Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Dunia adalah tanaman untuk hari Akhirat."
Berdasarkan hadis Nabi di atas ertinya kehidupan di dunia ini adalah sementara dan perlu kepada persiapan untuk menghadapi kehidupan yang kekal abadi di hari Akhirat.
Walau pun hidup di dunia singkat berbanding kehidupan akhirat, tetapi ianya sangat penting kerana ia adalah penentu samaada kita bahagia atau celaka di hari Akhirat nanti.
Untuk bahagia di hari Akhirat, kita mesti melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan ketika hidup di dunia. Samalah seperti jika kita ingin memetik buah yang lebat, manis dan segar, maka pokok yang kita tanam perlu subur dan sihat. Mana mungkin, pokok yang layu, kering dan tidak sihat menghasilkan buah yang baik.
Begitulah hubungan kehidupan dunia dengan akhirat. Orang yang memikirkan kehidupan di hari Akhirat ialah orang yang paling kuat berusaha, beribadah dan membuat kebajikan ketika hidup di dunia.
Sahabat yang dimuliakan,
Jadikanlah dunia ini medan untuk beramal. Hidup di dunia hanya sekali sahaja. Ahli hukama ada berkata, " Dunia adalah tempat beramal tiada balasan, dan akhirat adalah tempat balasan tiada amal. Oleh itu beramallah kamu di tempat yang tiada balasan semoga kamu berbahagia di tempat yang tiada amal."
Orang beriman tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Oleh itu kalian mesti gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah s.w.t.
Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran.
Fikirkanlah! Waktu tidur dan berehat-rehat telah berlalu, kerana bertambahnya umur kita bermakna kita telah terlalu hampir untuk bertemu Allah s.w.t. Sanggupkah kita berhadapan dengan Allah s.w.t. nanti dengan membawa amal yang terlalu sedikit sedangkan dosa pula melebihi daripada pahala yang kita miliki?
Oleh itu marilah sama-sama kita menginsafi diri, beristighfar setiap masa dan berdo'a memohon keampunan di atas kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan. Persiapkanlah dua bekalan iaitu satu bekalan yang akan kita bawa bersama-sama ke alam Barzakh dan satu bekalan yang kita tinggalkan di dunia yang mana sahamnya masih kita perolehi iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh dan solehah)
No comments:
Post a Comment