Saturday, March 1, 2014

JALAN MENUJU KEMULIAAN INSAN

Jalan Menuju Kemuliaan Insan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu ketika dulu Abdul Laith pernah berkata mengenai lima syarat bagaimana untuk mendapat kehormatan dan kemuliaan :

1. Menahan Diri Daripada Maksiat.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Dan menahan nafsu dari maksiat, maka syurga tempatnya."

Jika kita dapat jauhi maksiat dan perkara yang ditegah oleh Allah SWT maka hati dan jiwa kita akan terpelihara daripada penyakit hati yang boleh mendatangkan hijab diantara kita dengan Allah SWT. 

2. Rela dan Reda Dengan Pemberian Yang Sederhana.

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Harga syurga itu ialah tidak rakus pada dunia."

Hati yang tidak rakus dengan dunia akan melahirkan qanaah dan rasa bersyukur dengan rezeki daripada Allah SWT walaupun sedikit. Syukur inilah yang akan mendatangkan kecintaan Allah SWT kepada para hamba-Nya dan akan ditambah lagi rezeki dan nikmat-Nya kepada mereka yang bersyukur. 

3. Rajin Melakukan Ketaatan dan Kebaikan.

Ini kerana, kemungkinan amal itu akan menyebabkan pengampunan dan masuk syurga.
Firman Allah SWT  yang bermaksud : "Syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu."

Orang mukmin yang sentiasa melakukan ketaatan dan kebaikan ketika di dunia ini adalah merupakan saham atau bekalan untuk hari akhirat .

4. Mencintai dan Bergaul Dengan Orang-orang Soleh.

Ini untuk mengharapkan syafaat mereka. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah kawan, kerana setiap kawan itu ada syafaatnya pada hari kiamat."

Ulama Salaf ada memberi pesanan :"Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semoga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam syurga. Dikatakan juga , apabila Allah SWT. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."

5. Banyak Berdoa.

Banyak berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT. hingga menitiskan air mata penyesalan akan mendapat perlindungan Allah SWT di Padang Mahsyar ketika mana tidak ada perlindungan lain selain dari perlindungan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56: Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.”

Ahli Hikmah ada berkata :
"Condong kepada dunia setelah mengetahui pahala bererti satu kebodohan. Tidak bersungguh dalam beramal setelah mengetahui besarnya pahala bererti lemah dan malas. Di syurga nanti ada masa rehat yang tidak dapat di rasai kecuali oleh orang yang tidak pernah berehat didunia. Ada kepuasan yang tidak dapat dirasai kecuali oleh orang yang meninggalkan berlebih-lebihan dan bersederhana di dunia."

Sahabat yang dimuliakan,
Sekiranya kita fahami dan hayati lima perkara di atas sebenarnya kita telah menuju kepada jalan kemuliaan insan dan akan mendapat penghormatan daripada Allah SWT di akhirat nanti. Teruskan beramal dan membuat persiapan sebaik mungkin ketika berada di dunia ini sebagai wasilah menuju ke hari akhirat.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML