhnya seluruh orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat bagaikan semut yang diinjak-injak manusia.” 

Keenam, menghadiri majlis ilmu dan program katibah.

Dengan senantiasa menghadiri majlis-majlis ilmu dan program katibah khususnya yang membicarakan penyakit-penyakit hati dan cara mengatasinya, akan dapat membantu kita dalam membersihkan hati dan menjaganya dari mendapat penyakit ujub.

Ketujuh, menziarahi mereka yang sedang menghadapi sakaratul maut serta ziaarah kubur.

Menziarahi orang-orang yang tengah menderita sakit, terutama yang sedang menghadapi  sakaratul maut, kemudian menyaksikan serta bertafakur bagaimana mereka akhirnya meninggal dunia, kemudian di mandikan, dikafankan, dan ditanam, akan memberikan rawatan yang cukup baik terhadap sifat ujub ini. Begitu juga apabila kita selalu melakukan ziarah kubur akan mentarbiah hati kita supaya meninggalkan sifat ujub ini dalam diri kita kerana sifat ujub adalah merupakan penyakit-penyakit rohani.

Kedelapan, mencontoh kehidupan para ulama salaf.

Kita harus senantiasa mencontoh kehidupan para sahabat Nabi SAW, para ulama salaf, ulama tasauf terutama cara-cara yang mereka lakukan untuk mengatasi sikap ujub yang muncul pada diri mereka. Dengan mengetahui contoh-contoh dari mereka akan membawa kita kepada keinginan untuk mengikuti dan beramal dengan sifat yang mulia ini.

Kesembilan, berlatih menolaknya denagn membantu orang lain yang dalam kesusahan dan banyakkan berzikir dan beristighfar.

Kita harus senantiasa berlatih menolak atau membunuh sikap perilaku ujub yang kerap bersemayam dalam diri kita, kemudian meletakkannya pada tempat yang benar.Misalnya, dengan memaksakan diri untuk senantiasa berusaha menolong sahabat yang sedang dilanda kesusahan atau orang-orang yang sedang mengalami penderitaan, seperti yang banyak digambarkan dalam kehidupan para ulama salaf.

Sentiasa berzikir dan beristighfar kerana hati yang sentiasa mengingati Allah SWT dan bertaubat akan takut kepada sifat ujub, riak dan takbur. Dengan beristighfar juga akan mensucikan titik-titik hitam yang melekat pada hati yang melakukan dosa atau maksiat.

Kesepuluh, senantiasa bermuhasabah, sebelum mengerjakan sesuatu.

Perlulah bermuhasabah terlebih dahulu atau berfikir dengan tenang dan menimbangkan baik buruknya sesuatu perkara barulah kita melakukannya, tujuannya adalah untuk mengelakkan terjadinya perasaan ujub dan terhindar daripada sifat mazmumah ini.

Bahaya Sifat Ujub

Sifat ujub membawa akibat buruk dan menyeret kepada kehancuran, baik bagi pelakunya maupun bagi amal perbuatannya. Terdapat enam perkara bahaya sifat ujud. Perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Membatalkan pahala.

Seseorang yang merasa ujub dengan amal kebajikannya, maka pahalanya akan gugur dan amalannya akan sia-sia. Kerana Allah tidak akan menerima amalan kebajikan sedikitpun kecuali dengan ikhlas kerana-Nya. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri)," (Hadis Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

Kedua : Menyebabkan murka Allah .

Nabi SAW bersabda maksudnya :  "Seseorang yang menyesali dosanya, maka ia menanti rahmat Allah. Sedang seseorang yang merasa ujub, maka ia menanti murka Allah." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Perasaan ujub menyebabkan murka Allh, kerana ujub telah mengingkari karunia Allah yang seharusnya kita syukuri.

Ketiga : Terjerumus ke dalam sikap terperdaya kehebatan diri sendiri dan takabur.

Orang yang kagum pada diri sendiri akan lupa melakukan muhasabah diri. Bersamaan dengan perjalanan waktu, hal itu akan menjadi penyakit hatinya. Pada akhirnya ia terbiasa meremehkan orang lain atau merasa dirinya lebih tinggi daripada orang lain dan tidak mau menghormati orang lain. Itulah yang disebut takabur. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat perasaan sombong meskipun hanya sebesar biji sawi." (Hadis Riwayat Nasa'i)

Keempat : Menyebabkan sentiada mengikut hawa nafsu dan melupaka dosa-dosa.

Seseorang yang mempunyai perasaan ujub akan selalu menilai dirinya baik dan tidak pernah menilai dirinya buruk dan serba kekurangan, sehingga ia selalu mengikut keinginan hawa nafsunya dan tidak merasa kalau dirinya telah berbuat dosa. Nabi SAW bersabda maksudnya, "Andaikan kalian tidak pernah berbuat dosa sedikitpun, pasti aku khawatir kalau kalian berbuat dosa yang lebih besar, yaitu perasaan ujub." (Hadis Riwayat Al Bazzar).

Kelima : Menyebabkan orang lain membenci pelakunya.

Pada umumnya, orang tidak suka terhadap orang yang membanggakan diri, mengagumi diri sendiri dan sombong. Oleh kerana itu, orang yang ujub tidak akan banyak sahabatnya, bahkan ia akan dibenci meskipun luas ilmunya dan hebat kedudukannya. Syeikh Mustofa As Sibai berkata, "Separuh kepandaian yang disertai tawaduk lebih disenangi oleh orang ramai dan lebih bermanfaat bagi mereka daripada kepandaian yang sempurna yang disertai takbur."

Keenam : Menyebabkan su'ul khatimah dan kerugian di akhirat.

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyebut-nyebut kembali pemberiannya, seorang yang durhaka, dan meminum minuman keras." (Hadis Riwayat Nasa'i)

Orang yang mempunyai sifat ujub biasanya suka menyebut-nyebut kembali sesuatu yang sudah diberikan.

Saidina Umar r.a pernah berkata,"Siapapun yang mengakui dirinya berilmu, maka ia seorang yang bodoh dan siapapun yang mengaku dirinya akan masuk syurga, maka ia akan masuk neraka."

Qatadah berkata, "Barangsiapa yang diberi kelebihan harta, atau kecantikan, atau ilmu, atau pakaian, kemudian ia tidak bersikap tawaduk, maka semua itu akan berakibat buruk baginya pada hari kiamat.

Sahabat yang dikasihi,
Andaikata kalian  membenarkan walau sedikit perasaan ujub menyinggah hati, ia akan mula merebak sebagaimana merebaknya api dari membakar secebis kain dan akhirnya menghanguskan sebuah rumah. Hatimu akan terbakar, menjadi hitam dan mengundang pelbagai sifat-sifat hitam yang lain, seperti sombong, bongkak, iri hati, dengki, khianat-mengkhianati dan sebagainya.

Hakikatnya, manusia tidak layak sedikit pun untuk merasa ujub kerana apa sahaja kebaikan yang ada itu datang dariNya, dan kembalilah kepada Allah jua segala pujian dan rasa kekaguman itu. Senantiasalah berhati-hati agar hati tidak dihinggapi penyakit ujub, agar hati dapat dipelihara sebaik mungkin dari sebarang anasir-anasir yang bakal menggelapkannya.






No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML