Sunday, March 9, 2014

MAKANAN HARAM



Makanan Haram Gelabkan Hati

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh  


Kalam Allah dan Sunnah Rasulullah dalam hal makanan dan pemakanan boleh di jadikan panduan dalam kehidupan Muslim untuk memilih makanan, sumber mendapatkan makanan, jenis makanan dan juga adab makan. 


Makanan mempunyai pengaruh besar kepada rutin harian manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Pada zaman serba moden, kita sering dilalaikan dengan memilih makanan bertujuan pertumbuhan jasmani saja, tetapi lupa mencari makanan seimbang untuk pembentukan lahiriah dan rohaniah. 


Bagaimana hubungan rohani dengan makanan dan juga kesihatan? Menurut Hunayn Ibn Ishaq, roh atau jiwa boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu semula jadi dari hati, berhubung keperluan hidup iaitu jantung dan otak manusia. 


Selaras dengan itu, ketiga-tiga unsur penting ini memerlukan kesejahteraan tubuh badan untuk memeliharanya. Justeru, badan memerlukan makanan yang baik untuk memeliharanya dengan cara mendapatkan zat terbaik untuk tubuh badan manusia. 


Di sini jelas menunjukkan kepentingan makanan dan minuman yang mempunyai hubung kait dengan kesihatan hati, jantung dan otak, organ penting di dalam jasad manusia dalam pembangunan jasmani dan rohani mengikut acuan berlandaskan lunas Islam. Ahli sains dan perubatan tidak menafikan pentingnya peranan hati dalam fungsi badan. Bahkan, Islam juga memandang hati mempunyai peranan besar di mana ia mempengaruhi keseluruhan pembentukan peribadi dan akal seseorang. 


Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabiRasulullah bersabda yang maksudnya: “Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati”.
(Hadis riwayat Bukhari)  


Jelas kepada kita dari sudut pandangan sains, makanan yang baik penting untuk menjaga kesihatan hati kerana ia mempunyai fungsi antara lainnya mempunyai dua kali ganda bekalan darah, mengkumuhkan bahan beracun dalam badan, membina dan memusnahkan sel darah merah, menukar glikogen kepada glukosa untuk diserap oleh badan serta banyak lagi fungsi khusus lain yang penting dalam sistem tubuh badan manusia. 


Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk keterampilan peribadi seseorang yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan ummah terbilang. 


Dalam tafsir Al-Azhar, Prof Hamka mengingatkan supaya manusia tetap mencari makanan dan mengatur makanan serta minumannya daripada sumber halal, bukannya daripada penipuan yang sering berlaku sama ada rasuah, curi atau dipaksa.  


Meskipun makanan itu baik, unsur halal perlu dititikberatkan supaya kita dapat menjaga hati daripada dicemari makanan haram yang akan memberi kesan kepada keperibadian kita keseluruhannya. 


Batas yang baik itu sudah tentu dapat dipertimbangkan akal fikiran manusia kerana makanan itu bukan saja halal, tetapi juga baik seperti faham halalan tayyiban yang dianjurkan dalam agama. 


Dalam satu riwayat disampaikan Ibn Mardawaihi daripada Ibn Abbas bahawa seorang sahabat Rasulullah, Saad Ibn Abu Waqqas memohon Baginda memohon kepada Allah supaya apa saja doa disampaikannya kepada Tuhan, supaya dikabulkan.


 Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya.Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangannya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya dari harta yang haram dan riba, maka api lebih baik baginya.”  


Hadis ini sudah tentu menggerunkan hati kita menjauhi makanan haram dan makanan daripada sumber haram. Seandainya ingin doa dimakbul Allah, maka kita perlu menjaga makanan yang disuap ke mulut kita. 


Perut dipenuhi makanan yang haram akan mempengaruhi jiwa. Seharusnya pengajaran hadis Rasulullah dijadikan iktibar untuk kita memperhalusi jika selama ini doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah. 


Perincikan di mana salah kita, pekerjaan, makanan dan adakah kita berusaha di dalam hidup ini hanya sekadar untuk memenuhi perut kita? Bagaimana mungkin hati yang kotor akan dikabulkan doanya, perut terisi makanan haram dapat menjelmakan peribadi yang salih?  


Pemakanan sihat dan seimbang mampu memelihara tubuh badan daripada sebarang penyakit memudaratkan. Pengambilan dan penggunaan tenaga yang seimbang dan optimum dapat mengekalkan kesihatan jasmani. 


Apabila tubuh kuat dan sihat, kita dapat melakukan pekerjaan atau rutin harian dengan sempurna sekali gus dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. 


Daripada bab memilih makanan yang baik, Islam juga menggariskan adab makan yang sedikit sebanyak mempengaruhi pengamalan seharian. Adab sebelum dan selepas makan, ketika makan dan adab makan bersama tetamu, semuanya digariskan Islam melambangkan kesyumulan dalam melahirkan generasi berkeperibadian mulia dan beradab. 


Walaupun makanan bukan punca kepada segala penyakit, mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu menjaga pemakanan lebih baik daripada mengubat penyakit disebabkan daripada pemakanan. 


Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Kami adalah suatu kaum yang tidak makan sebelum kami lapar dan sekiranya kami makan tidak pula sampai kekenyangan”. Makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang sesuai diamalkan dalam kehidupan di mana kita sering mengambil makanan mengikut nafsu dan bukannya makan mengikut keperluan. 


Sebab itulah masyarakat selalu berhadapan masalah kesihatan berkaitan makanan seperti kegemukan, kencing manis dan penyakit jantung. Pemakanan seimbang mengambil kira keperluan untuk tubuh, usia dan kegiatan harian. 


Ibnu Sina di dalam Al Qanun Fi al-Tibb menyarankan kita mengelak daripada makan dengan kenyang sehingga tiada ruang untuk baki makanan lain di dalam perut.  


Berlebihan dalam mengambil makanan dan minuman akan membawa kepada kesukaran penghadaman makanan oleh perut dan sistem ini akan ditimpa pelbagai penyakit. 


Contohnya, kegemukan boleh mendatangkan pelbagai komplikasi penyakit lain seperti malas, tidak cergas dan tidak sempurna dalam pekerjaan. Kesannya lebih teruk jika penyakit itu melarat dan boleh membawa maut.   


Namun perlu diingatkan, berlebihan dalam mengambil makanan dan minuman juga akan membawa kepada berbelanja yang lebih dan menyebabkan kepapaan. Sikap boros bukan satu sikap yang dipuji dalam Islam, malah ia adalah sikap syaitan. 


Pemakanan sihat dan seimbang dari segi kualiti dan kuantitinya mampu melahirkan masyarakat yang bukan saja cemerlang kesihatannya bahkan cemerlang akhlak sahsiah, berperibadi mulia dan mengamalkan ajaran Islam secara lengkap serta menyeluruh.  







Orang Mukmin Sentiasa Memakan Makanan Yang Halal dan Menjauhi Makanan Haram dan Syubhat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT telah menyediakan rezeki yang banyak dimuka bumi ini untuk semua makhluk-Nya. Rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT semuanya halal kecuali apa yang dijelaskan di dalam al-Quran  dan hadis Nabi SAW.

Halal ertinya boleh, jadi makanan yang halal ialah makanan yang dibolehkan untuk dimakan menurut ketentuan syariat Islam, segala sesuatu baik berupa tumbuhan, buah-buahan ataupun binatang pada dasarnya adalah halal dimakan, kecuali apabila ada nash Al-Quran atau Al-Hadis yang menjelaskannyanya. Ada kemungkinan sesuatu itu menjadi haram kerana memberi mudarat bagi kehidupan manusia seperti racun, barang-barang yang menjijikan , binatang yang mempunyai bakteri atau kuman dan sebagainya.

Allah berfirman SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah ayat 172)

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT adalah Zat Yang Maha Baik, tidak mau menerima kecuali yang baik, dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin sesuai dengan apa yang diperintahkan kepada para Rasul. Allah Ta’ala berfirman (maksudnya) : "Wahai para Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh. Allah Ta’ala berfirman (maksudnya) : "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu sekalian…”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW, ditanya tentang minyak sanin, keju dan kulit binatang yang dipergunakan untuk perhiasan atau tempat duduk. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apa yang dihalalkan oleh Allah dalam Kitab-Nya adalah halal dan apa yang diharamkan Allah di dalam Kitab-Nya adalah haram, dan apa yang didiamkan (tidak diterangkan), maka barang itu termasuk yang dimaafkan”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Turmudzi).

Berdasarkan firman Allah dan hadis Nabi SAW, dapat disimpulkan bahwa jenis-jenis makanan yang halal ialah :

1. Semua makanan yang baik, tidak kotor dan tidak menjijikan.
2. Semua makanan yang tidak diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
3. semua makanan yang tidak memberi mudarat, tidak membahayakan kesihatan jasmani dan tidak merosak akal, moral, dan akidah.
4. Binatang yang hidup di dalam air, baik air laut maupun air tawar.

Kategori produk dan pemakanan dalam Islam

1- Halal - Guna, perkenal dan niagakan. (Semua bahan mentah dan ramuan yang terbabit dalam penghasilannya dalah halal. Selamat untuk akal dan tubuh badan, bebas dari bahan mentah dan ramuan najis, tidak dari sumber babi, anjing dan binatang najis, tidak diproses, disedia atau dikilang alat-alat yg tidak bebas dari benda najis.)

2- Haram -Jauhi sejauh-jauhnya produk yang yang tidak diizinkan syarak untuk diguna atau dinikmati oleh umat Islam khususnya.(kerana boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh badan , akal, guna bahan ramuan dianggap najis, ramuan dari binatang yang tak dibenarkan, binatang yang tak disembelih dan cara pemprosesan yang melanggar kehendak syarak)

3- Syubhah - Diragui status samaada halal atau haram. Langkah yang terbaik adalah meninggalkannya.

An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya...".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sesuatu yang telah disepakati oleh para ulama ialah: asal hukum dalam semua perkara -kecuali ibadah yang mempunyai kaedah lain- adalah harus hingga datang dalil yang menunjukkan kepada haram. Ini berdasarkan kaedah: "Perkara yang haram ialah apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya manakala apa yang didiamkan daripadanya adalah suatu yang dimaafkan."

Sungguhpun begitu al-Quran telah memberikan panduan tentang makanan yang bagaimanakah yang perlu dan boleh dimakan.

1. Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan  kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu” (Surah al-Baqarah ayat 168)

2. Firman Allah SWT maksudnya : “Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk” (Surah al-A’raf ayat 157)

Al-Quran telah menegaskan bahawa makanan yang dihalalkan oleh Allah ialah yang baik-baik sahaja. Justeru itu makanan yang memudaratkan agama dan kesihatan adalah haram dan termasuk di dalam al-khbai’th.

Perkara-perkara yang diharamkan:

 1) Bangkai.

Ini berdasarkan firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah; 'Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barang siapa yang dalam keadaan terpaksa sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-An’am ayat 145)

2) Darah yang mengalir.

Dalilnya ialah ayat-ayat di atas.
Ibn Abbas r.a telah ditanya tentang limpa, lalu beliau menjawab: “makanlah”, lalu mereka berkata: “ia adalah darah”, jawab beliau: “yang diharamkan kepada kamu hanyalah darah yang mengalir”.

3) Babi.

Dalilnya ialah ayat-ayat di atas.(Surah al-An'am ayat 145)

4) Sembelihan untuk selain daripada Allah.
Dalilnya ialah ayat-ayat di atas. (Surah al-An'am ayat 145)

Maksudnya ialah binatang disebutkan nama selain dari Allah semasa penyembelihan itu. Begitu juga sembelihan yang ditujukan kepada selain daripada Allah, samada disebut namanya atau tidak semasa penyembelihan, bahkan sekalipun dibacakan bismillah.

5) Semua binatang buas (as-Siba’) yang bertaring.

Kata Ibn al-Athir: “iaitu binatang pemangsa yang memakan secara menerkam seperti: singa, harimau, serigala dan seumpamanya.

Sabda Nabi SAW maksudnya :“Setiap yang memiliki taring dari kalangan pemangsa, maka memakannya adalah haram“. (Hadis Riwayat Malik, Muslim dan lain-lain dari hadis Abi Tha’labah al-Khusyani).

Al-Syafi’e berpandangan bahawa as-siba’ yang diharamkan ialah yang menyerang manusia seperti singa, harimau dan serigala.

6) Semua jenis burung berkuku tajam dan menyambar.

Dalilnya ialah hadis Ibn Abbas, katanya: “Rasulullah SAW melarang (memakan) setiap yang bertaring dari binatang buas dan setiap yang berkuku (claw) dari burung.” (Hadis Riwayat Muslim)

Adapun yang dimaksudkan dengan burung yang mempunyai kuku ialah: yang kukunya tajam digunakan untuk menangkap dan melukakan serta mengoyak mangsa. Contohnya: helang, enggang, gagak dan layang-layang. Dikecualikan daripadanya: merpati dan burung-burung kecil; kerana ia termasuk dalam al-mustatob (perkara yang dipandang baik).

7) Keldai peliharaan.

Di antara perkara yang diharamkan oleh Nabi SAW dalam peperangan Khaibar ialah keldai peliharaan. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Para ulama sepakat tentang halalnya keldai liar -dan kuda belang dan seladang

Nabi SAW telah dihadiahkan dengan keldai liar lalu baginda memakannya. (Hadis Riwayat al-Bukhari dari hadis Abi Qatadah).

Al-Jallalah (Binatang yang memakan kotoran).

Iaitu binatang yang memakan kotoran dan sesuatu yang menjijikkan. Ibn Hazm menghadkannya hanya kepada yang berkaki empat sedangkan Ibn Hajar menyatakan ianya umum. Dalilnya:

1. Hadis Ibn Umar: Rasulullah SAW melarang dari memakan al-jallalah dan meminum susunya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan at-Tirmizi yang mensahihkannya).

2. Hadis Ibn Abbas: Larangan itu ialah tentang memakan al-jallalah dan meminum susunya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa-i, Ibn Majah, al-Hakim. At-Tirmizi mensahihkannya).

9) Anjing dan kucing.
Hampir tiada khilaf di kalangan ulama tentang pengharaman anjing .Pengharaman anjing datang dengan beberapa faktor:

a).  Ia adalah najis menurut jumhur ulama; lantaran arahan Nabi SAW supaya bekas yang dijilat oleh anjing hendaklah dibasuh 7 kali yang pertama dengan air tanah. (Hadis Riwayat Muslim).

b). Ia termasuk di dalam al-mustakhbath (yang dipandang jijik);

c). Ia memakan kotoran.
    Larangan Nabi SAW daripada memakan harga anjing dan kucing. (Riwayat as-sahih).

10) Semua jenis binatang yang menjijikkan.

Firman Allah SWT:
” dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk” (Surah al-A’raf ayat 157)

Kebanyakan ulama memberikan garis panduan dalam hal ini seperi berikut:

Apa yang dipandang jijik dan kotor oleh manusia (yang murni fitrahnya) dari jenis haiwan – bukan kerana sesuatu ‘illah atau kerana tidak biasa sebaliknya semata-mata kerana menganggapnya jijik, maka ia adalah haram.
Apabila sebahagian manusia menganggapnya jijik sedangkan yang tidak, maka yang diambil kira ialah tanggap majoriti.

Setiap yang jijik di sisi syarak itu tentulah akan memudaratkan diri dan agama manusia.
Kebanyakan haiwan yang tidak dimakan oleh manusia sedangkan tiada dalil yang jelas menunjukkan ia haram, merupakan haiwan dari kategori ini.

11) Semua binatang yang diarahkan untuk dibunuh atau dilarang dari dibunuh.

Sebilangan ulama berpendapat bahawa binatang-binatang yang dilarang oleh Nabi SAW dari membunuhnya atau yang diarahkan untuk membunuhnya adalah haram.

Binatang yang diarahkan bunuh:

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Dari ‘Aisyah bahawa Rasul SAW bersabda: "5 jenis binatang semuanya fawasiq boleh dibunuh di Tanah Haram: burung gagak, burung layang-layang, kala jengking, tikus, anjing dan al-’aqur (sejenis binatang yang menggigit).” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasai).

Binatang yang dilarang bunuh:

Sabda Nabi SAW maksudnya :Dari Ibn Abbas bahawa Nabi SAW telah melarang daripada membunuh 4 jenis binatang: semut, lebah, belatuk dan nuri.

12) Binatang beracun samada yang ikan atau selainnya, diburu atau dijumpai mati.

Ini adalah jelas kerana Islam melarang al-khabai’th. Juga dengan umum ayat:
Firman Allah SWT  maksudnya : ” Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah ayat 195)

13) Haiwan dua alam:

Kata al-Qadi Ibn al-’Arabi: Pendapat yang sahih berhubung haiwan yang hidup di darat dan air ialah dilarang; kerana terdapat percanggahan dalil halal dan haram. Lalu kami memenangkan dalil haram sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat).

Sementara sebilangan ulama pula berpandangan bahawa semua haiwan yang memang hidup di laut adalah halal sekalipun ia mungkin boleh hidup di daratan kecuali katak kerana ada dalil lain berhubungnya.

14) Binatang yang tidak disebutkan statusnya:

Berdasarkan sabda Nabi SAW maksudnya :“Apa yang Allah halalkan di dalam kitab-Nya, maka ia halal. Apa yang Allah haramkan, maka ia haram. Apa yang Allah diamkan tentangnya, maka ia adalah dimaafkan.” (Hadis Riwayat al-Bazzar dan katanya: sanadnya sahih, juga disahihkan oleh al-Hakim).

Apa yang dinyatakan di sini adalah secara ringkas saja jenis-jenis perkara-perkara yang diharamkan memakannya berhubung persoalan halal dan haramnya binatang-binatang yang mempunyai berbagai-bagai spesis. Pendetailan tajuk boleh dirujuk di dalam kitab-kitab tafsir dan hadis ahkam serta buku-buku Fiqh.

Sahabat yang dimuliakan,
Selain daripada perkara yang diharamkan seperti  di atas, terdapat lagi beberapa  perkara lain yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

1. Minuman keras (arak) (Terdapat 10 perkara yag dilarang mereka yang  terlibat dengan arak)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesuatu yang memabukkan dalam keadaan banyak, maka dalam keadaan sedikit juga tetap haram.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i, Abu Dawud dan Turmudzi).

2. Makan hasil curi dan penipuan, pelacuran dan perbomohan.

Rasululullah SAW enggan makan daging kambing yang dihidangkan kepadanya dan berkata yang bermaksud : “Aku mendapati daging kambing ini diambil tanpa izin dari pemiliknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

 Abu Mas’ud al-Ansari ra berkata:  “Nabi SAW menegah dari harta hasil jualan anjing, hasil pelacuran dan hasil perbomohon (dengan cara yang dilarang).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Hasil daripada menggambil riba

Firman Allah SWT maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu ..." (Surah al Baqarah ayat 278-279)

4. Menggambil duit rasuah

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :  “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api Neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani)

5. Hasil daripada bermain judi

Allah berfirman maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. (Surah al-Baqarah ayat 219)

6. Hasil daripada jualan barang haram seperti daging babi, anjing, arak, dadah dan lain-lain

Haram ertinya dilarang, jadi makanan yang haram adalah makanan yang dilarang oleh syarak untuk dimakan. Termasuk sumber daripada jualan barang-barang yang haram adalah haram.

 Apakah kesan dan akibat buruk yang akan diterima oleh sesiapa yang memakan dan mengambil benda haram?
Akibat-akibatnya adalahg seperti berikut :

1. Doa orang yang memakan daripada sumber yang haram atau makanan dan minuman yang haram tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.

Di riwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya : “Kemudian Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam menyebutkan orang yang lama bepergian, rambutnya kusut, berdebu, dan menengadahkan kedua tangannya ke langit, 'Wahai Rabb-ku, wahai Rabb-ku,' padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan diberi makan dengan yang haram, bagaimana doanya dikabulkan?”

2. Kehidupan seseorang yang menggunakan sumber yang haram atau makanannya dari barang yang haram tidak berkat, rumah tangga akan porak peranda dan jiwa anak-anak tidak akan tenang, syaitan akan mudah menguasai mereka.

Nabi berwasiat kepada Sayyidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Orang yang mencari rezeki haram, apabila ia berjalan kaki , syaitan selalu mememaninya. Dan kalau ia naik kenderaan, syaitan ikut membonceng. Orang yang mengumpulkan harta haram, syaitan selalu ikut makan bersamanya. Wahai Ali ! Seorang mukmin selalu meningkat agamanya selama ia tidak memakan yang haram."

2. Jika meninggal dunai dan  tidak sempat bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam api neraka .

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya". (Hadis Riwayat Al-Tarmizi)

3. Menyebabkan Allah S.W.T murka. (Apabila perkara haram menjadi amalan manusia samaada daripada makanan, minuman, perbuatan, pekerjaan dan lain-lain)

Alllah S.W.T. akan menurunkan bala dalam bentuk kehancuran sesebuah negara. Mereka yang terlibat secara langsung juga telah turut menyumbang kepada kehancuran tamadun bangsa dan negaranya sendiri. Sebab itulah seseorang yang mempunyai sifat amanah dan tanggungjawab yang tinggi serta iman yang mantap dan kuat, sudah pasti tidak sanggup melakukan dosa yang sebegini berat, yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada diri dan umat manusia seluruhnya. Firman Allah S.W.T. bermaksud :
"Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya saat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri binasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya".(Surah Al-Isra' ayat 16)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita supaya dapat dijauhi semua perkara-perkara yang haram  dan mendatangkan dosa samaada makanan, minuman, pekerjaan, pergaulan, perjuangan dan amalan kehidupan sehari-hari. Ambillah ajaran Islam sepenuhnya dalam kehidupan kita dan laksanakan semua perintah Allah SWT  dan tinggalkan semua larangan-Nya. Ikutilah sunnah Rasulullah SAW dan tinggalkan perkara bid'ah dalam agama kerana banyak bid'ah yang di ajarkan oleh Yahudi dan Nasrani adalah  sesat dan menyesatkan.Sentiasalah bertaubat kepada Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Makanan yang haram pada zatnya dan pada sumbernya iaitu wang yang digunakan adalah dari pendapatan yang haram (dari sumber riba, judi, mencuri, rasuah atau penipuan), adalah haram dimakan. 
Membeli makanan halal dengan wang haram adalah sama seperti makan makanan yang haram juga. Makanan yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Ia memberi kesan ke atas hati serta akhlak kita. Di dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan manusia supaya makan makanan yang halal dan baik. Makanan yang datang sumber yang haram akan menggelapkan hati. Hati yang gelap pasti susah mendapat hidayah dan ilmu .

Orang yang memakan makanan yang haram, pakaiannya, rumah dan kenderaannya hasil dari sumber yang haram doanya tidak akan di makbulkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : “ Wahai orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang suci yang telah Kami berikan kepada kamu,” (Surah al-Baqarah ayat 172)

Rasulullah SAW menyebut tentang seorang yang bermusafir dalam satu perjalanan yang jauh ( doa seorang musafir adalah makbul). Dengan rambut yang kusut masai, pakaian yang berdebu-debu (kerana kesusahan) lalu dia mengangkat tangannya ke arah langit dan berkata, “ Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,” tetapi makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya juga haram, sentiasa memakan makanan haram, bagaimana mungkin doanya dikabulkan?” (Hadis Riwayat Ahmad -Jam’ul Fawaid)

Sahabat yang dimuliakan, 
Terdapat satu kisah benar berlaku kira-kira 70 tahun yang lalu di Kota Damsyiq Syria. Bagaimana sifat amanah seorang pemuda yang tidak mahu memakan makanan yang haram telah dikurniakan keberkatan dan kebaikan dalam hidupnya.

Di Kota Damsyiq, ada sebuah masjid besar yang bernama Masjid Al-Taubah. Di masjid ini pernah diduduki oleh seorang pemuda (penuntut ilmu) yang bernama Sulaim al-Suyuthi. Beliau terkenal pandai dalam ilmu agama dan sangat soleh, tetapi dia sangat fakir. Ia tidak memiliki tempat berteduh selain sebuah bilik didalam masjid Al-Taubah.

Suatu hari, Sulaim berasa sangat lapar. Sudah dua hari beliau tidak makan dan tidak memiliki apa-apa untuk membeli makanan. Pada hari ketiga, beliau merasa hampir mati kelaparan. Otaknya berfikir, apa yang harus dilakukan? Malah dia berasa telah sampai kepada batasan darurat yang membolehkan dirinya memakan bangkai atau mencuri sesuatu sesuai keperluan. Beliau memilih untuk mencuri.

Masjid Al-Taubah pada waktu itu berada di tengah-tengah kota raya. Rumah-rumah pada masa itu berada saling berdekatan dan atapnya saling berhampiran, jika seseorang mahu ,dia dapat berjalan hingga ke akhir kota dengan melangkah di atas atap-atap rumah.

Syeikh Sulaim segera memanjat dinding masjid. Dia terus melangkah ke atap rumah penduduk. Dia melihat seorang wanita dari atap tersebut, ia segera menutup matanya dan menjauh.

Kemudian dia tiba di sebuah rumah kosong, ia mencium dari dalamnya bau sesuatu masakan, bau itu semacam magnet yang menarik dirinya untuk turun.Dia segera melompat ke dalam rumah itu dan terus menuju ke dapur, dia segera mengangkat penutup kuali dan melihat terung-terung (bazinjan mahsyi ) yang sedang dimasak. Tangannya mengambil salah satu daripada terung tersebut dan segera menggigitnya.

Namun, sebelum ia sempat menelan gigitan tersebut, akal dan agamanya kembali.Hatinya segera berkata :

"A’uzubillah…aku seorang pelajar agama yang tinggal di masjid.tidak patut aku ceroboh rumah orang lain dan mencuri makananya..” Dia menjadi sangat menyesal, lalu beristigfar dan mengembalikan terung yang telah digigitnya itu ke tempatnya semula.

Beliau lalu kembali ke masjid dan duduk disebuah majlis ilmu, namun kerana sangat lapar, dia tidak memahami apa yang dia dengar. Setelah majlis itu selesai, dan semua orang telah kembali ke rumah masing-masing tidak ada yang masih berada di masjid kecuali Syeikh Sulaim dan gurunya.

Dalam keadaan itu, seorang wanita berniqab (berpurdah) tiba-tiba datang dan berbicara dengan guru di masjid tersebut, suaranya sangat halus, kemudian guru itu memanggil Syeikh Sulaim lalu berkata kepadanya:

” Perempuan itu baru sahaja kematian suaminya dan dia seorang yang asing di negeri ini, tidak ada yang menjaganya selain bapa saudaranya yang sudah sangat tua. Wanita ini mewarisi rumah dan semua harta suaminya.Untuk itu, dia meminta dicarikan suami yang dapat menjaga dirinya daripada orang jahat. Mahukah engkau menikahinya?.

Syeikh Sulaim berkata : “Ya”

Lalu Syeikh itu bertanya kepada perempuan itu,” Mahukah engkau menerimanya sebagai suami?.”

Wanita itu menjawab, “Ya”

Lalu guru tersebut memnggil bapa saudara perempuan itu dan menghadirkan dua saksi, akad nikah pun dilaksanakan segera.

Syeikh itu berkata, ” Bawalah suamimu ini”

Perempuan itu lalu memimpinya ke rumah tempat tinggalnya, apabila perempuan itu menyingkap niqabnya, ternyata ia adalah seorang wanita yang sangat muda dan cantik, juga ternyata rumah kediamannya adalah rumah yang telah dicerobohinya tadi.

Isterinya lalu bertanya, “Mahukah engkau makan?

Syeikh Sulaim menjawab, “Ya”

Isterinya segera membuka penutup kuali dan melihat terung-terungnya, lalu dia terus berkata,“Hairan sekali, siapa yang telah memakan terungku?”

Syeikh Sulaim segera menangis dan menceritakn kisahnya kepada isterinya.

Isterinya itu segera berkata: “Inilah buah daripada sifat amanah. Engkau meninggalkan sebiji terung yang haram, Allah SWT lalu memberikan kepadamu rumah ini beserta seluruh isinya melalui cara yang halal.”

Kisah ini diceritakan oleh Allayarham Syeikh Ali al Thantawi, seorang ulama besar Syria yang wafat beberapa tahun lalu,di dalam muzakarahnya,beliau berkata,”Cerita ini kisah benar, saya sendiri mengenali tokoh-tokoh itu dan masih ingat perinciannya”.

Sahabat yang di kasihi, 
Pengajaran yang terkandung dalam kisah ini sangat nyata dan jelas, satu biji terung haram yang ditinggalkan kerana Allah SWT dibalas dengan rumah besar beserta isinya dan isteri yang cantik di dunia ini, belum lagi balasan tidak terkira daripada Allah SWT di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan." ( Surah As-Sajdah (32) ayat 17 )

Meniggalkan perkara haram adalah amalan yang disukai oleh Allah SWT.

Imam Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Tinggalkanlah perkara-perkara yang haram maka engkau menjadi orang yang paling banyak ibadahnya”

Saidatina Aisyah r.ha berkata, ” Kamu semua tidak akan membawa amalan yang lebih baik daripada sedikit dosa, maka barangsiapa yang mahu mengalahkan seorang ahli ibadah yang tidak pernah berhenti meyembah Allah maka tahanlah dirinya daripada dosa.”

Para Ulama berkata : "Perbuatan taat dapat dilakukan oleh semua orang, namun meninggalkn maksiat, hanya dapat dilakukan oleh orang yang Siddiq (jujur kepada Allah)"

Maimun bin Mahran seorang ulama Tabiin berkata, “Menyebut nama Allah dengan lisan adalah perbuatan yang sangat baik, namun lebih baik daripada itu ialah seseorang yang mengingati Allah SWT ketika hampir melakukn maksiat”


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML