Saturday, December 28, 2013

HIKMAH BERSEDEKAH


Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap hari akhbar arus perdana memaparkan kejadian kemalangan maut yang berlaku di seluruh negara. Kemalangan yang amat mengerikan berlaku, seolah-olah nyawa rakyat Malaysia amat murah dijalan-jalan raya. Kalau di Iraq kematian berpunca daripada ledakkan bom yang diletakkan ditempat-tempat awam tetapi di negara kita kematian berpunca dari kelalaian manusia atau sikap tidak bertanggung jawab manusia memandu laju melebihi had yang dibenarkan undang-undang hingga membahayakan keselamatan orang lain.

Tidak dinafikan kemalangan juga boleh berpunca dari perkara yang tidak disengajakan seperti tayar pancit, kerosakan berik atau jalan licin disebabkan hujan dan sebagainya. Perkara seperti ini kita boleh katakan sebagai takdir kerana diluar kemampuan manusia untuk mengelaknya. Tetapi sekiranya kemalangan berlaku disebabkan mengantuk (tak cukup tidur), terbabas disebabkan memandu terlalu laju, mabuk disebabkan meminum arak ianya tidak boleh dimaafkan kerana ianya atas kesalahan manusia, ianya mungkin tidak akan berlaku jika perkara tersebut dielakkan diperingkat awal lagi.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai seorang Mukmin, kita meyakini bahawa setiap peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini adalah di atas Qada' dan Qadar Allah s.w.t. kita kena terima dan redha di atas apa yang telah ditetapkan. Walaubagaimana pun sebagai langkah berjaga-jaga untuk masa akan datang dan dalam rangka ibadah kepada Allah s.w.t. kita diminta berhati-hati dalam setiap aspek kehidupan kita. Perkara yang difikirkan boleh mendatangkan mudarat dan membahayakan keselamatan hendaklah dielakkan.

Terdapat dua cara untuk kita mengelakkan daripada mendapat bala atau musibah iaitu dengan berdo'a kepada Allah s.w.t. dan membanyakkan memberi sedekah. 

Pertama, do'a dari Nabi s.a.w yang diajarkan kepada kita untuk diamalkan :"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan Qada' dan kegembiraan musuh (terhadap masaalahku)"(Riwayat al-Bukhari).

Kedua, banyakkan bersedekah : 
Sedekah boleh melindungi dari bahaya dan musibah, serta menolak su’ul khatimah (kematian yang buruk).
Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya dan musibah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Oleh itu marilah sama-sama kita amalkan dua perkara tersebut di atas semoga kita dan ahli keluarga kita terselamat daripada kemalangan, bala atau musibah dan dijauhi daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML