Sunday, November 2, 2014

DAIE : PENGECUT kerana BODOH?



TEORI BERANI ATAU TAKUT

Teori ini hanya sekadar teori peribadi yang jika diperhalusi ia adalah benar.

Dua perkara iaitu sama ada BERANI atau TAKUT itu hanya berlandaskan kepada dua faktor sahaja iaitu TAHU atau TIDAK TAHU.

Semua ini sebenarnya telah dilalui oleh keramaian manusia dalam menjalani rutin harian biasa atau kadang-kadang luar biasa. Ramai diantara kita hari ni bercakap mereka BERANI dengan nada penuh keyakinan dan ada juga dengan nada biasa-biasa sahaja. Lantaran itu ada yang mengakui seseorang itu memang BERANI dan adayang BERANI membabi buta.

BERANI boleh diperkatakan dalam skop yang luas. Sama ada dalam aspek perlakuan yang positif atau negatif. Contohnya BERANI merebut sesuatu peluang, pencapaian, membuat keputusan atau BERANI dalam perlakuan yang lebih agresif seperti BERANI bergaduh, berperang, berani berdepan dengan musuh, hantu, berlumba motor sama ada secara haram atau halal, BERANI memanjat bangunan tinggi, terjun bunjee dan macam-macam keberanian yang lain lagi.

Semua perkara atau perlakuan di atas boleh jadi sebaliknya iaitu TAKUT. TAKUT mengambil risiko, TAKUT merebut peluang, TAKUT bergaduh, TAKUT berlumba, memanjat bangunan tinggi, TAKUT membuat keputusan, TAKUT hantu dan ketakutan-ketakutan yang lain.



ANTARA BERANI DAN BODOH

Antara TAKUT dan BIJAKSANA .
Dan antara BERANI dan BODOH.
Terlalu luas grey area nya.


Sebanyak mana senarai kelakuan yang BERANI atau TAKUT tersebut ianya hanya bersandarkan kepada dua perkara iaitu TAHU atau TIDAK TAHU.

Contoh yang paling mudah, seperti sesorang TAKUT berjalan di kawasan gelap, lorong yang sunyi, kawasan perkuburan atau mana-mana situasi yang hampir sama dengannya. Tetapi pada sesetengah orang lain ada dikalangan mereka yang BERANI melakukan perkara tersebut. Bagi mereka yang TAKUT berbuat sedemikian kerana mereka TAHU dan juga kerana mereka TIDAK TAHU. 
Mereka yang BERANI berhadapan dengan situasi ini juga kerana mereka TIDAK TAHU kawasan tersebut berbahaya, berhantu, keras dan berpuaka. Jadi apa yang hendak ditakutkan. Mereka yang TAHU keadaan dikawasan tersebut tetapi masih BERANI menghadapinya mungkin adalah kerana mereka TAHU bagaimana menghadapi suasana atau atau situasi tersebut. 
Mereka mungkin TAHU ilmu mempertahankan diri, Mungkin TAHU bagaimana menangani hantu puaka atau penjenayah yang mungkin muncul. Jadi tiadalah ketakutan dalam diri mereka. Menjadikan mereka BERANI.

Berani juga perlukan kebijaksanaan dan kebijaksanaan juga memerlukan keberanian..



KEBERANIAN BERDAKWAH

"Perjuangan itu pahit, kerana syurga itu manis".

Para endakwah harus berani menempuh perjuangan. Perjuangan bukan hanya BERANI yang menjadi bekal, malah CERDIK dan bijaksana juga sebahagian daripada senjata.

Berani membuta tuli, jangan disangka hero kerana di sisi Islam seseorang itu mungkin dungu dan membinasakan perjuangan dengan keberaniannya.

Pertimbangan pendakwah bukan hanya pada ujian peribadi, kesakitan, kerugian atau ketakutan. Perjuangan bukan hanya teruji dengan hal-hal yang sedemikian itu.

Perjuangan juga berdepan dengan ruang-ruang bergerak yang semakin disempitkan. Ia bukan disempitkan oleh kongkongan dan akta zalim semata-mata, tetapi disempitkan juga oleh prejudis dan sumbatan minda yang amat kompleks.




PERJUANGAN DILABEL PEMBANGKANG

Perjuangan mempertahankan keadilan dan hak kemanusiaan, dilabel sebagai PEMBANGKANG!
Pembangkang dilabel sebagai penjenayah dan mengganggu ketenteraman awam.

Sekurang-kurangnya itu adalah mazhab politik Malaysia hari ini. Fasiliti kelas satu, minda beku dan biru.

Label pembangkang menjadikan orang telah pun lari, sebelum kita sempat memperkenalkan diri.
Inilah kerisauan terbesar pejuang era milenium.

Prinsip-prinsip dan kepercayaan diri terhadap kebenaran, keadilan, kejujuran, ada masanya perlu diterjemahkan sebagai prinsip dan pendirian politik. Namun apabila pendirian itu menyebabkan kita perlu berdiri di bulatan politik yang membangkang, bulatan itu mengecilkan ruang dakwah kita.


“Jangan jemput ustaz tu sebab dia orang belah sana!”, kata seorang ketua kampung.
“Dia tu, kalau kita sediakan mikrofon, mesti dia nak suruh kita masuk parti dia!”, tegas seorang pengerusi sebuah badan NGO.

Biar pun seorang pendakwah bersikap profesional dalam mengasingkan mesej politik dari mesej dakwahnya, ia tidak sempat untuk dihargai kerana telah tertolak mentah akibat prejudis dan gangguan mental masyarakat.

Inilah yang menjadi kerungsingan pendakwah!

UJIAN PERLU DITELAAH

Demi segulung ijazah mahasiswa perlu menelaah buku

Demi kelangsungan perjuangan pendakwah perlu menelaah ujian

Justeru, ujian di sepanjang jalan perjuangan ini perlu dipelajari dan diteladani. Ia tidak muncul secara skema mengikut skrip yang dihafal dalam manhaj Tarbiyyah yang diberi.

Pendakwah harus sentiasa peka dan mengenalpasti, apakah ujian yang sedang dihadapinya, lantas bertindak sesuai dengan ujian itu.

Dia itulah yang telah menjadikan kematian dan kehidupan (kamu) sebagai ujian untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun 
[Al-Mulk 67 : 2]

Kehidupan dan kematian telah dijadikan Allah memang sebagai medan ujian buat kita. Namun kejayaan adalah untuk mereka yang memahami bentuk ujian yang datang, dan seterusnya bertindak sesuai dengan ujian yang dihadapinya itu.

Setelah wujud keberanian, bijaksanalah dalam menekuninya!

"Bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba. UJIAN itu sudah pasti ada. Kehidupan pada alaf ini memberikan banyak definisi pada ujian. Orang yang bijaksana dan berani hidup, akan berlapang dada mempelajari ujian-ujian. itu. Kaji kembali syariatullah dan sunnatullah, apabila kita diuji, yakinlah ianya kehendak Allah. Tetapi strategi untuk mengatasi sentiasa perlu dicari".


p/s :

1. Sebenarnya nak menulis tentang gambaran mahasiswa. Tapi memikirkan keluasan ruang lingkup sasaran dakwah, penulisan lebih mencapah ke arah batang tubuh seorang daie, yang melingkupi segenap usia.
Semoga terkesan dan berbekas dalam kaca pemikiran masyarakat umum.

2. Tidak perlulah melabelkan seseorang atau sesuatu organisasi sesuka hati.Tetapi perwatakan dan pembawakan dalam berprofesion adalah neutral dan profesion.

Memilih parti adalah pilihan individu. Hormatilah dan berlapang dadalah. Semoga Allah menunjukkan yang mana haq dan yang mana batil. Jangan pernah jemu untuk berdoa.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML