Hakikat Orang Kaya dan Miskin
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini terdiri daripada berbagai latar belakang kehidupan . Ada yang berpendidikan dan ada yang kurang pendidikan. Ada yang berjawatan tinggi dan ada yang bekerja sebagai orang bawahan saja. Ada yang kaya raya dengan memiliki harta kekayaan dan ada pula yang menjadi fakir-miskin.
Di sisi Allah SWT kekayaan harta benda bukanlah ukuran seseorang mendapat kemuliaan di sisi-Nya . Kerana kemuliaan seseorang bergantung kepada ketakwaannya kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat ayat 13)
Untuk mengenal hakikat orang kaya dan miskin yang sebenarnya, terdapat hadis riwayat dari Abu Zar r.a. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadaku : "Wahai Abu Zar, apakah engkau mengira bahawa orang yang banyak hartanya itu adalah orang kaya?"
Saya berkata : "Benar wahai Rasulullah "
Baginda bersabda : "Apakah engkau juga menyangka bahawa orang yang sedikit hartanya itu adalah orang yang fakir.?"
Saya berkata : "Benar wahai Rasulullah."
Baginda pun bersabda : "Bahawa sesungguhnya yang dinamakan kaya itu adalah kaya hati dan fakir itu adalah fakir hati. Oleh itu, sesiapa kaya (merasakan cukup) dalam hatinya maka tidak akan membahayakan dirinya apa yang sedikit dari harta dunia. Sesiapa fakir (merasa kurang) dalam hatinya maka harta dunia yang banyak tidak akan mencukupi baginya. Sesungguhnya yang merosak itu adalah sifat kikir yang ada pada dirinya."
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam sahihnya)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa hakikat kaya atau fakirnya seseorang itu adalah bergantung pada hatinya. Dan Allah SWT akan menilai dan memandang pada hati seseorang itu dan Allah SWT tidak memandang pada zahir seseorang.
Dari Abu Hurairah, sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada tubuh dan bentuk kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu.” (Hadis Riwayat Muslim no.2564)
Apabila hati seseorang kaya dengan iman dan takwa, sentiasa bersyukur dan sabar, sentiasa berbaik sangka dengan Allah SWT dan reda dengan qadak dan qadar , hatinya merasa cukup dengan pemberian daripada Allah SWT maka hati seperti ini adalah hati yang mulia dan bernilai di sisi Allah SWT walau pun dia seorang yang fakir tidak mempunyai harta kekayaan di dunia ini.
Sebaliknya apabila seseorang yang fakir hatinya iaitu hatinya tidak pernah bersyukur, tidak cukup dengan apa yang dimiliki, lahir sifat tamak haloba, cinta dunia dan bersifat kikir (tidak suka bersedekah dan infak dijalan Allah) maka hati seperti ini adalah hati yang tidak akan cukup walau pun memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah.
Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita ." (Hadis Riwayat Bukhari).
Hadis di atas menjelaskan bahawa ramai penghuni syurga adalah orang miskin dan penghuni neraka adalah kaum wanita. Orang miskin yang menjadi penghuni syurga adalah orang miskin yang hatinya kaya dengan iman dan takwa dan sentiasa bersyukur dan reda dengan ketentuan Allah SWT. Ramai wanita di neraka menurut hadis yang lain adalah disebabkan mereka tidak bersyukur dan selalu menderhakai suami mereka dan mereka tidak menjaga kehormatan diri.
Dalam riwayat yang lain ada dinyatakan bahawa di syurga diberitakan kebanyakan penghuni-penghuninya orang yang miskin di dunia, di dalam neraka ramai penghuni-penghuni orang yang berstatus tinggi di dunia, maksunyanya penghuni neraka ramai pembesar-pembesar, orang yang berkuasa dan orang-orang kaya.
Mengikut logik tentulah yang masuk syurga orang-orang mewah dan serba ada, kerana dengan serba ada mereka mudah dan senang membuat baik dengan manusia dan bersedekah. Tapi berita-berita ini menolak logik kita. Orang yang serba ada nampaknya tidak membuat lebih baik daripada yang miskin.
Tapi mereka membuat baik adalah tujuan dunia dan mencari nama kalau pun mereka membuat baik, pemurah kerana nama, menolong orang minta dipuji, membuat baik minta dikenang jasa, akibatnya kebaikan itu Tuhan tidak terima, kerana upahan mereka sudah terima atau sudah dapat di dunia . Lainlah orang miskin kalau menolong orang akhlaknya ada, bukan kerana nama, bukan kerana glamour, bukan minta kenang jasa, mereka sedar diri siapalah mereka, mereka buat baik, fitrah mereka bersih daripada mencari nama, mereka membuat baik tidak terfikir hendak dikenang jasa. Mereka rasa orang hina tidak seperti orang yang ada statusnya, tidak hairanlah orang miskin ramai didalam syurga, orang yang tinggi kedudukan didunia seperti orang kaya ramai ke neraka, oleh itu kalau kita serba mewah dan berada berkhidmatlah dengan manusia dengan ikhlas, agar kita selamat di syurga tempat yang kekal abadi kebahagiannya.
Bukanlah ini bermakna Islam menyuruh umatnya menjadi miskin tidak mempunyai harta kekayaan. Tetapi hadis di atas ingin menjelaskan bahawa janganlah orang yang miskin merasa hina di dunia kerana tidak berharta tetapi mereka akan menjadi mulia apabila mereke memiliki hati yang kaya (rohaninya) dengan iman dan takwa. Sebaliknya hadis ini juga motivasi untuk orang kaya supaya janganlah dengan kekayaan yang mereka miliki akan menjadikan diri mereka sombong dan kikir untuk sedekah dan infak di jalan Allah SWT. Kerana hanya dengan hati yang kaya (dengan iman dan takwa dan bersyukur) seseorang itu akan sedekahkan hartanya di jalan Allah SWT.
Terdapat dalam hadis yang lain menyatakan orang kaya yang banyak bersedekah hinggakan tangan kirinya tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanannya akan mendapat perlindungan Arasy di hari akhirat nanti. Orang kaya seperti ini adalah orang kaya zahir dan batin (dihatinya kaya dengan iman dan takwa dan bersyukur dan reda denga Allah SWT).
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jaga hati kita supaya sentiasa kaya (meraca cukup) dan sentiasa bersyukur dengan nikmat dan rezeki daripada Allah SWT. Untuk melahirkan hati seperti ini kita perlu kepada proses tarbiah imaniah, banyakkan menghadiri majlis-majlis ilmu, banyak membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan solat-solat sunat supaya hati kita sentiasa hidup, bersih, sihat dan yakin dengan janji-janji Allah SWT.
No comments:
Post a Comment