Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah sumbangan kalian untuk memakmurkan dimuka bumi Allah ini? Apakah hidup kalian banyak memberi manfaat kepada manusia dan makhluk Allah s.w.t. atau pun sebaliknya?
Yakinilah bahawa seandainya kalian membelanjakan harta yang kalian miliki dijalan Allah adalah sama seperti 'sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji'. Allah s.w.t. akan melipatgandakan pahala di atas semu amal kebaikan yang dilaksanakan ikhlas semata-mata mencari keredhaan-Nya.
Apabila kalian menghulurkan bantuan kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka-mereka yang amat memerlukan bantuan dengan cara yang senyap tanpa di war-warkan maka amalan seperti ini dapat memadamkan kemurkaan Allah. Tidak ada kebaikan yang lebih tinggi nilainya melainkan mendapat rahmat dan kasih sayang dari Allah s.w.t. Berikanlah dengan tangan kanan sehingga tangan kiri kalian tidak mengetahuinya.
Sahabat yang dimuliakan,
Salah satu cara untuk mengubati penyakit fizikal adalah dengan bersedekah. Semua penyakit yang dihidapi oleh manusia adalah datang daripada Allah s.w.t. kebagai kafarah dosa-dosa manusia kepada-Nya. Penyakit ini adalah ujian Allah kepada manusia supaya ia sedar akan kesalahan dan dosa-dosanya. Penyakit juga adalah sebagai ujian kesabaran dan untuk menginsafkan manusia untuk kembali meningati Allah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Ubatilah penyakit kamu dengan bersedekah.”
(Hadis Sahih al-Targhib)
Jangalah ditangguh-tangguh untuk bersedekah, janganlah menunggu sudah kaya baru hendak bersedekah. Ringan-ringakanlah tangan kalian untuk menghulurkan sedekah walaupun hanya seringgit. Lakukanlah setiap hari tanpa memikirkan rugi dan kekurangan wang kerana sesungguhnya berkat wang seringgit itu akan dilipat gandakan rezeki oleh Allah s.w.t. di jalan yang tiada disangka-sangka. Ingatlah bahawa sesungguhnya tidak akan berkurangan harta yang disedekahkan.
Sekiranya kalian dapat bersedekah semasa kalian kekurangan wang sebenarnya kalian telah membuka pintu-pintu kebaikan, firman Allah yang bermaksud, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.”
(Surah Ali-Imran ayat 92).
Satu kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s. bagaimana seorang petani dapat terselamat dari musibah dibunuh oleh jin kerana mengambil anak-anak burung dikebunnya semata-mata kerana ia telah bersedekah dengan memberi makanan kepada seorang miskin yang kelaparan secara kebetulan datang kekebunnya. Apabila jin tersebut hendak menangkap dan membunuh petani tersebut, malaikat telah menghalangnya dan menangkap jin tersebut dan dicampakkan ditempat lain. Kehadiran malaikat tersebut adalah kerana kebaikan sedekah yang telah dilakukan olehnya sebagai hikmah dan kebaikan yang besar.
Bersesuaianlah dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud : “Setiap hari dua malaikat akan turun ke bumi. Berkata salah seorang dari mereka : ‘ Ya Allah gantikanlah harta orang yang bersedekah pada jalan-Mu.’ Berkata pula malaikat yang seorang lagi : ‘Ya Allah, binasakanlah harta orang yang menahan hartanya daripada disedekahkan.’.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dihormati,
Nilai banyak atau sedikit jumlah harta yang disedekahkan bukanlah menjadi persoalan besar kerana Allah s.w.t. bukan melihat pada jumlah banyak semata-mata. Tetapi Allah s.w.t. melihat pada hati dan keikhlasan kita menginfakkannya di jalan Allah s.w.t. Di zaman Nabi s.a.w pernah baginda menerima beberapa biji tamar yang di sumbangkan oleh seorang miskin dan baginda meletakkan di atas sekali daripada timbunan harta-harta sumbangan daripada sahabat-sahabat baginda untuk jihad fisabilillah. Nabi s.a.w pernah berkata selamatkan diri dari azab Neraka walaupun bersedekah dengan separuh buah tamar.
Nabi s.a.w ada menyatakan juga bahawa sesiapa yang di dunianya banyak bersedekah, ia akan digolongkan didalam golongan ahli sedekah dan akan diseru dari pintu sedekah (bab sedekah) untuk memasuki Syurga Allah s.w.t.
Akhir kata marilah kita lihat firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) , akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”
(Surah al-Hadid ayat 18)
No comments:
Post a Comment