Thursday, February 27, 2014

ISLAM

Beramal Untuk Islam Adalah Satu Kewajipan.

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang muslim mukmin kita perlulah beramal untuk Islam dalam erti kata sebenarnya. Dalam buku tulisan al-Ustaz Fathi Yakan bertajuk; "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" telah menghuraikan secara jelas dan lengkap mengenai kewajipan beramal untuk Islam.

Terdapat tiga sebab kenapa kita perlu beramal untuk Islam iaitu :
1. Untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam,
2. Melahirkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam
3. Memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini.

Menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.

Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:

Pertama : Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda’).

Kedua : Wajib dari Sudut Hukum.

Ketiga : Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).

Keempat : Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.

Kelima : Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.

Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda’).

Beramal atau bekerja untuk Islam (menegakkan seluruh ajaran) pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia, bermula dari zaman para Nabi dan Rasul hingga hari kiamat.

Dalil berdasarkan Al-Quran:

Dan Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." 
(Surah Al-Asr, Ayat: 1 – 3).

Dan firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya". (Surah Al-Maaidah, Ayat: 67).

Dan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk (Surah Al-Baqarah, Ayat: 159).
Sabda Rasullallah SAW yang bermaksud : “Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan – kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi”
(Hadis riwayat Tirmizi).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: 'Perintahlah (manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang makruf (yang baik) dan cegahlah mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu Aku tidak lagi menerimanya dan kamu memohon pertolongan lalu Aku tidak menolong kamu lagi ' . ”
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Kedua: Wajib dari Sudut Hukum.

Beramal untuk Islam dari sudut hukum adalah wajib kerana syariat Allah tidak akan berjalan di atas muka bumi  ini tanpanya. Dunia sekarang semakin rosak binasa, dan menjadi tanggungjawab kita menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan

Firman Allah SWT maksudnya : "Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya."
(Surah An-Nisa’, Ayat: 65).

Begitu juga firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir. (Surah Al-Maaidah, Ayat: 44).

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."
(Al-Maaidah, Ayat: 45).

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq."
(Surah Al-Maaidah, Ayat: 47).

Sebahagian besar dari negara-negara Islam, kalau pun tidak dapat dikatakan seluruhnya diperintah oleh sistem-sistem ciptaan manusia yang merupakan campur aduk dari sistem undang-undang Rumani, Yunan, Perancis dan sebagainya. Demikian juga sistem ekonomi yang menguasai negara-negara tersebut adalah sistem ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme. 

Ini adalah penyebab utama yang mendesak umat Islam supaya menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliah dalam bentuk seperti ini dan kewajipan mengembalikan kehidupan Islam adalah menjadi fardu ain ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali ke pangkuan Islam.

Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).

Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam.

Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.

Kita dapati banyak negara-negara (Umat Islam) yang mengadu dan merintih dengan penuh penderitaan kerana dikuasai oleh  orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestine, Kashmir, Eitrea, Filipina, Thailand dan lain-lain.

Manakala beberapa negara lain pula menderita kerana cengkaman kuasa golongan minoriti yang berniat jahat ke atas umat Islam, mereka memerintahkan Umat Islam dengan kekuatan besi dan api.

Kita dapati juga beberapa bahagian dari negara Umat Islam yang lain mengadu mengenai penderitaan mereka yang disebabkan oleh kekuasaan parti-parti puak kiri (yang terdiri dari sosialis dan komunis) atau puak kanan (yang berkefahaman kapitalis) dalam negara mereka. Begitu juga keadaan hidup di beberapa tempat yang lain yang berada di dalam suasana pertumpahan darah yang hebat hasil dari perebutan kuasa di antara kekuatan puak kiri dan puak kanan.

Selain dari hal-hal yang tersebut di atas, sebenarnya betapa perlunya amal Islami sekalipun secara darurat, dari menyahut cabaran-cabaran dari dalam yang berupa kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong musuh Islam. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata."
(Surah Al-Anfaal, Ayat: 39).

Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.

Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.

Firman Allah SWT yang  bermaksud: "Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri."
( Surah Maryam, Ayat: 95).

Firman Allah lagi bermaksud: "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu."
(Surah Al-Israa’, Ayat: 7).

Firman Allah lagi bermaksud: "Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
(Surah Al-An’aam, Ayat: 164)

Firman Allah lagi bermaksud: "Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri."
(Surah Al-’Ankabuut, Ayat: 6).

Supaya orang lain itu semuanya turut serta dalam kerja-kerjanya membina masyarakat dan memakmurinya iaitu dengan membina kehidupan masyarakat atas dasar kebenaran (Al-Haq) dan memakmurkan dengan kebaikan, maka Islam telah menentukan ke atas setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan mereka untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selama mana insan itu berada dalam keadaan baligh, akal yang sihat dan ada kemampuan. Dari pengorbanan seperti ini akan menjadikan masyarakat Islam itu sebagai sel yang hidup dan bernyawa dalam badan. Setiap individu dalam masyarakat ini akan memberikan sesuatu malah mereka berlumba-lumba untuk berkorban.

Dari kenyataan di atas jelaslah bahawa kewajipan beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam oleh individu adalah sama seperti kewajipan-kewajipan syarak yang lain iaitu ia adalah satu kewajipan Islam.

Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam adalah kewajipan individu (fardi) dari sudut ini maka ia juga adalah satu kewajipan secara jama’ie (organisasi) apabila dilihat dari sudut tanggungjawab gerakan dan dari sudut perlaksanaannya. Kenyataan ini dibuktikan oleh realiti-realiti yang berlaku dan keadaan-keadaan yang pada dasarnya tidak dapat dipertikaikan lagi.

Di antara realiti-realiti tersebut ialah:

1. Sebenarnya taklif atau tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh orang perseorangan kerana matlamat amal Islami adalah untuk meruntuhkan jahiliah hingga ke akar umbinya lalu di atas runtuhan itulah ditegakkan Islam. Tugas yang berat ini menurut pengorbanan, kemampuan dan kesanggupan yang tidak mampu dilakukan secara perseorangan bahkan tugas ini tidak mampu dipikul sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala penderitaan. Tanggungjawab ini hanya mampu dipikul oleh gerakan yang tersusun, yang memiliki kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi jahiliah yang wujud.

2. Sesungguhnya usaha kerja Rasulullah SAW dalam rangka menghadapi serangan jahiliah dan kemudiannya menegakkan masyarakat Islam serta mengembalikan kehidupan mengikut lunas-lunas Islam merupakan dalil dan bukti bekerja secara berjemaah untuk menegakkan Islam adalah wajib. Oleh yang demikian Rasulullah SAW tidak menggunakan cara bekerja secara individu di dalam bertindak, malah sejak dari awal-awal lagi baginda begitu mengambil berat kepada usaha-usaha menubuhkan jemaah dengan memilih anasir-anasir pembinaannya dangan teliti. Kemudian baginda SAW  membentuk dan membersihkan mereka sehingga menjadi satu kekuatan dalam proses perubahan yang baginda SAW  lakukan.

Inilah yang telah dibuktikan oleh perjalanan sirah Rasulullah SAW  dalam setiap peringkat dan lapangan.

3. Selain dari itu amal dan gerak kerja untuk menegakkan Islam dipenuhi dengan halangan ranjau dan duri, ujian dan cubaan. Halangan-halangan yang menunggu di jalannya sangatlah banyak. Kuasa-kuasa asing yang saban waktu menunggu kesempatan memukul umatnya juga adalah banyak. Semua cabaran-cabaran ini menuntut kewujudan sebuah tanzim haraki (penyusunan gerakan jemaah) yang menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti untuk menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta kemungkinan-kemungkinan yang mendatang.

Dari ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW  terdapat banyak dalil-dalil yang secara nyata menunjukkan beramal secara berjemaah yang kemas tersusun untuk menegakkan Islam adalah merupakan satu perkara penting.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."
(Surah Al-Maaidah, Ayat: 2).

Kelima: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.

1. Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab.

Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan merekyang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk."
(Surah Al-Ankabuut, Ayat: 6).

Allah SWT juga berfirman bermaksud: "Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."
(Surah Muhammad, Ayat: 38).

2. Mereka juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana pegangan mereka kepada Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya tidak bersama Islam (sama seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu). Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan dengan mereka menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dan terus kekal dalam jemaah yang berkenaan. Sesiapa yang mengasingkan diri dia akan keseorangan di dalam azab neraka. Sesiapa yang menyatukan dirinya secara benar dengan kumpulan tersebut bererti dia telah bergabung dengan nasab keturunan yang mulia mengikat diri dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang mendapat nikmat di sisi Allah SWT.

3. Para petugas amal Islami juga mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dengan jemaah adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya)”.

Masyarakat yang dipenuhi dengan fitnah tidak ubah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau tidak terjejas dengan kesan-kesan kotoran masyarakat tersebut sekiranya tidak menerima peringatan, nasihat dan ingat memperingati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman." (Surah Az-Zaariyaat, Ayat: 55).

Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
(Surah Al-Asr, Ayat: 1 – 3).

Oleh yang demikian mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman. Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Tuhan yang Maha Pengasih dan terus hidup bersama mereka buat selama-lamanya.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."
(Surah Al-Kahfi, Ayat: 28).

4. Para petugas amal Islami juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana Allah dan berjihad pada jalannya. Mereka juga mesti memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang paling jauh, penuh dengan kesukaran. 
Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini manakala mereka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang menarik syahwat.

Sahabat yang dimuliakan,
Jalan ini merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, mereka yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup. Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan wang ringgit dan harta benda, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja sedangkan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ia tidak mengerti (kedudukan yang sebenarnya) dan jalan ini juga tidak sanggup dilalui oleh mereka yang tidak bersedia untuk tunduk kepada keputusan jemaah dan tidak sanggup pula beriltizam dengan pandangan-pandangan jemaah.

Sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri, jalan kerahmatan dan kemuliaan. Jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan dan kehormatan dan jalan kebenaran dan keikhlasan. Sesungguhnya jalan yang mempunyai sifat-sifat seperti ini tidak akan sanggup dilalui melainkan oleh orang-orang mukmin yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah yang Maha Esa, yang menggantungkan harapan dan pertolongan kepadanya.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." 
(Surah At-Talaaq, Ayat: 126).

Allah SWT berfirman lagi bermaksud: "Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar."
(Surah Al-Fath, Ayat: 10).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita beramal dengan amalan Islam samaada secara individu, keluarga, masyarakat dan berjemaah. Kita tidak boleh hidup hanya mementingkan diri kita sendiri tanpa memikirkan kewajipan dan tanggungjawab untuk mengembalikan Islam ditempatnya yang sebenarnya. Hanya mereka yang berjiwa besar dan yakin dengan janji-janji Allah SWT sahaja yang akan mendapat rahmat-Nya dan kejayaan disisi Allah SWT samaada di dunia maupun di hari akhirat.

Kembalilah Kepada Islam Untuk Mencapai Kebahagiaan Sebenar.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama ciptaan Allah SWT yang sesuai sepanjang zaman sehingga kehari kiamat. Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai cara hidupnya maka dia akan sesat dan akan dimasukkan kedalam neraka Jahanam.

Islam telah lengkap dan sempurna, Allah SWT. menyatakan dalam surat Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud : "Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Aku sempurnakan nikmat-Ku, dan Aku redha Islam sebagai agama bagimu sekalian…."

Rasulullah SAW. menjelaskan bahwa risalah yang dibawanya adalah satu kesatuan dengan risalah yang dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya. “Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku ibarat orang yang membangun sebuah rumah. Ia memperindah dan mempercantik rumah itu, kecuali letak batu bata pada salah satu sisi bangunannya. Kemudian manusia mengelilingi dan mengagumi rumah itu, lalu mengatakan: ‘Alangkah indah jika batu ini dipasang!’ Aku adalah batu bata tersebut dan aku adalah penutup para nabi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita sebagai manusia hidup di dunia ini sewajarnya dapat memahami persoalan bagi diri kita, iaitu apa erti hidup ini? Hidup ini untuk siapa dan untuk apa? Dan adakah hidup ini sudah bermakna?

Persoalan tersebut sering menjelma dalam fikiran manusia. Antaranya sedar ataupun tidak, kita selalunya bertanya kepada diri kita sendiri tentang persoalan yang tidak kunjung selesai ini. Ada masa dan waktunya kita hilang jawapan dan pastinya kita akan terus mencari jawapan untuk menyempurnakan keyakinan kita terhadap hidup ini.

Hal-hal ini terjadi dengan jelas jika direnungkan matlamat hidup manusia di zaman ini. Manusia di zaman ini terlalu maju dalam mencipta sesuatu benda bagi keperluannya. Ini adalah suatu perkembangan yang amat baik. Kekaguman mausia meneroka alam ini dan terlalu asyik hingga boleh menyebabkan mereka lupa akan tujuan hidup dan mereka lupa kepada hidup mati itu sendiri. Manusia cuba mencipta pelbagai kemajuan, tetapi mereka lupa kepada tuntutan hati kecilnya sendiri. Manusia terus membuat pelbagai perubahan untuk mencari kepuasan hidup. Sedangkan kepuasan hidup itu tidak juga kunjung tiba, sebaliknya mereka bertambah kecewa, dalam kekecewaan itu, mereka terus mencari sesuatu yang lain untuk mengubah penyakit kekecewaan itu, mungkin manusia tidak menyedari bahawa kekecewaan itu adalah cetusan dari dalam dirinya sendiri, iaitu cetusan rohani bukannya penyakit lahiriah.

Maka dengan itu akaibat dari kejahilan mengenali cetusan-cetusan rohani itu, manusia gagal mencari ubat ataupun penawar yang sebenarnya untuk menyembuhkan penyakit kecewa mereka. Sebahagian daripada mereka itu telah memilih pelbagai ubat, maka banyaklah yang tersalah pilih. Hasil dari tersalah pilih itu, maka berlakulah pelbagai penipuan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kepentingan diri, rasuah dan lain-lain lagi. Ini semua adalah hasil daripada kekecewaan dan ingin mencari kepuasan hidup di dunia.

Dari Ibn Umar r.a., katanya : " Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ' Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ' Maka Ibn Umar berkata : "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati. " 

Sahabat yang dimuliakan,
Perlu diingat bahawa tugas dan fungsi kehidupan manusia untuk mencapai kepuasan hidup sebenar  di muka bumi ini terdapat dua faktor iaitu  : 

Pertama : Sebagai hamba Allah SWT 

Kedua : Sebagai khalifah Allah SWT. 

Huraiannya :

Pertama : Sebagai hamba Allah SWT 

Firman Allah SWT maksudnya : "Tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepadaku." (Surah adz- Zaariat ayat 56)

Dalam kehidupan masyarakat kita di mana terdapat pelbagai golongan lapisan masyarakat antaranya golongan yang kaya dan miskin, yang berkuasa dan yang lemah, yang mempunyai kepintaran dan yang sederhana dan sebagainya, kita perlu menerima hakikat bahawa sesetengah daripada kita berlumba-lumba agar tidak ketinggalan daripada orang lain.

Tidak ada manusia yang rela dirinya dipandang rendah dan hina oleh orang lain. Setiap daripada kita mahu dipuji, disanjung dan dipuja kerana ia telah menjadi sifat semulajadi manusia. Malah kita seolah-olah tidak boleh lari daripada mencari kepentingan diri, moral dan maruah dalam mengejar citi-cita dan perjuangan hidup.

Dalam Islam. Kepentingan diri, moral dan maruah semata-mata tidak boleh dijadikan asas atau titik tolak dalam perjuangan hidup ini. Sebaliknya, matlamat hidup seseorang muslim yang sebenar ialah ia hendaklah meletakkan dirinya untuk memperhambakan diri kepada Allah serta mencari keredhaanNya, sesuai dengan ikrar yang kita lahirkan pada setiap kami mula mengerjakan sembahyang.

Maksudnya : "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekelian alam"

Dalam erti kata yang lain, kita tidak dilahirkan semata-mata untuk membolot harta kekayaan di dunia ini. Kita tidak dilahirkan semata-mata mengejar pangkat dan kemasyuran. Kita tidak dilahirkan untuk berhibur dan bersenang-lenang dan kita tidak dilahirkan untuk mengikut runtunan hawa nafsu dan mencari kepuasan hidup. Sebagai seorang hamba perlulah taat dan patuh kepada Tuhan yang Maha Agung dan Maha Bijaksana dan melaksanakan semua yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan semua yang dilarang.

Dan begitu seterusnya sebagimana Allah SWT sebutkan dalam ayat-ayat yang lain dalam al-Quranul Karim yang menunjukkan bahwasanya hikmah dari Allah ciptakan  jin dan manusia adalah untuk beribadah kepadaNya.

Sedangkan pengertian ibadah adalah ketundukan kepada Allah SWT dengan penuh rasa cinta, pengagungan dengan melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dengan cara sebagaimana yang Allah ‘Azza wa Jalla ajarkan dalam syari’at yang dibawa oleh utusanNya.

Allah SWT berfirman :

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ

Maksudnya : “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus (jauh dari syirik)”. 
(Surah al-Bayyinah ayat 5)

Kedua : Sebagai khalifah Allah SWT. 

Persoalannya mengapakah manusia di dunia ini diberi kepercayaan untuk mentadir alam ini dan diberi takrif khalifah atau penguasa? Tanggungjawab manusia sebagai khalifah ialah untuk mentadbir alam dengan sebaik-baiknya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah (pengganti, pemimpin atau penguasa) dibumi' Mereka berkata; Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih, memuji-Mu dan mensucikan nama-Mu? Dia berfirman, 'Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui'." (Surah al-Baqarah ayat 30)

Ulama telah menyatakan bahawa tegaknya Khilafah Islamiyah adalah janji Allah SWT kepada orang-orang mukmin. Al-Quran telah menyebutkan janji ini (tegaknya kekhilafahan Islam) dengan jelas dan terang.

Allah SWT berfirman :"Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di antara kalian, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa" (Surah an-Nur ayat 55).

Seorang mukmin adalah orang yang layak menjadi khalifah. Seorang mukmin yang kuat akan sentiasa memelihara apa yang bermanfaat baginya di sisi Allah SWT. Ia betul-betul menjaga solat, zakat, puasa dan haji.

Menjaga apa yang bermanfaat bagi dirinya, seperti jujur, sedekah, amanah, amal makruf nahi  mungkar dan sentiasa mencari yang halal. Sentiasa mendidik isteri dan anak-anaknya dengan deen dan akidah Islam dan bersikap adil pada semua orang. Menjaga peribadinya dari mengumpat, mengadu domba, hasad dengki, iri hati, sombong dan tidak merendahkan orang lain. Sentiasa menjaga pandangannya tidak memandang yang diharamkan, sentiasa menutup aurat dan sesuatu yang lahir dari lidahnya tidak menyakiti orang lain dan tidak mendatangkan dosa.

Daripada ayat diatas, jelaslah kepada kita bahawa kuasa sebagai khalifah adalah kuasa yang dipinjamkan oleh Allah berasaskan syarat-syarat yang ditentukan oleh Allah SWT .Dengan makna yang lain, bahawa manusia hanyalah memegang amanah untuk mentadbir alam ini dan janganlah sekali-kali mengingkari apa yang telah disyaratkan oleh Allah sebagai pemegang amanah. Jika kita mematuhi syarat-syarat ini, maka sudah tentu manusia itu lebih bermakna bagi dirinya sendiri.

Dari Abu Sa'id Al-Khudry r.a dari Rasulullah SAW. bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya dunia ini adalah manis lagi hijau dipandang. Dan sesungguhnya Allah menjadikan kalian sebagai khalifah di dalamnya, maka Allah akan melihat bagaimana yang kalian perbuat. Kerananya, berhati-hatilah pada dunia dan berhati-hati kepada wanita, kerana sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani Israel itu adalah fitnah wanita."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dikasihi,
Sekiranya kedua-dua tugas  di atas berfungsi dengan sebenar-benarnya maka inilah hakikat kepuasan hidup sebenarnya. Matlamat kehidupan di dunia tidak terpisah dengan kehidupan di hari akhirat. Manusia akan berusaha bersungguh-sungguh di dunia semata-mata untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.

Sebahagian masyarakat pada hari ini, gagal melihat hidup sebagai satu kesatuan, sebaliknya mereka melihat hidup ini dari aspek-aspek tertentu sahaja. Sememangnya kita tidak boleh menafikan lagi bahawa manusia tidak berupaya mencipta hidupnya sendiri, mengapa?. Ini kerana manusia itu mempunyai sifat-sifat yang terbatas dan daya fakir yang amat terhad. Adalah amat mustahil, manusia mampu mencipta kehidupan yang lebih sempurna tanpa keizinan dan keredhaan dari Allah SWT. Oleh itu, kita sebagai manusia sewajibnya merasa insaf bahawa kita adalah ciptaan Allah SWT. Maka dengan sebab itu, sampailah masanya kita berdoa dan memohon rahmat dan keredhaan Allah SWT untuk mendapat kebahgiaan samada di dunia dan juga di hari  akhirat.

Kesimpulannya :

1. Erti hidup yang sebenar ialah mentaati segala titah perintah llah Allah SWT dan melakukannya. Sekaligus menjauhi segala larangan Allah dan tidak sekali-sekali melakukan kederhakaan terhadap-Nya.

2. Tujuan hidup ialah semata-mata untuk mencari keredhaan dan keampunan Allah SWT.

3. Hidup akan bermakna jika mendapat rahmat dan hidayah Allah yang boleh membawa kejayaan yang sebenar di dunia dan akhirat.

Terdapat empat perkara untuk menjadikan hidup ini lebih positif dan tenang apabila mendapat ujian daripada Allah SWT.

1. Di dalam kehidupan kita di dunia ini kebahagiaan dan ketenangan ada di mana-mana. Walau tidak dapat dinafikan dalam kehidupan yang kita lalui akan pasti ada onak dan ranjau yang berduri yang perlu kita tempuh. pelbagai perasaan yang kita rasa, sedih, kecewa, berputus asa, bimbang dan sebagainya. Namun kita harus melihat hidup ini sebagai satu pengembaraan yang mengasyikkan, penuh peristiwa-peristiwa yang berwarna warni dan bermakna. Kedamaian dan kepuasan hidup sebenarnya ada di mana-mana dan dalam diri setiap daripada kita. Selalu mengingati Allah SWT dengan berzikir dan berdoa kepada-Nya.

2. Setiap ujian yang kita hadapi di dalam kehidupan kita, jangan sekali- kali kita berpatah hati, berdukacita dan hilang semangat untuk meneruskan hidup penuh ceria dan penuh harapan. Ujian yang Allah SWT turunkan kepada kita tidak sama dan datang dalam bermacam cara. Adakalanya kita disulitkan dengan penganiayaan dan tipu daya majikan, teman-teman begitu juga dengan orang yang ingin memusuhi kita. Walau apapun bentuk ujian yang kita tempuhi, kita perlu yakin bahawa ujian-ujian Allah SWT tersebut adalah menguji sejauh mana kesabaran serta ketabahan dan kesetiaan kita kepadaNya. Malahan sebenarnya ujian yang Allah berikan kepada kita menjadikan kita terdorong untuk lebih dekat lagi kepadaNya.Jika kita bersabar dan redha dengan Allah SWT maka besar ganjaran pahala yang akan kita terima dan ianya juga penghapusan dosa-dosa kita.

3. Setiap kepahitan yang kita tempuh di dalam hidup ini ada kemanisannya. Asalkan kita tidak mudah patah semangat dan berikhtiar serta sabar dalam membina kehidupan yang lebih baik, ceria dan cemerlang walaupun terpaksa menempuhi pelbagai rintangan. Jika kita lihat dengan pandangan mata hati, bahawa setiap ujian yang kita lalui itu sebenarnya menandakan bahawa Allah sayangkan kita. Allah tidak mahu melihat kita terus jauh dari pandanganNya. Yakinlah akan janji-janji Allah SWT bahawa setiap kesusahan itu ada kebaikan dan kebahagiaan. Semuanya mengandungi hikmah yang banyak di sediakan oleh Allah SWT kepada kita.

4. Kita harus memberi peluang yang seadil-adilnya kepada diri kita untuk mencapai destinasi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup kita. Cukuplah kita menzalimi diri kita pada masa lalu dengan segala tanggapan negatif terhadap diri dan keadaan hidup kita. Kita harus bermula hari ini, dimana kita jangan sia-siakan hidup kita dengan perasaan sedih, kecewa malah kita harus ceriakan hidup kita selagi nafas masih ada, selagi nyawa dikandung badan. Kita masih belum terlambat untuk mengubah hidup kita ke arah yang lebih tenang yakin dan ceria. Kita perlu jadikan diri kita memiliki pandangan hidup yang baru serta tidak takut atau bimbang menghadapi hari esok. Semuanya kerana kita tahu bahawa Allah SWT sentiasa bersama-sama kita dan mengkabulkan semua doa yang kita minta.

Tidak Ada Paksaan Dalam Beragama.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 256)

Apakah tafsiran ayat di atas yang mengatakan tidak ada paksaan dalam beragama?

Rasulullah SAW datang ke Madinah berhijrah daripada Mekkah untuk mencari tempat yang subur dalam dakwah baginda menyebarkan Islam dan mengajak manusia supay kembali beriman kepada Allah SWT. Baginda telah membina Daulah Islamiah Madinah dan membuat perjanjian dengan penduduk kota tersebut atau yang lebih dikenal dengan Piagam Madinah.

Salah satu perkara yang menjadi persetujuan dalam piagam tersebut adalah kebebasan beragama bagi masing-masing individu. Tidak pernah Rasulullah SAW memaksa penduduk Madinah yang beragama Yahudi pada ketika itu untuk memeluk Islam. Bahkan yang terjadi baginda memerintahkan para sahabatnya untuk menghormati hak-hak mereka apalagi sebagai jiran tetangga.

Bahkan semasa perang pun, Islam melarang kaum muslimin untuk memaksa mereka agar memeluk agama Islam. Kepada mereka yang menjadi musuh, Islam memberikan tiga pilihan. Tiga perkara tersebut selalu baginda sampaikan kepada ketua tentera yang akan menuju ke medan Jihad.

Baginda memberi nasihat kepada mereka:

Pertama. Serulah musuh kalian untuk memeluk Islam, jika mereka menerima maka janganlah kalian memerangi mereka.

Kedua : Jika mereka menolak untuk masuk Islam, mintalah kepada mereka untuk membayar jizyah sebagai jaminan bagi keselamatan mereka. Jika mereka mahu menerima hal tersebut, maka tahanlah diri kalian dan janganlah memerangi mereka.

Ketiga : Jika mereka menolak untuk membayar jizyah, maka perangilah mereka.

Seorang muslim harus meyakini dengan sepenuh hati bahawa agama Islam adalah agama yang paling benar dan yang paling diredai oleh Allah SWT sebagaimana telah ditegaskan dalam Al-Quran, firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah hanyalah Islam” (Surah Ali Imran ayat 19)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran ayat 85)

Akan tetapi keyakinan tersebut tidak boleh menjadi alasan seorang muslim untuk memaksa orang yang memeluk agama lain untuk masuk Islam. Islam sangat menghargai toleransi beragama yang diwujudkan dengan kebebasan setiap orang untuk mempercayai dan menjalankan agama masing-masing.Berdakwah kepada mereka digalakan dengan membawa akhlak yang mulia kerana taufik dan hidayah itu adalah hak Allah SWT.

Oleh kerana itu, ketika terjadi penaklukan kota al-Alqsa pada masa Khalifah Umar bin Khattab r.a. beliau tidak memerintahkan para tenteranya untuk mengusir kaum Nasrani dari negeri tersebut, justru khalifah tersebut memberikan kebebasan kepada mereka untuk menjalankan ajaran agama mereka. Oleh sebab itu, tidak ada pertentangan antara dua ayat tersebut.

Kerana ayat dalam surat Ali Imran menjelaskan tentang kebenaran agama Islam dan kewajiban setiap muslim untuk meyakininya. Sedangkan ayat dalam surat al-Baqarah menjelaskan tentang sikap kita terhadap orang yang memiliki kepercayaan yang berbeda dengan kita.

Sahabat yang dimuliakan,
Walau bagimana pun tidak ada paksaan dalam beragama tetapi Islam amat tegas menjaga akidah umat Islam supaya tidak murtad atau dimurtadkan oleh agama lain. Terdapat hukum hudud iaitu hukum bunuh bagi sesiapa yang cuba murtad setelah mereka masuk Islam (setelah diberi peluang untuk bertaubat).

Murtad adalah bermaksud berpaling dari agama Islam kepada agama kufur samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad.

Murtad adalah satu perbuatan yang paling keji dan hina . Paling dikutuk oleh Allah SWT kerana sesiapa yang murtad akan mendapat balasan neraka Jahanam mereka kekal di dalamnya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya."
(Surah Al-Baqarah ayat 217)

Hukum asal bagi orang yang murtad ialah dibunuh. Ini berdasarkan kepada hujah dan dalil hadis Nabi SAW. yang bermaksud, "Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia." (Hadis Riwayat Bukhari).

Hukum bunuh ini wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad samaada lelaki ataupun perempuan, tua ataupun muda tanpa sebarang perbedzaan. Sebelum hukuman dijalankan mereka yang murtad masih diberi peluang beberapa hari untuk bertaubat dan kembali kepada akidah dan ajaran Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu umat Islam perlulah memahami sesungguhnya kebebasan dalam Islam ada hadnya bukan boleh menukar agama seperti menukar baju. Untuk mengatasi supaya gejala murtad (riddah) tidak berlaku dikalangan umat Islam, semua pihak perlulah menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah. Kerja-kerja amar makruf nahi mugkar perlulah berterusan dan tidak perlu bermusim. Ibu bapa, Jabatan Agama, JAKIM, PERKIM, Jemaah Islam, NGO Islam, Persatuan Islam dan Pendakwah Bebas perlulah bekerjasama membenteras gejala sosial dan gejala murtad berlaku dikalangan umat Islam.

Setiap pemimpin Islam perlu berhati-hati dalam memberi komen atau pandangan mengenai "kebebasan beragama" supaya tidak dikelirukan atau dimanipulasikan oleh orang-orang fasik atau akbar arus perdana yang suka menabur fitnah dan cuba memesongkan fakta dan ucapan seseorang demi kepentingan pihak tertentu.

Kenapa kita perlu kepada dakwah dan tarbiah berterusan dan setiap individu muslim bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja mulia ini ? Ini adalah kerana suasana sekarang ini cukup merbahaya kerana terlalu banyak faktor-faktor yang boleh merosakkan iman dan akidah seseorang.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu semua pemimpin umat Islam janganlah membiarkan sesiapa sahaja dikalangan orang bukan Islam yang cuba merendahkan hukum-hukum Islam dan mengambil sikap membisu kerana kepentingan politik semata-mata. Perlu diingat semua kalian akan ditanya nanti di akhirat apa yang telah kalian lakukan ketika Islam dihina dan diperlekehkan oleh orang kafir yang membenci terhadap hukum-hukum Allah SWT.Sekurang-kurangnya kalian bangun berdemontrasi aman untuk meyatakan kemarahan kalian sebagai umat Islam yang bermaruah.

Islam Dan Amalan Islam

Sahabat yang dirahmati Allah,


Syukur kita ke hadrat Allah SWT, segala puji bagi Allah Tuhan Sekelian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga, sahabat-sahabatnya serta pengikut-pengikutnya sepanjang zaman hingga ke akhir zaman.

Umat Islam dewasa ini ramai telah meninggalkan amalan Islam, ilmu yang dimiliki hanya difikiran sahaja tetapi dari segi praktik kehidupan mengambil cara hidup selain cara hidup Islam.
Sebagaimana yang telah sama-sama kita fahami tentang ilmu-ilmu yang bermanafaat dan seumpamanya.  Marilah kita lihat beberapa kelebihan orang-orang yang berilmu adalah :-
1. Amalnya diterima oleh Allah s.w.t. (Imu adalah imam bagi amal).
2. Menjadi kekasih Allah.
3. Menjadi pewaris nabi-nabi.
4. Menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
5. Menghampiri darjat nabi-nabi kerana nabi-nabi adalah orang-orang yang berilmu.
6. Disihatkan tubuh badan oleh Allah.
7. Dimudahkan rezekinya oleh Allah (mendapat rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka-sangka).
8. Dipanjangkan umur oleh Allah.
9. Mendapat 500 darjat.
10. Diberi izin oleh Allah untuk memberi syafaat pada Hari Qiamat.
Permasalahan umat Islam pada hari ini semakin membimbangkan kita. Ini bagi orang-orang yang mengambil berat tentang perkembangan Islam terutamanya di masa kini. Bagi mereka yang mementingkan diri sendiri mereka tidak ambil peduli apa yang telah berlaku di dalam masyarakat kita.
Kita kena juga bagi peringatan kepada mereka yang sebegini bahawa mereka tidak termasuk ke dalam golongan umat Nabi Muhammad s.a.w., bagi sesiapa yang tidak mengasihi saudara-saudara Islamnya yang lain seperti tidak mengambil tahu tentang mereka, tidak membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, dan sebagainya.
 
Ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Tidak beriman seseorang kamu sehingga kamu mengasihi saudara-saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri."

Sahabat yang dimuliakan,
Persoalan yang dapat kita timbulkan ialah mengapa pada hari ini umat Islam memandang mudah tentang Islam dan tidak mahu lagi beramal dengan amalan-amalan Islam?
Pertama, mengapa kita begitu mengambil mudah dengan Islam? Satu sebabnya ialah kita memperolehi Islam dengan cara yang terlalu mudah dan tidak menempuh kesusahan sedikit pun, iaitu hanya melalui keturunan (melalui kedua ibu bapa kita yang Islam). Ibu bapa kita Islam, maka secara automatik kita tergolong sebagai orang Islam sejak kita dilahirkan. Kalau tidak sudah tentu kita juga tidak berpeluang untuk memperolehi nikmat Islam.

Kita tidak menempuh kepayahan dan kesusahan sepertimana orang-orang dahulu memperolehi Islam, iaitu melalui peperangan dan pertumpahan darah. Mereka bersusah-payah untuk memperolehi nikmat Islam, jadi mereka menghargai Islam yang diperolehi dengan sebaik-baiknya. Maka jadilah kita sebagai Islam baka (keturunan) semata-mata, tidak tahu tentang Islam.

Kita tidak belajar dan mengkaji Islam secara ilmiah dan bersungguh-sungguh. Kita belajar pun secara sambil lewa, sebagai sampingan sahaja menyebabkan kita jahil tentang segala perkara dalam agama kita sendiri.

Oleh itu bolehlah kita bahagikan Islam yang di anuti oleh masyarakat kita terbagi kepada tiga bahagian.
 
Pertama Islam Keturunan (mengikut saja Islam itu dari ibu bapa mereka)
Kedua Islam Taklid (mengikut saja ajaran Islam itu tanpa ilmu dan kefahaman)
Ketiga Islam Kefahaman Yang Sebenarnya. (memahami Islam dengan ilmu dan yakin dan mengamalkan ilmu tersebut).

Kedua, mengapa kita tidak lagi beramal atau mahu beramal dengan amalan-amalan Islam? Apakah kita dapat menerima secara rasional dan masuk akal bahawa kita orang Islam dan mengaku sebagai orang Islam tetapi tidak mahu mengambil dan mengikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Islam?
 
Apakah kita layak untuk terus menjadi orang Islam dengan tidak mengamalkan amalan-amalan Islam? Malah mengambil amalan-amalan selain Islam sebagai gantinya? Kita bukan sahaja tidak mahu beramal dengan amalan-amalan Islam, malah mengambil pula amalan-amalan bukan Islam. Kita menganggap bahawa Islam ini tidak sempurna, tidak sesuai untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman hidup.

Seolah-olahnya kita mencabar Allah s.w.t. dan mengatakan ada ajaran yang lebih baik selain daripada ajaran Islam.
 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, telah Aku cukupkan rezekiKu untuk kamu dan Aku redha Islam sebagai agama bagi kamu."
(Surah al-Maidah ayat 3)

Tidak ada kekurangan pada Islam, yang kurangnya adalah kita yang serba kekurangan tetapi merasa diri serba lengkap. Agama dipandang tidak ada harga dan nilai dalam kehidupan. Agama hanya dilihat dari satu sudut sahaja iaitu agama adalah untuk beribadat semata-mata tanpa ada kaitannya dengan aktiviti kehidupan di dunia ini.

Kalaulah benar kita tidak memerlukan agama dalam kehidupan kita, tidak perlulah Allah s.w.t mengutuskan Nabi Muhammad saw ke dunia ini. Ini ada kaitannya dengan kesan peninggalan penjajah yang pernah menjajah negara kita suatu ketika dahulu. Kejayaan penjajah yang paling berjaya adalah penjajahan akidah, penjajahan pemikiran, penjajahan sistem pemerintahan dan bukannya penjajahan negara.

Negara kita telah merdeka sejak 40 tahun yang lalu, tetapi kita belum lagi berjaya untuk memerdekakan sistem pemerintahan penjajah. Mereka tidak akan meninggalkan negara kita tanpa meninggalkan sesuatu yang mesti diwarisi oleh masyarakat di Malaysia ini, terutamanya orang-orang Islam.

Ramai di antara kita yang tidak merasakan agama adalah perlu dalam kehidupan dan ramai yang sudah tidak beramal dengan amalan-amalan Islam. Islam hanya tinggal nama sahaja, tidak lebih dari itu.

Mungkin sudah sampai masanya Islam itu akan kembali kepada asalnya. Nabi s.a.w menyatakan bahawa Islam itu pada asalnya adalah dagang, dan ia akan kembali dagang seperti asalnya. Yakni, pada zaman mula-mula Islam dahulu orang pelik tengok orang bersembahyang, mengikut sunnah Nabi s.a.w dan sebagainya. Dan ia akan kembali dagang semula seperti dahulu.

Pada hari ini ianya sudah menampakkan kebenarannya. Orang benci dan pelik melihat orang berjubah, memakai serban, memakai tudung labuh dan sebagainya lagi. Yang tak pelik kalau melihat orang tidak menutup aurat, memakai pakaian anjuran bukan Islam.

Kalau silap hari bulan, kita pun termasuk sama dengan orang-orang yang benci mengenainya, na'uzubillah. Kalau ada yang beramal dengan Islam pun tidak dengan sepenuhnya. Mana yang kita rasakan sesuai dengan nafsu kita, kita ambil dan mana yang tidak bersesuaian dengan nafsu kita, kita tinggalkan. Seolah-olah Islam ini kita yang punya.

Kononnya juga, kita ingin hidup sederhana. Inilah yang salah. Sederhana hingga akhirnya kita akan meninggalkan terus amalan-amalan Islam dan mengambil amalan-amalan lain terutamanya amalan-amalan barat sebagai ikutan. Bila ada orang atau pihak lain yang berusaha untuk menegakkan kebenaran hukum Islam dan beramal dengan amalan-amalan Islam, mereka akan dikatakan sebagai 'pelampau', 'ekstrim', 'keterlaluan' dan pelbagai tuduhan dan tohmahan, label yang sebenarnya datang dari orang-orang Yahudi dan Kristian yang tidak mahu melihat Islam yang sebenar itu muncul kembali bersinar di bumi Allah s.w.t ini. Kalau setakat Islam yang palsu dan secara 'sederhana' tidak menjadi masalah.

Sahabat yang dihormati,
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Islam bermula dagang dan akan kembali dagang. Maka berbahagilah sesiapa yang melaksanakannya semasa dagang”
(Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu marilah kita sama-sama kembali mengambil Islam sepenuhnya mengikut acuan Islam sebenarnya bukannya mengikut acuan manusia, kerana acuan manusia akan membawa kepada kesesatan dan kehancuran.

Islam Di Serang Di Segenap Segi




Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang bukan sekadar bersifat amalan ritual, tetapi Islam adalah ad-Deen atau cara hidup yang menolak sistem-sistem hidup yang batil, Islam sering mengundang rasa jelek dan kebencian di kalangan banyak pihak yang berfikiran korup.

Kalian kena berpegang teguh dengan Islam, walaupun di tempat mana kalian berada samaada sebagai pelajar, pekerja, pegawai, ahli perniagaan, pemimpin politik maupun sebagai rakyat biasa. Kalian akan di pertanggung jawabkan di hadapan Allah s.w.t. untuk merealisasikan Islam dalam kehidupan. Kalian perlu bersatu padu, membina jalinan ukuwah Islamiyah dan silaturahim dan bergerak di dalam jamaah yg kuat dan tersusun rapi.

Islam telah dihina dan diperbodohkan oleh musuh-musuh Islam disegenap sudut. Negara umat Islam telah dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dan mereka menjalankan agenda dan perancangan mereka untuk memecakbelahkan kesatuan umat Islam dengan menguasai ekonomi dan kepimpinan negara. Negara kuasa besar Amerika Syarikat telah memainkan peranan di Iraq, Afghinastan dan Pakistan kononnya untuk memerangi keganasan, hakikat sebenarnya dialah yang menjadi pengganas dengan menyerang dan membunuh umat Islam  yang tidak berdosa. Amerika juga memainkan peranan yang licik dengan mempengaruhi negara-negara umat Islam yang kaya dengan hasil minyak dan bersempadan dengan Israel untuk menyekat bantuan kemanusian kepada umat Islam di Palestin.

Dimana letaknya maruah umat Islam, hingga pemimpin-pemimpinnya sanggup menjadi agen pemusnah kepada saudara seagama dengan menafikan hak mereka untuk mendapat bantuan kemanusiaan dan hak-hak beragama dan menikmati kehidupan yang aman dan harmoni.

Menurut data yang dikeluarkan oleh  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2000 jumlah umat Islam mencecah kepada 1.902 billion. Daripada jumlah yang ramai ini musuh-musuh Islam tidak akan berdiam diri terutama puak Kristian danYahudi yang tidak akan senang dengan umat Islam selagimana umat Islam tidak mengikut agama mereka. Perancangan mereka berjalan setiap masa untuk melemahkan umat Islam. Memang kita berbangga dengan bilangan umat yang ramai, tetapi teringat juga kata-kata Rasulullah bahawa umat Islam di akhir zaman ibarat buih-buih dilaut, nampak ramai tetapi lemah dan terapung-apung dihanyut ombak. Tiada kekuatan dan mudah dipermainkan. Sebabnya, mereka cintakan dunia dan takut kepada kematian.

Akhir-akhir ini kita digemparkan dengan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ telah dibenarkan dalam penerbitan Herald The Catholic Weekly oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan dalam keputusan lisannya pada 31 hbb. Disember, 2009. Apakah motif mereka cuba mengguanakan nama 'Allah' sedangkan nama yang mulia ini tidak pernah tercatit di dalam kitab Bible mereka. Tujuannya adalah jelas untuk mencabar dan merosakkan pegangan aqidah umat Islam dengan mendatangkan kekeliruan, sedangkan mereka tahu Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mewartakan kaliah Allah hanya khusus untuk umat Islam di Malaysia dan tidak boleh di gunakan oleh agama lain.

Permusuhan dan kedengkian dihati mereka memang sentiasa membara, pernah seorang orientalis bernama Snouck Hourgrounje pernah berkata bahawa, "Untuk menghancurkan umat Islam, tidaklah perlu memerangi orang-orang Islam atau menindas mereka dengan mengerahkan kekuatan senjata. Semua ini boleh dicapai dengan mengadu domba antara kelompok mereka dengan kelompok yang lain daripada dalam masyarakat mereka sendiri. Kita tanamkan perbezaan pendapat dan tekankan pada perbezaan mazhab serta tanamkan rasa ragu-ragu dan ketidakpercayaan kepada pemimpin dan ulama-ulama mereka. Manakala anak-anak mereka kita salurkan dengan ideologi-ideologi seperti Marxisme."

Itulah sebahagian usaha Kristian dan Yahudi, yang bekerja siang dan malam dengan penuh sistematik untuk meruntuhkan aqidah Islam dengan cara mempengaruhi dan merusakkan pembinaan keluarga Muslim.

Usaha mereka berjaya. Memang ramai di kalangan orang Islam hari ini lalai dan memandang sepi pada agama. Mereka terdidik dalam satu skima pendidikan yang gagal membesarkan Allah dan gagal membina masyarakat Islam sebenar.

Kejayaan musuh-musuh Islam dalam misi mereka ketara apabila mengeksploitasi wanita-wanita Islam dalam berbagai-bagai kemudahan atau sarana hiburan dan industri melayan nafsu. Waniat-wanita Islam hari ini cenderung mengabaikan tugas mengurus rumah tangganya atau mendidik anak-anaknya supaya menjadi generasi yang kental dan pejuang kebenaran serta keadilan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah Tahrim ayat 6)

Sahabat yang dimuliakan,
Rumah-rumah umat Islam hari ini sarat dengan peralatan hiburan, seperti televisyen, radio, karoake, vedio dan cakera padat dan di dalam komputer dan telefon mudah alih pun di isi dengan lagu-lagu yang melekakan dan alat-alat berkenaan digunakan bukan untuk mendekatkan diri kepada Allah atau menambah kekuatan Islam, tetapi untuk tujuan berleka-leka dan hiburan semasa. Daripada bapa sampai ke anak-anak sanggup menghabiskan masa berhibur berjam-jam di hadapan televisyen dan vedeo atau karoake.

Masaalah umat Islam tidak lagi menjadi keprihatian, masaalah generasi yang semakin rosak dengan pelbagai gejala sosial dan maksiat bukan menjadi agenda yang harus sama-sama di atasi, tetapi dianggap tugas orang lain.

Melihat keadaan ini, usaha memberi kefahaman Islam tulen dan usaha-usaha dakwah perlu digiatkan oleh setiap orang Islam yang merasakan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk membina dan memperkuat agama mereka. Mereka tidak mahu Islam mereka sekadar pada borang atau mykad sahaja. Orang yang tidak mahu dianggap dayus apabila berhadapan dengan Allah s.w.t. nanti.

Akhir kata orang Mukmin yang hidup mulia di dunia dan akhirat adalah adalah mereka yang terus berjuang menghidupkan agama dan menyelamatkan umat, dan bukan sekadar hidup mengisi perut dan nafsu, kemudian diserang sakit, lalu mengakhiri hidup ini dengan tidak pernah memikul beban dakwah. Maka kembalilah dia menemui Tuhan dengan seribu penyesalan dan kegagalan.

Orang Mukmin Akan Menjauhkan Diri Daripada Mencaci dan Menghina Sesama Muslim


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Umat Islam dilarang daripada bergaduh, berbalah dan saling kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Sifat suka mengutuk, maki-hamun dan mencerca orang lain bukanlah sifat orang mukmin. Nabi SAW di dalam misi dakwah baginda kepada semua manusia tidak pernah menyampaikan dakwah dengan menggunakan bahasa yang kesat dengan menyerang peribadi dan menghina keturunan dan penyembahan tuhan mereka. Tetapi Nabi SAW akan mengunakan cara yang cukup hikmah, lemah lembut, berbudi bahasa dan penuh kasih sayang.


Walaupun  orang kafir cuba menghina dan mengutuk baginda di atas dakwah yang baginda jalankan, namun baginda tetap bersabar dan mengunakan cara-cara yang lembut dan memberi jawapan yang bernas dengan dalil yang kuat untuk menepis dakwaan dan penghinaan mereka. Biasanya mereka (orang-orang musrik) akan kalah berhujah dengan baginda. Ramai juga dikalangan orang kafir masuk Islam kerana tertarik dengan peribadi baginda yang mulia dan kesopanan yang tinggi.
 
Islam tidak membenarkan umatnya  mengutuk dan mendoakan orang lain agar mendapat kecelakaan. Mengutuk ini adalah satu perbuatan yang terlarang kita lakukan sesama muslim. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud yang maksud: “ Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir.”

Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak)

Nabi SAW  bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya seorang hamba bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak boleh ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya.” (Hadis Riwayat  Abu Daud)

Nabi SAW  bersabda maksudnya  ” Tidaklah para pelaknat itu dapat jadi penolong dan saksi di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya: ” Tidak patut seorang teman baik, mengutuk (temannya)” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW sentiasa mengajar umatnya supaya menjauhkan diri daripada mencaci-maki sesama muslim, menjauhkan daripada membuka aib seseorang dan mencari-cari kesalahan orang lain.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW  bersabda maksudnya:
"Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji.”

Dari hadis-hadis tersebut di atas telah diterangkan bahawa mengutuk sesama muslim itu termasuk perbuatan yang berdosa, kerana kutukan dan laknat itu menjadi hak  Allah SWT sahaja, dalam menghukum setiap hambanya. Sehingga kita dilarang mengutuk kerana kegunaan kutukan itu mengharapkan supaya Allah SWT mencabut semua nikmat yang telah diberikan kepada hamba tersebut baik nikmat zahir maupun nikmat batin, supaya dia (orang yang dilaknat) tidak memperoleh nikmat dan anugerahNya.
Oleh kerana itu Rasulullah SAW  melarang perbuatan itu, bahkan menganjurkan sebaliknya iaitu supaya saling mendoakan sesama muslim agar mendapat nikmat dan kurnia dari Allah SWT.

Sahabat yang dihormati,
Hanya di dalam kes seorang muslim yang telah dizalimi , difitnah dan diaibkan dia boleh berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT menunjukkan kebenarannya dan mendatangkan musibah kepada orang yang melakukan kezaliman keatas dirinya. Supaya kebenaran itu akan terbukti dan dia berada dipihak yang benar dan dia dapat membersihkan namanya yang telah tercemar kerana berita fitnah tersebut.

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)
Imam Nawawi telah meletakkan hukum harus bagi seorang manusia untuk mendoakan keburukan kepada orang yang menzalimi orang-orang Islam atau menzalimi dirinya sendiri.
Syeikh Ibnu Allan as-Siddiqi (pengarang syarah bagi kitab Azkar) berkata : " Maksud harus yang disebut Imam Nawawi adalah merangkumi sunat. Maksudnya ia tidak haram dan tidak makruh. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi manusia lain supaya terhindar dari kezalimannya maka hukumnya sunat. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri atau yang menyakitinya , sesungguhnya ini diharuskan untuk berdoa sebegini. Seeloknya dia maafkan dan melupakannya."

Firman Allah SWT maksudnya : " Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui." ( Surah an-Nisa ayat 148)


Dalil pengharusan. Ini jelas melalui ayat al-Quran 148 surah an-Nisa mengikut tafsiran Ibnu Abbas . Adapun hadis Rasulullah SAW adalah hadis berikut:
"Sesungguhnya Nabi SAW  mendoakan kecelakaan kepada orang-orang yang membunuh penghafaz-penghafaz al-Quran r.a dan sentiasa mendoakan kecelakaan kepada mereka selama sebulan. Baginda berdoa : Ya Allah laknatilah Ri'l, zakwan dan 'usayyah (nama-nama kabilah yang membunuh utusan Nabi SAW kesemua mereka penghafaz al-Quran)." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam banyak peristiwa Nabi SAW tetap memaafkan dan mendoakan kebaikan kepada orang-orang kafir yang mencederakan dan menyakiti hati baginda hanya dalam peristiwa pembunuhan ramai penghafaz al-Quran utusan baginda menyebabkan baginda terlalu sedih dan mendoakan kecelakaan kepada  kaum yang kejam tidak berperikemanusiaan.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu sebagai seorang mukmin yang sentiasa menyampaikan dakwah dan kebenaran maka perlulah kita mengambil pendekatan secara hikmah dan berlemah lembut dan sentiasa mendoakan kebaikan kepada  setiap orang yang kita dakwahkan terutama sesama muslim.

Sekiranya terdapat perbezaan pendapat bukanlah alasan untuk kita mengaibkan sesama kita dan menghemburkan caci-maki atau kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Untuk orang-orang bukan Islam kita di bolehkan mendoakan kepada mereka supaya diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT dan  supaya mereka beriman kepada-Nya dan masuk agama Islam.

Orang Mukmin Tidak Akan Meredai, Merayakan, Mengikuti Perayaan, Amalan Dan Pakaian Sesuatu Agama Yang Lain

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” Hadis ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa umat Islam dilarang menyerupai amalan atau pakaian sesuatu kaum yang bertentangan dengan syariat Islam terutama amalan keagamaan sesuatu agama yang bukan agama Islam. Sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.

Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk.

Kata al-Imam al-Son’ani (w. 1182H): “Hadis menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau ahli bidah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)”. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).

Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau serban seperti penganut sikh, amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.

Sekali lagi hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk mereka, maka hadis ini tidak berkaitan. Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.

Dalam hadis “Sesungguhnya Nabi SAW memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain). Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi SAW  memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):

“Rasululah SAW itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah SAW dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).

Meniru perkara yang baik dan bermanfaat, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatahlagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat.

Daripada Anas bin Malik, katanya: “Apabila Nabi SAW  ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: 'Seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi SAW. berukir Muhammad RasululLah”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” maka muslim dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut.

Kata al-Imam al-Munawi: “Jika puak fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).

Maka, perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.

Manusia ini cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.

Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan dan menerima pakai kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.

Untuk menjelaskan maksud hadis di atas kita bahagiakan kepada beberapa perkara :

Pertama : Menyambut dan meraikan perayaan sesuatu agama. (samaada agama Kristian, Yahudi, Majusi, Budda, Hindu, Agama Orang Asli, Bahai, Hari Kekasih, Menyambut Tahun Baru Masihi, Hari Vesak, Thaipusam dan lain-lain lagi)

Umat Islam dilarang membuat ucapan atau menghadiri sambutan sesuatu perayaan yang mempunyai kaitan dengan akidah sesuatu agama kerana dengan membuat ucapan atau menghadiri sambutan tersebut kita meredai dan merestui agama mereka. Jika kita bercadang mengadakan perhubungan yang baik dengan agama lain cuba cari waktu lain bukannya ketika mereka menyambut hari kebesaran agama mereka.

Sambutan Tahun Baru Masihi ( 1 Januari setiap tahun) sebenarnya adalah bersangkut paut dengan perayaan agama Kristian iaitu mereka menyambut kelahiran Nabi Isa a.s itu sebagai 'anak tuhan', sedangkan Nabi Isa adalah salah seorang rasul yang utus oleh Allah SWT kepada Bani Israel untuk membetulkan akidah mereka yang telah menyeleweng. Nabi Isa membawa kitab Injil untuk Bani Israel.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Reda kepada kufur menjadi kufur"

"Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yang dilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadi identiti khusus mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan aqidah dan ibadah-ibadah mereka” (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307).

"Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang meniru/menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama) ialah seorang muslim melakukan sesuatu yang menjadi identiti khusus orang-orang kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun mungkin diharamkan kerana faktor yang lain” (Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin).

Kedua : Pakaian yang melambangkan agama . Wanita Islam haram dan boleh jatuh kufur apabila memakai tudung seperti padri wanita Kristian (nun). Tudung wanita Islam berbeza dengan wanita Kristian atau Yahudi.



Cara pemakaian tudung yang dituntut oleh Syariat ialah dengan menutupi seluruh kepala (rambut), bahagian leher dan labuh hingga ke dada. Ini sebagaimana arahan Allah:

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)

Mengenai fesyen, tidaklah disyaratkan fesyen tertentu asalkan ia memenuhi kehendak ayat di atas. Warna juga tidak dihadkan kepada warna tertentu, akan tetapi hendaklah dipastikan tudung yang dipakai tidak jarang dan tidak mempunyai corak yang terlalu menarik perhatian lelaki atau corak-corak lain yang tidak sesuai dengan idenditi wanita Islam. Warna yang disukai Rasulullah ialah warna putih sebagaimana sabdanya yang bermaksud :

“Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (HR Imam at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Musnad Imam Ahmad dari Samurah bin Jundab r.a.).

Mengenai penyerupaan/peniruan kepada orang kafir, Nabi -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;
“Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu Umar).

Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam). (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).




Kesalahan tudung yang dipakai itu (wanita Islam di atas) adalah kerana ia terlalu menonjol, menarik perhatian dan tabarruj. Selain itu kesalahan besar pakaian itu juga adalah kerana ia telah menimbulkan fitnah yang besar di kalangan masyarakat Islam di negara ini kerana tudungnya sama seperti padri wanita Kristian (nun).

Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya; kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, samaada lambang agama, ibadah, kepercayaan, pakaian keagamaan atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan muslim.

Kembalikanlah Kegemilangan Islam

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah bersama-sama mengembalikan kegemilangan Islam!
Sentiasalah kalian memohon kepada Allah SWT agar kalian berada dibawah sinaran hidayah-Nya. Tiada Tuhan selain Allah, Dialah Pentadbir setiap urusan langit dan bumi dan Pemelihara Arasy yang mulia. Yakinilah akan curahan rahmat-Nya, agar Dia sentiasa memperbaiki keadaan kalian. Usah sekali-kali menyekutukan Dia dengan sesuatu apapun.

Kalianlah generasi harapan umat ini untuk mengembalikan balik cahaya Islam yang kian hari kian pudar! Generasi yang sanggup mengalas tanggungjawab dan akan membawa manusia sejagat kembali menyusuri jalan kebenaran. Kekuatan iman dan takwa yang tinggi serta keikhlasan tulin akan memampukan kalian memberi pemahaman nilai Islam secara tepat, lengkap lagi bersih daripada sebarang pengaruh nafsu.

 Kalian juga mampu menghindarkan manusia daripada mencampur-adukkan akhlak mulia dengan hal-hal tidak bermoral. Daripada pimpinan tangan kalian diharapkan berhasil menjalin hubungan mesra antara ilmu dan keyakinan. Dari situ, kehidupan insan akan kembali bersinar seindah zaman keemasan Islam.

Sahabat yang dimuliakan,
Ingatlah peranan kalian untuk memperlihatkan kepada insan lain, bahawa seluruh kehidupan ini mestilah bermatlamatkan keredaan Allah SWT. Dengan asas ini, kehidupan insan akan terhindar daripada sikap ego dan jahil terhadap hak serta kehormatan setiap individu. Kalian bertanggungjawab mengembalikan keluhuran ikatan kekeluargaan.

Anjurkanlah kesepakatan serta saling bantu-membantu dalam kehidupan bermasyarakat. Jauhilah perlakuan tidak adil walaupun terhadap musuh. Begitu juga terhadap golongan lemah, berilah pertolongan tanpa di minta.

Hiasilah budi pekerti kalian dengan akhlak Islam seperti yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah SAW. Sinarilah kalbu kalian dengan ketakwaan. Mantapkanlah akal kalian dengan ikhlas dan istiqamah. Pastikan jiwa sentiasa menyedari hak Rabb, hak Islam dan tanggungjawab dunia tanpa melupakan persiapan untuk akhirat.

Sahabat ayng dikasihi,
Harapan yang besar ini hanya mampu dicapai dengan memohon kekuatan serta belas kasihan-Nya. Sentiasalah memohon hidayah semoga diberikan-Nya 'Siratul mustaqim' yakni jalan lurus yang pernah diberikan Allah SWT kepada orang-orang terdahulu daripada kalangan nabi-nabi, siddiqin, syuhada dan solehin. Bermohonlah juga agar dijauhkan dari jalan orang-orang yang sesat dan yang dibenci-Nya.

Tepatilah ciri-ciri orang bertakwa atau muttaqin dalam setiap tindakan. Orang muttaqin adalah orang yang mempunyai rasa takut dan malu kepada Allah SWT. dalam keadaan sembunyi atau terang-terangan. Bahkan mereka lebih takut kepada Allah SWT tatkala dalam keadaan sembunyi. Malu terhadap Allah SWT mengatasi malu kepada manusia. Dalam keadaan tidak di ketahui oleh sesiapa pun, mereka malu untuk berbuat maksiat.

Jika mereka berbuat kesilapan kerana lupa atau jahil, jiwa mereka menjadi gelisah mendesak fizikal bangun memohon keampunan. Keadaan ini diterangkan oleh Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 29 yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan (petunjuk yang dapat membezakan antara yang haq dan batil) dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar."

Kalian perlu sentiasa jujur dalam perkataan serta ikhlas beramal. Ketika hendak tidur, tetap lah kalian berzikir kepada Allah SWT dengan mengharapkan nilai tidur itu beroleh keredaan Allah SWT. Setelah bangun tidur teruskan berzikir kepada Allah SWT supaya bangun itu diselimuti rahmat dan pertolongan Allah SWT. Dari itu kalian akan terhindar daripada perangkap kemaksiatan atau bergaul dengan orang yang senang berbuat maksiat.

Takwa itu mesti disuburkan dengan istiqamah supaya kalian bukan sahaja beroleh keredaan Allah SWT di dunia, malahan cemerlang di hari akhirat. Firman Allah SWT. di dalam surah al-Fushilat ayat 30 yang bermaksud, " Sesungguhnya orang yang mengatakan, Tuhan kamu ialah Allah, kemudian mereka beristiqamah (meneguhkan pendirian), maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan) : ' Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu'."

Sahabat yang dihormati,
Sesungguhnya, telah banyak akhlak mulia dan keluhuran hati yang hilang daripada masyarakat hari ini akibat kejahilan sendiri. Oleh itu tugas kalian adalah mengembalikan kemuliaan perilaku insan. Ketahuilah bahawa perjalanan hidup Rasulullah SAW. dan para sahabat banyak dihabiskan dalam usaha mengubah keburukan kepada kebaikan. Mereka menghadapi segala cabaran dengan ketenangan jiwa dan menghadapi rintangan serta gangguan dengan pemberian maaf dan doa : "Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku ini, sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengetahui.

Akhirkata, bulatkan tekat kalian untuk menyahut seruan harapan besar ini dengan doa :
"Ya Allah! Anugerahkanlah rezeki kepada kami dengan takwa disisi-Mu, yang dapat memperbaiki amal dan akhlak kami. Kami juga memohon rasa takut kepada murka-Mu, mengharap keredaan-Mu dan selalu bergantung kepada limpah rahmat-Mu. Anugerahkanlah kami rezeki takwa dalam keadaan sembunyi sebelum terang-terangan, takwa batin sebelum takwa zahir. Dan jadikanlah kami takut terhadap kemurkaan-Mu seolah-olah kami melihat-Mu. Janganlah Engkau hinakan kami dengan bermaksiat kepada-Mu. Jangan jadikan dunia ini sebesar keinginan kami dengan membelakangkan usaha-usaha menimba ilmu kebenaran. Jadikan kami sentiasa cenderung melaksanakan kebaikan serta membawa kebaikan kepada seluruh insan. Kabulkan wahai zat yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang."

Islam Sebagai Agama Yang Sempurna.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkataan Islam mempunyai dua makna.
Pertama, nash (teks) wahyu yang menjelaskan Islam sebagai ad-deen (agama).
Kedua, Islam merujuk pada amal manusia, iaitu keimanan dan ketundukan manusia kepada Allah s.w.t dan kitab suci al-Qur'an yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan makna pertama, Islam yang dibawa Nabi Muhammad lebih luas lagi daripada yang dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya. Apalagi nabi-nabi sebelumnya diutus hanya untuk kaumnya sendiri. Nabi Muhammad s.a.w. diutus untuk seluruh umat manusia. Oleh karena itu, Islam yang dibawanya lebih luas dan menyeluruh. Tak heran jika Al-Qur’an boleh menjelaskan dan menunjukkan tentang segala sesuatu kepada manusia.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab sebagai penjelas segala sesuatu."
(Surah An-Nahl ayat 89)

Dengan kesempurnaan risalah Nabi Muhammad saw., sempurnalah struktur kenabian dan risalah samawiyah (langit). Kita yang hidup setelah Nabi Muhammad s.a.w. diutus, telah diberi petunjuk oleh Allah tentang semua tradisi para nabi dan rasul yang sebelumnya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : " Mereka orang-orang yang telah diberikan petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka."
(Surah Al-An’am ayat 90).

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan kamu diberi petunjuk tentang sunah-sunah orang-orang yang sebelum kamu. "
(Surah An-Nisa ayat 20)

Islam telah lengkap dan sempurna, Allah s.w.t. menyatakan dalam surat Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud : "Pada Hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Aku sempurnakan nikmat-Ku, dan Aku redha Islam sebagai agama bagimu sekalian…."

Rasulullah saw. menjelaskan bahwa risalah yang dibawanya adalah satu kesatuan dengan risalah yang dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya. “Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku ibarat orang yang membangun sebuah rumah. Ia memperindah dan mempercantik rumah itu, kecuali letak batu bata pada salah satu sisi bangunannya. Kemudian manusia mengelilingi dan mengagumi rumah itu, lalu mengatakan: ‘Alangkah indah jika batu ini dipasang!’ Aku adalah batu bata tersebut dan aku adalah penutup para nabi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Sempurna dan lengkapnya risalah agama Islam apabila Allah s.w.t menjelaskan  pada haji wada’ dengan ayat 3 surat Al-Maidah –yang juga sebagai wahyu terakhir turunnya kepada Nabi s.a.w.mengharuskan seluruh manusia tunduk pada Islam. Semua syariat yang terdahulu dengan sendirinya mansukh (terhapus). Dan, tidak akan ada lagi syariat baru sesudah risalah yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w.

Risalah dan kenabian telah ditutup dengan diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : ". ….tetapi ia (Nabi Muhammad) sebagai utusan Alah dan penutup nabi-nabi…"
(Surah Al-Ahzab ayat 40).

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : " Katakanlah: 'Hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua.” 
(Surah Al-A’raf ayat 158).

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan Kami tidak mengutus kamu kecuali untuk seluruh manusia sebagai pemberi kabar gembira dan pemberi peringatan."
(Surah Saba: 28).

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan tidaklah Kami mengutusmu, kecuali untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam."
(Surah Al-Anbiya’: 107).

".. Dan barangsiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima (agama itu) daripadanya."
(Ali Imran: 85).

  "..Sesungguhnya agama yang diredhai Allah adalah Islam. "
(Ali Imran: 19).

Maka, siapa saja yang tidak mengikuti ajaran Nabi Muhammad, ia akan celaka dan menjadi orang yang sesat. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Demi Dzat yang diriku dalam genggaman-Nya, tidak seorang pun dari umat ini, baik Yahudi atau Nasrani, mendengar (berita kerasulan)-ku, kemudian ia tidak beriman kepada apa yang aku bawa, kecuali ia sebagai ahli Neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Allah menegaskan dalam Al-Qur’an yang bermaksud : “ Barangsiapa menentang Rasul sesudah nyata petunjuk baginya dan mengikuti bukan jalan orang-orang Mukmin, nescaya Kami angkat dia menjadi pemimpin apa yang dipimpinnya dan Kami masukkan ke dalam Neraka Jahanam. Itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
(Surah An-Nisa ayat 115).

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasul-rasu-Nya dan hendak membedakan antara (keimanan kepada) Allah dan Rasul-Nya, mereka berkata, kami beriman kepada setengah (Rasul) dan kafir kepada yang lain, dan mereka hendak mengambil jalan tengah (nuteral) antara yang demikian itu. Mereka itu ialah orang-orang kafir yang sebenarnya, dan Kami sediakan untuk orang-orang kafir itu siksaan yang menghinakan"
(Surah An-Nisa ayat 150-151).

Risalah yang diturunkan sebelum Nabi Muhammad s.a.w. telah banyak dilupakan, diselewengkan, diubah, dan ajarannya yang haq telah dihapuskan. Sehingga, melekatlah kebatilan di kalangan para pemeluknya, baik dalam masalah akidah, ibadah, dan perilakunya. Sementara, Islam adalah agama yang sumber ajarannya dari Al-Qur’an dan Hadis, terpelihara kesahihannya. Sanadnya tersambung kepada Rasulullah saw. Apakah ada pilihan bagi kita yang meghayati ajaran Islam dan taat kepada Allah kepada selain dengan mengikuti risalah yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w.? Tentu saja tidak.

Allah berfirman yang bermaksud :  “Hai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul Kami, yang menerangkan (syariat Kami) kepadamu ketika rasul-rasul telah putus supaya kamu tidak berkata, ‘Tidak datang kepada kami pemberi kabar gembira dan tidak pula memberi peringatan.’ Allah MahaTahu atas segala sesuatu.”
(Surah Al-Maidah ayat 19)

Sumber Ajaran Islam :
Isi ajaran Islam yang diserukan Nabi Muhammad dapat diketahui dari Al-Qur’an dan As-Sunnah yang telah diakui kesahihannya oleh para ulama hadis. Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. merupakan hidayah yang sempurna bagi seluruh umat manusia. Allah menurunkan Islam ini secara sempurna dan menyeluruh sehingga tidak ada satu persoalan pun yang bersangkut paut dengan kehidupan manusia yang tidak ada dalam ajaran Islam. Islam mengandungi aspek hukum ; halal, haram, harus, makruh, fardu, wajib, sunat. Termasuk juga  masaalah akidah, ibadah, politik, ekonomi, perang, damai, perundangan, dan semua konsep hidup manusia.

Begitulah yang Allah katakan tentang Al-Qur’an yang bermaksud : "Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab sebagai penjelas segala sesuatu." 
(Surah An-Nahl ayat 89)

Kitab dan Sunnah telah menjelaskan semua persoalan yang terkait dengan akidah, ibadah, ekonomi, sosial kemasyarakatan, perang dan damai, perundang-undangan dan kehakiman, ilmu, pendidikan dan kebudayaan, serta hukum dan pemerintahan. Para ahli fiqh membuat klasifikasi ajaran Islam ke dalam persoalan akidah, ibadah, akhlak, muamalah, dan uqubah (pelanggaran dan hukuman).

Yang termasuk dalam urusan akidah adalah masalah hukum dan pemerintahan. Masalah akhlak adalah masalah utama yang perlu diperingkatkan. Sedangkan yang masuk ke dalam urusan ibadah adalah masalah solat, zakat, puasa, haji, dan jihad. Muamalah bersangkut paut urusan perpindahan kewangan, pinjaman dan jual beli. Bab munakahat pula mengandungi soal nikah, kawin,  talak, cerai , amanah dan harta warisan. Sedangkan yang masuk dalam kategori uqubah adalah persoalan qisas, hudud, diyat dan takzir.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML