Ada seorang penjaga unta bernama Uwais al-Qarni. Dia hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w., tetapi Uwwais al-Qarni tidak berkesempatan bertemu muka dengan Rasulullah s.a.w . Namun begitu, kecintaan dan rasa kasih sayang Uwais kepada Rasulullah sangat tinggi.
Semasa perang Uhud, sebatang gigi Rasulullah s.a.w. telah patah. Uwais menerima kabar itu. Lalu demi cintakan Rasulullah s.a.w. Uwais mencabut sebatang giginya untuk merasa sendiri betapa sakitnya Rasulullah mengalami patah gigi.
Uwais al-Qarni sangat ingin bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi dia terpaksa menjaga ibunya yang sudah tua. Uwais sangat memuliakan ibunya. Semasa dia ke Madinah suatu hari, Rasulullah tidak ada di rumah. Uwais hanya berpesan kepada Ummul Mukminin bahawa dia akan datang lagi untuk bertemu Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w pernah menceritakan kepada para sahabat bahawa Uwais al-Qarni adalah seorang hamba Allah yang tidak terkenal oleh penduduk di bumi tetapi sangat terkenal oleh penduduk di langit (para malaikat). Do'anya sangat mustajab. Sahabat-sahabat sangat berhajat untuk berjumpa dengannya untuk memohon do'anya yang sangat mustajab.
Apabila Rasul pulang, pertanyaan yang mula-mula diajukan kepada isteri baginda adalah sesiapa yang datang hendak menemuinya. Lalu diberitahu tentang kedatangan Uwais.
"Apakah engkau melihatnya?" Rasul bertanya.
"Saya hanya melihat belakangnya saja."
"Engkau akan masuk Syurga kerana memandangnya begitu." Kata Rasulullah s.a.w lagi.
Rasulullah hadiahkan baju :
Semasa terbaring sakit menjelang saat kewafatan, Rasulullah s.a.w. mewasiatkan baju yang sedang dipakainya diberikan kepada Uwais. Amanah itu dipikul oleh Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali.
Setelah menempuh perjalanan yang jauh, akhirnya mereka sampai ke wilayah Qarni (Yaman), tempat tinggal Uwais. Bertanya orang-orang kampung di situ tentang Uwais, mereka berasa terkejut kerana dua orang sahabat besar Nabi s.a.w itu ingin bertemu seorang penggembala unta yang langsung tidak terkenal di situ.
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali memperkenalkan diri masing-masing. Selepas seketika berbual-bual dengan Uwais, Sayyidina Umar berasa sangat tertarik dengan pemuda yang sangat sederhana lagi warak itu. Diminta agar Uwais sudi mendo'akan untuknya.
"Setiap kali selepas sembahyang aku tetap mendo'akan keampunan dan kesejahteraan untuk semua kaum Muslimin. Sekiranya engkau takwa kepada Allah dan mentaati segala ajaran Rasul-Nya, maka engkau akan terima berkat do'aku di akhirat kelak."
Selepas itu pulanglah dua orang sahabat Rasulullah s.a.w itu dengan rasa puas. Mereka bertemu dengan orang yang disebutkan oleh Rasulullah. Uwais tidak terkenal langsung di kalangan orang-orang di tempatnya. Tetapi keimanan dan takwanya yang luar biasa menjadikan dia seorang yang sangat istimewa.
No comments:
Post a Comment