Sunday, November 2, 2014

BILA DICABUT RASA BERDOSA




Dalam sehari kita banyak melakukan dosa. Sama ada sedar atau pun tidak. Dosa yang dilakukan separa sedar boleh membahayakan tuan badan. Namun dosa tetap dosa. Dosa akan menjadi darah daging bila selalu dilakukan. Automatik badan akan bertindakbalas bila mendapat rangsangan atau peluang di hadapan mata. 

Jauh di sudut hati itu. Masih ada rasa bersalah bila berbuat dosa.

Kadangkala, kita hanya berusaha meninggalkan dosa, tanpa singgah pada hentian keimanan. Hasilnya hanyalah kelemahan. Kita lemah untuk bangkit. Tidak bermaya. Tiada motivasi. Hampa keseorangan. Untuk taubat jauh sekali. Dirasakan hanya sia-sia. Kerana tidak yakin boleh berhenti terus daripada melakukannya.

Kita tidak sedar semua itu. Berlagak seperti biasa.
Menjalani kehidupan dengan nafas longlai.

Kerana ilmu sedikit, banyak benda silap yang kita tidak tahu. Banyak ilmu seni kehidupan kita tidak faham. Kita telah buat kesalahan tanpa kita sedar. Kita telah buat dosa-dosa besar tapi tidak tahu.

Kita banyak buat kesalahan dengan Tuhan tapi tak sedar. Jadi yang kurang pada kita ialah ilmu. Bila kita tidak faham, semakin banyak ibadah semakin banyak kita tipu diri. Kerana ilmu kita tidak dapat menyuluh tuan badan. Ilmu Tuhan itu sangat seni. Sangat tersirat.

Ilmu yang tersirat itulah yang boleh mengubat hati. Ilmu lain tak boleh. Kadang-kadang dia tipu kita. Ilmu yang lahir tak terasa apa-apa. Bila tak terasa apa-apa, semakin banyak kita buat, kita dah rasa luar biasa. Kita rasa diri sudah hebat.

Ini dah berdosa dengan Tuhan tapi kita tak sedar. Kita tidak takut dengan Tuhan lagi.


ILMU BEKALAN KEHIDUPAN

Ilmu yang disebut-sebutkan ialah ilmu ukhrawi dan ilmu duniawi. Ilmu duniawi perlu dipandu dengan ilmu ukhrawi agar tidak membatasi hak keupayaan seorang hamba. Ilmu ukhrawi itulah ilmu rohani. Iman yang melahirkan rasa kehambaan.

Cuba fikirkan.

Banyak dosa batin yang kita buat tak tahu. Lebih-lebih lagi sembahyang banyak, ibadah banyak, wirid zikir banyak, kerja agama sudah banyak tetapi tidak ada rasa takut dengan Tuhan. Sebab ditutup oleh kebaikan zahir tadi. Itu satu kejahatan paling besar. Ia telah mencabut rasa kehambaan.

Rasa kehambaan itulah yang Tuhan nak. Bila dicabut rasa kehambaan dia tidak nampak dosa besar. Bila rasa kehambaan tercabut datanglah rasa ketuanan, ingat diri berkuasa. Bila dibiarkan akan datang rasa kesombongan. Mencacatkan akidah. Bahaya.

Hakikatnya, bergerak kepada Allah dengan bergerak mengingkariNya itu ibarat satu bergerak ke utara dan satu lagi bergerak ke selatan. Selangkah kita kepada Allah, selangkah kita telah meninggalkan kejahatan. Selangkah kita ke arah kemungkaran, hakikatnya kita telah selangkah meninggalkan Allah SWT.


“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.“ 
Surah Al-’Asr ayat 1-3.

Marilah isi kehidupan dengan kebaikan!

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML