Wednesday, January 8, 2014

SOLAT FARDHU

Sempurnakan Lima Syarat Supaya Solat Kita di Terima Oleh Allah

Ibnu Abbas ra. berkata: Nabi s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Aku hanya menerima solat dari orang yang merendahkan diri karena keagungan-Ku dan tiada menyombongkan dirinya di atas makhluk-Ku, tiada terus menerus bermaksiat pada-Ku, menghabiskan masa harinya berdzikir kepada-Ku, berbalas kasih kepada orang miskin, orang musafir-ibnussabil- perempuan janda dan orang yang terkena mushibah. Ia bercahaya laksana matahari. Aku lindungi ia dengan kesabaran-Ku dan memerintahkan malaikat-Ku menjaganya. Aku berinya cahaya dalam kegelapan dan kesabaran dalam kesukaran. Ia di antara makhluk-makhluk-Ku laksana "firdaus" diantara barisan Syurga".
(Hadis Riwayat Al-Bazzar)

Sahabat yang dimuliakan,
Solat adalah amalan yang pertama akan dihisab oleh Allah s.w.t di hari akhirat nanti. Bila solatnya diterima maka barulah amalan-amalan yang lain di terima seperti puasa, zakat. haji, sedekah, bacaan al-Qur'an, berzikir, berbuat kebaikan kepada kedua orang tua dan berjihad di jalan Allah akan diterima dan dihisab. Jika solatnya ditolak maka amalan kebaikan yang lain tidak akan di hisab dan ianya akan terus dimasukkan ke dalam Neraka, nauzubillah.

Sebelum Allah s.w.t menerima solat seseorang hamba di hari akhirat nanti.maka Allah s.w.t. akan terima solat itu di dunia ini lagi.Jika Allah s.w.t menolak solat seseorang ketika di dunia maka solatnya tidak akan diterima apabila dipersembahkan olehnya dihadapan Allah s.w.t nanti. Selain daripada khusyuk dan betul dari rukun dan syarat sah solat, terdapat beberapa faktur lain yang akan diambil kira untuk diterima solat kita oleh Allah s.w.t.

Berdasarkan hadis Qudsi tersebut Allah s.w.t hanya akan menerima solat seseorang yang memiliki lima syarat tersebut dibawah ini :

1. Merendakkan diri kerana keagungan Allah.
Sifat merendahkan diri iaitu sifat tawadu' adalah sifat yang terpuji.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Tidak ada seorang pun yang bertawadu' kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan darjatnya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sifat tawadu' adalah satu sifat yang mulia, seseorang Muslim yang mempunyai sifat ini akan mendapat darjat yang tinggi disisi Allah s.w.t. Berlawanan dari sifat tawadu' adalah sifat sombong dan takbur.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya kalian merendah hati, hingga tidak ada orang yang merasa tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lain."

2. . Tidak bersikap sombong kepada makhluk Allah s.w.t.
Orang yang sombong suka menghina orang lain ketika di dunia ini, di akhirat nanti mereka pula akan di hina oleh Allah , Allah tidak akan memandang dan berbicara dengan mereka atau menyucikan mereka dan inilah kehidupan yang sebenar-benar hina.

Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh di rampas oleh sesiapa pun seperti sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :

"Perkasa adalah kain sarung-Ku (Allah) dan sombong ialah pakaian-Ku, barangsiapa menandingi Aku daripada salah satu dari keduanya, nescaya Aku akan menyiksanya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sebuah hadis Qudsi yang lain bermaksud:
"Allah Ta'ala berfirman (di dalam Hadis Qudsi) : Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi."

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
"Sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan makhluk."

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud;
"Tidak akan masuk ke dalam Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari sifat kesombongan."

3.. Tidak berterusan melakukan maksiat. Jika melakukan sesuatu maksiat segera beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t.

Kesesatan dan kesalahan yang berlaku adalah di sebabkan dorongan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang tidak sedari sentiasa mendorong untuk melakukan maksiat, ditambah pula pengaruh kebendaan dan nikmat dunia yang menipu. Oleh itu jalan terbaik segeralah bertaubat dan memohon keampunan Allah s.w.t. di atas kesalahan dan dosa-dosa yang telah dilakukan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

4. Menghabiskan masanya untuk sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t.
Berzikir dan meningati Allah s.w.t adalah sifat orang-orang Mukmin, lidahnya sentiasa basah menyebut nama-nama Allah dan memuji dan memuja kebesaran dan keagungan-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.”
( Surah Al Insan, Ayat 25 - 26)

Abu Hurairah r.a memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda,Allah s.w.t berfirman maksudnya : "Sesungguhnya,Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaku,adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku,jika dia mengingat aku di dalam hatinya, maka Aku mengingati dia dalam hatiKu, dan jika dia mengingati aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik ( iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa).Apabila hambaku mendekatiku sejengkal,maka aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta Aku dekati dia sedepa.Dan apabila dia datang mendekati aku dengan berjalan,maka Aku dekati dia dengan berlari."

5. Mengasihi orang-orang miskin, orang musafir ( ibnussabil) dan wanita janda dan orang yang ditimpa musibah (sentiasa memberikan bantuan kepada mereka).

Sifat mengasihi dan menyayangi orang-orang miskin, orang musafir dan wanita janda (ibu tunggal yang miskin dan menanggung anak yatim) dan orang yang sedang ditimpa musibah. Kemudian diberikan bantuan untuk membantu kesusahan mereka adalah satu sifat yang mulia disisi Allah s.w.t.

Sedekah adalah satu amalan soleh yang sangat dituntut oleh Islam. Sesiapa yang banyak bersedekah akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. Sehinggakan Nabi s.a.w. ada menyatakan di dalam hadisnya bahawa salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. di hari akhirat nanti adalah mereka yang bersedekah kerana Allah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya. Didalam riwayat yang yang lain Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa seorang dermawan yang ikhlas kerana Allah akan dimasukkan ke dalam Syurga lebih awal daripada ulama dan orang yang mati syahid.

Sifat bakhil dan membenci orang miskin yang serba kekurangan, orang musafir (ibnussabil) yang terputus perbelanjaan dan tidak menghiraukan kesusuahan yang menimpa wanita janda meskin dan orang yang ditimpa musibah (penyakit atau kemalangan) adalah sifat tercela dan dimurkai oleh Allah s.w.t..

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai balasan daripada Allah s.w.t. kedudukan mereka yang memiliki lima ciri-ciri di atas akan bercahaya di hari akhirat seperti matahari. Sentiasa mendapat perlindungan dan kasih sayang daripada Allah s.w.t. dan malaikat akan menjaganya (keselamatan diri) dan diberinya nur sakinah di dalam hati dan jiwa ketika di dunia . Apabila Allah s.w.t megasihi dan mencintai hamba-hamba-Nya maka Allah s.w.t akan memberi rahmat, perlindungan, rezeki dan pertolongan-Nya ketika di dunia ini dan di hari akhirat nanti diberi pengampunan dan di masukkan kedalam Syurga yang tinggi seluas langit dan bumi dan mengalir sungai-sungai dibawahnya.Di sinilah puncak kebahagiaan yang sebenarnya.

Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri kita dan perbaikilah amal soleh kita dan perbanyakkan kerja-kerja jihad dan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan kebajikan. Sesungguhnya segala kebaikan kita akan dinilai dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t.


Solat Dapat Mencegah Perkara Keji dan Mungkar

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramai orang yang mengerjakan solat, tetapi kenapa solat yang mereka kerjakan tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar? Sedangkan di dalam al-Qur'an Allah s.w.t. menjelaskan bahawa solat itu dapat mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Seperti mana yang dinyatakan oleh Ibnu A’syur, di dalam kitab Maqasid al-Syariah, bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya. Dalam persoalan solat, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Ankabut: 45).


Maksudnya solat dapat mencegah manusia daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Perkara keji dalam ayat ini apa-apa perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. Ini bermakna solat dapat mengubah orang daripada keras hati menjadi lembut hati, daripada bengis menjadi penyayang, daripada malas menjadi rajin, daripada berdusta menjadi jujur dan sebagainya sifat-sifat terpuji yang akan terbentuk dengan solat.

Namun jika seseorang itu rajin solat dalam masa yang sama tidak berubah daripada sifat negatif kepada lebih positif, ini bermakna bukan salah solatnya tetapi yang salah ialah yang melakukan solat. Manusia boleh berubah dengan solat jika solat itu benar-benar dihayati dari mula melihat kepada kefarduannya, azan yang menyerunya, wuduk, takbir, segala gerakan dalam solat seperti berdiri, rukuk, sujud serta menghayati bacaan di dalamnya.

Sekiranya rahsia solat ini berjaya disingkap saya yakin manusia akan berubah. Punca solat tidak mengubah manusia ialah kegagalan kita memahami hikmah dan falsafah solat itu sendiri. Solat bukan ritual adat malahan kemuncak menjadi seorang hamba yang diwajibkan berdiri menghadap-Nya lima kali sehari dengan sifat rendah diri dan penuh keinsafan.

Anak-anak perlu diajarkan solat ketika berusia tujuh tahun. Jika berumur sepuluh tahun tidak mahu mengerjakan solat maka ibu bapa boleh memukulnya sebagai pengajaran bukannya pukul yang mendatangkan kecederaan. Apabila semasa kecil sudah diajar, diasuh dan beri galakan untuk sentiasa mengerjakan solat maka apabila mereka meningkat remaja amalan fardu solat ini dah tidak perlu disuruh kerana mereka tahu akan tanggungjawabnya kepada Allah s.w.t.

Anak-anak juga berhak mendapat kasih sayang seorang ibu dan bapa. Dalam sebuah athar ada dinyatakan yang bermaksud: “Tidak akan dikasihani orang yang tidak tahu mengasihani”. Pembesaran anak-anak ada hubungkaitnya dengan kasih sayang yang diterima oleh anak-anak daripada ibu bapa mereka. Jika hari ini kita selaku ibu bapa mencurahkan kasih sayang kelak kita akan dikasihi oleh anak-anak kita.



Keutamaan Solat Fardu Berjemaah di Masjid

Sahabat yang dirahmati Allah,
Amalan anak Adam yang utama akan di hisab di hari akhirat nanti adalah solat fardu. Setelah solat fardunya diterima maka barulah amalan-amalannya yang lain akan dihisab satu persatu. Untuk melaksanakan solat fardu lima waktu yang paling afdhal perlaksanaannya adalah di masjid secara berjemaah. Abdullah bin Umar r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Solat dengan berjemaah adalah dua puluh tujuh kali baik mutunya daripada solat bersendirian."

Rasulullah s.a.w. pernah memerentahkan sahabat-sahabat baginda mengumpulkan kayu api untuk membakar rumah orang-orang Islam yang mendengar azan tetapi engan menunaikannya solat berjemaah di masjid. Walaupun baginda tidak pernah melaksanakan perkara tersebut, namun amaran keras baginda mengenai perkara ini menunjukkan amalan solat berjemaah di masjid adalah suatu suruhan yang amat penting.

Nabi s.a.w. mewasiati umatnya supaya tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid. Seorang sahabat, Abdullah bin Ummi Maktum pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. kemungkinan adanya keringanan untuk solat di rumah. "Ya Rasulullah, aku seorang buta. Rumahku jauh dari masjid. Aku punya seorang. Adakah kelapangan bagiku untuk solat di rumah sahaja?." Rasulullah balik bertanya, "Apakah engkau mendengar azan?" Abdullah menjawab, "Ya aku mendengarnya." Rasulullah bersabda, "Aku tidak membenarkan bagimu untuk solat di rumah."
(Hadis Riwayat Muslim dan Nasa'i)

Sekiranya Abdullah bin Ummi Maktum yang buta mata dan jauh pula dari masjid masih tidak dibenarkan oleh Nabi s.a.w. untuk mengerjakan solat fardu dirumah, apatah lagi kita yang memiliki kenderaan (kereta atau motosikal) dan masjid atau surau banyak ada di merata tempat, tidak ada alasan kukuh untuk kita mengabaikan solat fardu berjemaah dan hanya solat bersendirian dirumah.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Kalau seorang tidak pergi ke masjid meskipun dia telah dengar azan (dia lebih suka solat di rumah) tanpa sesuatu 'uzur syar'i yang kuat maka solatnya tidak diterima." Apabila para sahabat bertanya apakah 'uzur syar'i yang kuat itu, maka baginda menjawab, "Ketakutan atau sakit."

Kenapakah Rasulullah s.a.w. begitu menekankan untuk solat berjemaah di masjid? Rahsianya, adalah kerana masjid adalah asas utama dan terpenting bagi pembentukan masyarakat Islam.

Masyarakat Islam tidak akan terbentuk secara kukuh dan rapi kecuali dengan adanya komitmen terhadap sistem, aqidah dan anjuran Islam. Hal ini hanya dapat di tumbuhkan dengan semangat masjid.

Tidak hairanlah kalau sahabat berlumba-lumba mendekatkan dirinya di masjid. Mereka tidak rela satu pun kesempatan solat jemaah berlalu begitu sahaja. Malah, sebahagian sahabat Ansar yang tinggal jauh, ramai yang ingin memindahkan rumahnya berhampiran masjid.

Rasulullah s.a.w. juga menjelaskan bahawa jalan menuju masjid dihampiri pahala dan kebaikan. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Pada hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Orang yang paling besar mendapatkan pahala solat adalah yang paling jauh perjalanannya ke tempat berjemaah. Sedangkan orang yang menunggu-nungu waktu solat berjemaah pahalanya lebih besar daripada orang yang solat sendirian, setelah itu dia tidur."

Sahabat yang dikasihi Allah,
Salah satu sifat orang Mukmin yang beramal soleh yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupannya adalah solah fardu di masjid secara berjemaah. Sentiasa memakmurkan masjid-masjid Allah.

Masjid adalah jantung kehidupan umat Islam. Surutnya interaksi seseorang dengan masjid mengakibatkan imannya semakin lemah. Semangat untuk beramal soleh pun secara langsung menjadi sukar. Jiwanya gersang, kering kontang. Bagi seorang Muslim, 'Rumah Allah' adalah tempat penyejuk jiwa. Setiap saat menawarkan keteduhan dan kedamaian. Sehingga dimana pun ia berada, hatinya selalu terpaut dengan masjid.

Sesungguhnya orang yang sentiasa mengerjakan solat fardu di masjid akan mendapat dua kebaikan iaitu mendapat ganjaran pahala 27 darjat di dunia dan di akhirat solat akan jadi 'peguam bela' untuk tuan diri. Disamping itu ia juga akan mendapat perlindungan di Mahsyar nanti kerana hatinya sentiasa terpaut di masjid.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah pada saat tak ada lagi perlindungan selain perlindungan-Nya, iaitu :
1. Pemimpin yang adil.
2. Pemuda yang selalu beribadah kepada Allah s.w.t.
3. Seorang yang selalu terikat hatinya ke masjid.
4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka bersatu dan berpisah kerana-Nya.
5. Seorang yang apabila dibujuk (untuk berbuat dosa) oleh wanita cantik dan mempunyai kedudukan, maka orang itu berkata, 'saya takut kepada Allah.'
6. Seorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi.
7. Dan seorang yang mengingati Allah di tempat yang sepi sampai ia mencucurkan air matanya."


(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML