Soal Jawab Agama Siri 131 (Orang Berzina Berkahwin, Nasihat Anak Kepada Ibunya, Zakat Fitrah, Menjadi Wali Dan Hukum Bersumpah)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal jawab Agama Siri 131 adalah menjelaskan persoalan mengenai orang yang berzina berkahwin, nasihat anak kepada ibunya, zakat fitrah, orang fasik menjadi wali dan hukum bersumpah.
926. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan jika seseorang telah melakukan zina adakah dosa mereka akan terhapus dengan mereka berkahwin?
Jawapan :
Zina termasuk salah dosa besar dalam Islam. Kerana itu, dosa zina mendapatkan hukuman khusus di dunia. Di sebat dengan rotan sebanyak 100 kali bagi penzina yang belum berkahwin (ghairu Muhsan), dan di rejam hingga mati bagi penzina Muhsan (yang sudah berkahwin).
Lebih dari itu, setiap orang yang melakukan perbuatan dosa, dia diwajibkan untuk bertaubat. Dan cara yang diajarkan oleh islam untuk menghapus dosa besar adalah dengan bertaubat nasuha. Allah berfirman SWT :
إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا
Maksudnya, "Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (Surah An-Nisa' ayat 31).
Ayat ini menjelaskan, syarat dihapuskannya kesalahan adalah dengan bertaubat nasuha, dengan meninggalkan dosa yang dilakukan.
Taubat secara bahasa maksudnya kembali. Orang yang bertaubat, bererti dia kembali dari kemaksiatan, menuju aturan Allah, diiringi memohon ampun kepada-Nya.
Rukun Utama Taubat Nasuha Ada Tiga :
Imam An-Nawawi mengatakan,
وقد سبق في كتاب الإيمان أن لها ثلاثة أركان: الإقلاع، والندم على فعل تلك المعصية، والعزم على أن لا يعود اليها أبدا
”Dalam kitab al-Iman disebutkan bahawa taubat memiliki 3 rukun iaitu 1. Al-Iqla’ (meninggalkan dosa tersebut), 2. An-Nadm (menyesali) perbuatan maksiat tersebut, dan 3. Al-Azm (bertekad) untuk tidak mengulangi dosa yang dia taubati selamanya. (Syarh Shahih Muslim, 17/59)
Berikut penjelasan lebih terperinci :
Pertama ; al-Iqla’ (Meninggalkan dosa tersebut (yang ditaubati).
Inilah bukti keseriusan taubatnya. Meninggalkan dosa yang dia lakukan. Seorang pegawai bank, belum dikatakan bertaubat dari riba, selama dia masih aktif kerja di bank. Seorang penzina belum dikatakan bertaubat dari zina, sementara dia masih rajin berzina.
Imam Fudhail bin Iyadh menyatakan: “Istighfar tanpa meninggalkan kemaksiatan adalah taubat para pendusta.”
Kedua, an-Nadm (Mengakui kesalahan dan menyesali perbuatannya)
Orang yang tidak mengakui dosanya, dia tidak akan menyesali perbuatannya. Dengan menyesal, dia akan bersedih jika teringat dosanya. Termasuk bagian dari penyesalan itu adalah tidak menceritakan dosa tersebut kepada orang lain, apalagi membanggakannya. Dan jika dosa itu di sebabkan kawasan sekitarnya mempengaruhinya maka dia akan meninggalkan kawasan tersebut.
Bentuk penyesalan penzina adalah dengan menghindari segala yang boleh membawa kepada syahwatnya.
Ketiga, al-Azm (Bertekad untuk tidak mengulangi dosanya)
Jika seseorang berhenti dari dosanya, sementara dia masih punya harapan untuk melakukannya jika waktu memungkinkan, maka dia belum disebut taubat.
Seseorang yang bertaubat dari berkhalwat ketika Ramadan, dan akan kembali berkhalwat selepas Ramadan belum dikatakan telah bertaubat.
Apakah dengan berkahwin, dosa zina otomatik akan hilang?
Dosa zina sebagaimana dosa besar lainnya, hanya boleh hilang dengan taubat nasuha. Dan syarat taubat adalah tiga seperti yang disebutkan di atas.
Oleh itu, semata-mata berkahwin, belum menghapus dosa zina yang pernah dilakukan. Kerana dengan berkahwin, bukan syarat taubat itu sendiri. Kecuali jika perkahwinan ini dilangsungkan atas dasar:
1. Menyesali dosa zina yang telah dilakukan
2. Agar tidak mengulang kembali dosa zina tersebut.
Jika berkahwin atas motivasi ini, insyaa Allah status perkahwinannya adalah sebahagian dari taubat untuk perbuatan zina itu.
Untuk itu, sebahagian ulama menyarankan agar orang yang melakukan zina, untuk segera berkahwin, dalam rangka menutupi aib keduanya. Kerana jika mereka berpisah, akan sangat merugikan pihak wanita, kerana tidak ada lelaki yang bangga memiliki isteri yang pernah dinodai orang lain secara tidak halal.
927. Soalan : Adakan anak boleh menasihati ibunya jika dia melakukan dosa?
Jawapan :
Anak boleh menasihati ibunya jika di dapati ibunya melakukan sesuatu perbuatan yang boleh mendatangkan dosa atau perkara yang di larang oleh Allah SWT.
Salah satu adab terhadap orang tua yang Allah ajarkan kepada kita adalah berkata lembut dan tidak boleh menghardiknya atau membentaknya.
وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya, "Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut di dekatmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (Surah Al-Isra' ayat 23)
Apabila orang tua memaksa anaknya untuk berbuat syirik, Allah SWT perintahkan agar kita tetap bersikap lembut kepadanya, tanpa harus mentaatinya,
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya, "Jika keduanya memaksamu untuk berbuat syirik dengan mempersekutukan Aku yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik (Surah Luqman ayat 15).
Dan tentu kita tahu, syirik adalah dosa dan maksiat terbesar secara mutlak. Sekalipun dalam keadaan mereka melakukan kesyirikan dan bahkan memaksa kita untuk berbuat syirik, Allah SWT tidak mengizinkan kita untuk bersikap kasar kepada orang tua, terutama ibu.
Nabi Ibrahim a.s. dan Ayahnya :
Cerita ini mungkin sudah selalu kita mendengarnya. Nabi Ibrahim a.s. memiliki ayah penyembah berhala dan pembuat patung berhala. Sekalipun si ayah mengancam hendak melempari batu kepada Nabi Ibrahim, baginda tetap memperlakukan ayahnya dengan sopan.
إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِي عَنْكَ شَيْئًا
Maksudnya, "Ingatlah ketika ia berkata kepada bapanya; “Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun?"
Pada ayat di atas, Ibrahim memanggil ayahnya dengan panggilan: ’Ya Abati’ [يَا أَبَتِ], itu panggilan lembut untuk si ayah. Ibrahim tidak memanggil ayahnya dengan ’Ya Abi’, kerana lebih kasar dari pada yang pertama.
Anda lihat, bagaimana sikap ayahnya kepada Ibrahim,
قَالَ أَرَاغِبٌ أَنْتَ عَنْ آلِهَتِي يَا إِبْرَاهِيمُ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا
Maksudnya, "Berkata bapanya: “Apakah kamu benci kepada tuhan-tuhanku, hai Ibrahim? jika kamu tidak berhenti, nescaya kamu akan kurajam, dan tinggalkanlah aku buat waktu yang lama”. (Surah Maryam ayat 46)
Nabi Ibrahim a.s. tetap mengingatkan ayahnya, berdakwah kepada ayahnya yang melakukan syirik, untuk bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Namun bukan dengan cara membentak, memarahi, tapi dengan cara lembut.
Allah juga berfirman tentang keingkaran Azar ayah Nabi Ibrahim ’alaihis-salaam :
وَمَا كَانَ اسْتِغْفَارُ إِبْرَاهِيمَ لأبِيهِ إِلاّ عَن مّوْعِدَةٍ وَعَدَهَآ إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيّنَ لَهُ أَنّهُ عَدُوّ للّهِ تَبَرّأَ مِنْهُ إِنّ إِبْرَاهِيمَ لأوّاهٌ حَلِيمٌ
Maksudnya,“Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun” (Surah At-Taubah ayat 114)
928. Soalan : Adakah orang miskin wajib membayar zakat fitrah?
Jawapan :
Pertama, aturan zakat fitrah berbeza dengan aturan zakat harta. Sebagaimana aturan zakat harta juga berbeza dengan aturan zakat pertanian atau zakat haiwan ternak.
Oleh itu, kita tidak mengqiyaskan aturan zakat fitrah dengan aturan yang berlaku pada zakat harta atau zakat pertanian.
Kedua, Pada aturan zakat harta, orang yang wajib menunaikan zakat adalah mereka yang memiliki harta cukup nisab iaitu sama nilai dengan 85 gram emas (ikut nilaian semasa) dan telah tersimpan selama setahun. Dengan kata lain, orang yang berkewajiban menunaikan harta hanya orang yang kaya.
Batasan Orang yang Wajib Menunaikan Zakat Fitrah
Ulama berbeza pendapat tentang batasan orang yang wajib menunaikan zakat fitrah.
1. Orang yang berkewajiban membayar zakat fitrah adalah mereka yang memiliki harta satu nisab, sebagaimana zakat harta Ini adalah pendapat ulama Kufah.
2. Orang yang wajib membayar zakat fitrah adalah mereka yang memiliki kelebihan makanan di luar keperluannya ketika hari raya, sekalipun dia tidak memiliki kelebihan harta lainnya. Ini adalah pendapat majoriti ulama, diantaranya Az-Zuhri, As-Sya’bi, Ibnu Sirrin, Ibnul Mubarok, Imam As-Syafii, Imam Ahmad dan yang lainnya. (Ma’alim As-Sunan karya Al-Khithabi, 2/49).
Selanjutnya Al-Khithabi mengambil keterangan Imam As-Syafii, yang menjelaskan,
إذا فضل عن قوت المرء وقوت أهله مقدار ما يؤدي عن زكاة الفطر وجبت عليه
“Apabila makanan seseorang melebihi keperluan dirinya dan keluarganya, seukuran untuk membayar zakat fitrah, maka dia wajib mengeluarkan zakatnya.” (Ma’alim As-Sunan karya Al-Khithabi, 2/49).
Diantara dalil yang menguatkan pendapat majoriti ulama adalah hadis dari Ibn Umar radliallahu ‘anhuma, beliau mengatakan,
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mewajibkan zakat fitrah dengan satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum, kepada setiap budak atau orang merdeka, laki-laki atau wanita, anak maupun dewasa, dari kalangan kaum muslimin. (Hadis Riwayat Bukhari).
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mewajibkan zakat fitrah kepada seluruh kaum muslimin, tanpa pandang status. Baik kaya atau pun miskin, lelaki atau pun wanita. dan mereka yang sama sekali tidak memiliki harta, zakat fitrahnya ditanggung oleh orang yang menanggung nafkahnya.
929. Soalan : Seorang bapa yang curang sering melakukan zina dan masih belum bertaubat. Bapa adalah wali kepada anak perempuanya dan di majlis pernikahan anaknya bapa itu sendiri menikahkan anaknya, apakah hukumnya ustaz?
Jawapan :
Mengikut pendapat Mazhab Syafi’e dan Hambali, wali fasik tidak boleh atau tidak sah menjadi wali nikah. Ini berdasarkan sebuah hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda,"Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan ada saksi yang adil'. (Hadis Riwayat Ahmad)
Yang dimaksudkan dengan adil ialah seseorang itu berpegang kuat (istiqamah) kepada ajaran Islam, menunaikan kewajiban agama, mencegah dirinya melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan sebagainya serta berusaha tidak melakukan dosa-dosa kecil.
Wali bersifat adil disyaratkan kerana ia dianggap bertanggungjawab dari segi kehendak agama ketika membuat penilaian bakal suami bagi kepentingan dan maslahat perempuan yang hendak berkahwin itu. Manakala wali fasik pula, ia sendiri sudah tidak bertanggungjawab ke atas dirinya apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada orang lain.
Untuk menentukan seseorang wali itu bersifat adil atau fasik adalah memadai dilihat dari segi zahir atau luaran sahaja ataupun memadai wali itu mastur iaitu kefasikannya tidak diketahui kerana untuk menilai kefasikan secara batin adalah susah. Walau bagaimanapun jikalau Sultan atau Raja itu fasik yang menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali maka kewalian itu tetap sah kerana kesahihannya diambil kira dari segi keperluan terhadap wali Raja.
Sebenarnya sebahagian besar ulama-ulama Mutaakhirin dalam Mazhab Syafi’e seperti Imam Al-Ghazali, pendapat pilihan Imam Nawawi dan sebagainya, telah mengeluarkan fatwa bahawa sah wali fasik menjadi wali, selepas beristighfar.
Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin telah mengingatkan bahawa seseorang wali harus memerhati dan meneliti kelakuan gerak laku calon suami, jangan sampai mengahwini saudara perempuan dengan seorang lelaki yang buruk budi pekertinya atau lemah agamanya ataupun yang tidak sekufu dengan kedudukannya. Sekiranya ia mengahwinkan puterinya dengan seorang lelaki yang zalim atau fasik atau yang lemah agamanya atau peminum arak, maka ia telah melanggar perintah agamanya dan ketika itu ia akan terdedah kepada kemurkaan Allah SWT kerana ia telah mencuaikan persoalan silaturrahim (perhubungan tali kerabat) dan telah memilih jalan yang salah.
930. Soalan : Ustaz betulkah dalam Islam tiada sumpah lain seperti sumpah laknat kecuali sumpah li'an sahaja yg dibenarkan. Mohon penjelasan. Terima kasih
Jawapan :
Sumpah laknat yang dilakukan oleh seseorang menuduh orang lain berzina atau meliwath dirinya adalah sumpah palsu yang tak ada di dalam ajaran Islam. Di dalam undang-undang jenayah Islam sesiapa saja yang nak menuduh seseorang berzina atau meliwath perlulah membawa 4 orang saksi lelaki muslim yang adil di hadapan hakim mahkamah syariah dan orang yang dituduh pula untuk menafikan bahawa di melakukan zina atau meliwat maka dia akan bersumpah. Jika orang yang menuduh tak bawa 4 orang saksi lelaki muslim yang adil dia boleh dihukum qazaf iaitu disebat 80 kali dikhalayak ramai dan persaksiannya tak boleh diterima lagi. Jika dia tak dihukum di dunia maka dia akan dihukum di akhirat.
Dalam Islam terdapat 2 jenis sumpah, iaitu sumpah yang terpakai (sah) dan sumpah yang tidak terpakai. Sumpah yang terpakai pula terbahagi kepada 2 iaitu samada sumpah di atas perkara yang baik atau sumpah di atas perkara yang tidak baik. Sumpah yang tidak terpakai pula ialah sumpah lagha.(akan diceritakan lebih lanjut dibawah)
Syarat sumpah: lafaz dan niat
Lafaz sumpah mesti menggunakan salah satu dari 3 kalimah sumpah iaitu “wallahi”, “wabillahi” dan “wattallahi”.
Setiap lafaz sumpah itu perlu disertai dengan niat, tanpa niat ia tidak sah dan cuma sekadar lafaz sumpah sahaja.
Firman Allah SWT maksudnya, "Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah) dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar." (Surah al-Baqarah ayat 225)
Jenis-jenis Sumpah
Sumpah yang terpakai (sah)
1) Sumpah di atas perkara yang baik
Misalnya mengatakan “Wallahi aku tidak akan menonton rancangan hiburan lagi selepas ini” dan disertai dengan niat untuk bersumpah.
Jika tidak disertai niat untuk bersumpah tetap tidak dikira sebagai sumpah.
Sekiranya tidak dapat melakukan perkara baik yang terkandung dalam sumpah itu, hendaklah membayar kifarah (denda) samada memberi makan 10 orang miskin atau memberikan pakaian 10 orang miskin atau 3 hari berpuasa. (Lakukan kifarah mengikut turutannya)
2) Sumpah di atas perkara yang tidak baik
Sumpah di atas perkara yang tidak baik adalah haram. Allah melarang bersumpah untuk perkara yang tidak baik.
Firman Allah SWT maksudnya, "Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 224)
Misalnya bersumpah untuk tidak bertegur sapa dengan mengatakan “wallahi aku tidak bercakap dengan Ahmad sampai bila-bila“. Sebaliknya didapati bertegur sapa itu lebih baik untuk silaturrahim dan berdosa tidak bertegur sapa sesama Islam melebihi 3 hari.
Bentuk kaffarah sumpah telah dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya,
فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ
“Kaffarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin, yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu langgar. ” (Surah Al-Maidah ayat 89)
Sumpah atas perkara yang tidak baik dikenakan kifarah (denda) 1. Memberi makan 10 orang miskin atau 2. Memberikan pakaian 10 orang miskin. atau 3. Puasa tiga hari , untuk membatalkan sumpah itu. Juga hendaklah batalkan sumpah dengan membuat perkara yang bertentangan iaitu perkara yang lebih baik misalnya dengan kembali bercakap dengan Ahmad. Jangan kekalkan sumpah tersebut. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW:-
“Siapa yang bersumpah untuk tidak melakukan sesuatu, kemudian dia melihat hal lain yang lebih baik dari hal tersebut, maka hendaklah dia membayar kifarah sumpahnya, lalu mengerjakan hal yang lebih baik itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Sumpah yang tidak terpakai
Sumpah lagha
Sumpah yang tidak dimaksudkan untuk bersumpah. Tidak berdosa sumpah seperti ini, dalilnya seperti ayat 225 surah Al-Baqarah di atas.
Terdapat perbezaan tentang definisi sumpah lagha di antara mazhab Syafie dan Hanafi.
Mazhab Syafie: Lafaz sumpah tetapi tidak diniatkan untuk bersumpah seperti kebiasaan orang Arab atau Afghan berkata “Wallahi” (Demi Allah). Misalnya seorang Arab mengatakan “wallahi, ini minyak attar“. Pada orang Arab minyak attar adalah minyak wangi, sedangkan orang Melayu menyangka minyak attar itu minyak yang tiada alkohol. Tidak berdosa sumpah seperti ini.
Mazhab Hanafi: bersumpah diatas keyakinan hati benda itu betul tapi pada hakikatnya benda itu tidak betul. Misalnya kita tengok seseorang di satu tempat. Kita yakin orang itu ada disitu pada masa itu padahal sebaliknya (orang lain yang serupa berada disitu). Misalnya dengan berkata “Wallahi saya nampak Ahmad di KLCC pukul 5 petang tadi”.(padahal yang dilihat itu adalah orang lain yang seiras). Tidak berdosa sumpah seperti ini.
Kesimpulan
Hanya sumpah di atas perkara yang baik yang sah dan terpakai. Syaratnya ialah lafaz sumpah mesti ada kalimah sumpah dan disertai dengan niat untuk bersumpah.
No comments:
Post a Comment