Friday, March 21, 2014

KHUTBAH JUMAAT : RASULULLAH SAW PERKASA AKIDAH

\

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

RASULULLAH SAW PERKASA AKIDAH.

Khutbah Jumaat: “Rasulullah SAW Perkasa Akidah”

.
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَكُمُ الرَّسُولُ بِالْحَقِّ مِن رَّبِّكُمْ فَآمِنُوا خَيْرًا لَّكُمْ ۚ وَإِن تَكْفُرُوا فَإِنَّ لِلَّـهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَكِيمًا ﴿١٧٠﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ نَبِيَّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، 
وَصَفْوتُهُ مِنْ خَلَقِهِ أَرْسَلَهُ بِالْهُدَىْ وَدِيْنِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِ الْمُشْرِكُوْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى 

آلِهِ وَصَحْبِهِ الأَخْيَارِ وَمَنِ اتَّبَعَ إِلَى يَوْمِ الدِّيْن. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، اتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah kita berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Kita laksanakan segala perintah-Nya dan kita jauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan khutbah yang bertajuk: “Rasulullah SAW Perkasa Akidah”.
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kelahiran Rasulullah SAW adalah rahmat yang sangat besar kepada umatnya. Baginda diutus menjadi Rasul empat puluh tahun setelah kelahiran dengan menghidupkan wahyu-wahyu Allah begitu sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah, Baginda dipuji oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang menjelaskan sifat sebenar sebagai seorang Rasul yang terakhir.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 128:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.”
.
Dalam menjelaskan ayat ini, Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zhilalil Qur’an mengatakan bahawa, Allah SWT mengungkapkan ‘dari kaummu sendiri’. yang menunjukan bahawa lebih akrab dalam hubungannya dan lebih menunjukkan ikatan yang mengaitkan mereka.
Begitu juga pandangan Ibnu Katsir dalam Tafsir Qur’anil Adzim berkata, “Allah SWT menyebutkan limpahan nikmat yang telah diberikan-Nya kepada orang-orang mukmin melalui seorang rasul yang diutus oleh-Nya dari kalangan mereka sendiri, yakni dari bangsa mereka dan sebahasa dengan mereka.”

Rasulullah SAWjuga sangat menginginkan umatnya memperoleh hidayah serta kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Maka segala hal yang diperintahkan Allah SWT untuk disampaikan kepada umatnya telah beliau sampaikan. Segala perkara yang mendekatkan umatnya ke syurga dan menjauhkan dari neraka telah sampaikan. Bahkan Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang terbaik di hari perhitungan kelak agar umatnya beroleh syafaat. Inilah antara bentuk-bentuk kasih sayang Rasulullah kepada umatnya.

Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, inilah manusia teragung yang mesti dicontohi! Marilah kita berfikir sejenak, bagaimankah sikap, pertuturan dan perbuatan kita selama ini? Adakah telah kita contohi Rasulullah SAW ataupun sebaliknya? Cerminlah diri kita, adakah akhlak Rasulullah SAW telah kita jadikan sebagai amalan dan pakaian kita selama ini?
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan sidang jumaat dan umat Islam sekalian bahawa rahmat dari kelahiran Rasulullah SAW merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia. Ia meliputi soal akidah, syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan akidah, Baginda membimbing umat mentauhidkan Allah, iaitu Tuhan yang layak disembah. Kemudian, dalam soal syariat atau hukum-hakam agama, ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda samada melalui teori dan amali.

Yakin dan percayalah bahawa segala usaha ini telah meletakkan agama Islam sebagai agama yang yang diiktiraf di sisi Allah SWT dan menjamin umatnya kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Inilah kemuliaan Rasulullah SAW, segala tindakan dan perbuatan Baginda hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah dan berpaksikan agama Islam dan jauh sekali untuk mendapatkan kepentingan peribadi.

Firman Allah SWT dalam surah Ali- Imran ayat 19:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّـهِ فَإِنَّ اللَّـهَ سَرِيعُ 

الْحِسَابِ ﴿١٩﴾

Bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.”
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Hari ini persoalan akidah dalam masyarakat Islam di negara kita menimbulkan pelbagai tafsiran dan pertikaian sehinggakan segelintir umat Islam menjadi keliru. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar, kesan daripada krisis ini ada sesetengah pihak cuba menentukan kedudukan akidah seseorang samada ianya seorang yang beriman, fasik, murtad dan yang paling malang lagi menjadi kufur.

Persoalan besar timbul di sini kenapakah isu ini ditimbulkan sedangkan umat Islam pada hakikatnya bertauhidkan kepada akidah yang sama, beriman kepada Tuhan Yang Esa dan berkiblat ke arah yang sama?.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan antaranya disebabkan pemahaman sesuatu ideologi, terpengaruh dengan gerakan dakwah semasa yang disalah tafsir, penyalahan tafsir ayat-ayat al-Quran, taasub kepada fahaman tertentu dan sebagainya.            
.
Mereka tidak lagi menghormati persaudaraan sesama Islam, batas-batas iman dan kufur yang mengelirukan diri mereka. Cuba kita bayangkan, mereka ini sanggup memulaukan sesama umat Islam sehingga berlaku perpecahan di dalam masyarakat dan yang paling malang ada yang sanggup mengkufurkan sesama sendiri. Mereka berpegang dengan pandangan yang mengatakan bahawa orang Islam yang tidak beramal dengan syariat Allah yang terkandung di dalam syahadah di hukum kufur sekalipun melakukan ibadah yang lain. Ingatlah, inilah bahaya dan ancaman besar yang sedang mendatangi umat Islam.

Mimbar ingin menyatakan bahawa persoalan sama ada amal sebagai penyempurna atau sebagai syarat sah iman, hanya berbeza apabila dirujuk kepada ilmu Allah SWT. Menurut pandangan Ibn Hajar di dalam kitabnya Fath al-Bari menyatakan bahawa: Ada pun pada pengetahuan manusia, iman hanya ikrar (pengakuan) sahaja; sesiapa yang mengaku muslim dan mengucap dua kalimah syahadah, maka ia diakui sebagai muslim dan hendaklah dilakukan ke atasnya hukum-hukum sebagai mana yang sepatutnya dilakukan terhadap orang Muslim, ia tidak lagi dihukum kafir, kecuali setelah ternyata padanya amalan-amalan yang menunjukkan sebaliknya, seperti menyembah berhala dan sebagainya.
.
.
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian,

Dalam Islam pengucapan dua kalimah syahadah merupakan pintu masuk agama Islam. Mereka yang mengucap dua kalimah syahadah ini diiktiraf sebagai seorang Islam dan melayakkan mereka melakukan amalan amalan dalam Islam serta juga dilindungi darah dan harta benda mereka dari sebarang pencerobohan.

Sabda Rasulullah SAW:

أُمِرْتُ أَن أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوْا أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَن مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ وَيُقِيمُوْا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ فَإِذَا فَعَلُوْا ذَلِكَ عَصَمُوْا مِنِّي 

دِمَائُهُمْ وَأَمْوَالُهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ اْلإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالَى.

Maksudnya: “Aku di perintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengatakan kalimah la ila ha il Allah dan Muhamad itu Rasulullah, maka jika mereka telah mengucapkannya maka terlindunglah darah mereka dan harta mereka kecuali dengan hak Islam dan kedudukan mereka itu terserah kepada Allah SWT.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
.
Dan Sabda Rasulullah SAW lagi:

مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، دَخَلَ الْجَنَّةَ.

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dia akan masuk syurga.”(Riwayat Muslim)
.
.
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian,

Mimbar menyedari bahawa persoalan akidah sekiranya tidak ditangani dengan sebaik mungkin, ianya akan membawa kepada malapetaka yang boleh memecah-belahkan ummah dan dikhuatiri dapat melemahkan perpaduan dan akidah umat Islam. Ingatlah segala bentuk perpecahan yang berlaku dikalangan umat Islam merupakan satu petanda buruk yang pasti membawa kehancuran kepada umat Islam sendiri.

Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap segala ancaman yang boleh membawa kepada perpecahan ummah dan  kesesatan akidah. Ini selari dengan tujuan Islam itu disyariatkan iaitu untuk memelihara kesucian ajaran Islam dan menyelamatkan umatnya daripada terpesong dengan ajaran atau pemahaman yang menyalahi Syariat Islamiah.

Lihatlah keadaan umat Islam hari ini dan bermuhasabahlah! Adakah selama ini telah kita buat yang terbaik untuk memelihara agama kita? Adakah kita telah buat yang terbaik untuk mempertahankan negara umat Islam yang sedang kita diami hari ini? Atau, mungkinkah ada dikalangan kita yang telah terpedaya dan diperalatkan oleh pihak musuh untuk menghancurkan kesucian agama dan tanah air kita sendiri? Fikir dan renungkanlah.

Mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian marilah sama sama kita berpegang teguh dengan apa  yang telah ditetapkan oleh Allah SWT agar kita tidak tersesat dari jalan yang diredai-Nya.

Sabda Rasulullah SAW:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُولِهِ.

Mafhumnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya.”(Riwayat al-Malik)
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena dengan Maulidul Rasul yang akan disambut pada 14 Januari ini, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan akidah umat Islam dari sebarang penghinaan, perpecahan, kekeliruan dan kesesatan.

Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia.

Dengan demikian sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat pelbagai agama di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31:

 قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾

Maksudnya: “Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
.
بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، 

أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا 

نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
.
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Rasulullah SAW Perkasa Akidah”

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML