Friday, March 21, 2014

AJARAN RASULLAH S.A.W KETIKA MINUM

Adab Minum Rasulullah SAW

بسم الله الرحمن الرحيم

اللهم صل على محمد وآل محمد

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalam telah menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Jika sebelum ini ana telah postkan ‘Adab Makan Menurut Islam Dan Sunnah Rasulullah SAW’ dan kini tibalah pula ‘Adab Dan Cara Minum Rasulullah SAW’ yang  boleh diikuti untuk menjaga kesihatan tubuh badan agar sentiasa sihat bagi memudahkan kita menjalani ibadah kepada Allah Ya Rahim Ya Karim.!






1.     Gunakan Tangan Kanan

Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam (SAW) mengajar untuk kita makan dan memegang bekas minuman menggunakan tangan kanan dan melarang umatnya menggunakan tangan kiri kerana ia adalah sifat syaitan dan ciri-ciri orang yang bongkak.
Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda; “Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.” (HR Muslim)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda; “Jika salah seorang dari kamu hendak makan, hendaklah makan dengan tangan kanan. Dan apabila ingin minum, hendaklah minum dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (HR. Muslim)


 2.    Niat Kerana Allah SWT

Hendaklah ketika minum berniat bagi menyegar dan menyihatkan tubuh badan supaya memudahkan beribadah dan kerana Allah SWT.
Hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan.” (Riwayat al-Bukhari).


 3.    Baca ‘Basmallah’

Memulai minum dengan Basmalah: ‘Bismillahir-rahmanir-rahim’ 
Membaca Basmalah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.
“Apabila seseorang di antara kamu minum dan memakan makanan, katakanlah ‘Bismillah’. Apabila lupa pada permulaannya, katakanlah ‘Bismillahi fii awwalihi wa aakhirihi.’” (HR. Abu Dawud dan at-Tirmidzi)



4.    Membaca Doa

Doa minum air;

اَللَّهُمَّ اِنِّى اَشْرَبُهُ لِتَغْفِرَلِى وَلِتَفْعَلَ بِى، فَاغْفِرْلِى أَوِافْعَلْ

Ya Allah! Sesungguhnya daku meminumnya dengan harapan Dikau mengampuni  daku dan mengabulkan maksudku; Maka ampunilah daku serta kabulkanlah.


5.    Minum Dengan Tiga Nafas

Minum dengan tiga kali tegukan dan elakkan bernafas ke dalam bekas minuman. Setiap kali berhenti minum hendaklah diarahkan pernafasan ke tempat lain.Dari Abu Qatadah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika kamu minum maka janganlah bernafas dalam bekas air minumnya.” (HR. Bukhari dan Muslim r.a.)

Nabi SAW sering meminum dengan tiga kali teguk, sambil bernafas di luar gelas dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ di antara tiga kali tegukan. Baginda SAW juga akan teruskan minum dengan setiap tegukan diselangi bernafas di luar gelas sehingga habis.
Diriwayatkan dari Anas radhiyalaahu anhu (r.a.) bahawa Rasulullah SAW bernafas tiga kali ketika minum, “Rasulullah SAW biasa bernafas tiga kali sewaktu minum.” (HR. Muttafaq ‘alaih).
Anas bin Malik  r.a. berkata lagi; Baginda SAW bersabda: “Sungguh, ini lebih mengenyangkan, menyembuhkan, dan menyegarkan”. (HR Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu beliau mengatakan, “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam minum beliau mengambil nafas di luar bekas air minum sebanyak tiga kali.” Dan Baginda SAW bersabda, “Hal itu lebih segar, lebih sedap dan lebih nikmat.” Anas mengatakan, “Oleh kerana itu ketika aku minum, aku bernafas tiga kali.” (HR. Bukhari no. 45631 dan Muslim no. 2028)


6.     Dilarang Meniup Minuman


Jangan bernafas dan meniup air minum di dalam bekas, terutama meniup air yang panas, kerana perbuatan itu akan menjadikan minuman bertoksid disebabkan Co2 yang dihembuskan ke dalamnya.

Ubay bin Ka’ab berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah meniup makanan dan minuman, tidak bernafas di dalam cawan. Bahkan beliau melarang meniup makanan dan minuman.”



Dari Ibnu Abbas, “Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang untuk bernafas atau meniup bekas air minum.” (HR. Turmudzi no. 1888 dan Abu Dawud no. 3728, hadits ini dishahihkan oleh Al-Albani)
Dalam Syarah Shahih Muslim, Imam Nawawi mengatakan, “Larangan bernafas dalam bekas air minum adalah termasuk etika kerana dikhuatirkan hal tersebut mengotori air minum atau menimbulkan bau yang tidak enak atau dibimbangkan ada sesuatu dari mulut dan hidung yang terjatuh ke dalamnya dan hal-hal semacam itu.”


7.     Hindari Menonggang

Rasulullah SAW telah mengajarkan adab meminum air dengan cara duduk, menempelkan bibir ke air, bernafas di luar gelas serta tidak minum dengan cara menonggang. Maksudnya adalah mencegah masuknya udara ke dalam perut.










8.   Minum Dalam Keadaan Duduk

Janganlah kita minum dalam keadaan berdiri walaupun ia dibolehkan tetapi ia makruh yang menghampiri kepada haram.
Anas juga berkata:  “Rasulullah SAW telah melarang minum sambil berdiri”. (HR Muslim)

Jika tidak ada tempat untuk duduk adalah diharuskan minum sambil berdiri.





Adapun Rasulullah SAW pernah sekali minum sambil berdiri, oleh kerana ada sesuatu yang menghalangi Baginda SAW untuk duduk, seperti penuh sesaknya manusia pada tempat-tempat suci, bukan merupakan kebiasaan. Ingat hanya sekali kerana darurat!

Dari Ibnu Abbas beliau mengatakan, “Aku memberikan air zam-zam kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Maka Baginda SAW lantas minum dalam keadaan berdiri.” (HR. Bukhari dan Muslim r.a.)


9.     Larangan Minum Dalam Bekas Besar
Elakkan diri kita meminum dari bekas yang besar seperti teko dan cerek. Apabila kita minum dari bekas yang besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita.


Sewaktu kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dengan air H20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic.
Ibnu Abbas menambahkan: “Rasulullah SAW telah melarang minum dari mulut teko”. (HR Bukhori dan Ibnu Majah)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Janganlah kamu minum sambil berdiri. Sesiapa terlupa sehingga minum sambil berdiri, maka hendaklah ia berusaha untuk memuntahkannya.” (HR. Ahmad r.a.)


 10.  Menutup makanan dan minuman
Tutuplah tempat minuman terutama pada malam hari. Rasulullah SAW mewajibkan menutup makanan untuk melindunginya dari pencemaran, sebagaimana dinyatakan dalam hadis Nabi SAW: “Tutuplah makanan dan minuman”.  (HR. Bukhari r.a.)



Dari Jabir bin Abdillah, ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tutupilah bejana-bejana dan wadah air. Kerana dalam satu tahun ada satu malam, ketika itu turun wabak, tidaklah ia melalui bejana-bejana yang tidak tertutup, ataupun wadah air yang tidak diikat melainkan akan turun padanya sesuatu penyakit.” (HR. Muslim r.a.)


11.  Ucapkan Hamdalah, ‘Alhamdulillah’

Setiap kali berhenti minum (pada setiap penafasan) dan setelah selesai minum bacalah ‘Alhamdullilah’ tanda kita bersyukur atas nikmat yang Allah SWT kurniakan.

12.  Mencuci mulut (berkumur) selepas makaN

Hal ini dimaksudkan untuk membersihkan gigi dari sisa makanan dan bakteria. Secara Rasulullah SAW beliau menekankan pentingnya berkumur setelah minum susu: “Berkumurlah kalian setelah minum susu, kerana di dalamnya mengandung lemak”. (HR. Ibnu Majah)
 .











Mengapa Rasulullah SAW Melarang Minum Berdiri?

 

Rasulullah ﷺ menekankan adab makan dan minum. Dalam hadis disebutkan “Janganlah kamu minum sambil berdiri”. Dari segi kesihatan, Air yang masuk dengan cara duduk akan disaring oleh sfinger. Sfinger adalah suatu struktur muskuler (berotot) yang boleh membuka (sehingga air kencing boleh keluar) dan menutup. Setiap air yang kita minum akan disalurkan pada ‘pos-pos’ penyaringan yang berada di ginjal.

 
Minum Sambil Duduk

Dalam keadaan duduk, apa yang diminum atau dimakan oleh seseorang akan melalui dinding usus dengan kadar perlahan dan lambat. Adapun makan minum sambil berdiri, maka ia akan menyebabkan jatuhnya cairan makanan dengan laju ke dasar usus dan melanggarnya dengan cepat. Jika ini terjadi berulang-ulang dalam waktu yang lama, maka akan menyebabkan membesar dan jatuhnya usus, yang kemudian menyebabkan kegagalan pencernaan.

Adapun Rasulullah ﷺ pernah sekali minum sambil berdiri, maka itu disebabkan ada sesuatu yang menghalang Baginda ﷺ untuk duduk, seperti situasi di tempat-tempat suci penuh sesak dengan manusia, ia bukan merupakan atau menjadi kebiasaan Baginda ﷺ.


Minum Sambil Berdiri

Jika kita minum sambil berdiri. Air yang kita minum automatik masuk tanpa ditapis lagi akan terus menuju ke kantung air kencing. Ketika menuju kandungan air kencing itu terjadi pengendapan di saluran sepanjang perjalanan (ureter). Kerana banyak sisa-sisa yang melekat di ureter inilah awal mula munculnya bencana.

Penyakit kristal ginjal atau batu karang adalah salah satu penyakit ginjal yang amat berbahaya. Ia akan mengakibatkan susah kencing, jelas perkara ini bersangkutan dengan saluran yang sedikit demi sedikit tersumbat.

Dari Anas r.a. dari Rasulullah ﷺ: “Bahawa ia melarang seseorang untuk minum sambil berdiri.” Qatadah berkata, “Kemudian kami bertanya kepada Anas tentang makan. Ia menjawab bahawa hal itu lebih buruk.”
 .
Manusia ketika berdiri, ia dalam keadaan tegang, organ keseimbangan dalam pusat saraf sedang bekerja keras, supaya mampu mempertahankan semua otot pada tubuhnya, sehingga boleh berdiri stabil dan dengan sempurna.

Ini merupakan kerja yang sangat teliti yang melibatkan semua susunan saraf dan otot secara bersamaan, yang menjadikan manusia tidak boleh mencapai ketenangan yang merupakan syarat terpenting pada masa makan dan minum.

Ketenangan ini hanya boleh dihasilkan pada masa duduk, di mana saraf berada dalam keadaan tenang dan tidak tegang, sehingga sistem pencernaan dalam keadaan sedia untuk menerima makanan dan minum dengan cara cepat.

Makan Dan MinuM

Makanan dan minuman yang dimakan ketika berdiri, boleh memberi kesan pada refleksi saraf yang dilakukan oleh reaksi saraf kelana (saraf otak kesepuluh) yang banyak tersebar pada lapisan endotel yang mengelilingi usus.
Refleksi ini apabila terjadi secara keras dan tiba-tiba, boleh menyebabkan tidak berfungsinya saraf (vagal inhibition) yang parah, untuk menghantarkan detik mematikan bagi jantung, sehingga menyebabkan pengsan atau mati mendadak.

Begitu juga makan dan minum berdiri secara terus-menerus sangat membahayakan dinding usus dan mengakibatkan terjadinya luka pada perut. Para doktor melihat bahawa luka pada perut 95% terjadi pada tempat-tempat yang biasa berlaku perlanggaran makanan atau minuman yang masuk.

Sebagaimana keadaan keseimbangan semasa berdiri disertai pengecutan otot pada kerongkong yang menghalang laluan makanan ke usus secara mudah dan kadang-kala menyebabkan rasa sakit dan mengganggu fungsi pencernaan serta mengakibatkan seseorang boleh kehilangan rasa selesa semasa makan dan minum.
.
Diriwayatkan ketika Rasulullah ﷺ berada di rumah, Aisyah r.a. sedang makan daging yang dikeringkan di atas talam sambil duduk bertompangkan lutut, tiba-tiba masuk seorang perempuan yang bermulut jahat melihat Rasulullah ﷺ duduk sedemikian itu lalu berkata: “Lihatlah orang itu duduk seperti budak.”

Maka dijawab oleh Rasulullah ﷺ: “Saya seorang hamba, maka duduk seperti duduk budak dan makan seperti makan budak.” Lalu Rasulullah ﷺ mempersilakan wanita itu untuk makan.

Adapun duduk ‘bertelekan’ (bersandar atau berbaring) telah dilarang oleh Rasulullah ﷺ sebagaimana sabdanya, “Sesungguhnya Aku tidak makan secara bertelekan.” (Hadis Riwayat Bukhari)


Cara Meraih 50 Pahala Ketika Minum



Rasulullah ﷺ bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan Baginda sendiri menunjukkan contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap Baginda ﷺ mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah سبحانه وتعالى untuk dicontohi oleh umat manusia.
Di antaranya Baginda ﷺ telah mengajarkan kepada umatnya adab-adab minum dan betapa mudahnya meraih pahala dari Allah سبحانه وتعالى.
Cara minum sunnah bagi mendapat 50 pahala tersebut adalah:
.
1)     Membaca Basmallah.
2)     Minum dengan menggunakan tangan kanan.
3)     Minum secara duduk.
4)     Minum dengan kadar 3 tegukan.
5)     Mengucap Alhamdulillah setelah selesai minum.
 .
5 Pahala di atas didarabkan dengan setiap perbuatan kebajikan, Allah Allah سبحانه وتعالى akan berikan 10 pahala bonus; Maka terhasillah ganjaran 50 pahala tersebut.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML