Thursday, February 27, 2014

IKHWAN RASULULLAH S.A.W

Siapakah Ikhwan Rasulullah SAW?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada suatu hari, berlaku perbualan di antara Nabi SAW. dengan Saidina Abu Bakar Siddiq serta para sahabat lain. “Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan ikhwanku (saudara-saudaraku),” berkata Nabi SAW. “Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?” jawab Abu Bakar. “Bukan,” jawab Nabi SAW. “Kamu adalah sahabat-sahabatku”. 

Para sahabat menjadi keliru dan hairan siapakah yang dimaksudkan dengan ikhwan yang Nabi SAW rindukan itu. Setahu mereka yang paling rapat dengan Nabi SAW  ialah para sahabat sendiri. 

Melihatkan Abu Bakar dan sahabat-sahabat lain kebingungan, Nabi SAW segera menjelaskan; “Ikhwan ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang-orang tua mereka”. Para sahabat masih belum berpuas hati dan bertanya, 

“Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan( saudara) engkau?”. “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku!” sekali lagi Nabi SAW menjelaskan. 

“Wahai Abu Bakar, tidakkah engkau juga merindui ikhwanku itu, kerana mereka juga mencintai engkau lantaran engkau adalah sahabatku?” 

Persoalan ikhwan menjadi teka-teki kepada para sahabat. Kemudian Nabi SAW memberitahu bahawa mereka ialah umat Nabi SAW sesudah wafatnya baginda. Walaupun mereka tidak berjumpa dengan baginda namun tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka membaca al-Quran dan al-Hadis serta mencintai Nabi-Nya sebagai Rasulullah SAW yang penghabisan. Mereka juga mencintai sahabat-sahabat Nabi SAW yang berjuang menegakkan Islam”. 

Alhamdulillah yang dimaksudkan oleh Nabi sebagai ikhwan itu ialah umat terkemudian termasuk diri kita. Jika kita mengikut ajaran Nabi SAW serta mencintai baginda, Nabi SAW. amat menyanjungi serta merindui kita kerana menurut baginda meskipun kita tidak berpeluang berjumpa dengannya, namun kita tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Golongan ikhwan ini pernah Nabi SAW katakan sebagai makhluk yang paling ajaib imannya kerana beriman tanpa bertemu dengan Nabi SAW sendiri. “Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku. Dan berbahagialah 7 kali ganda orang-orang yang beriman dengan aku, meskipun tidak pernah berjumpa dengan aku!” jelas Nabi SAW lagi. Semoga kita termasuk dalam golongan umat yang diberi gelaran sebagai ‘ikhwan’ – umat yang dirindui Nabi SAW.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas golongan syiah pasti bukannya Ikhwan Nabi SAW kerana salah satu ciri ikhwan Nabi SAW adalah mereka mencintai Nabi SAW dan mencintai sahabat-sahabat Rasulullah SAW termasuk Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan sahabat-sahabat yang lain.

Golongan syiah sering mengecam dan menghina sahabat-sahabat Rasulullah SAW, mereka hanya mengutamakan Saidina Ali k.w dan menyerang peribadi sahabat-sahabat yang lain yang mulia, mereka meletakkan para imam mereka lebih tinggi darjatnya daripada sahabat-sahabat Nabi SAW dan sama taraf seperti Nabi iaitu sifat maksum. Inilah jenis taksub yang melampaui batas dan terkutuk dan berlindung sifat takiyahnya iaitu memusuhi umat Islam dikalangan Ahli sunah waljamaah.

Rebutlah peluang untuk masuk menjadi kelompok yang Rasulullah SAW. maksudkan sebagai saudara-saudaraku (fiqah an-Najiyah) iaitu kelompok yang selamat diantara 73 kelompok akhir zaman. Mereka adalah orang-orang yang berpegang teguh dengan pegangan  sunah Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Mereka memelihara amanah yang diberikan agar tetap asli, murni dan seimbang. Mereka menjauhi orang yang fanatik dan jahil. Rasulullah SAW memandang mereka sebagai 'ikhwan Rasulullah' yang dilahirkan pada akhir zaman. Rasulullah SAW selalu merindui mereka sebelum diciptakan dan ingin sekali melihat wajah mereka sebelum dilahirkan.

Rasulullah melihat mereka sebagai orang-orang yang menghidupkan sunnahnya dan memperbaiki kerosakan dalam nilai kehidupan sebenar. Mereka juga merupakan kelompok yang berpegang tegih kepada kebenaran serta memperolehi hidayah ke jalan lurus.

Sahabat yang dikasihi,
Kita bukanlah sahabat Nabi SAW yang menyaksikan secara langsung betapa mulianya akhlak junjungan kita itu; kita juga bukan malaikat yang tidak memiliki hawa nafsu; kita juga bukan waliyullah yang telah merasakan manisnya kasih sayang Allah. Kita adalah manusia biasa yang penuh dengan kelemahan. 

Dalam kelemahan itulah kita masih beriman kepada Allah SWT. Dalam ketidak hebatan kita itulah kita selalu berusaha mendekati Allah SWT dan mengamalkan sunah Nabi SAW.. Di tengah kesibukan dan beban ekonomi yang semakin meningkat, kita tetap keluarkan zakat dan sedekah. Tak sedikitpun kita akan gadaikan iman kita. 

Di tengah dunia yang semakin mencabar, kita masih sempatkan untuk solat. Di tengah godaan duniawi yang luar biasa, kita tahan nafsu kita supaya tidak terjerumus kelembah maksiat. Di tengah kumpulan manusia yang selalu dalam kesibukan ini, kita masih boleh mensyukuri sejumput nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. 

Nabi Muhammad SAW menghibur kita, "Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku," Nabi ucapkan kalimat ini satu kali. 

"Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku." Nabi SAW ucapkan kalimat terakhir ini tujuh kali.

Wallahu’alam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML