Thursday, February 27, 2014

CIRI-CIRI ILMU BERMANFAAT

Apakah Ciri-ciri Ilmu Yang Bermanfaat?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. 

Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya yang bermaksud :
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. (Surah al-Faatir ayat 28)

Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. 
Ilmu yang bermanfaat yang dimiliki akan dapat melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya. 

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah SWT bukanlah orang alim yang sebenarnya. Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, mengejar pangkat, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya. 

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya. 

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata, "Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati". 

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa dan tidak terpaya dengan tarikat dunia yang mengasyikkan.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah dan memiliki sifat tawaduk dan merendahkan diri.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata: "Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT". 

Abu Muhammad r.a pernah ditanya: "Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri". 

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan: "Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah". 

Al Wasiti r.a berkata: "Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah SWT dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT". 

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya". 

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat. 

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah. 

Sebahagian Salaf berkata: "Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)". 

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a: "Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".

Sahabat yang dimuliakan,
Sesiapa yang memiliki ilmu yang bermanfaat nescaya ilmu itu akan menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan ulama, memuliakan kekasih-kekasih Allah SWT dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

Ingatlah apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia.
Allah SWT berfirman (maksudnya):
"Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
(Surah al-Rum ayat 7)

Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)". (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan al Hakim) 

Fudhail ibn 'Iyadh berkata: "Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain". 

Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya. 

Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya. 

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat. 

Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat. 

Berkata sebahagian ulama: "Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita mencari ilmu yang bermanfaat fardu ain terutama ilmu agama iaitu ilmu tauhid, fiqah dan tasauf. Kemudian ilmu-ilmu bermanfaat yang lain fardu kifayah iaitu ilmu yang boleh menambah kekuatan kepada umat Islam. Utamakan yang fardu ain dan amalkanlah kerana ilmu tersebut secara langsung mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan menjadikan kita takut kepada-Nya. 

Ilmu inilah yang membezakan kita dengan orang-orang kafir darisegi kefahaman dan perlaksanaan dalam kehidupan. Jika ilmu yang bermanfaat ini kita sebarkan dan ajarkan maka ilmu ini akan menjadi saham akhirat yang berterusan walaupun kita sedang hidup di alam barzakh.

Ilmu Yang Bermanfaat Perlu di Amal dan di Sampaikan

Sahabat yang dimuliakan,
Salah satu daripada bekalan yang akan membantu seorang Muslim ketika dia berada di alam barzakh adalah ilmu yang bermanfaat.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat
diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Ilmu yang bermanfaat secara mutlak di dunia dan akhirat adalah ilmu syar’i (ilmu Islam). ilmu yang pengamalnya yang diikhtiraf oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. , ilmu ini adalah seperti yang diungkapkan oleh Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar menurut syara’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya  mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturannya suka atau tidak suka”.

Mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketakwaan mereka kepada Allah s.w.t. Maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebajikannya. Antara lain, seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut. 

Dalam Islam ilmu boleh dikatagorikan kepada dua bahagian :
1. Ilmu Fardu Ain.
(Ilmu  Tauhid (aqidah), ilmu Feqah dan ilmu Tasauf, termasuk juga ilmu tajwid, faraid, tafsir al-Qur'an dan hadis)

2. Ilmu Fardu Kifayah.
(Ilmu sains, kejuruteraan, ict, perakaunan, pentadbiran, pengurusan dan kedoktoran)

Islam amat mengambil berat tentang keperluan menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menyampaikan pula ilmu tersebut untuk di maanfaatkan oleh orang lain.


Nabi s.a.w bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke Syurga”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Bagi orang Islam Syurga adalah ganjaran paling tertinggi dan paling dikehendaki. Maka mereka yang belajar ilmu sebelum mendapat ganjaran akhirat di dunia lagi dijanjikan dengan janji  sentiasa mendapat perlindungan sayap malaikat kerana redha dengan apa yang mereka lakukan. Malah kelebihan belajar ini diperkukuh dengan hadis riwayat Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah, Nabi s.a.w bersabda maksudnya, “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari sembahyang (sunat) seratus rakaat”.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berdasarkan hadis di atas, setiap daripada kita yang memiliki ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang baik, boleh kita ajarkan dan sampaikan kepada orang lain samaada berbentuk ilmu agama , ilmu akademik dan kemahiran, amalan kita adalah amalan yang amat terpuji.

Apabila kita sampaikan kepada orang lain dan ilmu tersebut diamalkan dan disampaikan semula secara berterusan hingga ke hari kiamat, maka kita tetap akan mendapat ganjaran pahala yang berterusan. Begitu juga sebaliknya ilmu yang memudharatkan orang lain atau ilmu bermaksiat kepada Allah, pengamal dan penyampainya akan mendapat dosa disisi Allah dan dosa yang berterusan sehingga hari kiamat jika di amalkan dan diikuti oleh seseorang. Oleh itu jauhilah diri kita daripada perbuatan dan amalan yang boleh menyesatkan diri kita sendiri dan menyesatkan orang lain.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, " Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat". Setiap kalimah, pengajaran, ilmu, tazkirah, risalah, nasihat yang kita ambil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w adalah merupakan ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan dapat menambahkan pahala dan amal soleh  ketika kita hidup di dunia ini.

Hidup di dunia ini hanya sementara, di akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi, dari itu pergunakanlah sepenuh masa dan tenaga yang ada untuk kita melaksanakan sebanyak mungkin amal ibadah, amal soleh, amal kebaikan dan menyampaikan ilmu yang bermaanfaat untuk membantu kita semasa timbangan amal dan ketika  berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari pengadilan nanti.

Sahabat yang dihormati,
Ilmu yang kita miliki perlulah di amalkan kerana  orang Mukmin akan mengamalkan ilmunya dan nampak jelas pada dirinya sifat takut kepada Allah s.w.t.

{إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء}

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
(Surah Fathir : 28)

Ilmu tidak akan bermanfaat apabila ilmu tersebut tidak diamalkan. Allah s.w.t. berfirman menegur orang-orang yang tidak mengerjakan apa yang ia katakan atau ajarkan,

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ * كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ}

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”
(Surah Ash Shof : 2-3)

Dan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari sahabat Usamah bin Zaid r.a ia berkata,

“يؤتى بالرجل يوم القيامة فيلقى فى النار فتنتدلق اقتاب بطنه فيدور بها كما يدور الحمار فى الرحى، فيجتمع إليه أهل النار، فيقولون: يافلان، مالك؟ ألم تكن تأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر؟ فيقول بلى، كنت أمر بالمعروف ولا آتيه وأنهى عن المنكر وأتيه”

“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya, “Di hari kiamat didatangkan seseorang lalu dicampakkan ke dalam Neraka maka terburailah usus-ususnya, dia berputar-putar dengan ususnya seperti seekor keledai berputar-putar pada ikatannya. Maka penghuni Neraka mengerumuninya, mereka berkata, ‘Hai fulan, ada apa denganmu? Bukankah dulu engkau mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran?’ ia menjawab, ‘Benar, aku mengajak kepada kebaikan tetapi aku tidak mengerjakan dan aku melarang dari kemungkaran tetapi aku melakukannya”.
(Hadis Riwayat Bukhari  dan Muslim)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi s.a.w.  sentiasa berdo’a kepada Allah memohon perlindungan dari ilmu yang tidak bermanfaat,

“اللهم أنى أعوذ بك من علم لا ينفع ومن قلب لا يخشع، ومن نفس لا تشبع ، ومن دعاء لا يسمع”

‘Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak puas, dan dari do’a yang tidak didengar”.
(Hadis Riwayat Muslim , At-Tirmidzi dan An Nasai dari hadis Zaid bin Arqam)

Sahabat Abu Darda’ r.a. berkata, “Yang aku takuti di hari kiamat adalah ketika dikatakan kepadaku, ‘Apakah engkau mengetahui atau tidak? Aku menjawab, ‘Aku mengetahui’. Maka tidak ada satupun ayat dari Kitabullah yang memerintahkan atau melarang melainkan mendatangiku menanyakan perintah dan larangannya. Ayat yang memerintahkan bertanya apakah engkau kerjakan? Dan ayat yang melarang bertanya apakah engkau tinggalkan? Maka Aku berlindung kepada Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak puas, dan dari do’a yang tidak didengar”.
(Hadis Riwayat Al Baihaqy, Ad Darimy dan Ibnu Abdil Barr dari beberapa jalan dari Abu Darda’).

Berapa ramai orang yang mengingatkan manusia kepada Allah sementara dia sendiri lupa kepadaNya. Berapa ramai orang yang menakut-nakuti manusia dengan Allah ternyata dia berani menentang Allah. Berapa ramai orang yang mengajak manusia mendekatkan diri kepada Allah, dia malah jauh dari Allah. Berapa ramai orang yang menyeru mengajak manusia kepada Allah sedangkan dia sendiri jauh dari Allah dan berapa ramai orang yang membaca Kitabullah lalu dia melepaskan dirinya dari ayat-ayat Allah?

Sungguh, jika ilmu tidak membantu pemiliknya untuk menjalankan ibadah kepada Allah s.w.t. maka tidak ada nilainya. Jika ilmu tidak membuat pemiliknya dekat kepada Allah tidak ada gunanya. Dan jika ilmu tidak menimbulkan perasaan takut kepada Allah maka ilmu itu tidak membawa kebaikan.

Oleh itu ilmu yang baik dan bermanfaat adalah ilmu  yang mendorong pemiliknya untuk beramal dengan segala perkara yang dapat mendekatkan dia kepada Allah ‘Azza wa Jalla, menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya dan tidak melampaui batasan-batasan yang ditetapkan oleh Allah.

Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kepada kita ilmu yang bermanfaat serta menjauhkan dari ilmu yang tidak bermanfaat 


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML