Friday, March 7, 2014

KALIMAH SYAHADAH

Hakikat Kebahagian Insan Kembali Kepada Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya kehidupan berTuhan itu amat indah dan bahagia. Namun, masih ramai yang gagal menemui erti yang jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan kehidupan Rabbani, sehingga ada yang tersesat dalam memilih Tuhan yang Esa sebagai sembahan mutlak. Ada yang mengambil Tuhan hanya dalam beberapa aspek kehidupan sahaja dan yang lebih buruk lagi, hanya kembali kepada Tuhan di saat kesusahan atau semasa berhajat kepada sesuatu. Semua kesilapan dan kesesatan ini merupakan punca dunia hari ini semakin merosot nilai dan kualiti kebahagiaan dan keselamatannya.

Dalam hidup berTuhan, Allah SWT adalah Tuhan yang sebenarnya perlu diikhtiraf sebagai satu-satunya Ilah atau sembahan, dan tiada yang lain selainnya. Allah SWT kemudiannya perlu dikenali dan dijadikan 'qasdul hayah' atau matlamat kehidupan. Setiap gerak geri kita mesti untuk pengabdian kepada Allah SWT semata-mata. Hati juga perlu mencintai Allah SWT disamping ketundukan dan kepatuhan secara total.

Inilah falsafah Tauhid yang perlu dijadikan pegangan setiap manusia. Kehidupan yang diwarnai dengan sinar Tauhid akan sentiasa membahagiakan insan. Ia juga akan menjadikan semua masaalah hidup boleh dihadapi dengan jiwa yang tenang, besar dan positif. Tauhid juga membawa manusia kepada keselamatan, kebahagiaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Kegagalan untuk kembali kepada Tuhan dalam aspek kehidupan dan membawa manusia kepada kesesatan yang membinasakan hidup. Bukan sahaja hidup sengsara di akhirat, malah kebahagiaan tidak akan dapat dikecapi di dunia ini lagi. Kehidupan yang menyisihkan Tuhan akan menjadikan manusia seperti binatang buas yang sentiasa mencari kepuasan hawa nafsu.

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu marilah kita menjalani kehidupan ini dengan mencintai Allah SWT. Jadikanlah Rasulullah SAW  sebagai petunjuk kerana inilah sahaja cara hidup yang diiktiraf oleh Tuhan yang menciptakan insan dan seluruh makhluk, termasuk kehidupan itu sendiri.

Renungkanlah hadis Nabi SAW. yang bermaksud : "Barangsiapa yang menyeru manusia kepada hidayah, dia mempunyai pahala seperti pahala yang dicapai oleh orang yang menyahut seruannya tanpa mengurangi pahala mereka yang menyahut seruannya, semakin banyak orang yang mengikuti seruannya semakin berlipat ganda pahala yang diperolehi."
(Hadis Riwayat Muslim)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML