Menjadi Insan Rabbani akan Berbahagia di Dunia dan di Hari Akhirat
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya iman itu diciptakan di dalam jiwa seseorang kamu sebagaimana diciptakan pakaian, pohonlah kamu kepada Allah agar diperbaharui iman di dalam hati kamu." (Hadis Riwayat al-Hakim at-Tobarani di dalam mukjam hadisnya dengan sandaran sahih)
Iman dalam hati kita umpama pakaian yang sentiasa terdedah dengan kotoran dan lusuh, maka jika pakaian perlu dibasuh dan jaga dengan elok maka iman dalam hati juga perlu dijaga dan dibersihkan selalu.
Kadangkala hati mukmin itu diselubungi oleh awan maksiat. Gambaran ini pernah diceritakan oleh Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Tidak ada satu hatipun dikalangan hati-hati manusia melainkan ada padanya selubungan awan seumpama selubungan awan terhadap bulan, apabila tinggi awannya maka ia akan gelap dan apabila ia beredar, terang akan kembali meneranginya." (Hadis Riwayat Tobarani dan ditashihkan oleh Albani).
Begitu juga kadangkala hati mukmin ini diselubungi oleh awan hitam yang langsung menutupi cahayanya. Apabila mukmin itu berusaha menambah kekuatan imannya dan berdoa kepada Allah S.W.T, awan hitam itu akan beransur pergi sehingga sinar hati kembali menerangi. Oleh kerana itu setengah salaf pernah mengungkapkan kata-kata, "Hendaklah tahu godaan-godaan syaitan agar ia tidak mendatanginya."
Seorang ulama sufi bernama Sufian at-Thauri berkata : " Iman itu bukan dengan angan-angan dan cita-cita tetapi ia adalah sesuatu yang terpacak kukuh di dalam hati dan dibenarkan oleh amal."
Sahabat yang dimuliakan,
Apabila seseorang ingin mengetahui dimanakah kedudukannya disisi Allah dan dimanakah kedudukannya dengan perintah dan larangan Allah maka lihatlah dirinya. Apakah yang telah menyibukkan dirinya. Jika dia sibuk dengan kerja-kerja Islam, dakwah, tarbiah dan segala urusannya, sibuk menyelamatkan manusia dari apa neraka, sibuk bekerja demi untuk merai syurga, sibuk membantu orang-orang dhaif, fakr-miskin, anak-anak yatim yang memerlukan bantuan, sibuk berbuat baik kepada ibu bapa, maka bergembiralah, kerana sesungguhnya Allah S.W.T. tidak merestui kebaikan itu melainkan kepada orang-orang yang dikasihi-Nya.
Jika seseorang itu berpaling dengan dakwah, tidak suka kerja-kerja amar makruf nahi mungkar, memarahi pendakwah, sibuk dengan dunia dan segala penghasilannya, cakap banyak dengan amal yang sedikit, mengikut syahwat dan nafsunya dan seumpamanya, maka ketahuilah bahawa peribadi seperti ini adalah jauh dari Allah. Sesungguhnya Allah mengharamkannya dari perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri ke syurga.
Allah S.W.T berfirman maksudnya : “Barang siapa yang menghendaki kehidupan sekarang (dunia), maka Kami segerakan baginya didunia itu apa yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya Neraka Jahannam, ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir" “(Surah al-Isra’ ayat 18).
Sekiranya kalian ingin meraih martabat terkehadapan di dalam segala bentuk kebaikan, termasuk menjadi hamba yang rabbani (dekat dengan Tuhan), buatlah kebaikan kepada kedua ibu bapa dan kepada mereka yang soleh dan bertakwa. Laksankanlah beberapa perkara penting.
1. Hidupkan dan suburkan iman.
Iman yang hidup dalam diri seorang mukmin adalah penghubung terbaik kepada apa yang diharapkan untuk kebaikan di dunia dan akhirat. Iman adalah kunci kebaikan di dunia dan penutup segala kejahatan dan ianya menjadi anak kunci untuk memasuki syurga Allah S.W.T.
Jalan untuk menghidupkan iman dan menyuburkannya adalah dengan kerja-kerja taat dan amalan-amalan soleh.
2. Menjadikan matlamat kehidupan mencari keredaan Allah S.W.T. semata-mata.
Menerima Allah S.W.T dengan penuh kejujuran dan memperhambakan diri sepenuhnya kepada-Nya.
Dalam sebuah athar maksudnya : "Apabila hamba-Ku menghadap-Ku dengan hati dan anggotanya, maka Aku menghadap kepadanya denga hati-hati hamba-Ku yang penuh mawaddah dan rahmah."
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan agar mereka beribadah (mengabdikan diri) kepada-Ku." (Surah Az-Zariat ayat 56)
Hendaklah sentiasa mengejar kedudukan tertinggi dan menjadikan objektif kehidupan adalah keredaan Allah . Beramal agar dapat merai syurga . Berusaha bersungguh-sungguh sekemampuan yang ada untuk mencapai matlamat suci ini.
3. Bersahabat dengan orang soleh.
Berusaha mencontohi kehidupan para sahabat Rasulullah S.A.W. di dalam sejarah Islam, para tabien dan juga salafus soleh. Merebut setiap detik dan masa untuk menambah nilai keimanan.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.”
(Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa.)
4. Perbanyakkan amal soleh .
Perbanyakkan solat sunat, qiyamulail dan berdoa diwaktu sahur. Berzikir dan membaca al-Quran yang berterusan dan mentadabbut rahsia-rahsia al-Quran
Sungguh Nabi S.A.W. solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Dalam satu riwayat Aishah berkata kepada Nabi S.A.W.: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”
(Hadis riwayat Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari)
Sekarang kita bandingkan amalan Rasulullah S.A.W. ini dengan diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa dan amat kurang sekali melakukan ibadah kepada Allah S.W.T. untung nasib belum dipastikan samada syurga atau neraka. Kenapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan solat tahajjud ini? Adakah kita menganggap diri kita sebanding atau lebih baik daripada Rasulullah S.A.W.?
Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan pada sebahagian malam, lakukanlan solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ketempat yang terpuji."
(Surah al-Isr a’ ayat 79)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita jadikan diri kita sebagai insan rabbani (dekat dengan Tuhan) maka perlulah jadikan seluruh kehidupan kita adalah untuk Allah, Rabb sekelian alam. Menjadikan solat kita, hidup, mati, ibadah dan gerak dan diam kita adalah untuk Allah. Kita bercakap dan beramal hanya apa yang diredai Allah, dan juga niat-niat kita semuanya adalah semata-mata mardatillah. Maka ketika inilah kita akan menjadi kekasih Allah di dunia dan kekasih Allah dihari akhirat. Tidak ada balasan yang paling baik untuk kekasih-Nya melainkan syurga seluas langit dan bumi yang telah disediakan-Nya.
No comments:
Post a Comment