Friday, March 7, 2014

KEKUATAN DOA



Sahabat yang dirahmati Allah,
Berdo'a adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang merasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan do'a kehadrat Allah s.w.t. agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia merasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.

Sebagai seorang Mukmin yang yakin di atas Qadha' dan Qadar Allah s.w.t. kalian kena berfikiran positif dan yakin apa sahaja keputusan Allah s.w.t.adalah keputusan yang terbaik, yang mana hanya Allah s.w.t. sahaja Maha Mengetahui di atas kehidupanmu pada masa sekarang dan masa akan datang.

Di dalam hadis Nabi s.a.w. terdapat tujuh golongan manusia yang mana do'a mereka amat mustajab dan akan di kabulkan oleh Allah s.w.t. Oleh itu berhati-hatilah terhadap tujuh golongan ini kerana do'a mereka tidak ada hijab di sisi Allah s.w.t. Golongan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Do'a ibu bapa kepada anak-anaknya.

Allah s.w.t. amat murka jika ada anak yang derhaka kepada ke dua ibu bapanya. Sehinggakan do'a mereka dikabulkan terus di dunia ini lagi tidak payah menunggu siksaan dihari akhirat. Contoh sahabat Nabi s.a.w bernama Alaqamah kerana menyakiti hati ibunya dia tak boleh mengucap kalimah “Laa ilaaha illallaah”di saat kematiannya. Setelah ibunya memaafkannya barulah dia boleh mengucap kalimah syahadah.

Kisah kedua yang boleh kita ambil pengajaran adalah kisah Juraij.
Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam telah berpesan kepada kita betapa mustajab do'a seorang ibu untuk anaknya. Dalam Sahih Muslim,  kisah seorang lelaki, Juraij, yang begitu kuat beribadah kepada Allah. Hari-harinya diisi dengan solat sunat. Beliau mempunyai tempat khas untuk solat - pondok kecil yang agak tinggi tempatnya.

Pada suatu hari, ibunya datang menziarahinya. Sambil mendongakkan kepalanya, si ibu memanggil anaknya: "Juraij, saya ibumu, cakaplah denganku!"

Juraij khusyuk beribadah dan berkata dalam hatinya: "Ya Allah, saya utamakan solatku atau ibuku?"

Juraij memilih meneruskan ibadahnya. Ibunya letih berteriak dan akhirnya meninggalkan tempat Juraij. 

Esoknya ibunya datang dan memanggilnya lagi tetapi Juraij tidak mengendahkan dan terus beribadah.

Ibunya pulang ke rumah dengan rasa hampa dan marah dalam hatinya. Semasa itulah wanita itu berdoa: "Ya Allah, Juraij itu adalah anakkku, aku mahu bercakap dengannya tapi dia menolak bercakap denganku. Ya Allah, jangan engkau matikan dia kecuali Engkau tunjukkan padanya akan pelacur."

Ada gembala kambing yang sentiasa menggembala kambingnya di sekita pondok Juraij. Gembala kambing itu terserempak dengan 'bunga desa' yang cantik. Mereka berasmara sehingga wanita itu hamil dan akhirnya melahirkan anak. Namun gembala itu menghilang.

Semasa ditanya orang kampung, anak siapakah itu, wanita ini sekadar menuding ke arah pondok Juraij. Orang-orang kampung beramai-ramai mendatangi Juraij dan memanggilnya dengan marah. Juraij keluar kehairanan. Mereka menuduhnya berzina sehingga wanita itu melahirkan bayinya. Juraij bertanya: "Di mana bayi itu"

Maka mereka membawa bayi itu menghadapnya. Juraij berkata: "Tinggalkan aku untuk solat dan berdoa."

Sesudah itu, Juraij menepuk perut bayi dan bertanya: "Wahai bayi, siapakah bapamu?"

Dengan izin Allah, bayi itu menjawab: "Bapaku ialah gembala kambing di kampung ini."

Penduduk kampung terkejut dan malu kerana merobohkan pondok Juraij kerana tertipu oleh wanita itu. Mereka berjanji akan membangunkan pondoknya dengan emas dan perak, namun Juraij menolak dan meminta pondok seperti asalnya. 

Rasulullah menyatakan kisah Juraij menunjukkan betapa kuat do'a seorang ibu, apatah lagi yang disakiti anaknya.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
(Surah al-Luqman ayat 14)

Kedua : Do'a orang yang di aniaya.

Do'a seorang yang di zalimi dan di anianya tidak ada hijab disisi Allah s.w.t samaada dia seorang Muslim atau bukan Muslim .

Dari Mu’adz bin Jabal RA bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :
“Takutlah kepada doa orang-orang yang teraniaya, sebab tidak ada hijab antaranya dengan Allah (untuk mengabulkan)”. 
(Hadis Shahih Muslim)

Dari Abu Hurairah bahawa dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya :
“Do'anya orang yang teraniaya terkabulkan, apabila dia seorang derhaka, maka kederhakaannya akan kembali kepada diri sendiri”. 
(Hadis Riwayat Ahmad . Dihasankan sanadnya oleh Mundziri dalam Targhib  dan Haitsami dalam Majma’ Zawaid , dan Imam ‘Ajluni )

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :
“Seorang Muslim adalah saudara bagi sesama Muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Taqwa tempatnya disini! Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali. Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama Muslim,setiap Muslim haram menumpahkan darah saudara sesama Muslim. Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” 
(Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Do'a seorang musafir.

Kenapakah do'a seorang musafir dimakbulkan oleh Allah s.w.t.?
Seorang musalifir adalah sesaorang yang keluar rumah dan kampung halamannya untuk menuju sesuatu distinasi. Tujuannya adalah murni semata-mata kerana Allah iaitu untuk :

1. Menuntut ilmu : Para malaikat akan menebarkan sayap-sayapnya kepada mereka yg bertujuan untuk menuntut ilmu.
2. Berdakwah, berjihad di jalan Allah dan membantu mangsa bencana alam.
3. Menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai untuk merapatkan hubungan silaturahim dan menunaikan jemputan.
4. Mencari nafkah untuk menyara ahli keluarga.

Allah s.w.t. memberi keistimewaan kepada hamba-Nya yang bermusafir hinggakan Allah s.w.t memberi kelonggaran boleh berbuka diwaktu bulan Ramadan semasa ia musafir. Solat lima waktu juga diberi rukshah (kelonggaran) iaitu boleh dikerjakan dengan cara jama' dan qasar.

Oleh kerana besarnya pahala yang akan diperolehi oleh seorang musafir dengan tujuan yang baik seperti di atas maka do'anya semasa musafir itu amat mustajab di sisi Allah s.w.t. 

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga do'a yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu do'a orang yang dianiaya, do'a seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya."
(Hadis Riwayat Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud)

Keempat : Do'a orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa :
Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang
yang berdo'a tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. Kadang-kadang perancangan Allah sama dengan
perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti do'anya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.

Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spirituil melalui sifat ikhlas. Amalan puasa
adalah antara manusia dengan Allah. Jika kita makan atau minum dengan diam-diam mungkin tiada siapa yang melihat cuma Allah saja yang tahu. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri sendiri dan kepada Allah. Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas, kita
bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah s.w.t. sendiri yang akan membalas pahala orang yang berpuasa di hari akhirat nanti dan do'anya juga amat mustajab di sisi Allah s.w.t.

 Sesiapa yang banyak berpuasa ada pintu khas  untuk mereka memasuki Syurga Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,”Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorang pun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman : Di manakah orang yang berpuasa? Mereka berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah seorang yang terakhir dari mereka masuk. Pintu itu ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik r.a. bahawa dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :
“Tiga do'a yang tidak ditolak ; do'a orang tua terhadap anaknya ; do'a orang yang sedang berpuasa dan doa seorang musafir”. 
(Hadis Riwayat  Baihaqi.  Dishahihkan oelh Al-Albani dalam Silsilah Shahihah).


Kelima : Doa Seorang Muslim Terhadap Saudaranya Daripada Tempat Yang Jauh

Daripada Abu Darda’ bahawa dia berkata bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda maksudnya :
“Tidaklah seorang Muslim berdo'a untuk saudaranya yang tidak di hadapannya, melainkan maka malaikat yang ditugaskan kepadanya berkata : “Amin, dan bagimu seperti yang kau do'akan”.
(Hadis Riwayat Muslim).

.Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Do'a seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah s.w.t."
(Hadis Riwayat Muslim)

Imam An-Nawawi berkata bahawa hadis di atas menjelaskan tentang keutamaan seorang Muslim mendo'kan saudaranya daripada tempat yang jauh, Jika seandainya dia mendo'akan untuk sejumlah atau sekelompok umat Islam, maka dia tetap mendapatkan keutamaan tersebut. Oleh kerana itu sebahagian ulama salaf tatkala berdo'a untuk diri sendiri dia menyertakan saudaranya di dalam do'a tersebut, kerana di samping terkabul dia akan mendapatkan sesuatu semisalnya. 
(Syarah Shahih Muslim karya Imam An-Nawawi )

Keenam : Do'a seorang pemimpin yang adil.

Seorang pemimpin yang adil adalah pemimpin yang meletakkan hukum-hukum Allah ditempatnya. Keadilan bukan saja dilihat daripada dia mengagihkan kekayaan kepada rakyat jelata, tetapi adil yang sebenarnya adalah menjalankan peraturan dan undang-undang Allah di dalam masyarakat dan menolak sistem lain selain daripada sistem Islam. Do'a pemimpin yang seperti ini amat mustajab do'anya di sisi Allah s.w.t.. Contoh para Khalifah ar-Rasyidin dan Khalifah Umar bin Abd Aziz.

Pemimpin yang zalim dan perasuah bukan saja do'anya tidak dimakbulkan oleh Allah s.w.t. tetapi dia mendapat kutukan para malaikat kerana kezalimannya dan jiwanya akan sentiasa resah gelisah kerana tidak ada keberkatan dalam kehidupan.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. iaitu do'a orang yang berpuasa sampai berbuka, do'a seorang pemimpin yang adil dan do'a orang yang dianiaya."
(Hadis Riwayat Turmudzi)

Ketujuh : Do'a anak soleh terhadap orang tuanya.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendo'akannya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Untuk merealisasikan maksud hadis di atas, maka berlumba-lumbalah para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat pengajian Tahfiz, pondok atau sekolah agama. Pada satu segi, tindakan ini boleh dikira sebagai satu sikap positif ibu bapa yang merasakan amalan mereka masih kurang cukup untuk membela nasib mereka di alam barzakh kelak. Oleh itu, langkah termudah ialah dengan menghasilkan anak-anak yang soleh yang mampu dan bakal mendo'akan mereka.

Manakala pada satu sudut lain pula, ianya merupakan satu manifestasi rasa terima kasih ibu bapa terhadap ibu-bapanya dahulu yang sudah berjaya mendidik mereka menjadi anak yang soleh. Lalu anugerah soleh itu dipanjangkan kepada anak-anaknya sendiri agar legasi soleh in berterusan kepada generasi berikutnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
(Surah al-Baqarah ayat 186)

Rasulullah s.a.w menyifatkan do'a sebagai senjata orang Mukmin dan menjadi tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah. Diantara berbagai macam do'a yang dipanjatkan oleh seorang hamba kepada Allah, ada do'a yang dikabulkan dan ada pula do'a yang tidak dikabulkan oleh Allah s.w.t. Oleh itu, seseorang hamba yang berdo'a harus memahami keutamaan dan adab-adab ketika berdo'a.

Demikianlah beberapa kriteria tujuh golongan orang yang do'anya mustajab dan diterima oleh Allah s.w.t. Satu lagi perkara yang perlu kita fahami bahawa apabila kita menjadi orang beriman dan bertakwa, hati dan jiwa kita cinta sepenuhnya kepada Allah s.w.t. maka kita juga akan termasuk dikalangan mereka-mereka yang mustajab do'anya. Kerana apabila kita menjadi kekasih Allah, dan Allah kasih pada kita maka segala permohonan kita akan dikabulkan oleh Allah s.w.t. Marilah sama-sama kita letakkan diri kita menjadi kekasih Allah iaitu melaksanakan semua yang disuruh dan meninggalkan semua yang di larang-Nya.

Kekuatan Do'a Boleh Merubah Qadha' dan Qadar.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Do'a adalah senjata orang Mukmin. Tanpa berdo'a manusia akan kehilangan kekuatan dan pedoman kerana hidup tanpa do'a adalah seperti layang-layang putus tali. Apabila pengharapan dan pergantungan yang mutlak kepada Allahs.w.t., jiwa manusia akan tenang, bahagia dan terbina satu ikatan rohani yang tinggi dengan Tuhan pencipta alam semesta. Kekuatan inilah yang lebih hebat dan kukuh berbanding dengan kekuatan fizikal dan luaran sahaja.

Kekuatan berdo'a boleh merubah Qadha' dan Qadar Allah s.w.t.
Dengan berdo'alah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat atau memerlukan kepada Allah.

Ini berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w : Diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi r.a. daripada Nabi s.a.w. maksudnya : "Tidak ditolak Qadha' (ketentuan Allah) kecuali dengan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibu bapa"
(Hadis Riwayat At-Tirmizi, Ibnu Hibban dan selainnya)

Nabi s.a.w. mengistisna' (mengecualikan) perubahan kepada Qadha' itu dengan do'a. Doa boleh merubah ketentuan Allah. Dan kata ulama' Qadha' di sini ialah Qadha' yang Mu'allaq. Adapun Qadha' yang Mubram seperti kematian tidak boleh diubah kerana manusia pasti akan mati. Tarikh bila akan mati termasuk di dalam Qadha' Muallaq kerana berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang mafhumnya antara perkara yang boleh memanjangkan umur kamu dengan menghubungkan silaturrahim dan taat kepada ibu bapa.

Firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran. 
(Surah al-Baqarah ayat 186).

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
"Do'a merupakan otak kepada ibadat. 
(Hadis Riwayat at-Tarmizi).

Setelah diketahui bahawa segala usaha dan do'a dari hamba akan didengar dan diambil kira oleh Allah s.w.t. maka dengan sebab itulah perlunya seseoarang hamba itu untuk sentiasa berusaha dan berdo'a. Namun segala usaha dan do'a ini sudah tentulah di dalam kuasa dan ilmu Allah . Kerana itulah ada dinyatakan bahawa manusia hanya berusaha dan berdo'a tetapi Allah jualah yang menentukannya. Disebabkan manusia tidak mengetahui Qadha' dan Qadarnyalah maka manusia perlu kepada usaha dan do'a.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat satu kisah di zaman dahulu bagaimana do'a itu boleh merubah Qadha' dan Qadar Allah s.w.t.

Malaikat Jibril sungguh kagum melihat seorang abid (ahli ibadah) yang memberi tumpuan sepenuhnya beribadah kepada Allah s.w.t sehingga setiap masa dia berzikir dan beribadah. Maka Malaikat Jibril pun pergi melihat di Loh Mahfuz catatan amalnya samaada dia akan ditempatkan di Syurga atau Neraka. Bila dilihat di senarai ahli-ahli Syurga di dapati namanya (abid tersebut) tidak ada sebagai ahli Syurga. Tetapi bila di lihat disenarai ahli Neraka namanya tercatat disitu, maka Malaikat Jibril pun merasa hairan dan bertanyakan Allah s.w.t kenapa nama hamba Allah ini tercatat di senarai ahli Neraka sedangkan ibadahnya sungguh luar biasa, Allah s.w.t mengatakan Dia lebih mengetahui segala-galanya.

Maka malaikat Jibril minta kebenaran Allah s.w.t untuk memberitahu abid tersebut bahawa namanya tercatat sebagai ahli Neraka, maka Allah s.w.t izinkan. Bila berjumpa abid tersebut Malaikat Jibril memberitahu keadaan tersebut apa yang tercatat di Loh Mahfuz, maka abid tersebut menangis dan menyesal dan terus berdo'a kepada Allah s.w.t. supaya Allah s.w.t. dengan rahmat-Nya memasukkan dirinya kedalam senarai ahli Syurga. Selang beberapa lama Malaikat Jibril melihat semula senarai tersebut dan di dapati dia telah termasuk sebagai salah seorang ahli Syurga. Di sinilah peranan taubat dan do'a yang akan merubah Qadha' dan Qadar yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t kepada Qadha' dan Qadar lain yang diubah sendiri oleh Allah s.w.t.

Sahabat yang dikasihi,
Kisah kedua yang boleh kita ambil sebagai pengajaran adalah kisah pertemuan Nabi Musa a.s. bersama Nabi Khidir a.s. bagaimana do'a ibu bapa yang soleh kepada anak-anaknya boleh merubah Qadha' dan Qadar Allah s.w.t.

"Setelah Nabi Musa a.s. menyelesaikan khutbahnya, dia diikuti oleh seorang laki-laki yang meninggalkan tempat perkumpulan. Laki-laki ini bertanya kepada Nabi Musa a.s, "Apakah di bumi ini terdapat orang yang lebih alim darimu?"

Nabi Musa a.s.. menjawab, "Tidak."
Allah s.w.t. mencela Nabi Musa a.s. yang tidak mengembalikan ilmu kepada-Nya. Allah s.w.t.. mewahyukan kepadanya, "Ada, ada yang lebih alim darimu. Aku mempunyai seorang hamba di tempat bertemunya dua laut. Dia memiliki ilmu yang tidak kamu miliki."

Manakala Nabi Musa a.s. menyimak hal itu, dia pun bertekad ingin menemui hamba soleh tersebut untuk menimba ilmu darinya. Nabi Musa memohon kepada Allah s.w.t.. agar menunjukkan tempat keberadaannya. Allah s.w.t. memberitahu bahwa dia berada di tempat bertemunya dua laut. Allah s.w.t.. memerintahkan Nabi Musa a.s. supaya membawa serta ikan yang telah mati. Musa akan menemukan hamba soleh itu di tempat di mana Allah s.w.t.. menghidupkan ikan itu. Nabi Musa a.s. berjalan dengan seorang pemuda temannya menuju tempat bertemunya dua laut.

Setelah musafir beberapa lama maka sampailah Nabi Musa a.s. ketempat yang dituju dan berjumpa dengan hamba Allah yang soleh itu lantas Nabi Musa a.s.. langsung memberi salam, "Assalamu'alaikum." Sepertinya daerah itu adalah daerah kafir.

Oleh kerananya, hamba soleh tersebut merasa sangat aneh mendengar salam di daerah itu. Dia menjawab, "Dari mana salam di bumiku." Kemudian hamba soleh itu bertanya siapa Musa. Nabi Musa a.s. memperkenalkan diri sekaligus menyampaikan maksud kedatangannya. Dia datang untuk menyertainya dan belajar ilmu yang berguna darinya.

Hamba soleh itu berkata mengingkari perjalanan Nabi Musa a.s.. kepada dirinya, "Apa kamu tidak merasa cukup dengan apa yang ada dalam kitab Taurat dan kamu diberi wahyu?" Kemudian hamba soleh itu menyampaikan bahwa ilmu mereka berdua berbeda, walaupun sumber keduanya adalah satu. Hanya saja, masing-masing mempunyai ilmu yang berbeza yang Allah s.w.t. khususkan untuknya. "Wahai Musa, sesungguhnya aku memiliki ilmu yang Allah ajarkan kepadaku yang tidak kamu ketahui. Kamu juga mempunyai ilmu yang Allah ajarkan kepadamu yang tidak Allah ajarkan kepadaku."
Nabi Musa a.s.. meminta agar diizinkan untuk menyertainya dan mengikutinya. Dia menjawab, "Kamu tidak akan bisa bersabar bersamaku."

Nabi Musa a.s. pun berjanji akan sabar dengan izin dan kehendak Allah s.w.t.. Hamba soleh itu mensyaratkan atas Nabi Musa a.s. agar tidak bertanya tentang sesuatu sampai dia sendiri yang nanti akan menjelaskan dan menerangkannya.

Nabi Musa a.s.. dan Nabi Khidir a.s.. berjalan di pantai. Keduanya hendak menyeberang ke pantai yang lain, dan mendapatkan perahu kecil yang akan menyeberangkan para penumpang di antara kedua pantai. Orang-orang sudah mengenal hamba soleh itu, maka mereka menyeberangkannya bersama dengan Nabi Musa a.s. ke pantai seberang .

Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidhir a.s. melihat seekor burung yang hinggap di pinggir perahu. Burung itu mematok air dari laut sekali, maka hamba soleh berkata kepada Nabi Musa a.s. "Demi Allah, ilmumu dan ilmuku dibandingkan dengan ilmu Allah hanyalah seperti yang dipatokkan burung itu dengan paruhnya dari air laut."

Ketika keduanya berada di atas perahu, Nabi Musa a.s.. dikejutkan oleh Nabi Khidir yang mencabut sebuah papan kayu dari perahu itu dan melubangkannya. Nabi Musa a.s.. lupa akan janjinya, dengan cepat dia mengingkari.

Perosak di bumi adalah kejahatan, yang lebih jahat jika dilakukan kepada orang yang memiliki jasa kepadanya, "Mengapa kamu melubangi perahu itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya kamu telah berbuat suatu kesalahan besar." (Surah Al-Kahfi: 71).

Di sini hamba soleh itu mengingatkan Musa akan janjinya, "Bukankah aku telah berkata, 'Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama denganku."
(Surah Al-Kahfi: 72).

Pertanyaan Nabi Musa a.s. yang pertama ini kerana dia lupa, sebagaimana hal itu dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.
Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s. terus berjalan. Nabi Musa a.s.. dikejutkan oleh Nabi Khidir yang menangkap anak kecil yang sehat dan lincah. Nabi Khidhir menidurkan dan menyembelihnya, memenggal kepalanya. Di sini Nabi Musa a.s.. tidak sanggup untuk bersabar terhadap apa yang dilihatnya. Dengan tangkas dia mengingkari, sementara dia menyadari janji yang diputuskannya.
"Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih, bukan karena dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang munkar."
(QS. Al-Kahfi: 74)

Pengingkaran Nabi Musa a.s.. dijawab oleh hamba soleh itu dengan pengingkaran, "Bukankah sudah aku katakan bahwa sesungguhnya kamu tidak akan dapat bersabar bersamaku?"
(Surah Al-Kahfi: 75)

Di sini Nabi Musa berhadapan dengan kenyataan yang sebenarnya, bahwa dia tidak mampu berjalan menyertai laki-laki ini lebih lama lagi. Nabi Musa tidak kuasa melihat perbuatan seperti ini dan diam. Hal ini kembali kepada dua perkara. Pertama, tabiat Nabi Musa. Nabi Musa dengan jiwa kepemimpinan yang dimilikinya sudah terbiasa menimbang segala sesuatu yang dilihatnya. Dia tidak terbiasa diam jika menyaksikan sesuatu yang tidak diredhainya.

Dan kedua, dalam syariat Nabi Musa, pembunuhan seorang anak adalah sesuatu kejahatan. Bagaimana mungkin Nabi Musa tidak mengingkarinya, siapa pun pelakunya. Dalam hal ini Musa mengakui kepada hamba soleh tersebut. Nabi Musa a.s. memohon kesempatan yang ketiga dan yang terakhir. Jika sesudahnya Nabi Musa bertanya, maka dia berhak untuk meninggalkannya.

Keduanya lantas berjalan, hingga tibalah di sebuah desa yang penduduknya kedekut. Nabi Musa dan Nabi Khidir meminta kepada mereka hak bertamu. Namun mereka berdua hanya mendapatkan penolakan dari mereka. Walaupun demikian, Nabi Khidhir memperbaiki tembok di desa itu yang miring dan hampir roboh. Ini perkara yang aneh. Mereka menolak menerima keduanya sebagai tamu, tapi hamba soleh ini memperbaiki tembok mereka dengansempurna.

Di sini Nabi Musa a.s.. memilih berpisah. Hal ini ditunjukkan oleh pertanyaan Nabi Musa a.s.. kepada hamba soleh tentang alasan dia memperbaiki tembok secara sempurna, padahal tembok itu dimiliki oleh kaum yang menolak mereka.

Seandainya Nabi Musa a.s.. bersabar menyertai hamba soleh ini, niscaya kita bisa mengetahui banyak keajaiban dan keunikan yang terjadi padanya. Akan tetapi Nabi Musa a.s.. memilih berpisah setelah hamba soleh ini menerangkan tafsir dari perbuatannya dan rahasia yang terkandung dari perilaku yang dilakukannya. Dan perkara ini tercantum dalam surat Al-Kahfi.

Adapun tiga hikmah yang ada dibalik tiga kejadian yang 'diajarkan' oleh Nabi Khidir kepada Nabi Musa adalah :
Kejadian pertama adalah ketika Nabi Khidir menghancurkan perahu yang mereka tumpangi kerana perahu itu dimiliki oleh seorang yang miskin dan di daerah itu tinggallah seorang raja yang suka merampas perahu miliki rakyatnya. Ini sesuai dengan firman Allah Swt. "Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan aku bertujuan merusakkan bahtera itu, karena di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera."
(Surah Al-Kahfi: 79)

Kejadian yang kedua adalah ketika Nabi Khidir menjelaskan bahwa beliau membunuh seorang anak kerana kedua orang tuanya adalah pasangan yang beriman dan jika anak ini menjadi dewasa dapat mendorong bapak dan ibunya menjadi orang yang sesat dan kufur. Kematian anak ini digantikan dengan anak yang soleh dan lebih mengasihi kedua bapak-ibunya hingga ke anak cucunya.

Ini sesuai dengan firman Allah Swt. "Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mukmin, dan kami khawatir bahwa dia akan mendorong kedua orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. Dan kami menghendaki, supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak lain yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam kasih sayangnya (kepada ibu bapaknya)."
(Surah Al-Kahfi: 80-81)

Kejadian yang ketiga (terakhir) adalah dimana Nabi Khidir menjelaskan bahwa rumah yang dinding diperbaiki itu adalah milik dua orang adik beradik yatim yang tinggal di kota tersebut. Didalam rumah tersebut tersimpan harta benda yang ditujukan untuk mereka berdua. Ayah kedua adik beradik telah meninggal dunia dan merupakan seorang yang soleh. Jika tembok rumah tersebut runtuh, maka bisa dipastikan bahwa harta yang tersimpan tersebut akan ditemukan oleh orang-orang di kota itu yang sebagian besar masih menyembah berhala, sedangkan kedua adik beradik tersebut masih kecil untuk dapat mengelola peninggalan harta ayahnya.

Ini sesuai dengan firman Allah Swt. "Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki agar supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemauanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya".
(QS Al-Kahfi: 82)

Akhirnya Nabi Musa a.s.. sadar hikmah dari setiap perbuatan yang telah dikerjakan Nabi Khidir. Akhirnya mengerti pula Nabi Musa dan merasa amat bersyukur karena telah dipertemukan oleh Allah dengan seorang hamba Allah yang soleh yang dapat mengajarkan kepadanya ilmu yang tidak dapat dituntut atau dipelajari yaitu ilmu laduni. Ilmu ini diberikan oleh Allah s.w.t. kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya. Nabi Khidir yang bertindak sebagai seorang guru banyak memberikan nasihat dan menyampaikan ilmu seperti yang diminta oleh Nabi Musa a.s. dan Nabi Musa a.s. menerima nasihat tersebut dengan penuh rasa gembira.

Berdasarkan kisah tersebut di atas bagaimana Allah s.w.t merubah Qadha' dan Qadar-Nya melalui hamba-Nya yang soleh Nabi Khidir a.s. 

Pada mulanya Allah s.w.t. telah menetapkan bahawa perahu itu akan dirampas oleh raja yang zalim. kanak-kanak itu akan menjadi anak yang derhaka dan akan menyesatkan kedua ibu bapanya dan didinding itu akan runtuh dan harta karun yang ada dibawah tembuk itu akan diambil oleh kaum tersebut yang menyembah berhala.

Allah s.w.t telah mengutus Nabi Khaidir untuk merubah Qadha' dan Qadar kepada sesuatu yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Kesemua ini ada berkaitan dengan do'a hamba-hamba Allah yang berdo'a untuk kebahagiaan dan keselamatan mereka.

1. Do'a seorang miskin yang soleh yang memiliki perahu penumpang untuk mencari nafkah. Apabila ianya dilubangkan maka raja yang zalim disitu tak akan merampas perahu tersebut maka bolehlah dia meneruskan mencari nafkah dengan menggunakan perahu tersebut.

2. Do'a ibu bapa yang soleh, yang sentiasa berdo'a supaya dikurniakan anak-anak yang soleh yang akan membantu dan mendo'akan kedua ibu bapanya. Dengan kematian anak yang derhaka itu maka Allah gantikan dengan anak yang soleh dan dapat menyelamatkan akidah mereka berdua.

3. Do'a seorang bapa yang soleh mendo'akan agar harta peninggalannya akan digunakan oleh anaknya yang soleh dan boleh digunakan untuk membela agama Allah. Maka dengan tertegaknya temboh itu maka harta itu tidak jatuh ketangan kaum yang kufur dan akan akan dapat dimiliki oleh anak yang soleh itu setelah dia meningat dewasa.

Sahabat yang dihormati,
Marilah kita ambil ikhtibar di atas dua kisah tersebut supaya kita sentiasa berd'o dan bermunajat dan jangan jemu-jemu kerana semakin banyak kita berdo'a semakin Allah kasih dan cinta kepada kita. Semakin hati kita dekat dengan Allah s.w.t maka Allah s.w.t. semakin dekat dengan kita dan Dia akan menunaikan segala hajat yang kita persembahkan kepada-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (panggilan/perintah)Ku, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk (bimbingan)”.
(Surah Al-Baqarah: 186)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML