Solat Istikharah Menjadi Pedoman Orang Mukmin
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Jiwa dan hati orang Mukmin apabila berhajat untuk melakukan sesuatu perkara ia akan menyerahkannya dahulu kepada Allah SWT. samaada perkara ini sesuai atau pun tidak kerana Allah SWT. Maha Mengetahui perkara yang akan datang.
Walaupun pada zahirnya ianya nampak elok, cantik, berkenan dihati tetapi hakikat benarnya kita tidak pasti dan tidak mengetahuinya. Mungkin baik pada pandangan zahir kita tetapi ianya tak baik dan buruk pada pandangan Allah SWT. Oleh itu sebelum kita membuat sesuatu keputusan eloklah sebagai seorang Mukmin yang yakin dengan Qada dan Qadar Allah SWT dan yakin bahawa masa hadapan itu ada dibawah ilmu Allah kita memohon doa dan pertolongan Allah SWT dengan mengerjakan solat istikharah.
Sebut sahaja solat sunat istikharah, pasti yang tergambar dalam minda kita ialah solat untuk memilih pasangan atau mencari jodoh terbaik. Itulah tanggapan umum mengenai solat sunat ini. Tetapi hakikat sebenarnya solat istikharah yang membawa maksud meminta Allah SWT mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan merupakan senjata orang yang beriman dalam menghadapi urusan agar dapat membuat pilihan yang tepat.
Yang pasti urusan itu tidak sahaja yang melibatkan pemilihan bakal pasangan tetapi turut merangkumi soal-soal berkaitan rumah, kenderaan, kerja dan sebagainya. Pokoknya ibadat itu memohon petunjuk tentang perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan.
Rasulullah SAW telah mensyariatkan umatnya agar mereka memohon pengetahuan Allah SWT dalam segala urusan yang mereka alami dalam kehidupan, sama ada yang kecil mahupun besar, agar beroleh kebaikan. Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliah berupa meramalkan masa depan dengan berpandukan kepada berhala dan syaitan.
Dari Jabir bin Abdullah r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kami cara melakukan istikharah (memohon kepada Allah SWT untuk menunjuki cara yang benar mengenai sesuatu kerja atau amalan), dalam segala hal sebagaimana baginda mengajar kami surah-surah dari al-Quran.
Baginda SAW bersabda: Jikalau salah seorang daripada kamu berniat melakukan sesuatu pekerjaan, maka kerjakanlah dua rakaat solat sunat dan berdoa:
” Ya Allah, Aku meminta pilihan kepadaMu dengan pengetahuanMu dan aku memohon keputusan dengan kekuasaanMu dan aku memohon kepada-Mu dari keutamaanMu yang besar, sesungguhnya Engkau mampu sedangkan aku tidak mampu dan Engkau mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau mengetahui urusan-urusan yang ghaib.
Ya Allah, jikalau Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' baik bagiku dalam
(agamaku dan kehidupanku serta akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang)
maka takdirkanlah bagiku dan mudahkanlah bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya.
Apabila Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' buruk bagiku (dalam agamaku, kehidupanku dan akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang)
maka singkirkanlah ia daripadaku dan takdirkanlah kebaikan bagiku di mana pun jua kemudian jadikanlah aku redha dengannya."
Rasulullah SAW menambahkan bahawa seseorang boleh menyebut masalah atau keperluannya selepas membaca 'urusan ini'.
Bagaimana Allah SWT menjawab permohonan ini?
Al-Quran menunjukkan bahawa Allah SWT akan memberi ilham kepada peminta itu, sama ada baik atau buruk, seperti dalam Surah al-Syams ayat 7-8, bermaksud: “Demi jiwa manusia dan yang menyempurnakannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwanya tentang buruk dan baiknya.”
Ilham adalah pemberitahuan Allah kepada manusia biasa. Ia akan datang pada bila-bila masa sahaja. Ada juga hadis yang menyebutkan alamat itu datang melalui mimpi.
Hendaklah mengerjakan solat istikharah 7 kali berturut. Panduan agar solat istikharah dibuat sebanyak 7 kali datang dari sebuah hadis yang maksudnya : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada Tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda atau perasaan yang datang terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu”
(Hadis Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi)
Terdapat juga ulama yang mencadangkan si pembuat istikharah agar jangan mempunyai kecenderungan tertentu kepada salah satu antara dua (atau lebih pilihannya) sebelum membuat istikharah. Demikian pandangan Ibn Hajar Al-‘Asqolani.
Galakkan menuruti tanda istikharah juga datang dari riwayat hadis Nabi SAW .maksudnya : “ Salah satu sumber kebahagian anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukkan anak Adam adalah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya” (Hadis Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi)
Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu jadikanlah solat dua rekaat itu sebagai amalan yang berterusan di dalam apa saja urusan. Kerana Nabi SAW dan sahabat-sahabat apabila menghadapi apa juga masaalah kehidupan atau sesuatu kebuntuan untuk menyelesaikan sesuatu perkara mereka akan solat dua rekaat. Salah satu solat sunat yang tidak ditinggalkan sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah solat istikharah. Wallahu a'lam.
Firman Allah SWT maksudnya :
“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku. Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar“.
(Surah Al-Baqarah: 152-153)
No comments:
Post a Comment