Sunday, March 9, 2014

LIMA PERKARA KEBAIKAN

Laksanakanlah Lima Perkara Semoga Mendapat Kebaikannya Di sisi Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Allah tidak akan memberikan seseorang lima hal kecuali disediakan untuknya lima hal yang lain (sebagai balasannya) diantaranya :

1. Allah tidak akan memberikan syukur kecuali telah Ia sediakan tambahan nikmat untuknya.

2. Allah tidak akan memberikan doa kecuali disiapkan terkabulnya doa tersebut untuknya.

3. Allah SWT tidak akan memberikan istighfar (permintaan ampunan) kecuali disediakan untuknya pengampunan.

4. Allah SWT tidak akan memberikan taubat kecuali telah disediakan untuk-nya penerimaan taubat tersebut.

5. Allah SWT tidak akan memberikan sedekah (zakat) kecuali telah disiapkan penerimaan untuknya."

Huraiannya :

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT telah menyuruh kita melaksanakan lima hal (suruhan) kemudian Dia sediakan pula lima hal (sebagai balasan) untuk kebaikan hamba-hamba-Nya.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Allah tidak akan memberikan syukur kecuali telah Ia sediakan tambahan nikmat untuknya.

Allah berfirman bermaksud: “ Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurlah atas nikmat- Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat Ku. ”
(Surah al-Baqarah, ayat 152).

Jika kita bersyukur kepada Allah SWT maka Dia akan menambahkan lagi  nikmat dan rezeki kepada kita sebagimana firman-Nya yang maksud : " Jika kalian bersyukur nescaya akan Ku tambah nikmat Ku untuk kalian" (Surah Ibrahim ayat 7)

2. Allah tidak akan memberikan doa kecuali disiapkan terkabulnya doa tersebut untuknya.

Doa adalah senjata orang mukmin. Dalam kehidupan seorang mukmin, dia sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT tanda pergantungan yang mutlak dan bertawakal kepada-Nya.

Firman Allah SWT :

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (55)

Maksudnya : "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
(Surah al-A'raaf (7) ayat 55)

Ayat ini mengandung adab-adab dalam berdoa kepada Allah SWT. Berdoa adalah suatu munajat antara seorang hamba dengan Tuhannya untuk menyampaikan suatu permintaan agar Allah SWT dapat mengabulkannya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku kabulkan (doamu)" (Surah al-Ghofir ayat 60)

3. Allah SWT tidak akan memberikan istighfar (permintaan ampunan) kecuali disediakan untuknya pengampunan.

Nabi SAW. sentiasa beristighfar sebanyak 100 kali sehari. Maka kita sebagai hamba Allah yang sentisa melakukan dosa dan kesalahan perlulah lebih banyak lagi daripada Nabi SAW. kerana baginda maksum sedangkan kita tidak maksum.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali" (Hadis Riwayat Muslim).

Istighfar sebagai penebus dosa, dalam satu riwayat  Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam  pernah bersabda:

مَنْ قاَلَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمِ اَلَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُوْمُ وَ أَتُوْبُ إِلَيْهِ

Maksudnya : "Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan" (Hadis Riwayat Al Hakim)

Jelaslah bahwa dengan beristighfar Allah akan mengampuni dosa-dosa seorang hamba,  sekalipun seperti buih di lautan, atau sebanyak tumpukan pasir, atau dedaunan pohon, atau hari-hari di dunia. Inilah ayat Allah SWT. yang menegaskan adanya pengampunan dosa bagi hamba yang berdosa.

Firman Allah SWT maksudnya : "Mintalah pengampunan kepada Tuhan kalian maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun" (Surah Nuh ayat 10)

4. Allah SWT tidak akan memberikan taubat kecuali telah disediakan untuk-nya penerimaan taubat tersebut.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
 (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat." (Hadis Riwayat Muslim)
Telah diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : " Telah tertulis disekeliling Arsy empat ribu tahun sebelum dunia diciptakan "Sesungguhnya Aku (Allah) adalah Zat yang Maha Pengampun bagi siapa saja yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh kemudian mengambil petunjuk-Ku" (Hadis Riwayat Al-Dailami.)

5. Allah SWT tidak akan memberikan sedekah (zakat) kecuali telah disiapkan penerimaan untuknya.
Zakat Syar'ie kadang kala dinamakan sedekah di dalam bahasa al-Quran dan Hadis sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud : "Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah at-Taubah ayat 103).

Manakala di dalam Hadis Sahih pula, Rasulullah SAW  bersabda kepada Muaz ketika baginda mengutuskannya ke Yaman: "Beritahulah kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan mereka mengeluarkan sedekah (zakat) dari harta mereka, sedekah tersebut diambil daripada orang yang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin di kalangan mereka." (Hadis ini dikeluarkan oleh jemaah ahli hadis.‏)
Telah diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Setiap orang berada pada bayang-bayang sedekah (zakat) nya sehingga tersampaikan diantara manusia"
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita melaksanakan lima perkara iaitu bersyukur, berdoa, beristighfar, bertaubat dan mengeluarkan zakat. Kerana di atas kelima-lima perkara ini setiap satu terdapat ganjaran dan kebaikannya yang disediakan oleh Allah SWT. Sekiranya kita gagal melaksanakannya kita akan mendapat kemurkaan daripada Allah SWT. 

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML