Wednesday, January 8, 2014

SOLAT HAJAT

Berdoa dan Bermunajat Ketika Solat Adalah Mustajab Di sisi Allah SWT.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ

Maksudnya: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. " (Surah al-Baqarah (2) ayat 45)

Berdasarkan ayat di atas Allah SWT telah memberi jalan kepada orang-orang beriman bahawa mintalah pertolongan daripada Allah SWT dengan bersabar menghadapi dugaan hidup dan mengerjakan solat sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sekiranya kita memiliki hajat-hajat yang tertentu, hendaklah ianya dipinta daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana sesungguh Dia bersifat al-Ijabah al-Doa (mengabulkan doa). 

Firman Allah SWT : 

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Maksudnya: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) : Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka) ; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. (Surah al-Baqarah (2) ayat 186

Dan di antara tempat yang mustajab untuk memohon doa terhadap sesuatu hajat adalah ketika solat. 

Oleh itu solat sunat hajat adalah solat yang dikerjakan oleh seseorang yang mempunyai hajat tertentu dan ingin memohon kepada Allah agar memperkenankan hajat tersebut. Sekiranya kita meneliti buku-buku yang membahaskan tentang solat sunat hajat ini maka kita akan mendapati terdapat pelbagai tatacara perlaksanaan serta jumlah rakaatnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Ibadah yang diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah ibadah yang dikerjakan semata-mata ikhlas kerana-Nya dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi SAW. Sebuah hadis berkaitan dengan solat hajat juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Maimun Abu Muhammad al-Mura’i al-Tamimi. Dia berkata: Yahya bin Abi Kathir telah menceritakan daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam daripada Abu Darda’ radhiallahu’ anh katanya: Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ يُتِمُّهُمَا أَعْطَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ مُعَجِّلاً أَوْ مُؤَخِّرًا

Maksudnya : "Sesiapa berwuduk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahupun lambat." (Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 26225.)

Imam al-Suyuti rahimahullah di dalam kitabnya La’aaliul Mashnu’ah berpendapat bahawa hadis ini adalah satu-satunya hadis yang sahih tentang solat hajat. 

Dalil keharusan mengerjakan solat hajat, seseorang hendaklah melaksanakannya menurut tatacara yang bertepatan dengan hadis tersebut, iaitu:

1. Menyempurnakan wuduk.

Dari Umar bin al-Khattab r.a. katanya: "Ada seorang lelaki berwuduk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi SAW. Disebabkannya baginda bersabda: "Ulang kembali wudukmu dengan sempurna dan sebaik-baiknya!" Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat." (Hadis Riwayat Muslim)

2. Solat sebanyak dua rakaat. 

3. Tidak ada bacaan ayat-ayat mahupun surah-surah yang tertentu yang dibacakan dalam jumlah tertentu untuk solat hajat ini.

4. Berdoa sama ada di dalam solat atau sesudah solat. Jika ingin berdoa ketika dalam solat antara tempat yang afdal untuk berdoa adalah ketika sujud dan sesudah membaca tasyahhud akhir sebelum memberi salam. Tidak ada lafaz doa tertentu yang disyariatkan bagi solat hajat. Justeru, doa tersebut bolehlah disusun sendiri mengikut apa yang dihajati.
Jika kita berdoa semasa dalam solat (samaada semasa sujud atau selepas tasyahhud akhir sebelum salam) jika menggunakan bahasa melayu maka doa itu hanya di dalam hati tidak boleh dlafaskan.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya : “Saat yang paling dekat bagi seorang hamba dari Rabbnya adalah ketika dia sujud, maka perbanyaklah doa” (Hadis Riwayat Imam Muslim no 482)

Terdapat banyak riwayat menunjukkan bahawa para salafussoleh mengerjakan solat hajat (solat mutlak). Melalui solat tersebut mereka mengambil kesempatan untuk berdoa di tempat yang afdal untuk berdoa ketika di dalam solat, iaitu ketika sujud dan sebelum salam dan juga bertawassul dengan amalan yang mulia, iaitu mengerjakan solat. 

Di antara hadis lain yang digunakan sebagai dalil untuk solat hajat adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Uthman bin Hunaif katanya:

أَنَّ رَجُلاً ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ يُعَافِيَنِي.
فَقَالَ: إِنْ شِئْتَ أَخَّرْتُ لَكَ وَهُوَ خَيْرٌ وَإِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ. فَقَالَ: ادْعُهْ.
فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِمُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ.
يَا مُحَمَّدُ إِنِّي قَدْ تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى اللَّهُمَّ شَفِّعْهُ فِيَّ

Maksudnya: "Seorang lelaki buta datang menemui Rasulullah SAW  lalu berkata: Doakanlah kepada Allah supaya dia sembuhkan (kembalikan penglihatan) aku.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Kalau engkau suka untuk bersabar engkau akan mendapat pahala di atas kesabaranmu (di atas kecacatanmu itu) ataupun boleh juga sekiranya jika engkau mahu, aku akan mendoakan engkau sekarang (supaya sembuh serta-merta).

Kata lelaki itu : "Doakanlah untuku sekarang. Lalu baginda SAW  menyuruhnya agar berwuduk dan menyempurnakannya lalu mengerjakan solat dua rakaat. Kemudian dia berdoa: 'Ya Allah Ya Tuhanku! Aku berdoa dan bermunajat kepada-Mu dengan (perantaraan doa) Muhammad, Nabi yang membawa rahmat.
Ya Muhammad, sesungguhnya aku telah menghadap dengan (doamu) kepada Tuhanku tentang hajatku ini supaya dimakbulkan hajatku ini. Ya Allah! Berikanlah syafaat (baginda SAW) kepadaku." (Hadis riwayat Imam Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Iqamah al-Solah wa Sunnah Fiha, no: 1375.)

Hadis di atas sebenarnya berkisar tentang tawassul atau berdoa menggunakan perantaraan yang selari dengan syarak.

Amalan yang dilakukan oleh lelaki  tersebut adalah :

Pertama : Menggunakan perantaraan amal soleh, iaitu dengan mengerjakan solat sunat mutlak sebanyak dua rakaat.

Kedua : Menggunakan perantaraan doa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Bertawassul dengan doa orang soleh yang masih hidup adalah di bolehkan dalam syariat Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Untuk mengharapkan daripada Allah SWT akan hajat-hajat kita dikabulkan oleh Allah SWT maka banyakkan berdoa di dalam solat.

Kita dibenarkan untuk memohon apa jua hajat kita dalam solat sama ada fardu mahupun sunat terutamanya ketika sujud dan sesudah membaca tasyahhud akhir sebelum salam. Apa yang lebih utama adalah jika kita panjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala ketika masih dalam solat. 

Menurut Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam Majmu’ al-Fatawa, Jld. 22, ms. 512-514:
"Seseorang yang sedang bersolat sebenarnya sedang mengadu (bermunajat) kepada Tuhan-nya, maka ketika dia memberi salam (menunjukkan berakhirnya solat), selesailah sudah munajatnya. Oleh itu sewajarnya permohonan itu dipanjatkan ketika bermunajat (dalam solat sebelum salam) kerana ianya lebih mungkin untuk dimakbulkan jika dibandingkan dengan permohonan yang dipanjatkan setelah dia selesai bermunajat (selesai solat).


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML