1. Kekuatan 'Jiwa Dalam'
Soalan:
Bagi orang yang bukan Islam (cina) mereka ada tenaga dalam mereka yang digelar "chi" dan dipercayai wujud di dalam setiap diri manusia. Soalan saya ialah apakah rahsia kekuatan tenaga dalam bagi orang Islam, bolehkah tuan huraikan secara lanjut tentang setiap perkara yang berkaitan dalam hal ini?
Mat, Kajang
Jawapan:
Agama Islam agama yang sempurna mengandungi segala aspek kehidupan. Untuk memperoleh sesuatu yang dimaksudkan, Islam menganjurkan kita agar menuntut ilmu pengetahuan. Melalui ilmulah segala sesuatu dapat dicapai menurut syarat dan tujuannya. Orang sufi mempunyai penafsiran sendiri mengenai ilmu. Menurut Imam Ghazali ilmu itu dapat dibahagikan kepada ilmu mukasyafah iaitu ilmu yang dipelajari semata-mata untuk memperoleh pengetahuan. Kemudian ilmu muamalah iaitu ilmu yang dipelajari untuk diamalkan.
Bagi orang sufi ilmu yang berfaedah itu ialah ilmu pengamalan iaitu ilmu muamalah. Ilmu ini terbahagi kepada ilmu lahir iaitu segala ilmu yang diamalkan dengan anggota manusia dan ilmu batiniah iaitu segala ilmu yang bersangkut paut dengan keadaan 'jiwa dalam' dan hati manusia. Lalu kita kenallah dalam tasauf ilmu syariat, tarikat, hakikat dan makrifat.
Syariat pada mulanya bererti peraturan-peraturan agama yang diturunkan Allah. Dikalangan kaum sufi menafsirkan syariat sebagai amal ibadah lahir dan urusan muamalat. Tarekat menurut maksud sufi iaitu seseorang tidak akan sampai hakikat tujuan ibadah itu sebelum menempuh jalan yang dinamakan tariqat. Dalam bahasa disebut tarekat atau suluk dan orang yang melakukan itu dinamakan ahli tariqah atau salik. Tujuan daripada tarekat itu ialah mempertebal iman dalam hati pengikutnya, sehingga tidak ada yang lebih indah dan dicintai selain daripada Allah, dan kecintaan itu melupakan dirinya dan dunia seluruhnya.
Dalam menjalani proses tariqah ini kita harus bersih segala amal dan niat (ikhlas), merasa diri sentiasa diawasi Allah (muraqabah), menghitung amalnya dari sudut untung dan rugi (muhasabah), tajarrud, melepaskan diri apa jua yang akan merintangi sehingga sampai keperingkat rindu dan cinta yang tanpa batas kepada Allah SWT.
Hakikat adalah kebenaran dan Haq itu bagi orang sufi dipakai istilah untuk Allah yang dianggap pokok atau dasar dari segala kebenaran. Menurut keyakinan sufi hakikat itu baru dapat dicapai sesudah orang beroleh makrifat yang sebenar-benarnya. Oleh kerana itu Haqqul Yaqin hanya dapat dicapai orang di dalam fana iaitu sesudah melalui dua tingkat keadaan: 1. ainul yaqin dan 2. ilmul yaqin. Mula-mula manusia itu mencari sesuatu itu dengan ilmunya kemudian barulah ia sampai kepada keyakinan akal, kehendak, angan-angan dan jiwanya, maka barulah ia memperoleh haqqul yaqin iaitu kebenaran yang sebenar-benarnya diyakini yang dapat menenteramkan dan memuaskan hatinya.
Orang sufi mempertahankan bahawa dalam tingkat fana iaitu dalam keadaan lenyap segala tubuh yang kasar itu, betullah ia beroleh mahjub atau mengenal Allah dengan mata hatinya dan memperolehinya secara haqqul yaqin, kerana hanya dalam keadaan yang demikian itulah terbuka baginya apa yang tertutup sehingga mencapai kasyful mahjub iaitu tersingkap tirai yang merintangi seorang hamba dengan Khaliqnya.
Istilah kasyful mahjub atau 'kasyaf' inilah yang mungkin sama dengan istilah 'chi'. Dalam bahasa biasa dikenal dengan khusyuk atau kosentrasi.
Di dalam Islam peringkat kekhusyukan ini sebenarnya melebihi daripada chi yang dimiliki oleh pengamalan orang cina. Kerana masih ada lagi peringkat yang paling tinggi untuk menuju kepada kekhusyukan itu iaitu peringkat makrifat. Peringkat ini sebenarnya dapat kita ertikan dengan mengenal Allah SWT, kenal kepada-Nya mengenai Zat-Nya, sifat-Nya dan asma-Nya.
Sebetulnya jika kita ingin mendalami pengetahuan masalah tasauf atau ilmu tarekat dalam Islam hendaklah kita membaca buku-buku tentang tasauf. Seandainya ingin mengamalkan ilmu tasauf carilah guru yang mursyid yang benar-benar menjalankan ajaran Islam bukan mursyid yang sesat.
2. Maksud 'Istiqomah'
Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan istiqomah? Saya harap agar tuan dapat terangkan jenis istiqomah dan bagimana caranya hendak melakukan istiqomah?
Nawaf , Kajang
Jawapan:
Istiqomah ertinya teguh hati, tetap pendirian. Walaupun tidak semua orang mampu bersikap istiqomah ini namun melaksanakan Islam untuk memperoleh hikmah secara mendalam sangat memerlukan sikap istiqomah. Istiqomah juga mengandungi erti kemantapan tetapi tidak bererti tidak boleh bergerak atau maju. Umpamanya semakin tinggi teknologi sebuah kereta semakin mampu ia bergerak dengan cepat tanpa gegaran. Maka disebut kereta itu memiliki istiqomah atau kekuatan. Kereta itu mantap dan tidak bergegar bukan ketika ia berhenti tetapi ketika ia bergerak laju.
Firman Allah SWT maksudnya: "Dan bahawasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus (istiqomah) di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak". (Al Jin 16) Istiqomah juga berkaitan dengan kemampuan kita dalam berjuang untuk menghadapi ujian dan penderitaan, kerana semakin tinggi nilai iman seseorang itu semakin besar pula cubaan yang harus dihadapinya. Dengan datangnya berbagai cubaan, ujian dan penderitaan itu jiwa seseorang menjadi kuat dan tabah. Banyak contoh dalam kehidupan insan teladan masa silam tentang istiqomah ini. Diantaranya Nabi Adam tetap istiqomah dalam beriman kepada Allah meskipun baginda menerima cubaan dan penderitaan setelah dicampakkan ke bumi. Begitu juga Nabi Ibrahim tetap teguh dengan pendiriannya (iman yang teguh) walaupun dicampakkan ke dalam unggun api yang membara.
3. Istilah-istilah Tasauf
Soalan:
Tuan,saya ingin tahu maksud dan pengertian istilah istilah ini:
1. Nafsu Lawwamah
2. Nafsu Muthmainnah
3. Kasyaf
4. Ilham Laduni
5. Muhaqqiqin
6. Siddiqin Tolong tuan terangkan dan kaitannya dalam Islam?
Azani, KK
Jawapan:
1. Nafsu Lawwamah ialah nafsu yang mengkritik diri sendiri apabila berlaku sesuatu kejahatan dosa ke atas dirinya. Nafsu ini lebih tinggi sedikit dari nafsu Ammarah. Contohnya jika tertinggal solat umpamanya timbullah rasa kecut hati kerana menyesal di atas perbuatan itu lantas segera mengqada'kannya kembali tanpa bertangguh lagi di samping memohon keampunan kepada Allah di atas kesilapan itu.
2. Nafsu Mutmainnah ialah nafsu yang sudahpun terkikis darinya sifat-sifat tercela. Di antara sifat orang yang mempunyai nafsu jenis ini ialah bermurah hati, tawakkal kepada Allah, bijaksana, kuat ibadat, syukur, reda, taqwa dan lain-lain.
3. Kasyaf bermaksud Allah SWT menyingkap hijab dari mata hati seseorang sehingga ia dapat melihat sesuatu itu dalam bentuknya yang sebenar dan dapat juga melihat perkara-perkara yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Kasyaf ini terikat dengan sejauh mana ia tidak bertentangan dengan isi ajaran Al-Quran dan juga Al-Hadith. Jika bertentangan dengan kedua sumber ini hendaklah ditolak kerana ia bukannya ilham yang datang dari Allah sebaliknya datang dari syaitan.
4. Ilham Ladunni atau Ilmu Ladunni lebih tepatnya ialah ilham yang dianugerahkan oleh Allah SWt kepada seseorang hambanya yang bertaqwa tanpa melalaui proses pembelajaran biasa. Ia dianugerahkan semata-mata hasil daripada pengabdian diri kepada Allah, ikutan terhadap sunnah Rasulullah SAW, beramal dengan ikhlas dan berusaha bersungguh-sungguh menimba ilmu dari ajarann Rasulullah SAW. Ilham ini juga terikat dengan sejauh mana ianya tidak bercanggah dengan isi kandungan Al-Quran dan juga hadis sebagaimana juga kasyaf.
5. Muhaqqiqin bermaksud orang yang dapat menilai dan menganalisa sesuatu dengan tepat. apabila disandarkan kepada ulamak, maka ia membawa maksud ulamak yang dapat menilai dan menganalisa sesuatu hadis itu dengan tepat sama ada ianya benar ataupun tidak.
6. Siddiqin bermaksud orang-orang yang sangat benar merangkumi benar dengan Allah, benar dengan rasul, benar dengan diri sendiri dan juga benar dalam pergaulan dengan masyarakat. Istilah-istilah ini biasanya digunakan oleh para ulamak Islam dalam penulisan mereka.
4. Menuntut Ilmu Tanpa Guru
Soalan:
Saya pernah terbaca bahawa jika kita mempelajari ilmu agama dengan menbaca buku-buku atau kitab-kiab sahaja tanpa berguru, bermakna kita berguru dengan syaitan. Adakah ini benar dan apakah dalil-dalilnya? Bagaimana pula dengan cara melalui Internet ini?
Fatimah, KL
Jawapan:
Para ulama' Islam menggesa umat Islam supaya menuntut ilmu melalui guru, untuk mengelakkan dari berlaku kesilapan dalam memahami ilmu yang dipelajari mereka. Imam An-Nawawi menegaskan tentang keperluan seorang pelajar mencari guru yang warak dan bertaqwa dalam kitab Syarh Muhadhdhabnya. Imam Syafii pernah menegaskan sesiapa yang menuntut ilmu tidak melalui guru, maka ia akan banyak mensia-siakan hukum.
Menurut imam Abu Hanifah pula seseorang itu tidak akan dapat memahirkan diri dalam memahami ilmu, apabila majlis ilmu yang diadakan tidak diseliakan oleh guru yang berkelayakan. Syeikh Najmuddin Al-Kurdi menjelaskan dalam bukunya Tanwir Al-Qulub menuntut ilmu tanpa guru bererti menuntut ilmu dengan syaitan. Dalam dunia pembelajaran dewasa ini kesemuanya memerlukan kepada guru walaupun melibatkan ilmu tentang bahasa Inggeris, matematik dan lain-lain.
Apalagi ilmu-ilmu yang bersangkut paut dengan ilmu agama. Kerana itu tidak hairanlah pihak berkuasa mewujudkan maktab-maktab perguruan di seluruh negara. Dewasa ini terlampau ramai orang yang ingin bercakap tentang Islam, walaupun ia sendiri bukanlah pakar dalam bidang tersebut, kerana itu kupasan dan olahannya lebih banyak menyeleweng dari betul. Sehubungan dengan itu institusi perguruan adalah sesuatu yang mesti dillalui oleh seseorang dalam menuntut ilmu.
Jika seseorang itu sudahpun mempunyai asas- asas ilmu yang kukuh dalam bidang-bidang yang berkaitan, bolehlah ia membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidangnya itu walaupu tanpa guru. Bagaimanapun jika ada kesamaran terhadap beberapa maklumat yang di bacanya, hendaklah dirujuk kepada gurunya semula. Jika ia tidak mempunyai asas, langsung tentangnya dan tidak dapat memahami apa yang dibacanya dengan baik, orang seperti ini memerlukan kepada guru bagi mengelakkan salah faham . Apalagi jika ilmu-ilmu tersebut masih tertulis dalam bahasa Arab dan amat sukar kepada seseorang memahaminya tanpa guru.
Berhubung ilmu-ilmu yang biasa disampaikan melalui internet oleh orang yang berkelayakan, maka tidaklah salah mengambil ilmu ini. Ia termasuk juga dalam istilah berguru. Cuma tekniknya sahaja yang lebih moden. Tambahan pula permasalahan harian feqah contohnya merupakan antara permasalahan sudah biasa didengari oleh masyarakat umum dalam media massa.
5. Bagaimana Mengawal Nafsu
Soalan:
Assalamulaikum wbt. ustaz. Saya seorang pemuda lewat 30an yang masih bujang, keinginan seks saya amat ketara sering kali tidak dapat mengawalnya dan selalu saya melakukan onani, masalahnya macamana saya boleh mengawal keinginan saya ini, saya telah cuba berpuasa masih tidak boleh menghindarnya juga saya ingin berkahwin tetapi sukar mencari teman hidup.
Mohd A, Muar
Jawapan:
Melakukan onani adalah haram di sisi majoriti ulamak, kerana memuaskan nafsu dengan cara tersebut, adalah diharamkan oleh Allah SWT sebagaimana Allah SWT menyebutnya di awal surah Al-Mukminun. Seorang mukimin yang waras tidak akan melakukan perbuatan ini. Onani juga boleh memudaratkan badan. Namun begitu ada beberapa ulasan yang dikemukakan oleh beberapa ulamak yang mengharuskan perbuatan ini dalam keadaan darurat.
Ibn Abbas umpamanya mengatakan: Lebih baik berkahwin dengan hamba sahaya dari melakukan onani, tetapi onani lebih baik dari melakukan perzinaan. Berdasarkan ucapan Ibn Abbas ini Amru bin Dinar menghukumkan harus melakukan onani kepada seseorang lelaki dalam keadaan darurat, supaya yang terlibat tidak terjerumus ke lembah perzinaan. Pendapat ini turut di pegang oleh imam Ahmad, dan Ibn Hazm.
Bagaimanapun dalam kes di atas alasan saudara yang bertanya masih belum kukuh untuk melakukan onani kecuali jika saudara benar-benar terdorong melakukan perzinaan. Kerana itu saudara dinasihatkan menghiburkan diri dengan melakukan kerja-kerja berfaedah kepada masyarakat seperti bergotong royong dan sebagainya. Jauhkan tempat maksiat dan perempuan sundal dan para pelacur. Teruskan dengan ibadat puasa, walaupun kesannya tidaklah seratus peratus kepada saudara, namun sekurang-kurangnya ia dapat mengendurkan nafsu saudara. Lakukan ibadat puasa sunat ini lengkap dengan syarat , rukun dan adab-adabnya.
Selain itu hendaklah sentiasa berdoa supaya Allah SWT menghindarkan saudara dari termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mengikut nafsu. Elakkan berfikir kepada perkara-perkara yang boleh membangkit ransangan seks. Begitu juga dengan menonton filem-filem bogel dan separuh bogel. Percubaan saudara untuk berkahwin adalah sesuatu yang baik, naumun saudara jangan berputus asa dengan sebab saudara belum bertemu jodoh kerana putus asa itu dilarang oleh Islam. Cubalah jaga perwatakan diri saudara agar selaras dengan perwatakan diri seorang muslim yang sejati. Banyakkan baca Al-Qur'an, berzikir dan solat Duha di samoping menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Allah SWT.
6. Tips Menyintai Allah
Soalan:
Sebenarnya dalam hidup saya, saya rasa kosong saya ingin mencari satu kepastian....
Soalan saya bagaimanakah kita nak bercinta dengan Allah, iaitu cinta yang betul -betul kepadanya, sebab saya lihat kalau bercinta dengan makhluk sesama makhluk lama kelamaan kita akan alpa. Jadi, saya ingin tahu apakah tips untuk kita bercinta dengan Yang Maha Kuasa?
Syah, K Terengganu
Jawapan:
Bercinta dengan Allah bukanlah sepayah bercinta dengan makhluk. Malah Allah SWT memerintahkan semua makhluk manusia mencintaiNya dan mencintai RasulNya lebih dari segala-galanya dalam hidup ini. Orang yang tidak berbuat demikian dikira tidak beriman. Al-Quran dengan jelas menerangkan sesiapa yang cintakan Allah hendaklah mengikut semua ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAWT.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidhi menjelaskan apabila Allah SWt itu cinta kepada hamba-hambanya, Ia akan menguji hamba-hambaNya itu. Ini bermakna seseorang yang bercinta dengan Allah hendaklah mematuhi segala titah perintahnya dan menjauhi segala larangannya yang diturunkan kepada rasulNya. Ia juga harus tabah menghadapi ujian Allah samada berbentuk ujian nikmat mahupun ujian berbentuk kesusahan dan pemderitaan.
Ia juga mesti tidak takut kepada seseorang dalam memperkatakan kebenaran kecuali kepada Allah semata-mata. Dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari menjelaskan seseorang yang bercinta dengan Allah hendaklah melaksanakan segala yang difardukan oleh Allah. Ia akan semakin hampir dan dekat dengan Allah apabila ia melaksanakan segala ibadat sunat.
Di kala itu Allah SWT akan mengawasi pendengarannya dari mendengar sesuatu yang haram, memelihara penglihatannya dari melihat sesuatu yang haram dan tangannya dari memegang sesuatu yang bukan miliknya dan haram pula. Allah SWT akan memperkenankan segala permintaannya dan akan memberi pertolongan kepadanya.
Kesimpulannya bercinta dengan Allah ialah kewajipan semua makhluk dan ia dilakukan dengan cara melakukan segala perkara yang diredai oleh Allah baik yang fardu mahupun yang sunat sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW di samping meredai qadak dan qadarNya.
7. Pengertian Tarikat
Soalan:
Apa itu tarikat? Ada berapa jenis tarikat? Bolehkah kita mengikuti ajaran ini?
Fida, Subang
Jawapan:
Tarikat dalam bahasa Arabnya bererti jalan.Dari sudut tasauf tarikat menurut Syeikh Al-Jurjani ialah jalan khas menuju kepada Allah dengan menempuh berbagai rintangan dan melalui peningkatan rohani dalam berbagai maqam. Menurut Syeikh Ahmad Khatib Al-Minangkabau, Tarikat ialah jalan yang ditempuhi oleh Nabi SAW, para sahabat, para ulamak fikah dan ulamak tasauf, iaitu mengamalkan hukum yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang merangkumi perkara yang wajib, sunat, haram, makruh dan mubah.
Ia juga mengandungi cara mengenal keesaan Tuhan dan keagungannya, seterusnya mempelajari ilmu cara-cara mensucikan hati.Dalam kontek tasauf tarikat biasanya lebih tertumpu kepada aliran zikir. Kerana itu timbul istilah tarikat Naqsyabandiyyah, tarikat Qadiriyyah, Ahmadiyyah dan lain-lain. Pengikut tarikat- tarikat ini akan mengamalkan zikir-zikir yang diajarkan kepada mereka oleh guru-guru tarikat mereka secara berjemaah atau berkumpulan. Hukum melibatkan diri dengan tarikat ini bukanlah sesuatu yang wajib malah harus sahaja, kerana tarikat ini hanyalah jalan pentarbiahan diri dan mendekatkannya dengan Allah SWT.
Bagaimanapun hukum mempelajari cara-cara membersihkan hati dari sifat-sifat tercela, seperti ujub, sumah, riyak, nifak dan lain-lain adalah wajib menurut Ibn Taimiyyah kerana hati manusia adalah tempat tilik Allah SWT. Tanpa hati yang bersih tidak ada maknanya hidup manusia. Bagaimanapun ini tidak semestinya boleh dilakukan dengan memasuki tarikat sahaja. Bahkan boleh dilakukan dengan cara menuntut ilmu dari para ulamak, bergaul dengan orang-orang salih, mengamalkan sunnah-sunnah Rasululah SAW, berpuasa, menunaikan fardu haji, berjihad, mentaati kedua ibu bapa, menzirahi kubur dan lain-lain amalan yang disyariatkan oleh Allah SWT.
8. Keperluan Tarikat
Soalan:
Saya ingin dijelaskan apa itu tarekat, apakah setiap muslim harus melalui tarekat, bagaimana bila ada seorang muslim tidak mahu tahu mengenai tarekat, bahkan sangat benci dengan ilmu tarekat atau tasawuf atau ilmu batin?
Ali, Jawa Timur
Jawapan:
Pengertian tarikat: Tarikat diambil dari perkatan arab membawa maksud jalan. Kalau disebut tarikat Al-Fikr membawa maksud jalan berfikir. Jika disebut tarikat Az-Zikr membawa maksud jalan berzikir dan lain-lain. Dalam Al-Quran biasanya tarikat digunakan untuk jalan yang diikuti oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diajarkan kepada baginda oleh Allah SWT melalui Malaikat Jibril. Ini merangkumi soal jalan baginda beribadat, berakidah, bermuamalah, mengadakan hubungan antarabangsa, mendirikan negara, melayan tetamu, menyiapkan bala tentera dalam peperangan, menguruskan keluarga dan lain-lain. Dari segi istilah, tarikat ditakrifkan oleh Syeikh Ahmad Khatib Al-Minangkabau seorang ulama dari Indonesia yang pernah menjadi khatib di Makkah Al-Mukkaramah sebagai jalan yang ditempuhi oleh nabi SAW, para sahabat, ulama dan para ahli sufi generasi awal dahulu. Jalan ini mesti diikuti oleh umat Islam.
Menurut Syeikh Al-Jurjani tarikat ialah jalan khusus menuju kepada Allah yang melibatkan pengharungan beberapa halangan dan penempuhan beberapa tingkatan rohani dalam berbagai maqam. Syeikh Al-Kandahlawi pula mendefinisikan tarikat itu sebagai sejalan dengan makna ihsan yang terdapat dalam sebuah hadis yang sahih iaitu seorang itu beribadat kepada Allah seolah-olah ia melihat Allah, Jika ia tidak melihat Allah, Allah melihatnya. Bagaimanpun tarikat tasauf sekarang lebih tertumpu kepada teknik berzikir untuk membersihkan jiwa kerana itu timbullah istilah tarikat Qadiriyah, Naqsyabandiyyah dan sebagainya.
Setiap muslim wajib melalui tarikat untuk menuju kepada Allah tetapi bukan melalui tarikat yang ada sekarang ini, sebaliknya tarikat dalam ertikata jalan yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan diikuti oleh para sahabatnya. Tarikat ini merangkumi soal akidah, ibadat dan akhlak. Kerana itu mereka hendaklah menuntut ilmu dari para ulama yang dipercayai keimuannya, tidak melakukan bid'ah dan sentiasa menunaikan amalan yang wajib di samping berterusan melakukan amalan yang sunat. Selain itu ia juga perlu tegas dalam menentang perkara mungkar. Ulama seperti inilah menurut Ibn Al-Qayyim yang layak dijadikan guru.
Tidak mahu bertarikat dengan ertia kata tidak mengikuti salah satu dari tarikat zikir yang disertai oleh sesetengah masyarakat sekarang seperti Tarikat Ahmadiyyah dan sebagainya tidaklah menjadi kesalahan, tetapi tidak bertarikat dalam ertikata tidak mengikut cara nabi berakidah, beribadah dan berakhlak adalah haram dan berdosa malah terkeluar dari islam. Membenci tarikat Zikir adalah sesuatu yang tidak wajar kerana zikir kepada Allah adalah perkara yang boleh menggilapkan hati dan mendekatkan diri seseorang kepadaNya.
Walau bagaimanapun jangan difahami istilah zikir itu sekadar zikir lisan sahaja, malah zikir dalam ertikata yang sebenarnya merangkumi zikir hati, lisan dan anggota. Ini merangkumi berjihad fi sabilillah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat menunaikan fardu haji di Baitullah, berbuat baik kepada jiran tetangga, menziarahi orang sakit, menolong orang yang dalam kesusahan, menziarahi kubur, beriktikaf, menuntut ilmu, mengulangkaji ilmu, mengadakan majlis perbincangan ilmu dan lain-lain. Bagimanapun jika seseorang itu membenci teknik zikir yang dilakukan dalam sesuatu tarikat itu kerana ia bercanggah dengan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah sesuatu yang baik, kerana itu bererti ia tidak meredai sunnah Rasulullah SAW dicemari oleh tangan-tangan manusia yang tidak berilmu.
9. Perbezaan Tarikat dan Tasauf
Soalan:
Apa perbedaan tarekat dan tasauf, juga tolong diberi daftar/senarai tarekat yang mutabaroh baik yang beredar di Malaysia ataupun Indonesia?
Ali, Indonesia
Jawapan:
Perbezaan antara tarikat dan tasauf, menurut ahli tasauf tarikat adalah lebih umum berbanding tasauf kerana tarikat merupakan jalan ke arah tasauf. Dengan kata lain seorang ahli tasauf ialah seorang yang sudah menempuh jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, dan telah berjaya mencapai peningkatan rohani sehingga hampir dengan Allah tetapi tidak semestinya seorang yang bertarikat itu ia bertasauf, kerana boleh jadi dalam perjalanannya itu ia diselewengkan oleh syaitan lantas tergelinncir ke lembah syirik dan lain-lain.
Tarikat yang muktabar di zaman ini amat sukar dicari. Imam Al-Qusyairi pernah menyatakan kesukaran untuk mendapatkan syeikh tarikat yang benar-benar mursyid di zamannya, apalagi di zaman kita ini. Tambahan pula menurut syeikh Ahmad Al-Khatib tarikat-tarikat sekarang banyak diresapi oleh unsur-iunsur bid'ah dan jalan pembawaannya juga sudah banyak diresapi oleh ajaran syiah dan ajaran hindu. Bagaimanpun pengamal-pengamal tarikat di zaman ini masih mendakwa tarikat mereka sebagai tarikat yang muktabar seperti tarikat Ahmadiyyah, Naqsyabandiyyah, Qadiriyyah dan lain-lain.
Kesimpulannya seseorang itu boleh memasuki tarikat ini selagi ia melihat tidak terdapat perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan Al-hadis. Jika terdapat percanggahan yang jelas dengan Al-Quran dan Al-Hadis hendaklah ditingalkannya. Sebaliknya hendaklah ia bergaul dengan para ulama yang benar-benar amanah dalam ilmunya. Sebaik-baik jalan itu ialah yang dibawa oleh generasi salaf dahulu, kerana generasi mereka selamat dari perkara bid'ah dan khurafat. Untuk mendapat keterangan lebih lanjut sila rujuk buku pengantar ilmu tarikat oleh Prof. Dr. Abu Bakar Aceh dari Indonesia.
10. Pedoman Menjadi Penyabar
Soalan:
Saya seorang lelaki berumur 30an, dan akan berkahwin tidak lama lagi, saya dapati diri saya cepat marah orangnya dan sensitif, bolehkah ustaz beri pedoman supaya saya boleh menjadi orang yang sabar?
Zawawi, Melaka
Jawapan:
Dalam kitab Syarah Al-Arbain An-Nawawiyah dikemukakan sebuah hadis yang melarang seseorang itu marah dengan tidak bertempat. Rasulullah SAW mengulanginya sebanyak 3 kali. Ini menunjukkan marah tidak bertempat itu adalah sesuatu yang dibenci oleh baginda Rasulullah SAW.
Untuk mengelakkan rasa marah dari menguasai diri seseorang adalah dinasihatkan supaya ia memperbanyakkan istighfar dan mengucapkan "La Hawla Wa la Quwwata Illa Billah Hil Aliyyi Al-Azim", apabila timbul rasa ingin marah.
Ia juga hendaklah membaca "Auzubillah mina Syaitanir Rajim". Ini kerana marah itu sebenarnya datang dari syaitan. Selain itu ia hendaklah juga memperbanyakkan doa berikut: "Allahummaj'alli Sabura Waj'alli Syakura Waj'alli Fi Aini Saghira Wa Fi A'yuninnasi Kabira". Jangan lupa membaca buku sejarah hidup para sahabat kerana kesannya yang begitu besar dalam melembutkan hati.
11. Kaedah Menghindari Maksiat
Soalan:
Saya mempunyai seorang kekasih, masalahnya bila kami bertemu maka ada saja perkara yang tak elok berlaku. Contohnya berkepit dan duduk berdua-duaan. Kalau naik motor pun saya akan peluk dia macam tak nak lepas. Tolonglah saya ini, apa yang harus saya buat?
Zieha, KL
Jawapan:
Syukurlah saudari masih beringat sebelum perkara yang lebih buruk berlaku kepada saudari. Saudari sudah mengetahui keadaan diri sendiri, apabila berdua-duaan dengan kekasih saudari pasti akan timbul perkara yang tidak diingini. Oleh itu cubalah elakkan diri dari temu-janji.
Andainya saudari terpaksa bertemu dengannya bawalah orang ketiga bersama. Jelaskan kepada kekasih saudari perasaan serba salah saudari apabila melanggar tatasusila Islam. Jika dia benar-benar mencintai saudari pasti ia akan memahami keadaan. Sekiranya saudari masih tidak dapat mengelakkan diri darinya, cara terbaik untuk mengelakkan diri dari perkara haram ialah dengan mencari jalan yang halal iaitu dengan cara perkahwinan. Cubalah cari kata sepakat agar saudari terhindar dosa yang lebih besar.
12. Pengertian Tawassul
Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan tawassul?
Umi, KL
Jawapan:
Menurut Ibnu Taimiyah, ulama muslim telah sepakat mengertikan istilah tawassul itu dengan dua pengertian. Pertama, yang merupakan dasar iman dan Islam, iaitu tawassul melalui iman kepada Rasulullah SAW dan taat kepadanya. Kedua, adalah doa dan syafaat baginda. Kedua makna ini telah disepakati kaum muslimin, jadi tawassul dengan percaya dan taat kepada Rasulullah adalah dasar agama.
Memohon kepada Allah dengan selain Dia ada dua. Pertama, bersumpah kepada-Nya dengan nama makhluk, kedua; memohon dengan suatu sebab, seperti ketiga orang di dalam gua yang bertawassul dengan amal-amal mereka, seperti juga bertawassul dengan doa Nabi dan orang-orang saleh. Bersumpah terhadap Allah dengan selain nama-Nya adalah tidak boleh. Sedangkan memohon dengan suatu sebab yang menjadikan terkabulnya permintaan seperti memohon dengan amal yang mengandungi ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, memohon dengan keimanan dan rasa cinta kepada Rasul dibolehkan oleh agama.
Permintaan melalui zat peribadi para nabi dan orang soleh adalah tidak masyru' atau tidak diajarkan oleh agama. Para ulama melarang yang demikian. Lain halnya dengan permohonan melalui sebab terkabulnya permohonan itu, seperti permohonan kepada Allah melalui doa orang soleh dan amal-amal soleh. Permohonan semacam ini dibolehkan, sebab doa orang-orang soleh menyebabkan adanya pahala Allah bagi kita. Bertawassul melalui doa mereka dan amal-amal kita itulah ertinya mencari wasilah.
Allah SWT berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan carilah jalan (wasilah) yang boleh menyampaikan kamu kepada-Nya". (Al Maidah ayat 35)
13. Makna Awaluddin Makrifatullah
Soalan:
Sila beri penjelasan apa yang di maksudkan dengan Awaluddin Makrifatullah?
Rashid, KL
Jawapan:
Makna Awaluddin Makrifatullah adalah "awal agama dalam mengenal Allah". Mempelajari ilmu tauhid merupakan asas dalam agama Islam untuk mengenal Allah yang Maha Esa. Ilmu Tauhid merupakan dasar jiwa manusia dan merupakan ilmu yang wajib paling awal dan paling dahulu dipelajari sebelum ilmu yang lain. Sebab hanya dari jiwa yang bertauhid akan melahirkan cahaya ketaqwaan terhadap Allah SWT.
Tauhid maksudnya, mengetahui bahawa sesuatu itu satu. Menurut definisi secara lebih jelas tauhid iaitu; "Ilmu yang dapat menetapkan aqidah (tekad) keagamaan seseorang yang dicari (dikasab) dari dalil-dalilnya yang berdasarkan keyakinan". Yang dimaksudkan dalil-dalil yang dapat menimbulkan keyakinan itu berdasarkan dalil naqli dan dalil aqli.
Banyak perkara yang kita ketahui dengan mempelajari ilmu tauhid jika dikaji dan dipelajari dengan teliti, umpamanya dari segi tujuannya (maudhu'nya) iaitu mengenai sifat-sifat Allah yang wajib, mustahil dan jaiz bagi-Nya, kemudian mengetahui sifat-sifat rasul dan lainnya. Hasilnya (tsamrah) iaitu untuk makrifat (mengetahui) Zat Allah iaitu mempunyai iktikad yang teguh, tidak goyang, tidak ada keraguan dan sesuai dengan keadaan berdasarkan dalil-dalilnya dan bukan sangkaan atau dugaan tanpa dalil.
Sebab kepercayaan tanpa dalil atau sumber adalah kepercayaan yang hampa dan tidak berguna. Darjatnya (fadhilahnya) merupakan ilmu yang paling tinggi kerana bertalian dengan Zat Allah dan sifat-sifat-Nya. Kedudukannya (nisbahnya) adalah segala ilmu agama Islam dan ilmu-ilmu lainnya merupakan cabangnya.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT tidak mewajibkan sesuatu yang lebih utama dari tauhid dan solat".
14. Mengenal Allah
Soalan:
Apakah maksud yang dikatakan 'barang siapa kenal diri maka kenallah akan tuhannya'?
Salina, KL
Jawapan:
Salah satu cara mengenal Allah ialah dengan mengenal diri sendiri. Maksudnya ialah hakikat diri yang sebenarnya. Adapun maksud diri yang sebenarnya itu bukanlah diri yang bersifat lahiriah, kerana jasad ini tidak membawa makna yang sebenar untuk mengenal Allah SWT.
Pada abad moden ini ramai dikalangan kita tidak mengenal dirinya yang sebenar. Mereka menganggap bahawa dirinya hanyalah tubuh badan yang terdiri daripada kulit, daging, tulang, darah dan sebagainya. Yang dimaksudkan dengan sebenarnya ialah diri yang batin iaitu diri yang datang dan akan kembali kepada Allah SWT.
Ulama ilmu ketuhanan atau ilmu tauhid berpegang bahawa diri kita ini merupakan tangga untuk mengenal Allah, sesuai dengan dalil yang mengatakan: "Siapa yang mengenal dirinya, sesungguhnya ia akan mengenal Tuhan-nya". Dikalangan ulama tasauf atau ulama ilmu ketuhanan selalu menasihatkan carilah diri kamu di dalam diri", maksudnya ialah menyuruh agar kita mencari hakikat diri kita yang sebenarnya terlebih dahulu. Apabila kita telah menemukan diri kita yang sebenarnya pasti kita akan mengakui hakikat adanya Allah SWT.
Hakikat diri yang sebenarnya merupakan roh atau jiwa ataupun rohani yang ada dalam diri manusia itu sendiri yang harus dikenali setiap manusia. Diri batiniah ini tidak dapat dilihat atau diraba oleh mata lahiriah dan tangan manusia. Walaupun di dalam Al Quran "diri" itu disebut dengan berbagai istilah, tetapi tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada manusia supaya berfikir bahawa betapa luasnya "diri" yang hakikat itu di dalam manusia. Diri manusia dilengkapi oleh Allah dengan sifat-sifat tertentu, kemudian sifat-sifat tersebut dinilai atau dihisab samada baik ataupun buruk.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertnggungjawapannya". (Al Isra' 36)
Allah menjelaskan kepada kita tentang istilah jiwa dan sifat yang terdapat pada jiwa, iaitu pendengaran, penglihatan, disamping roh juga akan diuji tentang ketakwaannya kepada Allah. Itulah sebabnya ketika Allah berfirman kepada roh-roh atau jiwa sedia untuk berbakti dan melaksanakan perintah Allah SWT. Untuk melakukan dan melaksanakan perintah tersebut maka diciptakanlah jasad, lalu Allah menjadikan Adam. Roh telah berikrar dan berjanji kepada Allah, maka untuk membuktikan dan berbuat sesuatu maka roh memerlukan tempat iaitu jasad.
Istilah batin disebut juga dalam Al Quran dengan qalbi. seandainya qalbi tersebut diterangi dengan nur maka selamatlah seseorang itu. Maka sekiranya tiada nur, gelaplah seseorang itu. Qalbi mesti mempunyai asas yang membolehkannya selamat yang hanya Allah menentukannya. Sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam diri berupa nafas, akal, nafsu dan roh bila menjadi satu maka dinamakan dengan insan.
Qalbi di dalam Al Quran diistilah sebagai diri atau hati. Qalbi sebenarnya mengetahui apa yang patut dibuat dan apa yang patut dilaksanakan mengikut nilai-nilai diri itu sendiri. Firman Allah SWT maksudnya: "Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang membersihkan jiwanya dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya". (As Sham, 9 - 10) Jadi untuk merealisasikan pengertian bahawa siapa yang mengenal dirinya akan mengenali Tuhan-nya itu, iaitu dengan cara memahami hakikat roh, jiwa atau qalbi yang sebenarnya. Sesungguhnya untuk mencapai ke tahap yang tinggi memerlukan pengetahuan dan keyakinan yang kukuh terhadap Allah SWT. Wallhu A'lam.
15. Tingkatan Nafsu Mutmainnah
Soalan:
Saya ada sedikit pertanyaan mengenai mutmainah dan bagaimana caranya agar kita mencapai dan merasakannya?
Iwan, Jakarta
Jawapan:
Nafsu Mutmainnah ialah nafsu yang sudahpun terkikis darinya sifat-sifat tercela. Di antara sifat orang yang mempunyai nafsu jenis ini ialah bermurah hati, tawakal kepada Allah, bijaksana, kuat ibadat, syukur, redha, taqwa dan sebagainya. Bagi peringkat nafsu mutmainnah ini hendaklah kita membekalkan diri dengan ilmu kemudian menghiasi ilmu tersebut dengan iman dan amal yang mulia, setelah itu barulah kita dapat merasakan nikmat memiliki sifat ini, insya Allah.
16. Jumlah Nama Allah
Soalan:
Nama nama tuhan yang terdapat ialahsebanyak 100 tetapi hanya 99 sahaja yang diberi (Rujukan : Asma ul Husna). Apakah nama yang satu lagi?
Din, KL
Jawapan:
Sebenarnya nama-nama Allah SWT atau Amaul Husna itu banyak sekali bukan sekadar 99 nama bahkan lebih daripada itu. Namun yang disebutkan dalam Al Quran sebanyak 99 nama.
No comments:
Post a Comment