Friday, September 26, 2014

ISLAM ITU MUDAH, JANGAN SUSAHKAN

Bismillahirrohmanirrohim, segala puji Tuhan seluruh alam, selawat dan salam ke atas para rasul, ampunkan dosa - dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, guru - guru kami, serta semua muslim di atas muka bumi ini.

....................................................................................................................................


Kadang - kadang, saya termenung, tertunduk sambil menggelengkan kepala...

Pandang ke hadapan, akhirnya saya tunduk memandang lantai bumi saya berpijak menggunakan selipar tandas...

Pandang ke kanan, saya hampa...

Pandang ke kiri, saya marah...

Pandang ke belakang, saya malas memusingkan badan...

Apakah situasi yang berlaku di sekeliling kita ini?

Kita dikelilingi oleh mereka yang berbicara soal agama, ya, itu petanda positif bagi umat akhir zaman ini!

Kita melaungkan bahawa Islam itu mudah, Islam itu menyeluruh, Islam itu dekat dengan fitrah kejadian...

Namun, kita tidak sedar bahawa sebahagian kita memberat - beratkan agama...

(Menghembus nafas...dan tarik nafas kembali...)

Ini bukan soal kecil ibarat kaki digigit nyamuk wahai saudaraku, ini soal yang besar dan berat!

Daripada Abu Mas'ud Al Anshari mengatakan, seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan berkata (mengadu):

"Wahai Rasulullah, demi Allah, sungguh saya memperlambat-lambatkan diri dari solat subuh kerana si fulan yang menjadi imam, dia selalu memanjangkan bacaan solatnya jika solat bersama kami." 

Abu mas'ud berkata:

Belum pernah kulihat Nabi s.a.w sedemikian marahnya seperti ketika beliau menasihatinya. Lantas Nabi menegur:

"Hai manusia, diantara kalian ada yang menyebabkan orang lain menjauhkan diri dari (agama), siapa diantara kalian mengimami orang-orang, lakukanlah secara ringkas (sederhana), sebab disana ada orang-orang tua, orang lemah dan orang yang mempunyai keperluan"

(Sahih Bukhari)


Daripada Abu az-Zubair dari Jabir r.a bahawasanya dia berkata, Mu'adz bin Jabal al-Anshari solat Isyak mengimami para sahabatnya, lalu dia memanjangkan bacaannya atas mereka, maka seorang lelaki dari kalangan kami berpaling, lalu solat sendirian. Lalu Mu'adz diberitahu tentangnya, maka dia berkata, 'Dia seorang yang munafik.' Ketika hal tersebut sampai pada lelaki tersebut maka dia mengunjungi Rasulullah s.a.w, lalu mengkhabarkan kepadanya sesuatu yang dikatakan Mu'adz.

Maka Nabi s.a.w bersabda kepadanya:


"Apakah kamu ingin menjadi pemfitnah (yang membuat orang lain lari dari agama) wahai Mu'adz? Apabila kamu mengimami manusia, maka bacalah surat asy-Syams wa dhuhaha, Sabbihisma Rabbika al-A'la, dan Iqra' Bismi Rabbika, serta Wa al-Laili idza Yaghsya'(yakni surah pendek)."

(Sahih Muslim)


....................................................................................................................................


Saya teringat akan misi dakwah bersama rakan-rakan tabligh di pedalaman Sabah, di sebuah pulau terbesar di Malaysia namun termiskin hinggakan air bersih dan tenaga elektrik baru beberapa tahun di pasang dan itu pun hanya berdekatan jeti, jalannya masih banyak tidak berturap, dan rata - rata gaji mereka kurang rm300 sebulan.

Di sana, rata - rata penduduknya muslim namun hanya pada nama, oh, itu tidak menjadi masalah kerana itu sebahagian daripada misi kami.

Namun, suraunya tiada berpenghuni, sehinggakan penduduk kampung yang kami temui berkata, "Bukan kami tidak mahu belajar agama, bukan kami tidak mahu mengaji tapi tiada siapa yang mahu mengajar kami!"

Nah! Itu satu tamparan hebat di muka saya.

Itu baru dipersoalkan di dunia, bagaimana jika kita dipersoalkan di hadapan Allah kelak?

Kenapa kita tidak menghiraukan muslim yang lain, kenapa kita membiarkan mereka tanpa didikan agama?

Tidak perlu pergi jauh sehingga ke Palestin, tidak perlu melaungkan slogan 'haram jadah Israel', tidak perlu semua itu.

Koreksi diri kita, dimana diri kita disaat azan subuh berkumandang? Dimana diri kita saat muslim lain memerlukan kita di Malaysia ini sendiri? 

Kita tidak perlu untuk masuk ke pedalaman untuk berdakwah, kita tidak perlu bersusah - susah kerana dakwah kini ada di mana - mana.

Di dalam 'facebook', di dalam rumah, dalam masyarakat sekeliling kita...

Namun satu sahaja pinta saya, jangan persulitkan agama, mudahkanlah...tolong jangan buat orang semakin jauh daripada agama...tolonglah...

Dari Sa'id bin Abu Burdah dari ayahnya dari datuknya , bahwa Nabi s.a.w pernah mengutus datuknya (Abu Musa) dan Mu'adz ke negeri Yaman, maka beliau bersabda: 

"Hendaklah kalian permudahkan dan jangan persulit, beri khabar gembira dan jangan membuat orang lari (daripada agama), saling patuhlah kalian berdua dan jangan saling bersengketa."


(Sahih Muslim)


....................................................................................................................................


Pernah juga saya masuk ke perkampungan 'saudara - saudara baru' di sebuah daerah di Malaysia, maklumlah, 'saudara baru' jadi pengetahuan agama mereka sangat terhad.

Menjadi tanggungjawab kita untuk menerangkan apa yang asas di dalam agama antaranya adalah berkenaan solat.

Amat menyedihkan apabila semakin hari semakin kurang orang yang ingin belajar agama dan setelah diselidiki rupa - rupanya kerana sang ustaz ini mewajibkan mereka menghafal doa iftitah yang panjang itu!

Tepuk dahi! 

Daripada Aisyah r.a bahawa dia berkata:

"Tidaklah Rasulullah s.a.w merasa bingung terhadap dua pilihan melainkan beliau akan memilih perkara yang lebih mudah (ringan) selama hal itu tidak menyebabkan dosa. Jika perkara itu menyebabkan dosa, maka beliau adalah orang yang paling menjauhkan diri dari padanya. Dan tidaklah Rasulullah s.a.w marah terhadap suatu perkara, melainkan bila beliau melihat larangan Allah dilanggar, maka beliau akan marah kerana Allah."

(Sahih Bukhari)

Banyak lagi situasi di sekeliling kita sebenarnya yang seperti ini.

Antaranya institusi masjid di zaman ini. Kita umum mengetahui bahawa masjid merupakan pusat yang sangat penting di dalam Islam sehinggakan nabi s.a.w melarang orang berjual beli di dalam masjid, meninggikan suara dan sebagainya.

Namun ada golongan 'AJK masjid' yang masih kolot pemikirannya, menengking anak - anak kecil yang bermain di dalam masjid hinggakan anak kecil itu tidak mahu lagi datang ke masjid.

Ini sangat tidak patut, hinggakan saya hampir menegur tindakan 'AJK masjid' itu. Bayangkan, institusi masjid seharusnya diperkasakan! Ya, diperkasakan dan diperbaiki bukannya di tadbir tanpa ilmu!

Sewaktu program bersama pelajar muslim yang bukan aliran agama, fasilitator mewajibkan mereka bangun untuk qiamullail. Bagus, tetapi kenapa perlu sampai dua jam? Ini memberatkan mereka dan hasilnya, mereka mengantuk di siang hari dan malas melakukan ibadah malam lagi.

Tidak cukupkah kita hanya membangunkan mereka untuk solat witir satu rakaat? Biar mereka istiqomah, lama kelamaan mereka sendiri akan menambah ibadah itu. 

Belum lagi mereka yang menegur dengan kasar golongan yang masih tidak bertudung sehingga mengecilkan hati mereka dan membuatkan mereka semakin jauh daripada 'orang agama'.

Belum lagi masuk bab walimah dan jual beli. Dan 1001 contoh di sekeliling kita.

Kita sekarang mengalami krisis 'memberatkan agama'!




....................................................................................................................................


Disini ada beberapa saranan untuk kita semua sebagai Islam,


Yang pertama, harus memiliki ilmu, untuk menegur dan mengajar, kita harus memiliki ilmu, tidak banyak, cuma yang asas sahaja. Bagaimana mungkin kita ingin menegur solat seseorang sedangkan rukun solat pun kita tidak tahu?


Yang kedua, kenali sasaran kita, adakah beliau seorang 'saudara baru'/rakyat biasa/ustaz/orang yang lebih tua/anak kecil/remaja. Teguran dan mengajar itu harus bersesuaian dengan sasaran kita. Untuk menegur kesalahan ustaz, tegur dengan cara yang sesuai dengan ilmu sang ustaz. Ingin mengajar kawan-kawan pun kena tahu tahap kefahaman agama dia terlebih dahulu. Pantaskah seorang yang memiliki kefahaman agama yang sederhana, kita bercakap berkenaan perkara khilafiyah?


Yang ketiga, dakwah, teguran dan didikan itu memerlukan strategi, bahkan semuanya memerlukan strategi ataupun perancangan yang tersusun. Jangan terus lompat masuk ke kandang buaya kalau tiada strategi terlebih dahulu!

Ibnu Abbas dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Mu'adz ketika mengutusnya ke Yaman (untuk berdakwah):

"Engkau akan mendatangi kaum ahli kitab, Apabila telah sampai kepada mereka maka serulah mereka untuk bersaksi bahwa tidak Tuhan yang berhak untuk disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya. Jika mereka telah ta'at untuk itu, maka beritahukanlah bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka telah ta'at untuk itu, maka beritahukanlah bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka untuk mengeluarkan zakat harta mereka, di ambil dari orang-orang kaya mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin dari mereka. Jika mereka taat untuk itu, maka hati-hatilah engkau dari mengambil harta milik mereka yang paling baik, takutlah engkau dengan do`anya orang dizhalimi, sebab antara ia dengan Allah tidak ada yang menghalanginya."

(Sahih Bukhari)

Yang keempat, muhasabah diri, mohon petunjuk, kerana kebenaran dan hikmah itu datangnya daripada Allah. Kita cuma alat yang menyampaikan dan tidak semestinya kita betul semuanya.



Wallahua'lam.



....................................................................................................................................


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML