Secara jujur pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, mengapakah kita menganuti Agama Islam? Adaka
h kita hanya menuruti dan menerima begitu sahaja agama ibu bapa keturunan kita? Adakah kita telah benar-benar menghayati dua kalimah syahadah terutama dalam setiap solat kita?
.
.
10 Sebab Mengapa Kita Menganuti Islam
.
Segala puji bagi Allah Ta’ala atas segala macam nikmat yang telah diberikan-Nya. Sekurang-kurangnya ada sepuluh alasan mengapa kita menganut agama Islam. Kesemua alasan tersebut adalah seperti berikut:
.
.
Pertama: Redha Allah SWT
.
Kita ingin hidup di dalam naungan redha Allah سبحانه و تعالى. Sedangkan Allah سبحانه و تعالى telah menegaskan di dalam semua Kitab-Nya bahawa satu-satunya agama dan jalan hidup yang diredhai-Nya hanyalah agama Islam.
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.”
(QS. Ali Imran [3]: 19)
.
Tiada seorang Muslim pun yang membaca ayat di atas kecuali pasti ia akan menjadikan Islam sebagai satu-satunya pilihan agama yang dianutinya, kerana Allah سبحانه و تعالى hanya meredhai atau menerima agama Islam, bukan agama selain Islam.
Seorang Muslim sangat menitikberatkan keredhaan Allah سبحانه و تعالى dalam hidupnya. Ia tidak risau jika ketua jabatan atau tok guru atau menteri, bahkan penguasa negara superpower sekalipun tidak redha kepadanya. Tapi ia sangat risau jika Allah سبحانه و تعالى Penguasa langit dan bumi tidak meredhai hidupnya.
Ayat di atas bukan saja menegaskan bahawa penganut agama Islam bakal memperoleh redha dan restu Allah سبحانه و تعالى, tetapi secara implicit (tidak langsung) juga menegaskan bahawa sesiapa mencari agama selain Islam, bererti ia hidup di dunia tanpa keredhaan Allah سبحانه و تعالى. Jika Allah سبحانه و تعالى tidak redha kepadanya bererti ia bakal menderita kerugian di akhirat nanti. Sebab murka Allah سبحانه و تعالى menanti dirinya.
Bagaimana tidak? Allah سبحانه و تعالى telah memberikan begitu banyak nikmat kepadanya, baik zahir mahupun batin, namun ia malah tidak bersyukur terhadap nikmat yang paling utama, iaitu hidayah agama Islam. Bukti tidak bersyukurnya ialah dia memilih agama selain Islam yang sesungguhnya menjauhkan dirinya dari Ridha Allah سبحانه و تعالى.
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (QS. Ali Imran [3]: 85)
.
Keredhaan Allah سبحانه و تعالى akan terlimpah kepada kita kerana kita memilih untuk beridentitikan Islam, bukan yang lain. Sebab Allah سبحانه و تعالى menyuruh kita ketika berinteraksi dengan penganut agama lain untuk menawarkan prinsip hidup tauhid kepada mereka sebagai kesepakatan bersama. Tetapi kemudian jika mereka berpaling, kita tidak disuruh untuk berkompromi dengan mereka. Allah سبحانه و تعالى menyuruh kita untuk mengisytiharkan diri sebagai orang-orang yang beridentitikan Islam.
“Katakanlah, ‘Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada Suatu Kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. ‘ Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah, bahawa kami adalah kaum Muslimin (orang-orang yang berserah diri kepada Allah)’.” (QS. Ali Imran [3]: 64)
.
.
Kedua: Seiring Gerak Alam
.
Kita menganut agama Islam kerana ingin hidup seirama dengan gerak alam semesta. Seluruh makhluk di langit dan di bumi bersikap “Islam” iaitu berserah-diri, bersujud, tunduk dan patuh kepada Allah سبحانه و تعالى. Maka kita tidaklah mahu memilih irama yang berbeza dengan gerak alam. Kita kaum Muslimin berasa sangat perlu untuk hidup dalam harmoni keserasian dengan alam seluruhnya.
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الأرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُوَالدَّوَابُّ وَكَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ
“Tidakkah kamu mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar daripada manusia?” (QS. Al-Hajj [22]: 18)
Kita menganut Islam kerana kita ingin dengan sukarela berserah diri kepada Allah سبحانه و تعالى. Kita sangat sedar bahawa kita semua berasal dari Allah سبحانه و تعالى dan akan dikembalikan kepada Allah سبحانه و تعالى sebagai akhir perjalanan hidup.
“Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya-lah berserah diri (tunduk taat) segala makhluk yang ada di langit dan di bumi, baik dengan sukarela mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah-lah mereka dikembalikan.” (QS. Ali Imran [3]: 83)
.
.
Ketiga: Bersama Umat Terbaik
.
Kita menganut agama Islam kerana ingin dikumpulkan bersama-sama orang-orang terbaik sepanjang zaman. Dari zaman ke zaman, dari negeri ke negeri Allah سبحانه و تعالى mengutus para Nabi dan Rasul-Nya untuk menyampaikan mesej Allah سبحانه و تعالى bahawa hidup di dunia ini adalah untuk menjalankan misi beribadah kepada Allah سبحانه و تعالى semata-mata dan menjauhkan diri dari musuh-musuh-Nya iaitu para ‘Thaghut’. Berpihak kepada ‘al-haq’ (kebenaran) dan tidak berkompromi dengan ‘al-bathil’ (kepalsuan).
Para Nabi dan Rasul Allah merupakan manusia-manusia terbaik sepanjang zaman. Kita ingin dikumpulkan bersama mereka di Akhirat kelak. Oleh sebab itu kita menganut Islam, kerana Islam merupakan agama yang telah dianuti bahkan diperjuangkan oleh setiap Nabi dan Rasul Allah sepanjang sejarah kehidupan manusia.
“Katakanlah: ”Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada para nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka dan hanya kepada-Nya-lah kami menjadi kaum muslimun (menyerahkan diri). “ (QS. Ali Imran [3]: 84)
.
Bahkan kita sangat bercita-cita agar boleh dikumpulkan bersama-sama orang-orang terbaik sesudah darjat para Nabi dan Rasul Allah, iaitu para shiddiqiin (orang-orang yang selalu dalam kebenaran), syuhada (orang-orang yang mati syahid dibunuh oleh musuh-musuh Allah سبحانه و تعالى) serta sholihiin (orang-orang yang menyibukkan diri mengerjakan amal ibadah dan amal soleh). Sebab mereka inilah orang-orang yang paling layak kita jadikan sebagai sebaik-baiknya teman setia di dunia mahupun di Akhirat kelak.
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, para Siddiqiin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh . Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat).” (QS. An-Nisa [4]: 69)
.
.
Keempat: Ingin Mati Sebagai Muslim
.
Kita menganut agama Islam kerana ingin mati sebagai muslim iaitu sebagai orang yang berserah diri kepada Allah سبحانه و تعالى. Kita tidak mahu mati sebagai seorang yang kafir kepada Allah سبحانه و تعالى. Demikian juga, kita tidak mahu mati sebagai orang yang berpura-pura atau bermain-main menjadi seorang yang beriman alias menjadi seperti kaum munafik. Begitu juga, kita tidak mahu mati dalam keadaan sebagai seorang yang murtad. Mengapa? Kerana Allah سبحانه و تعالى menyuruh kita untuk tidak mati kecuali dalam keadaan sebagai seorang muslim.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (QS Ali Imran [3]: 102)
.
Orang yang mati dalam keadaan beragama Islam akan mendapat keselamatan dan kebahagiaan hakiki dan abadi di akhirat kelak dengan dimasukkan Allah سبحانه و تعالى ke dalam jannah-Nya (syurga-Nya). Manakala orang yang mati dalam keadaan selain beragama Islam pasti celaka di akhirat, kerana Allah سبحانه و تعالى bakal memasukkan dirinya ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Semua orang yang mati dalam keadaan kafir, munafik atau murtad bererti mati tidak dalam keadaan beragama Islam. Ia bakal hidup dalam kesengsaraan hakiki dan abadi di dalam azab Allah tersebut. Wa Na’udzubillaahi min dzaalika …
.
Maka seorang yang mati dalam keadaan beragama Islam bererti telah mempersiapkan dirinya untuk mampu menjawab beberapa soalan fundamental malaikat ketika dirinya sudah menjadi mayat berada di dalam kuburnya. Sebagaimana disebutkan Rasulullah صلى الله عليه و سلم di dalam hadis berikut:
قَالَ فَتُعَادُ رُوحُهُ فِي جَسَدِهِ فَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ رَبِّيَ اللَّهُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا دِينُكَ فَيَقُولُ دِينِيَ الْإِسْلَامُ فَيَقُولَانِ لَهُ
مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ فَيَقُولُ هُوَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولَانِ لَهُ وَمَا عِلْمُكَ فَيَقُولُ قَرَأْتُ كِتَابَ اللَّهِ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ
فَيُنَادِي مُنَادٍ فِي السَّمَاءِ أَنْ صَدَقَ عَبْدِي
Sabda Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم:
“… lalu rohnya di kembalikan ke jasadnya, kemudian dua malaikat mendatanginya dan mendudukkannya dan bertanya “Siapa Tuhanmu?”. Ia menjawab “Rabb-ku Allah”. Tanya kedua-duanya “Apa agamamu?” Ia menjawab: “Agamaku Islam.” Kedua-duanya bertanya “Bagaimana komentarmu tentang laki-laki yang diutus kepada kamu ini?” Si mayat menjawab “Oh, dia Rasulullah صلى الله عليه و سلم.” Kedua-duanya bertanya “Dari mana kamu tahu itu semua?” Ia menjawab “Aku membaca Kitabullah sehingga aku mengimaninya dan membenarkannya.” Lalu ada Penyeru di langit memanggil-manggil: “HambaKu benar …” (HR Ahmad – Shahih)
.
.
Kelima: Mengikut Sunnah Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم
.
Kita menganut agama Islam kerana ingin meneladani Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم yang disebut Allah سبحانه و تعالى merupakan rahmat bagi semesta alam.
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (QS Al-Anbiya)
.
Seorang manusia yang menjalani kehidupan mengikuti agama Islam, bererti ia telah mengambil peranan sebagai rahmat bagi sekelilingnya. Sebab hakikat menjadi rahmat bagi sekelilingnya ialah ketika seseorang beristiqamah di dalam menganut agama Islam. Jangan di sebalik. Bila orang kebanyakan (yang aqidahnya rosak serta terlanjur tenggelam dalam dosa) merasa terganggu oleh kehadiran orang yang sesungguhnya soleh, maka orang soleh itu dituduh tidak menjadi rahmat bagi orang-orang sekelilingnya (yang terlanjur gemar kemusyrikan dan bermaksiat alias derhaka kepada Allah سبحانه و تعالى) . Akhirnya supaya dianggap menjadi “rahmat” bagi orang-orang tersebut si soleh tadi berkompromi dan menunjukkan sikap mencampuradukkan yang haq dengan yang batil. Ini pengertian yang keliru dari makna “rahmat bagi semesta alam.”
.
Maka, kita menganut agama Islam dan berusaha untuk istiqomah dengannya, kerana tahu bahawa satu-satunya tolok-ukur kalau dirinya menjadi rahmat bagi sekelilingnya adalah ketika ia sibuk berusaha meneladani Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم dalam sebanyak mungkin aspek kehidupannya.
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah (dalam masa susah dan senang).” (QS Al-Ahzab 21)
Keenam: Inginkan Kehidupan Baik Di Dunia Dan Di Akhirat
.
Kita menganut agama Islam kerana ingin kehidupan yang baik di dunia dan kehidupan yang jauh lebih baik lagi di akhirat kelak nanti. Semua orang muslim yakin bahawa hidupnya belum berakhir ketika ia meninggal dunia. Ia sangat yakin bahawa kehidupan dunia ini fana dan masih ada kehidupan akhirat yang menantinya. Di dunia ini ia hanya menjalani kehidupan sementara dan sangat singkat. Sedangkan di akhirat nanti ia bakal menjalani kehidupan yang abadi dan hakiki. Kesenangan serta penderitaan di dunia merupakan kesenangan dan penderitaan yang artifisial. Sedangkan kesenangan dan derita di akhirat merupakan kesenangan dan derita yang sejati.
.
Maka seorang Muslim tentunya ingin hidup baik dan senang di dunia, tetapi ia lebih fokus mengejar hidup yang baik dan senang di akhirat. Seorang Muslim tentunya tidak ingin hidup yang buruk dan menderita di dunia, tapi ia lebih tidak ingin lagi hidup buruk dan menderita di akhirat nanti. Sedangkan Allah سبحانه و تعالى menjanjikan bahawa jika ia menjadi penganut Islam yang baik dan benar, nescaya ia bakal memperoleh hidup yang baik di dunia dan hidup yang jauh lebih baik lagi di akhirat kelak nanti.
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan..” (QS An-Nahl 97)
.
Yang sering dikecohkan manusia ialah kesalahfahaman mengenai makna “hidup yang baik di dunia.” Kebanyakan manusia moden memahaminya sebagai hidup dengan berkemampuan dan kekayaan serta berjaya meraih gelaran akademik bahkan mempunyai syarikat dan menjadi orang yang popular. Padahal ukuran kejayaan hidup di dunia bagi seorang Muslim, bukanlah itu. Kejayaan diukur berdasarkan “taqwa”. Sedangkan taqwa ialah seberapa taatnya seseorang menjalankan perintah-perintah Allah سبحانه و تعالى dan menjauhi larangan-larangan-Nya.
.
Seringkali seseorang yang patuh menjalankan perintah Allah سبحانه و تعالى (seperti arahan berdakwah, amar ma’ruf dan nahi mungkar serta berjihad di jalan Allah) malah justeru dituduh sebagai pengacau, ekstrimis atau bahkan pengganas, lalu dipenjarakan. Atau tatkala ia menjauhi larangan Allah سبحانه و تعالى (misalnya larangan mencuri / rasuah, berzina, memakan riba / bunga bank serta mentaati / berkompromi / berkerjasama dengan thaghut) malah ia dicap sebagai seorang yang jumud, radikal, kolot dan tidak progresif oleh kaum liberalis yang ingin hidup menurut hawa-nafsu mereka. Apakah orang-orang seperti ini hidupnya tidak baik? Justeru orang-orang inilah yang sesungguhnya memperoleh “hidup yang baik di dunia” jika mereka tetap sabar dan istiqamah mematuhi Allah سبحانه و تعالى walau apa pun risiko yang mesti mereka tempuhi. Subhaanallah ….!
.
.
Ketujuh: Ingin Beriman Kepada Allah SWT
.
Kita menganut agama Islam kerana tidak mahu menjadi orang yang berdusta sesudah mengaku beriman. Kita sedar bahawa sekadar mengucap dua kalimah syahadah tidak serta-merta menjmin diri menjadi seorang yang benar-benar beriman, bahkan berpeluang masuk ke dalam golongan kaum munafik. Wa Na’udzubillaahi min dzaalika …!
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi(dengan sesuatu cubaan)? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (QS Al-Ankabut 2-3)
.
Hidup seorang yang mengaku beriman pasti dipenuhi dengan ujian demi ujian dari Allah سبحانه و تعالى untuk menyingkap apakah dirinya seorang mukmin yang benar ucapannya atau seorang munafik yang terbiasa berdusta. Allah سبحانه و تعالى secara tegas menggolongkan kaum munafik yang suka berdusta sebagai orang-orang yang pada hakikatnya tidak beriman walau lisannya mengaku dirinya beriman.
“Di antara manusia ada yang mengatakan: “Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian/akhirat”, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman.” (QS Al-Baqarah 8)
.
.
Kelapan: Iman Tidak Diwarisi
.
Kita menganut agama Islam kerana menyedari bahawa iman tidak boleh diwarisi dari ibu bapa atau nenek moyang kita. Iman dan Islam bukanlah perkara yang secara automatik diwariskan dari orang-tua kepada anak-keturunannya. Menjadi orang beriman harus melalui sebuah perjuangan memelihara iman dan tauhid serta kesungguhan doa kepada Allah سبحانه و تعالى agar sentiasa menunjuki kita jalan hidayah dan keselamatan di dunia dan di akhirat.
.
Seorang ustaz yang alim dan soleh tidak serta-merta mempunyai anak-keturunan yang juga alim dan soleh. Jangankan seorang ustaz, bahkan seorang Nabiyullah pun tidak pasti semua anaknya menjadi orang beriman. Hal ini kita dapati di dalam kisah Nabiyullah Nuh ‘alaihis-salam.
“Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: “Ya Rabbku, sesungguhnya anakku, termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah Hakim yang seadil-adilnya. “Allah berfirman: “Hai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), sesungguhnya (perbuatannya) perbuatan yang tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikat) nya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan.” (QS Hud 45-46)
.
Allah سبحانه و تعالى menegur Nabi Nuh agar jangan menganggap puteranya yang condong memilih kafir daripada iman sebagai sebahagian dari keluarganya. Bahkan Allah melarang Nabi Nuh memohon doa yang mencerminkan seolah dirinya selaku Nabi tidak berpengetahuan dalam persoalan asas ini. Iaitu persoalan aqidah sebagai pengikat sejati antara manusia, bahkan antara anak dan ayah. Pengikat sejati antara manusia adalah iman dan tauhid, bukan darah dan garis keturunan.
.
Demikian juga dengan Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم. Baginda dengan tegas memberi amaran kepada anak-keturunannya agar jangan bergantung garis keturunan sebagai hal yang automatik mendatangkan keistimewaan, berbanding orang lain yang tidak bergaris keturunan hingga ke Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم. Tidak! Mentang-mentang seseorang merupakan sebahagian daripada ahli bait Rasulullah صلى الله عليه و سلم kemudian ia menjadi yakin dan pasti bahawa dirinya bakal masuk syurga dan memperoleh syafaat dari Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم. Tidak …!
إن أهل بيتي هؤلاء يرون أنهم أولى الناس بي وليس كذلك إن أوليائي منكم المتقون من كانوا و حيث كانوا - إسناده صحيح رجاله كلهم
ثقات
“Ahli Baitku berpandangan bahawa mereka adalah orang-orang yang paling berhak mendapat syafaatku, padahal tidaklah demikian. Sesungguhnya para waliku di antara kamu sekalian adalah yang bertaqwa, siapapun dia dan di mana-mana adanya.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Ashim dalam ‘As-Sunnah’ dan dipandang sahih oleh Al Al-Bani dalam takhrij beliau)
.
.
Kesembilan: Menghindari Fitnah
.
Kita menganut agama Islam kerana faham bahawa zaman kini merupakan era penuh fitnah di mana ancaman utama ialah munculnya gejala “murtad tanpa sedar”. Sehingga Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم menggambarkannya seperti sepenggal malam yang gelap-gelita.
بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا
Nabi صلى الله عليه و سلم bersabda: “Segeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah-fitnah seperti malam yang gelap gelita. Di pagi hari seorang laki-laki masih dalam keadaan yang beriman, lalu menjadi kafir di petang harinya. Di waktu petang, seorang laki-laki masih dalam keadaan yang beriman, lalu menjadi kafir di pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan barang kenikmatan dunia.” (HR Muslim-Shahih)
.
Hadis di atas menggambarkan dengan tepat sekali keadaan dunia sekarang. Bila jujur dalam menilai, semua kita pasti merasakan betapa fitnah telah merebak ke segenap corak kehidupan. Entah itu fitnah ideologi, politik, sosial, ekonomi, budaya, undang-undang, pendidikan, media, dakwah dan lain-lain. Sehingga Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم tidak mengatakan bahawa gejala yang muncul ialah “di pagi hari seorang lelaki berbuat kebaikan, lalu berbuat kejahatan di petang harinya.” Tidak, Nabi tidak berkata demikian ..! Sebab sejahat-jahatnya seseorang, namun bila iman dan tauhid masih bersemayam di dalam dadanya, ia masih berpeluang diampuni Allah سبحانه و تعالى. Jelas-tegas Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم mengatakan “pagi beriman, petangnya kafir ..!” Gejala “murtad tanpa sedar” inilah yang harus kita waspada ..!
Dalam hadis lain, kita dapati ramalan Nabi muhammad صلى الله عليه و سلم yang dengan tepat menggambarkan keadaan kaum muslimin masa kini.
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ
فَمَنْ
Rasulullah صلى الله عليه و سلم bersabda: “Sungguh, kamu benar-benar akan mengikuti kebiasaan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kamu pasti akan mengikuti mereka.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (HR Muslim – Shahih)
.
Tidakkah seperti itu keadaan sebahagian besar kaum muslimin kini? Sebahagian mereka mengikut secara membabi-buta kepada “the western civilization” (peradaban barat) yang tidak lain ialah “the Judeo-christian civilization” (peradaban yahudi-nasrani) yang sedang mendominasi dunia masa kini. Dalam berideologi meyakini faham sekularisme, humanisme, pluralisme dan liberalisme. Dalam berbudaya menjadikan syahwat sebagai tujuan bukan zikrullah (mengingat Allah). Menjadikan riba sebagai amalan utama berekonomi yang diterima tanpa peduli larangan dan ancaman Allah سبحانه و تعال. Ikatan sosial diamal berlandaskan fahaman jumud, bukan aqidah tauhid sebagaimana yang Allah سبحانه و تعال perintahkan.
.
Dalam berpolitik menjadikan faham ‘Machiavelli’ (tujuan menghalalkan segala cara), fahaman sempit Islam, kepentingan individu serta demokrasi celaru sebagai acuan utama, bukannya memperjuangkan tegaknya kedaulatan Allah سبحانه و تعالى dengan menerapkan syariah Islam sebenar sebagai aturan bersama. Media masing-masing menjadi medan pertempuran dan penyebar-luasan fitnah, pembohongan, permusuhan, kerosakan, kelalaian bahkan kemusyrikan, bukan menjadi penerang yang menyatu dan menyedarkan manusia akan hakikat dan tujuan hidup insani.
.
Tepat sepertimana Allah سبحانه و تعالى memperingatkan kita akan bahaya kaum Yahudi dan Nasrani yang selalu menginginkan kaum muslimin menuruti kepada millah (baca: jalan hidup) mereka. Bahkan Allah سبحانه و تعالى memperingatkan kita bahawa jika kesetiaan diserahkan kepada kaum Yahudi dan Nasrani, maka Allah tidak lagi memandang kita masih beragama Islam, alias murtad ..!
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.” (QS Al-Baqarah 120)
.
Allah jelas-tegas menyatakan bahawa “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Islam itulah petunjuk Allah. Islam itulah petunjuk yang benar. Mengapa sebahagian kita mengikuti manual kaum Yahudi dan Nasrani? Memang padanlah sekarang ini sebahagian besar kaum muslimin tidak merasakan pertolongan dan perlindungan Allah, sebab mereka sibuk mencari pertolongan dan perlindungan dari kaum Yahudi dan Nasrani..!
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapat/pemimpin-pemimpin (mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Sesiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (QS Al-Maidah 51)
.
.
Kesepuluh: Kehidupan Akhir Zaman
.
Kita menganut agama Islam kerana sedar bahawa ketika ini kaum muslimin sedang hidup di babak keempat perjalanan sejarah ummat Islam. Dan babak ini merupakan “the darkest ages of the Islamic era” (babak yang kelam dalam sejarah Islam). Di babak ini kaum muslimin hidup di bawah dominasi kepimpinan mulkan jabbriyyan (para pemimpin yang memaksa kehendak dan mengabaikan kehendak Allah dan Rasul-Nya). Belum ada di dalam sejarah ummat Islam kita mengalami babak yang lebih kelam daripada babak ini. Satu hadis Nabi صلى الله عليه و سلم menyatakan seperti yang berikut:
تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِفَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ
يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّافَتَكُونُ مَا
شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَتَ
“Masa (1) kenabian akan berlangsung pada kamu dalam beberapa tahun, kemudian Allah mengangkatnya, setelah itu datang masa (2) Kekhalifahan mengikuti pola (Manhaj) Kenabian, selama beberapa ketika hingga Allah mengangkatnya, kemudian datang masa (3) Raja-raja yang Menggigit selama beberapa waktu, seterusnya datang masa (4) Raja-raja/para pemerintah yang Memaksakan kehendak (diktator) dalam beberapa masa hingga waktu yang ditentukan Allah, setelah itu akan berulang kembali (5) Kekhalifahan mengikuti pola (Manhaj) Kenabian. Kemudian Rasul SAW terdiam.” (HR Ahmad – Shahih)
.
Pada babak ketiga kaum muslimin sempat mengalami kepimpinan yang juga bermasalah kerana yang memimpin adalah para khalifah yang digelar Nabi صلى الله عليه و سلم sebagai mulkan Aadhdhon (para raja yang menggigit). Mengapa? Sebab pada masa itu pergantian khalifah kepada sistem kerajaan iaitu diwariskan dalam lingkup keluarga raja secara turun-temurun. Sehingga mereka digelar para raja. Lalu mengapa disebut menggigit? Kerana tidak kurang di antara mereka yang memang berlaku zalim secara peribadinya, namun betapapun para khalifah tersebut masih memenuhi kriteria sebagai ulil amri dalam hal kepimpinannya di mana bila ada perselisihan, mereka masih menjadikan Allah (Al-Quran) serta Ar-Rasul (As- sunnah) sebagai rujukan utama. Tidak sebegitu halnya di babak keempat akhir-akhir ini.
.
Para pemimpin dan pembesar yang ada mengambil rujukan selain Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam menyelesaikan persoalan masyarakat di dalam negara yang dipimpinnya. Inilah perkara yang paling membezakan antara babak ketiga dengan babak keempat perjalanan sejarah ummat Islam. Di babak ketiga ummat masih merasakan kepemimpinan “ulil amri” manakal di babak keempat ummat tidak mempunyai “ulil amri” sebab yang ada hanyalah para “pemimpin dan pembesar” berkepentingan yang mengajak masyarakat bukan menuju keredhaan Allah سبحانه و تعالى, malah menggalakkan demontrasi melampau dan perseteruan yang menghuru-harakan banyak negara menuju kemurkaan-Nya. Wa Na’udzubillaahi min dzaalika ..!
.
يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولا وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلا رَبَّنَا آتِهِمْ
ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا
Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata: “Alangkah baiknya, andai kata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul”. Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali ganda dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang besar.” (QS Al-Ahzab 66-68)
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisa 59)
.
Ya Allah, ajarkanlah kami bagaimana caranya beristiqamah menjadikan Kitab-Mu dan Sunnah Nabi-Mu Muhammad صلى الله عليه و سلم sebagai pemimpin kami di era fitnah ketiadaan ulil amri sekarang ini …
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
No comments:
Post a Comment