Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dikalangan orang Islam hari ini tidak merasa kenikmatan hidup dalam Islam yang sebenarnya sebagaimana yang dirasai oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Dalam rangka inilah kita mesti mendekati sumber-sumber yang boleh memberi gambaran Islam atau fikrah Islam yang tepat dengan berpandukan Al-Quran dan Sunah Nabi SAW. Kita juga mesti mengetahui tentang jahiliah hari ini.
Musuh-musuh Islam telah cuba memasukkan unsur-unsur jahiliah didalam kehidupan kita sehingga kita tidak dapat merasai nikmat kemanisan hidup dalam Islam. Firman Allah SWT. dalam surah Al-Maidah ayat 50 yang bermaksud : "Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin (iman)".
Bagi orang-orang yang beriman, tidak ada hukum yang lebih baik melainkan yang diturunkan oleh Allah SWT., ini adalah tegasan dari Al-Quran. Tetapi mengapa ramai orang-orang Islam hari ini menolak hukum Allah SWT dari segi praktiknya. Bagaimana untuk menilai keadaan ini?
Sahabat yang dikasihi Allah,
Islam yang kita kehendaki adalah Islam yang syamil dan kamil dan menyeluruh. Al-Quran memberi gambaran yang betul mengenai keadaan jahiliah yang sebenarnya. Menurut Muhammad Qutb, jahiliah yang ditentukan oleh Al-Quran adalah :
1. Satu keadaan jiwa yang menolak hidayah dan petunjuk Allah SWT.
2. Satu penyusunan masyarakat yang menolak hukum-hukum Allah SWT.
3. Jahiliah itu adalah lawan bagi makrifat (kenal) kepada Allah SWT. Walaupun ia mempunyai ilmu tentang sifat dan kekuasaan Allah SWT. dan dimana kalau ditanya kepada mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka akan menjawab : 'Allah' -makrifat Allah. Jahiliah adalah lawan petunjuk Allah dan menghukum tidak dengan hukum Allah.
4. Jahiliah itu sebenarnya melawan Islam dan iman.
Jahiliah bukan bermakna melawan sains dan teknologi dan kemajuan harta benda. Tetapi yang dimaksudkan jahiliah apabila iman tidak dapt melahirkan amalan-amalan Islam dalam hidup maka ini bermakna jahiliah sedang mengawal dan menguasai semua aktiviti hidup kita. Ini merupakan satu hakikat yang mesti disedari oleh setiap individu.
Kita tidak boleh mengatakan bahawa seseorang yang tidak berilmu itu sebagai jahiliah. Konsep kefahaman terhadap jahiliah adalah sebenarnya diukur dari penerimaan dan penolakan terhadap Islam itu sendiri. Apabila Islam yang ditolak maka hiduplah kita dalam kumpulan jahiliah sepertimana contoh yang berlaku semasa mula Islam didakwahkan oleh Rasulullah SAW. di Mekah dikalangan orang-orang Quraish.
Sahabat yang dimuliakan,
Jahiliah dahulu senang diketahui dan dikesan, tetapi jahiliah hari ini adalah jahiliah yang 'sophisticate' dan sukar dikenali kerana mereka bersembunyi di dalam kemajuan dan berlindung atas nama dan selogan Islam. Jahiliah sekarang ini, malah jahiliah disetiap zaman tetap akan menolak hukum Allah SWT.dan mereka boleh dikenali sebagai jahiliah dimana-mana sahaja di dunia ini di segenap lapisan masyarakat dan di setiap keadaan.
Sesungguhnya jahiliah berada di segenap kemajuan sama ada pada fikiran, politik atau kemasyarakatan. Sesungguhnya kita dewasa ini telah dikongkongi oleh jahiliah yang amat teruk sekali sehingga apa yang kita anggap Islam telah pun di asaskan oleh jahiliah.
Jahiliah dan hawa nafsu mempunyai nilai atau hakikat yang sama. Apabila kita mengikut hawa nafsu, maka ia bermakna bahawa kita telah mengikut jahiliah. Mereka yang mengikut hawa nafsu enggan mengikut perinth Allah SWT. maka kedapatanlah jahiliah. Hawa nafsu tidak pernah bahkan tidak membawa manusia kepada iman dan Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud ;" Mereka lebih suka kepada yang buta daripada petunjuk Allah".
Oleh itu marilah sama-sama kita tinggalkan semua bentuk jahiliah yang berupa buah fikiran, undang-undang, adat resam, adat istiadat dan cara hidup. Marilah kita kembali mengambil Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna dan menjadikan iman dan takwa sebagai teras untuk mengawal hati dan jiwa kita.
No comments:
Post a Comment