Friday, September 26, 2014

AKU JUGA PENDOSA



Entri kali ini adalah berkenaan diri ini, diri yang penuh dosa, dan jikalau dosa itu dapat di bau, saya pasti, tiada siapa yang akan dekat dengan saya termasuklah umi saya sendiri. Syukur kepada Allah kerana masih menutup aib diri kita ini.

Daripada An Nawwas bin Mis'an Al Anshari r.a dia berkata, aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang erti kebaikan dan dosa. Sabda beliau : 

"Kebajikan itu ialah budi pekerti yang baik. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, dan engkau sendiri benci jika perbuatanmu itu diketahui orang lain" (Sahih Muslim)

Semua orang tahu apa erti dosa, kanak - kanak kecil pun mengerti apabila disebutkan tentang dosa. Apatah lagi orang dewasa seperti kita. 

Dosa itu adalah sesuatu yang akan menyesakkan diri kita, jiwa kita, kita tidak tenteram bahkan resah gelisah dan rasa tidak selamat jika diketahui orang lain. Perbuatan yang melanggar perintah Allah s.w.t.

Baiklah, cukup sekadar itu takrifan ringkas tentang dosa.

Dosa besar boleh diampunkan dengan memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah manakala dosa kecil akan terhapus dengan amal - amal kebaikan yang kita lakukan, InsyaAllah. Manakala dosa yang tidak diampunkan adalah dosa mensyirikkan Allah.

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya" (4:116)

Ramai orang meremehkan hal mensyirikkan Allah, bahkan mereka tidak menyedari bahawa mereka mensyirikkan Allah tanpa disedari, Na'uzubillahiminzalik!

Dan di dalam hadith disebutkan,
Daripada Abdullah r.a, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w lalu dia berkata:

"Ya Rasulullah! Aku telah berdosa, kerana aku bermesraan dengan seorang perempuan di pinggir kota Madinah. Aku telah berbuat dosa dengannya selain (daripada) bersetubuh. Maka hukumlah aku dengan hukuman apa saja yang anda hendaki!"

Maka Umar bin Khaththab r.a berkata kepadanya:

"Seandainya engkau menutup rahsia (aib) dirimu, nescaya Allah telah menutupi kesalahanmu itu."

Kata Abdullah r.a : "Nabi s.a.w tidak membantah sedikitpun ucapan Umar tersebut"

Maka berdirilah lelaki itu kemudian pergi. Lalu Nabi s.a.w menyuruh seseorang menyusul dan memanggilnya kembali. Kemudian beliau bacakan kepadanya ayat ini:

"Dan dirikanlah solat pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada sebahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya segala perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) segala perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat" (QS Hud: 114).

Maka bertanyalah seseorang dari kalangan yang hadir:

"Ya Nabiyullah! Apakah ayat itu ditujukan khusus baginya?"

Jawab Nabi s.a.w:

"Bahkan untuk seluruh umat manusia" 

(Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad - redaksi hadith daripada Sahih Muslim)

Dosa walaupun sebesar zarah, sekecil atom - atom sekalipun, tetap dalam perhitungan Allah s.w.t. Itu tanda keagungan Pencipta kita. Dan harus juga di ingat, kebaikan sebesar zarah pun akan dinilai oleh Allah s.w.t yang Maha Adil. 

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula." (99:7-8)

Allah s.w.t tidak pernah menganiaya kita bahkan kitalah yang menganiaya diri kita sendiri dengan melakukan dosa kepada Allah. Lakukanlah kebaikan, kerana Allah berjanji bahawa Dia akan melipat gandakan pahala kebaikan kita itu.

"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar." (4:40)

Saya, awak, dia, mereka dan seluruh manusia bahkan golongan jin sekalipun tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Anda berani jamin anda manusia yang terbaik yang tidak melakukan dosa? Maka renungkan hadith di bawah.

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : 

"Andaikata kalian tidak pernah melakukan dosa, nescaya Allah s.w.t mendatangkan suatu kaum (lain) yang melakukan dosa sehingga Dia mengampuni dosa mereka" 

(Dinilai sahih dalam Musnad Ahmad)

....................................................................................................................................


Apakah yang lebih berat musibahnya bagi seorang hamba jika dosa - dosanya dipertontonkan di akhirat kelak dan di hisab oleh Allah s.w.t! 

Secelup kita di dalam neraka, peritnya tidak terkata! Berdoalah, agar hati kita ditetapkan di jalanNya dan mintalah dijauhkan api neraka.

Dan ingatlah, pandanglah dosa itu ibarat gunung yang akan menghempap kita, janganlah kita memandang dosa itu seperti lalat yang boleh ditepis - tepis lalu ia terbang pergi.

Daripada Al Harits bin Suwaid telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Mas'ud r.a mengenai dua hadith, salah satunya dari Nabi s.a.w dan yang lain dari dia sendiri, dia berkata:

 "Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti ia duduk di pangkal gunung, ia khuatir gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fasik (selalu berbuat dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia mengusirnya seperti ini lalu terbang." 

(Sahih Muslim)

Allahurobbi!


Berapa ramai dalam kalangan manusia sekarang yang memandang remeh perihal dosa ini?

Janganlah menjadikan kita fasik, jadikanlah diri kita ini sebagai mukmin.

Salah satu caranya adalah dengan banyak mengingati mati!

Daripada Ibnu Umar r.a bahawa dia berkata, saya bersama dengan Rasulullah s.a.w, tiba-tiba datang seorang lelaki Ansar kepada beliau, lalu dia mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w dan bertanya : 

"Ya Rasulullah, bagaimanakah orang mukmin yang utama?" 

Beliau menjawab: 

         "Orang yang paling baik akhlaknya." 

Dia bertanya lagi: 

"Orang mukmin yang bagaimanakah yang paling bijak?" 

Beliau menjawab: 

"Orang yang paling banyak mengingati kematian, dan yang paling baik persiapannya (untuk) setelah kematian, merekalah orang-orang yang bijak" 

(Dinilai hasan dalam Sunan Ibnu Majah)

Oh, bukan mudah untuk menjadi seorang yang soleh dan solehah!

Tapi...kita ingat pada Allah, pada kematian, pada dosa pahala itu...cuma seminit...lepas itu kita akan kembali gelak ketawa dan minum kopi di kedai mamak sambil tengok bola.

Betul?

Seringkali kita termenung mengenangkan dosa - dosa yang telah kita lakukan, kita bertaubat, rasa sangat bersalah, namun, kita menipu diri kita sendiri.

Bahkan kita mengulangi dosa itu dan kembali insaf dan lakukan dosa itu kembali!

Saya, awak dan mereka...semuanya pendosa...usah rasa diri kita lebih baik daripada orang lain.

Jika kita melihat seorang perempuan yang tidak bertudung, jangan bangga kerana kita bertudung.

Katakan di dalam hati, "Ya Allah, hidayah itu milikMu, berikan dia hidayah"

Kerana tidak mustahil suatu hari nanti, si dia itu akan memakai tudung yang lebih labuh daripada kita!

Daripada Al Harits bin Suwaid telah menceritakan kepada kami Abdullah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Sungguh Allah lebih senang terhadap taubat salah seorang dari kalian melebihi seseorang yang ada di padang tandus gersang, ia bersama tunggangannya, yang diatasnya ada perbekalan, makanan, minuman serta keperluannya lalu ia kehilangan kenderaan tungangannya, ia pergi mencari-carinya hingga kematian (semakin) menghampirinya, ia berkata: Kembalikan aku ke tempat aku kehilangan dia, biarlah aku akan mati di sana. Ia kembali ke tempatnya lalu mengantuk lalu tidur kemudian bangun, ternyata kenderaannya ada di dekat kepalanya, lengkap dengan makanan, minuman dan perbekalannya." 

(Dinilai sahih dalam Sunan Tirmidzi)

Usah bersedih, bersyukurlah kerana kita masih diberikan waktu untuk insaf. 

Berapa ramai orang yang di humban ke dalam neraka yang merayu - rayu untuk dikembalikan semula ke dunia untuk melakukan kebaikan?

"Dan jika kamu (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata: "Kiranya kami dikembalikan (ke dunia) dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman", tetapi (sebenarnya) telah nyata bagi mereka kejahatan yang mereka dahulu selalu menyembunyikannya. Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta belaka" (6:27-28) 

Sayangnya, ramai di antara kita masih tidak dapat membezakan antara dosa besar dan dosa kecil. Belajarlah selagi masih punya waktu.

....................................................................................................................................

Wahai saudara - saudaraku, ayuh kita menyesali dosa - dosa kita ini, biarpun 1000 kali kita ulangi kerana kelemahan kita, segera kembalilah kepada Allah kerana keampunanNya mengatasi kemurkaanNya.

Daripada Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w dari apa yang telah dikhabarkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala, beliau bersabda:

 "Dahulu, ada seorang yang telah berbuat dosa. Setelah itu, ia berdoa dan bermunajat, 'Ya Allah, ampunilah dosaku! ' Kemudian Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman: 'Sesungguhnya hamba-Ku mengaku telah berbuat dosa, dan ia mengetahui bahawasanya ia mempunyai Tuhan yang dapat mengampuni dosa atau memberi seksa kerana dosa.' Kemudian orang tersebut berbuat dosa lagi  (mengulanginya) dan ia berdoa; 'Ya Allah, ampunilah dosaku! ' Maka Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman: 'Hamba-Ku telah berbuat dosa, dan ia mengetahui bahawasanya ia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa atau menyeksa hamba-Nya kerana dosa. Oleh karena, berbuatlah sekehendakmu, kerana Aku pasti akan mengampunimu (jika kamu bertaubat)" (Sahih Bukhari dan Muslim)

Buat mereka - mereka yang ada wujud riak, takbur dan ujub, masih berbangga diri dan mengatakan dirinya lebih soleh daripada orang lain, maka renungkan diri, muhasabah diri dan ingatlah, hati manusia itu di antara jari - jari Allah, bila - bila masa akan berubah iman kita jika dikehendakiNya.

Maka sentiasalah kita berdoa agar ditetapkan hati.

Wahai pendosa - pendosa! Jauhi dosa besar, minimumkan dosa kecil! Tinggalkan dosa anda di belakang!




No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML